SHAH ALAM, 7 Mac — Selangor akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemungkinan untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu, mengikut langkah Pulau Pinang yang diumumkan semalam.
“Kami sudah pun mengumumkan bahawa kami akan menulis kepada SPR untuk menentukan apakah respons mereka kepada permintaan Pulau Pinang bagi mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan,” kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.
Semalam Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata pihaknya telah menulis surat kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 4 Mac agar mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan Majlis Perbandaraan Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaraan Seberang (MPSP).
SPR tidak pasti sama ada undang-undang membolehkan agensi itu mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan termasuk di Pulau Pinang yang kini melangkah ke arah itu.
“Yang saya tahu kami hanya mengadakan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kami tiada pengalaman mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan,” kata Abdul Aziz.
Pilihan raya kerajaan tempatan ini akan melibatkan Majlis Perbandaraan Pulau Pinang dan Majlis Perbandaraan Seberang Prai.
Kali terakhir Pulau Pinang mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan adalah pada tahun 1965.
Khalid yang ditemui selepas perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat di sini hari ini berkata, kerajaan sudah pun mengendalikan kajian bagi menentukan kemungkinan memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan.
“Ada banyak aspek perundangan yang belum jelas, dan adalah lebih baik jelaskan ketidakpastian ini terlebih dahulu,” katanya.
Menteri Besar berkata beliau tidak mahu keadaan di mana mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi kemudian mendapati ia dianggap tidak sah.
Khalid memberitahu tidak berbaloi menghabiskan berjuta ringgit dan masa untuk berkempen hanya untuk mengecewakan rakyat, yang akan rasa tertipu.
“Jadi kita akan meneruskan usaha ini secara berperingkat, dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, untuk memaklumkan SPR bahawa kita hendak pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan,” katanya.
Parti-parti komponen Pakatan Rakyat PKR, DAP dan PAS berkempen dalam pilihan raya umum 2008 dengan janji akan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan ataupun undi ketiga sebagaimana digambar oleh Lim.
Bagaimanapun usaha itu tidak mendapat restu kerajaan persekutuan, malah wujud suasana ragu dan khuatir dalam komponen Pakatan Rakyat sendiri.
Sunday, March 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment