Pages

Thursday, September 8, 2011

Kenyataan MB Johor seperti pegawai penjajah British


PETALING JAYA: Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang melabelkan Mat Indera sebagai militan Parti Komunis Malaya ‘tak tumpah seperti seorang pegawai penjajah British’.
“Hujah-hujah yang beliau gunakan adalah saling tak tumpah seperti alasan dan hujah daripada seorang pegawai British untuk menentang kemaraan pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan darah dan air mata sewaktu negara kita masih dijajah dahulu,” katanya.

Suhaizan turut mencabar Ghani untuk berdebat berhubung isu serangan komunis pimpinan Mat Indera di Bukit Kepong pada tahun 1950.
“Saya cabar Ghani untuk berdialog secara terbuka di daerah Muar, Johor!” Suhaizan berkata dalam satu kenyataan media hari ini. Suhaizan menyanggah hujah Ghani bahawa Mat Indera seorang militan kerana para sarjana masih mengkaji sama ada pejuang haluan kiri perlu digelar pejuang atau pengkhianat.
“Dalam konteks peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1948 hingga 1957, para sarjana masih sedang mengkaji dan masih tidak ada lagi (menurut kajian dan pembacaan saya) satu keputusan yang muktamad adakah pejuang-pejuang berhaluan kiri dikira sebagai pejuang atau pengkhianat.
“Tindakan beliau (Ghani) dengan mudah melabel Mat Indera sebagai pengganas yang kejam dan zalim adalah sama sekali tidak rasional.
Ini adalah berikutan kenyataan Ghani yang melabelkan Mat Indera sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia hari ini.
“Tindakannya (Mat Indera) terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.
“Ini berlainan daripada para pemimpin berhaluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad atau pun Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan,” kata Ghani.
Ghani yang juga penaung Yayasan Warisan Johor (YWJ) turut mempertahankan penerbitan buku Pengukir Nama Johor yang turut memuatkan kisah Mat Indera.
Beliau menyifatkan penerbitannya sebagai “data-data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini, khususnya di negeri Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.”
Adakah Tok Janggut juga pengganas? 
Suhaizan turut menimbulkan persoalan samada pejuang kemerdekaan Tok Janggut di Kelantan juga akan dilabel sebagai militan kerana serangan Tok Janggut ke atas balai polis Pasir Puteh menyamai serangan di Bukit Kepong pada tahun 1950.
Beliau turut mempertikaikan peranan Ghani sebagai penaung YWJ dan penulis prakata Pengukir Nama Johor sedangkan YWJ adalah agensi kerajaan Johor.
“Bagaimana selama ini semuanya ok dan baru kini beliau menyanggah buku yang beliau iktiraf sendiri?,” soal beliau.
Suhaizan turut mengemukakan kajian tulisan Ismail Adnan berkaitan sejarah Bukit Kepong agar debat ilmiah dan kajian akademik dijalankan.

1 comment:

Anonymous said...

manalah ko layak nak debat dgn MB Johor,tak payah debatlah membazir je ,Pas tak layak kat johor.

Posting Terkini