Zaid Ibrahim |
KUALA LUMPUR: Percubaan Datuk Zaid Ibrahim untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat termasuk melepaskan dendamnya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mengorbankan maruahnya sendiri menggambarkan kejahilan beliau.
“Malang sekali apabila Zaid Ibrahim terpaksa menjatuhkan maruahnya ke tahap serendah Perkasa (Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia) dan GAPS (Gabungan Anti Penyelewengan Selangor) dalam meneruskan dendamnya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media kepada Keadilan Daily.
Menurut Nik Nazmi, campur tangan Zaid yang juga bekas Menteri Undang-undang dalam perbicaraan Fitnah II berhubung permohonan pihak pendakwa yang mahu DNA Anwar diserahkan kepada mahkamah membuktikan beliau mudah lupa dengan prinsip keadilan walaupun pernah bersama KEADILAN dalam tempoh singkat.
“Sukar untuk dipercayai seorang yang terlatih dalam bidang undang-undang dan memahami keadaan sistem kehakiman negara selepas krisis 1988 tiba- tiba percaya dengan integriti sistem ini,” kata Nik Nazmi.
Beliau mengulas demikian sebagai respon terhadap percubaan Zaid yang kini Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dengan mendakwa bahawa PAS tidak bersuara dalam kes Fitnah II.
“Ini menunjukkan kejahilan beliau (Zaid) tentang sokongan PAS serta prinsip asas dalam syariah bahawa tiada sesiapapun boleh didapati bersalah tanpa kesaksian empat saksi yang adil dan berwibawa,” jelas Nik Nazmi.
Konspirasi untuk membunuh karier politik Anwar
Nik Nazmi menegaskan, Anwar bukan hanya enggan menyerahkan DNA beliau kerana beliau secara perundangan tidak perlu melakukannya bahkan pasukan peguam pembela tidak meyakini ketelusan sistem sedia ada.
Kata beliau, pendirian Anwar dan Pakatan Rakyat terhadap kes ini adalah jelas yakni pertuduhan yang dikemukakan adalah konspirasi yang bertujuan untuk membunuh karier politik beliau.
“Apa yang jelas sepanjang perbicaraan berjalan, pihak pendakwa menafikan semua permohonan pasukan pembelaan supaya mengemukakan segala bukti dan data lengkap serta sampel DNA yang diuji dari sampel yang diambil daripada tubuh dan pakaian (Mohd) Saiful Bukhari (Azlan).
“Sebagai peguam, Zaid sewajarnya mengetahui bahawa ini bercanggah dengan protokol ujian DNA dan secara automatik mengecualikan bukti tersebut dalam mana-mana perbicaraan adil,” jelas Nik Nazmi.
Beliau berkata, pihak pendakwa jelas sekali memerlukan DNA Anwar untuk berada di dalam dubur Saiful untuk membuktikan tuduhan mereka.
“Memandangkan kes mereka kini sudah punah, kejayaan kini diukur dengan menjatuhkan pandangan awam terhadap moral Anwar walaupun sekiranya mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.
“Sejak hari pertama, kes Anwar dipenuhi pelbagai percanggahan dan kelemahan, dan jelas sekali sekiranya defendannya bukanlah Anwar Ibrahim, kes ini akan dibuang daripada mahkamah,” tegasnya.
Tambah beliau, seorang itu tidak perlu menjadi penyokong tegar Anwar untuk mengesyaki kesahihan kes ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mula-mula menafikan bertemu dengan Saiful dua hari sebelum Saiful mendakwa beliau diliwat.
Hanya selepas gambar-gambar Saiful di pejabat Najib diedarkan, beliau mengaku bertemu dengan Saiful, kononnya untuk membantu Saiful mendapatkan biasiswa tetapi kemudian dijelaskan bahawa Saiful datang mengadu kepada beliau bahawa beliau diliwat.
Malah, laporan perubatan awal di Pusrawi dan Hospital Kuala Lumpur menyatakan bahawa tiada penetrasi pada dubur Saiful.
Menurut Nik Nazmi, penolakan tersebut turut menghalang pasukan pembela dan mahkamah untuk menilai kesahihan ujian DNA tersebut secara bebas. Katanya, penolakan ini hanya mengukuhkan pandangan bahawa pihak pendakwa mempunyai sesuatu untuk diselindungkan dalam apa yang dikatakan ujian DNA itu.
“Atas sebab itu adalah suatu penghinaan kepada prinsip keadilan untuk Anwar memberikan sampel DNA untuk membantu pendakwa mengesahkan keputusan yang menimbulkan syak dan direka-reka,” katanya.
Oleh sebab itu, menurut Nik Nazmi, Zaid sewajarnya ingat bahawa Saiful mengaku bertemu dengan anggota polis kanan, Rodwan Mohd Yusof dua kali sebelum kejadian tersebut kononnya berlaku.
“Bagi menyegarkan semula memori Zaid, Rodwanlah orang yang memindahkan DNA Anwar secara haram pada perbicaraan 1998 dan meletakkannya pada tilam bagi memerangkap bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.
“Bahkan isu DNA lelaki lain di dalam rektum Saiful masih lagi belum dijawab. Pada masa yang sama, pegawai penyiasat, (DSP) Jude Pereira mengakui bahawa sampel yang diambil daripada Saiful tidak disimpan di dalam peti sejuk beku, justeru mendedahkan DNA tersebut kepada kerosakan.
“Isu mengapa Jude menyimpan sampel-sampel tersebut selama 48 jam dan tidak menyerahkannya kepada ahli kimia serta-merta belum benar-benar dijelaskan. Pada 1998, institusi polis yang sama yang telah mereka bukti termasuk bukti DNA terhadap Anwar,” katanya.
No comments:
Post a Comment