Pages

Saturday, December 5, 2009

GMP bantah tindakan Kulasegaran

IPOH: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan di sini hari ini kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran, yang mempersoalkan ketuanan Melayu pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Ismail, berkata kenyataan Kulasegaran itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan orang Melayu.

Bercakap kepada pemberita selepas menghantar memorandum bantahan kepada Kulasegaran melalui pejabat DAP Perak di sini, beliau berkata persoalan yang dibangkitkan oleh pemimpin DAP itu tidak berpijak kepada realiti kerana orang bukan Melayu yang sebenarnya "tuan" di Malaysia.

"Manakan tidak, ramai orang Melayu menjadi pengawal keselamatan kepada tuan-tuan syarikat yang berbangsa Cina dan India.

"Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dibangkitkan juga dengan mengatakan diskriminasi berlaku kepada kaum lain juga tidak betul kerana kaum Cina dan India khususnya dilihat lebih memonopoli ekonomi negara," katanya.

Mohd Hilmi berkata, isu ketuanan Melayu tidak pernah wujud bahkan dalam Perlembagaan Persekutuan sekalipun ia tidak dinyatakan cuma disentuh mengenai hak keistimewaan orang Melayu di bawah Perkara 153.

"Sebagai individu yang mempunyai latar belakang undang-undang, kami percaya dia lebih faham bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Malaysia dan fakta sejarah tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, DAP Perak kecewa dengan tindakan

GMP yang memasang papan tanda berupa memo kepada Kulasegaran di hadapan pejabat parti itu di Medan Istana di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji dari DAP, Thomas Su, berkata tindakan GMP itu disifatkan sebagai cuba mengapi-apikan sentimen Melayu untuk bangkit membenci bangsa lain.

Thomas berkata, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menzahirkan gagasan 1Malaysia akan gagal jika GMP bersikap sedemikian kerana di bawah gagasan itu, semua kaum mempunyai hak masing-masing sebagai warganegara Malaysia.

"Tindakan memasang papan tanda yang memuatkan kandungan mendesak Kulasegaran menyerahkan hak kerakyatan adalah keterlaluan dan bersikap biadab.

"Usaha GMP ini sebenarnya tidak membantu sesiapapun bahkan mengeruhkan lagi hubungan antara kaum," katanya kepada pemberita di Wisma DAP. - Bernama

No comments:

Posting Terkini

Berita Popular Bulan Ini