Pages

Tuesday, March 15, 2011

Usul tergempar bencana di Jepun dibentang Khamis ini

KUALA LUMPUR, 15 Mac — Persidangan Dewan Rakyat dijangka membahaskan usul tergempar mengenai gempa dan tsunami di Jepun Khamis ini, kata Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, Dewan Rakyat telah menerima pemberitahuan daripada kerajaan yang akan mengemukakan usul berkenaan dan notis mengenainya dijangka diterima esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dijangka membentangkan usul itu mengikut Peraturan 27(3) Parlimen, dan akan dibahaskan oleh anggota dewan, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, oleh kerana itu beliau menolak permohonan M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada persidangan pagi tadi yang memohon menangguhkan persidangan dewan bagi membincangkan kejadian gempa dan tsunami di Jepun pada Jumaat lepas.


“ Pihak kerajaan kini sedang memutamadkan usul berkenaan dan akan menyerahkan notis pembentangan usul itu esok. Tetapi saya yakin usul yang akan dibawa itu berhubung dengan rasa simpati kita kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas malapetaka yang menimpa mereka,” katanya. — Bernama

No comments:

Posting Terkini