Pages

Tuesday, March 15, 2011

Syarikat anjur skim kutu bakal didenda 100 kali ganda

KUALA LUMPUR 15 Mac – Denda sehingga RM500,000, iaitu 100 kali ganda lebih tinggi daripada sebelum ini, menanti mana-mana syarikat yang menganjurkan perniagaan skim kutu apabila pindaan pada Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 diluluskan kelak.

Cadangan memperuntukkan kenaikan denda maksimum daripada RM5,000 kepada RM500,000 itu antara yang terkandung dalam Rang Undang-Undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengemukakan rang undang-undang itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Pindaan yang dicadangkan itu juga bertujuan menaikkan tempoh pemenjaraan maksimum daripada tiga tahun kepada sepuluh tahun bagi kesalahan sama.

Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 bertujuan melarang pendaftaran atau pelesenan perniagaan yang bertujuan menganjurkan atau merancang untuk menganjurkan wang kutu.

Ismail Sabri berkata rang undang-undang itu juga bertujuan mengelak berlakunya penyelewengan oleh syarikat yang menjalankan perniagaan wang kutu secara haram dan menyebabkan kerugian kepada orang ramai yang melabur dalam syarikat berkenaan.

"Dulu kutu tidak melibatkan duit yang banyak sebab itu dengan yang dikenakan rendah iaitu setakat RM5,000. Tetapi sekarang kutu sudah disalah guna, dijadikan satu bentuk perniagaan, tubuhkan syarikat untuk mengutip duit yang melibatkan ramai orang, jadi kutipannya sehingga berjuta, syarikat dapat untuk atas angin hasil komisyen yang dikutip daripada pelabur.

"Sebab itu kita adakan pindaan ini sebab kita tidak mahu ada syarikat anjurkan skim kutu ini selain mengelak peserta terima masalah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya sejak dua tahun lepas, sembilan kes yang membabitkan pelanggaran akta itu telah dihadapkan ke mahkamah, termasuk kes Grand Merger Network Services yang menganjurkan skim kutu menggunakan wang pos, membabitkan kutipan berjumlah RM22.4 juta.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai supaya berhati-hati dan tidak melabur dalam sistem pelaburan yang menjanjikan pulangan berlebihan dalam sekelip mata bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kes seperti skim kutu. - Bernama

No comments:

Posting Terkini