Pages

Wednesday, November 11, 2009

Tidak timbul isu bai'ah dalam Pas

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan wujudnya sumpah bai'ah yang membawa kepada perceraian isteri sehingga menjadi polemik baru dalam kepimpinan Pas kini.

Sebaliknya Menteri Besar kelantan itu berkata, isu itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu dalam kalangan orang Islam sendiri yang dengki dengan perjuangan Pas yang mula diterima masyarakat umum.

“Sebenarnya Pas ini telah didengki oleh orang Islam sendiri, oleh sebab parti ini berkembang akhir-akhir ini. Golongan sekular ini berusaha juga dan mencari juga jalan yang boleh menggugat kedudukan Pas.

“Apa maksud bai'ah? Saya sendiri tak ingat dari mana bai'ah ini datang. Di Kelantan isu baiah ini tak timbul langsung. Itu sahaja yang boleh saya sebut. Jadi oleh sebab ia tidak tahu dari mana, macam mana saya nak komen. Dalam kepala saya tak ada bai'ah ini. Tak ada dengar khabar di dalam Kelantan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Abdul samad sebelum ini mendakwa wujudnya syarat yang menghendaki pemimpin parti itu melafazkan bai’ah, iaitu sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri mereka jika mereka mengkhianati parti.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau sendiri tidak mengetahui perkara itu wujud di Selangor.

“Selangor boleh jadi ada. Wallahualam. Itu dia punya fasal. Saya tak terdengar di Kelantan ini benda itu (wujud). Pas Pusat saya tak ingat.

“Tetapi kita ada angkat sumpah supaya setia dan hormat (pada parti). Dalam borang pun ada. Mana ada parti yang tak ada. Parti ke, syarikat ke, kerajaan ke, semua ada ikat sumpah setia itu ada.

“Kita kahwin dengan orang pun ada tanda tangan dan ada ijab dan kabul. Ijab dan kabul itu baiah, dah tu. Baiah untuk setia kepada Allah dengan Rasul. Tapi dengan orang lain ni tak mahu cakap lah saya. Tak mahu panjang-panjangkan benda ini (isu baiah),” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting, ia adalah tindakan pihak tertentu yang tidak memberikan peluang kepada masyarakat terima gerakan Islam.

“Saya sebagai MB dan Mursyidul Am masalah Selangor, masalah individu, masalah sempit-sempit ni saya tak nak ganggu dia ada jawatankuasa disiplin dia.

“Daripada akhbar memperbesarkan barang tak ada lebih baiklah tolong memburuk-burukkan agama lain, politik lain,” katanya.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz mengakui sebelum calon Pas bertanding (dalam pilihan raya) ada angkat sumpah dan ianya terdapat dalam borang taat setia.

“Kita kahwin dengan orang pun ada ijab kabul, ijab kabul itu yang dipanggil bai'ah,” katanya.

No comments:

Posting Terkini