Pages

Wednesday, August 26, 2009

Penguasa Palestin mahu bentuk negara dalam dua tahun

LONDON: Penguasa Palestin merancang tidak menyertai rundingan damai Timur Tengah dan sebaliknya menubuhkan sendiri sebuah negara merdeka dalam tempoh dua tahun.

Menyatakan demikian semalam, Perdana Menteri Palestin, Encik Salam Fayyad, berkata negara Palestin yang merdeka itu akan mempunyai pasukan keselamatan yang cekap, perkhidmatan awam yang berfungsi dan ekonomi yang rancak.

Selepas 16 tahun (rundingan damai gagal mencapai matlamat) mengapa tidak kita mengubah pendekatan?' kata Encik Fayyad dalam satu wawancara dengan akhbar The Times.

'Kami memutuskan akan bertindak proaktif untuk mempercepat proses berakhirnya pendudukan dengan bekerja keras membina semangat positif di peringkat akar umbi yang konsisten dengan matlamat kita mahu menubuhkan sebuah negara merdeka.

'Ini merupakan agenda kami dan kami ingin meneruskannya dengan bersungguh-sungguh,' kata Encik Fayyad.

Menurut Encik Fayyad, dengan penubuhan negara Palestin yang merdeka, ia akan memaksa Israel membuat keputusan sama ada ingin menamatkan pendudukannya di Tebing Barat.

Beliau melahirkan harapan matlamat itu akan dapat dicapai menjelang pertengahan 2011.

Kenyataan Encik Fayyad itu dibuat menjelang rundingan di antara Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dengan Perdana Menteri Britain, Encik Gordon Brown, dan utusan khas Timur Tengah Amerika Syarikat, Encik George Mitchell, di London.

Sebelum itu, pentadbiran Presiden Amerika, Encik Barack Obama, telah mendesak Israel supaya membekukan pembinaan petempatan Yahudi sebagai salah satu langkah penting untuk memulakan semula rundingan damai di antara Palestin dengan Israel.

Bagaimanapun, Encik Netanyahu menolak pembekuan sepenuhnya pembinaan petempatan di Tebing Barat. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini