Pages

Thursday, December 31, 2009

Harga Gula Naik 20 Sen Mulai Esok

PUTRAJAYA, 31 Dis -- Mulai pukul 12 tengah malam ini, harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak, demikian pengumuman Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Mohd Zain Mohd Dom.

Beliau berkata kerajaan turut membuat keputusan tidak akan memberi subsidi bagi roti putih mulai esok (1 Jan 2010) dan barangan tersebut akan ditarik keluar dari skim kawalan harga.

Katanya kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

"Subsidi bagi gula masih dikekalkan dan jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding tanggungan subsidi pada 2009 iaitu sebanyak RM720 juta setahun.

"Tetapi memandangkan harga gula mentah dunia telah naik dengan tinggi khususnya mulai bulan Ogos hingga hari ini, sebelum ini 14-16 sen US bagi satu satu paun, telah naik hingga 27 sen US, kerajaan perlu menaikkan harga gula, " katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Mohd Zain berkata jika tidak, tanggungan subsidi gula yang perlu ditampung oleh kerajaan akan meningkat kepada RM1.26 bilion bagi tahun 2010.

Beliau berkata jumlah itu adalah berdasarkan anggaran penggunaan gula dalam negara pada tahun depan sebanyak 1.26 juta tan metrik.

Katanya, kenaikan harga runcit gula sebanyak 20 sen sekilogram itu secara relatifnya masih rendah berbanding negara-negara Asean yang lain iaitu Thailand RM2.50 sekilogram, Singapura (3.05), Indonesia (3.40) dan Filipina (3.62).

Katanya berdasarkan analisis kementerian, kesan kenaikan harga ke atas produk berasaskan gula adalah sangat minimum iaitu kira-kira 1 sen seperti bagi minuman dalam tin dan secawan teh tarik.

"Bagi minuman dalam tin, jika beratnya 325ml dengan anggaran kandungan gula 39 gram dan secawan teh tarik dengan anggaran kandungan gula 40 gram, kesan kepada kos kepada kedua-kedua barangan itu ialah 0.8 sen.

"Tertinggi ialah krimer pekat manis, jika beratnya 505 gram dengan anggaran kandungan gula sebanyak 228 gram, kesannya ialah 4.6 sen iaitu kurang daripada 5 sen," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, selepas cuti tahun baru, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan persatuan tertentu bagi memberi nasihat agar tidak menaikkan harga barangan berasaskan gula kerana kesannya sangat minimum.

"Pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga juga akan turun padang untuk melihat keadaan harga barangan yang berasaskan gula, dan jika ada kenaikan harga yang begitu tinggi, pihak kementerian akan menasihatkan agar tidak berbuat demikian," katanya.

Bagi roti putih pula, katanya peniaga tidak boleh menaikkan harga pada hari ini dan ia boleh dilakukan mulai esok berasaskan pertimbangan mereka.

-- BERNAMA

Pesawat terhempas di Papua New Guinea ragut enam nyawa

PORT MORESBY: Enam penumpang termasuk dua kanak-kanak maut dan juruterbang warga Australia cedera parah apabila pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas di Papua New Guinea, hari ini.

Pegawai Kanan Penerbangan Sivil, berkata Pesawat Cessna 185 terhempas di landasan yang terletak di kawasan pedalaman yang berbukit di negara selatan pasifik itu, semalam, selepas membuat panggilan kecemasan.

“Pesawat ringan berkenaan terhempas di atas landasan di kawasan Morobe. Enam terbunuh. Juruterbang pesawat berkenaan terselamat dan dipindah ke Cairns,” kata pemangku Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil Papua New Guinea, Wilson Sagati.

Menurut laporan, pesawat itu mengalami kebakaran enjin sebelum terhempas dan ia dipandu juruterbang berusia 68 tahun, Tichard Leahy, daripada Penerbangan Kiunga.

Katanya, enam yang terbunuh adalah warga Papua New Guinea, termasuk dua kanak-kanak.

Sagati menambah, juruterbangnya yang mana satu-satu mangsa terselamat di temui helikopter yang berlegar di lapangan terbang terasing itu. - AFP

Prinsip Meritokrasi Untuk Masuk Ke IPTA Kekal

KUALA LUMPUR: Prinsip meritokrasi yang mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum dikekalkan untuk pengambilan kemasukan institut pengajian tinggi awam (IPTA).

"Markah kokurikulum 10 peratus diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia memandangkan penganjuran, pemantauan, penilaian dan penglibatan pelajar adalah di bawah kawalan kementerian berkaitan," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi akan terus menerima markah kokurikulum 10 peratus daripada Kementerian Pelajaran untuk dipadankan dengan markah akademik 90 peratus yang diperoleh daripada agensi-agensi peperiksaan bagi menentukan markah merit seseorang calon, katanya.

Dr Radin Umar berkata Kementerian Pengajian Tinggi menerima pertanyaan daripada orang ramai mengenai dasar yang diguna pakai bagi pengiraan markah kokurikulum dalam permohonan dan pemilihan kemasukan ke IPTA.

Kementerian Pengajian Tinggi telah mengedarkan brosur lengkap ke semua sekolah menengah seluruh negara mulai minggu pertama November lepas mengenai dasar, prosedur permohonan, pemilihan dan kaedah pengiraan markah merit bagi pencapaian akademik dan kokurikulum calon untuk kemasukan ke IPTA.

"Pemohon digalakkan untuk mendapatkan bimbingan, khidmat nasihat dan panduan yang jelas serta tepat daripada guru bimbingan dan kaunseling sekolah sebelum mengemukakan permohonan kemasukan ke IPTA bagi sesi akademik 2010/2011," katanya.

Mereka juga boleh melayari laman web rasmi bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemasukan ke IPTA di www.upu.mohe.gov.my.

Mereka juga boleh mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara "Jom Masuk U" Tahun 2010 di 10 zon terpilih di seluruh negara mulai 9 Januari hingga 29 Mac bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan kaunseling daripada institusi pengajian tinggi terlibat. -BERNAMA

Sekilas Dunia

Calon pilihan raya Filipina ditembak

BUTUAN (Filipina): Calon pilihan raya Filipina mengalami kecederaan selepas ditembak semalam, iaitu serangan terbaru ke atas ahli politik di negara itu.

Ahli Majlis Perbandaran, Encik Wilbert Suanco Origenes, yang akan bertanding bagi jawatan naib gabenor di bandar Taganaan, kini kritikal selepas seorang lelaki bersenjata memasuki rumahnya dan menembaknya di dada.

Polis sedang menyiasat sama ada serangan itu bermotifkan politik, dan tidak menolak kemungkinan punca lain seperti konflik perniagaan atau dendam. -- AFP.

Tentera Lebanon tembak pesawat Israel

BEIRUT: Tentera Lebanon berkata pihaknya telah menembak pesawat pejuang Israel yang terbang rendah melampaui ruang udara di selatan negaranya.

Empat pesawat pejuang Israel dilaporkan telah mencerobohi ruang udara di selatan Lebanon.

Tembakan antipesawat udara dari Lebanon itu telah memaksa pesawat penceroboh segera beredar. -- AP.

Ribuan pelancong lawat gunung berapi

LEGASPI (Filipina): Ribuan pelancong membanjiri kawasan berdekatan Gunung Berapi Mayon untuk melihat dari dekat lahar yang mengalir di lereng gunung itu.

Gabenor wilayah Albay, Encik Joey Salceda, berkata sekitar 2,400 pelancong setiap hari melawat gunung berapi itu dan sekali gus membahayakan diri mereka sendiri.

Gunung berapi itu dijangka meletup pada bila-bila saja. -- AFP.

Rang saman jika larang ibu susukan anak

TAIPEI: Taiwan sedang melakarkan satu rang undang-undang yang mengenakan saman sehingga AS$940 ($1,320) kepada sesiapa yang melarang kaum ibu menyusukan anak di tempat awam.

Langkah itu ekoran kecaman masyarakat umum apabila lima wanita dipaksa keluar dari sebuah muzium di Taipei apabila mereka didapati menyusukan bayi mereka secara terbuka. -- AFP.

Mesir tuduh wartawan, editor Saudi hina Islam

DUBAI: Wartawan Arab Saudi, Cik Nadine Al Bedair, dan ketua pengarang sebuah akhbar, Encik Magdy Al Galad, akan dipanggil pihak berkuasa Mesir atas dakwaan menghina Islam.

Langkah itu adalah atas arahan Ketua Pendakwa Raya Mesir, Encik Abdul Majeed Mahmoud, kepada pegawainya di selatan Kahirah.

Cik Nadine sebelum ini dikecam hebat berhubung rencananya yang disiarkan akhbar harian Mesir, Al Masry Al Youm, yang menggesa ulama mengeluarkan fatwa untuk membenarkan wanita berkahwin empat.

Dalam tulisannya itu, Cik Nadine berkata, jika lelaki dan wanita itu diiktiraf setaraf, wanita juga perlu diberi keistimewaan untuk mempunyai empat suami.

Sebahagian besar umat Islam di Mesir mengecam tulisan itu.

Pendakwa raya, Encik Khalid Fouad Hafez, berkata beliau menanti sejak dua minggu lalu untuk mendapatkan arahan menyoal siasat Cik Nadine dan Ketua Pengarang akhbar itu.

Sejak kes tersebut difailkan, Cik Nadine tidak kelihatan di khalayak ramai.

Sumber daripada majikan lamanya, Tv Al Hura, memberitahu, beliau mungkin berada di Lebanon.

Seorang anggota Parlimen Mesir sebelum ini membuat laporan polis berhubung tulisan Cik Nadine dan menuduh akhbar berkenaan menggalakkan maksiat.

Rencana itu juga dikecam oleh beberapa ulama.

Bagaimanapun, seorang ulama melihatnya dari sudut lain.

Katanya, rencana itu sebenarnya bukan desakan untuk membolehkan wanita berpoligami, sebaliknya rayuan untuk menyedarkan orang ramai mengenai betapa buruknya layanan yang dialami sebahagian wanita daripada suami mereka. -- Agensi.

Pakatan Rakyat tolak cadangan penamaan calon tiga hari

SHAH ALAM, 30 Dis - Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya memanjangkan proses penamaan calon dari satu hari kepada tiga hari disifatkan sebagai tidak munasabah dan membuang masa.

Naib Presiden Pas Salehuddin Ayob menggesa SPR untuk tidak menghabiskan sumber meminda Penjalanan Pilihanraya 1981 bagi tujuan tersebut, sebaliknya merencana usaha memastikan keamanan sepanjang proses pilihanraya.

Jelasnya, Pakatan Rakyat menggesa satu peraturan khusus dirangka berhubung penyediaan tempat perhimpunan para penyokong calon pada hari penamaan.

“Mengarut dan tidak masuk akal kerana tidak pernah berlaku sebelum ini kejadian-kejadian hingga menyebabkan ketegangan di antara kedua-dua parti. Tetapi yang berlaku hanyalah perlu ada satu peraturan untuk memberikan tempat yang sesuai untuk penyokong-penyokong parti politik berhimpun pada hari penamaan calon. Bukan sampai tiga hari kerana ini hanya akan membuang masa, mengarut dan tidak masuk akal,” katanya.

Pemimpin Pas itu mendesak SPR supaya melihat semula tuntutan Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih supaya undi pos dihapuskan, memperkenalkan dakwat khas, ketelusan perbelanjaan pilihanraya, kebebasan bersuara dan penyalahgunaan jentera kerajaan.

“Sebenarnya tidak ada perkara yang kecoh di Malaysia. Yang penting adalah tempat yang sesuai untuk berhimpun, demokrasi disuburkan, berikan hak yang sama, kemudian kawalan di peringkat keselamatan ditingkatkan. Itu akan dapat membendung kejadian-kejadian yang tidak diingini,” katanya. - FANSURINA ABDULLAH

SELCAT Siasat Semua ADUN Termasuk PR

Shah Alam, 30 Disember - Sesi Pendengaran Awam Terbuka Jawatankuasa Pilihan Khas, Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau SELCAT akan bersidang 25 Januari ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim berkata siasatan ke atas peruntukan Adun-Adun Selangor sesi 2008 dan 2009 akan disambung dalam persidangan ini.

Sesi sebelum ini menyaksikan pegawai-pegawai daerah serata Selangor dipanggil untuk memberi keterangan ke hadapan jawatankuasa SELCAT.

SELCAT mengundang kontroversi selepas membongkar penyelewengan wang pembayar cukai Selangor oleh isteri kepada bekas Menteri Besar Dr Mohd Khir Toyo.

Disiarkan secara langsung melalui siaran internet di www.tvselangor.com, Teng berkata SELCAT turut beriya-iya untuk menyiasat peruntukan di Dun-Dun Pakatan Rakyat.

“Ramai juga sengaja memutarbalitkan dan mengelirukan rakyat dengan menyatakan Selcat ini membongkar kelemahan pemerintahan yang lalu. Ini sebenarnya adalah satu kenyataan yang jahat kerana dalam proses menyiasat peruntukan ADUN kita akan menyiasat peruntukan tahun 2008 bererti melibatkan zaman pemerintahan lalu dan sekarang,”katanya.

Teng berkata demikian ketika ditemubual Apa Khabar Selangor semalam.

Beliau menjelaskan peranan SELCAT pertama sekali adalah mendemokrasikan urustadbir kerajaan negeri untuk pemantauan pembayar cukai.

SELCAT turut berfungsi memastikan pentadbiran kerajaan negeri cekap, amanah dan berkesan setimpal dengan pungutan cukai tahunan kerajaan negeri.

“Jawatankuasa dewan bertujuan untuk membantu dewan kerana dalam proses menyemak pentadbiran dewan ia membuat rumusan, laporan dan membuat cadangan dalam laporan tersebut. Tujuannya adalah untuk membantu memperkemaskan lagi pentadbiran kerajaan,”katanya.

Kerajaan Negeri Peruntuk RM4.6 Juta Bangunkan Kampung

SEPANG, 30 Disember - Sebanyak RM4.6 juta telah diperuntukkan tahun hadapan bagi membantu 465 kampung melaksanakan program kemasyarakatan.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata peruntukan sebanyak RM10,000 bagi setiap kampung itu membabitkan kampung tradisional dan juga kampung baru cina seluruh Selangor.

“Mulai tahun depan semua pengerusi JKK, ada peruntukan kita beri sebanyak RM10,000 bagi setiap kampung untuk membuat program-program masyarakat,mesra rakyat di kampung masing -masing,”katanya.


Wednesday, December 30, 2009

Gus Dur meninggal akibat pelbagai komplikasi

JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur yang meninggal dunia jam 6.45 petang (waktu Indonesia Barat) dilaporkan akibat mengalami komplikasi angin ahmar, kencing manis dan jantung yang dihadapinya.

Laman berita Detik.com melaporkan, bekas Presiden keempat Indonesia berusia 69 tahun itu meninggal dunia di Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM), di sini dan menerima rawatan sejak 26 Disember lalu.

"Dengan ini kami beritahukan bahawa Gus Dur telah meninggal dunia pada Rabu, 30 Disember jam 18.45 (6.45 petang)," kata Dr Jusuf Misbach, Pasukan Doktor Perubatan Presiden di RSCM, Jakarta Pusat.

Jusuf berkata Gus Dur dirawat sejak 26 Disember lalu dan keadaannya menunjukkan stabil.

"Namun pada hari ini, jam 11.30 pagi, kondisinya kembali buruk dengan komplikasi penyakit angin ahmar, diabetes dan jantung dan jam 6.15 petang kondisinya kritikal.

"Tepat jam 18.45 (6.45 petang) beliau meninggal," katanya.

Adik kandung Abdurrahman, KH Sholahudin Wahid kemudian turut mengesahkan Abdurrahman sudah meninggal dunia.

"Saya mendapat khabar beliau meninggal jam 6.45 petang," kata Gus Sholah.

Wanita Filipina ditahan lacur warga senegara

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Filipina ditahan kerana disyaki menipu 12 warga senegaranya datang ke Malaysia untuk menjadi pelacur.

Hasil maklumat daripada Kedutaan Filipina di sini, wanita berusia 58 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah flet di Jalan Imbi di sini pada 11 Disember lalu lepas di mana polis turut menyelamatkan 12 warga negara itu yang dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan restoran serta pusat hiburan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat, Bukit Aman, Datuk Ahmad Sofian Md Yassin, berkata siasatan awal mendapati semua mangsa yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 31 tahun itu baru tiba di negara ini antara seminggu dan sebulan.

Katanya, kos perjalanan semua mangsa ke negara ini ditanggung sepenuhnya oleh sindiket pelacuran itu.

"Siasatan masih dijalankan mengenai kegiatan sindiket yang dipercayai sentiasa berpindah tempat itu dan kita juga akan merujuk kepada Jabatan Imigresen bagi menyiasat dokumen perjalanan yang dijumpai, sama ada sah atau tidak," katanya.

Wanita berkenaan dipercayai dikurung di flet itu sebelum dihantar kepada ejen pelacuran. - Bernama

Polis London diminta bantu kesan Raja Petra

KUALA LUMPUR: Polis percaya pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, yang sudah dikenakan waran tangkap, masih bersembunyi di London dan usaha sedang dibuat untuk mengesannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata beliau sudah meminta bantuan pihak polis di London untuk mengesan Raja Petra.

"Hasil risikan, polis percaya dia masih bersembunyi di London dan dengan itu saya sudah meminta bantuan pihak berkuasa di sana untuk mengesan Raja Petra," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Raja Petra dikehendaki pulang ke negara ini bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

"Kalau rasa diri tidak bersalah Raja Petra perlu tampil bersihkan nama, kenapa perlu bersembunyi? Dia perlu balik ke sini," katanya.

Mengulas permohonan perintah ekstradisi terhadap Raja Petra, Musa berkata, permohonan itu mengambil tempoh yang lama sebelum Raja Petra dapat dibawa pulang ke negara ini melalui cara itu.

"Sepatutnya tidak perlu perintah (ekstradisi) ini. Dia sendiri perlu serah diri," kata Musa.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor melalui laman webnya.

Akhbar tempatan melaporkan bahawa dia kini menetap di sebuah kediaman sewa di kota London. - Bernama

Kaedah pengiraan kemasukan ke IPTA kekal

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengekalkan kaedah pengiraan markah merit 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2010/2011.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata ia akan membabitkan kemasukan ke IPTA bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan setaraf.

Beliau berkata, pemberian markah 10 peratus bagi kokurikulum akan ditentukan oleh Kementerian Pelajaran selaku kementerian yang menyelaras penganjuran, pemantauan, penilaian dan pembabitan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.

"Justeru, KPT akan terus menerima markah 10 peratus untuk dipadankan dengan markah akademik sebanyak 90 peratus yang diperoleh daripada agensi peperiksaan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia, Majlis Matrikulasi dan Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi menghasilkan markah merit untuk pemilihan calon ke IPTA.

"Dasar perkongsian data KPT yang diguna pakai dengan agensi peperiksaan terbabit dan KPM juga dapat meningkatkan integriti dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, dilaporkan KPT akan menggunakan sistem pengiraan merit 30 peratus kokurikulum dan 70 peratus akademik dalam usaha memperkasakan kokurikulum di IPTA bagi melahirkan graduan berkualiti.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata ia belum lagi dijadikan dasar kementerian itu dan kini dalam proses mengumpul maklum balas daripada orang ramai.

Selain itu, Radin Umar berkata kementerian juga sudah mengagihkan risalah lengkap ke semua sekolah menengah di seluruh negara mengenai dasar, cara permohonan dan kaedah pengiraan markah merit ke IPTA.

Katanya, pemohon juga digalakkan mendapatkan bimbingan, khidmat nasihat dan panduan jelas daripada guru bimbingan dan kaunseling di sekolah sebelum mengemukakan permohonan ke IPTA bagi sesi akademik 2010/2011.


Guna RM5 juta ‘Dana Rempit’ Untuk Kempen Umno!

KUALA TERENGGANU – Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu diberi ingatan supaya tidak menggunakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kempen parti tersebut khususnya kepada golongan remaja dan belia.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau bimbang dana RM30 juta yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini disalahgunakan oleh Umno.

“Dalam Persidangan Dewan secara keseluruhannya kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk menyelesaikan masalah remaja termasuk masalah ‘Mat Rempit’,

”hanya kita bimbang, takut, mereka mengambil kesempatan menggunakan program itu untuk kempen Umno, sebagaimana mereka telah menyalahgunakan Program-program Bakti Remaja dengan peruntukan (kerajaan) yang besar,
“(mereka) memeras pemikiran remaja (dan belia) hanya terhadap kepartian Umno, bukan mengubah minda mereka, hati mereka dan mengubah agama mereka (menjadi lebih baik), ”katanya ketika ditemui Bultinonline.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung juga bimbang peruntukan dana yang besar itu hanya diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

Beliau bimbang kerana menurutnya sehingga kini kerajaan belum menyatakan secara jelas, apakah bentuk program atau projek dan modul yang akan digunakan bagi menyelesaikan masalah gejala sosial di kalangan remaja.

”Projek (atau) program belum (dinyatakan) secara jelas (dan) modul (yang akan digunakan) sepatutnya mesti dinyatakan kepada semua wakil rakyat, supaya ia dapat dilihat dan dinilai pengisiannya,”ujarnya.

Selaku yang bertanggungjawab keatas perkembangan golongan terbabit, beliau akan meneliti apa yang akan dikemukakan oleh kerajaan negeri dan bersedia untuk memberikan saranan, demi kebaikan remaja dan belia.

”Saya dah beri asas-asas (perkara yang perlu diambil perhatian) dalam Persidangan DUN untuk diambil penilaian (dan perjalanan oleh kerajaan), jadi kita tengok dulu (bagaimana ia akan dilaksanakan),”jelasnya.

- buletinonline

Tuesday, December 29, 2009

Sekilas - Dunia

Silap pegawai pesawat hampir nahas

MELBOURNE: Pengawal Trafik Udara dipersalahkan berikutan insiden yang hampir-hampir mengakibatkan pertembungan sebuah pesawat Virgin Blue dari Melbourne, dan pesawat Cathay Pacific yang dalam penerbangan ke Melbourne.

Agensi berita Northern Territory News semalam melaporkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang menyiasat bagaimana pesawat penumpang Boeing Virgin Blue dan Airbus A330 Cathay Pacific nyaris bertembung di udara pada Selasa lalu, dan menggambarkan insiden itu sebagai 'serius'. -- Bernama.

Lebih 15 mati dalam rusuhan di Iran

TEHERAN: Lebih 15 orang terbunuh dalam satu rusuhan yang menggegarkan Teheran semasa satu perhimpunan antipemerintah, kata satu laporan stesen televisyen milik pemerintah negara itu semalam, sedang sebuah laman berita pula melaporkan bahawa seorang tokoh pembangkang ditahan.

Stesen televisyen itu berkata 10 daripada mereka yang terbunuh dalam rusuhan kelmarin di ibu kota Iran itu adalah anggota kumpulan 'pengganas antirevolusi' yang kelihatan merujuk kepada para penyokong pihak pembangkang. -- AFP.

Usaha cari mangsa feri karam diterus

MANILA: Kapal-kapal pengawal pantai dan tentera meronda di perairan Filipina untuk mencari para penumpang yang masih hilang ekoran tragedi dua feri yang karam, di tengah-tengah kebimbangan bahawa jumlah kematiannya mungkin melebihi 50 orang.

Pihak berkuasa berkata mereka belum berputus asa dalam mencari puluhan orang yang masih hilang dalam nahas terbaru yang terjadi di negara itu, tetapi memberi amaran terhadap menjangkakan mukjizat. -- AFP.

Obama arah senarai pengganas diteliti

DETROIT (Michigan): Presiden Barack Obama telah mengarahkan diadakan satu kajian semula terhadap senarai pengganas yang diawasi Amerika Syarikat.

Beliau juga meminta penjelasan bagaimana seorang lelaki Nigeria boleh menaiki pesawat yang sedang menuju ke Detroit itu lengkap dengan peralatan letupan.

Pangkalan data yang digunakan oleh agensi-agensi keselamatan Amerika kini sedang di bawah penelitian selepas nama lelaki berkenaan berada dalam senarai mereka yang diawasi itu.

Suspek berusia 23 tahun itu, Umar Farouk Abdulmutallab, dikatakan cuba meletupkan sebuah pesawat yang memuatkan 290 orang dari Amsterdam ketika ia bersiap mendarat di Detroit.

'Terdapat satu siri pangkalan data yang menyenaraikan orang-orang berkenaan bagi agensi-agensi pemerintah. Kami mahu memastikan perkongsian maklumat sedang berjalan,' kata jurucakap Rumah Putih, Encik Robert Gibbs.

Nama Abdulmutallab telah dimasukkan bersama satu senarai sekitar 550,000 nama bulan lalu selepas bapanya memberitahu para pegawai kedutaan Amerika di Abuja bahawa beliau bimbang anak lelakinya itu semakin berpendirian fahaman pelampau.

Bagaimanapun, Abdulmutallab tidak disertakan dalam senarai 18,000 nama yang diletakkan di bawah penapisan keselamatan tambahan di lapangan terbang dan dalam senarai 4,000 nama yang tidak dibenarkan menaiki pesawat.

Abdulmutallab berangkat dari Lagos, Nigeria, ke Amsterdam pada malam Krismas dan kemudian ke Detroit pada keesokan harinya dengan menggunakan visa Amerika yang sah.

'Presiden telah meminta satu kajian semula dilakukan bagi memastikan bahawa apa saja maklumat dan ke mana ia disalurkan perlu disalurkan juga kepada orang-orang yang membuat keputusan,' kata Encik Gibbs.

'Tuan presiden mahu mengkaji semula beberapa prosedur ini dan melihat jika ia perlu dikemas kini,' tambahnya.

Encik Obama juga mengarahkan satu kajian semula kedua untuk memeriksa bagaimana 'seorang individu lengkap dengan bahan letupan kimia boleh masuk ke sebuah pesawat di Amsterdam dan terbang ke negara ini', kata Encik Gibbs.

Para pelancong di seluruh dunia terus dicengkam kebimbangan apabila sekumpulan pegawai antipengganasan bergegas masuk ke dalam sebuah pesawat mempunyai nombor penerbangan yang sama selepas seorang warga Nigeria mengunci dirinya dalam tandas.

Setelah menyoal siasat lelaki itu, pihak Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika akhirnya menyifatkan kejadian itu sebagai satu 'insiden tidak serius', tetapi tidak sebelum Presiden Obama, yang sedang bercuti dengan keluarganya di Hawaii, diberitahu dan satu mesyuarat keselamatan diadakan terdahulu. -- AFP.

Sah setiausaha akhbar, politik Nik Aziz berhenti

KOTA BARU, Dis 29 — Dua setiausaha kanan Menteri Besar Kelantan sah akan meninggalkan jawatan mereka atas keputusan sendiri awal tahun depan manakala Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menyangkal ia berkaitan dengan tekanan politik.

Kata Nik Aziz, setiausaha politik Anual Bakhri Haron dan setiausaha akhbar Mohd Saiba Yaakub memutuskan tidak mahu kontrak mereka diperbaharui.

Keputusan mereka tiada kaitan dengan isu kontroversi yang menyelubungi negeri Kelantan sejak kebelakangan ini, umum Nik Aziz selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di sini petang ini.

“Mereka tidak diminta letak jawatan, mereka sendiri yang meminta mahu meletakkan jawatan,” kata Nik Aziz yang merupakan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan sejak 1990, menerima keputusan mereka tetapi tidak menamakan pengganti hari ini.

“Ia (pengganti) akan diputuskan kemudian,” kata beliau.

Pagi tadi Annual Bakhri semasa dihubungi The Malaysian Insider tidak menafikan maklumat yang berupa khabar angin itu, namun enggan mengulas lanjut.

“Biar dulu, saya sendiri belum ada (terima) hitam putih perkara itu. Saya cuma dengar perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat Dewan Harian petang ini.

“Jadi, apa pun biar dulu. Saya tak mahu mendahului sebarang keputusan dan kenyataan.

“Sesuatu perkara itu segalanya mungkin. Untuk lebih specifik dan saintifik lebih baik tunggu sehingga ianya ada hitam putih,” katanya.

Annual Bakhri berkhidmat sebagai setiausaha politik Menteri Besar lebih 10 tahun.

Pada masa sama, Mohd Saiba turut menafikan yang beliau ada menerima notis dihentikan khidmatnya.

“Setakat ini tidak ada lagi. Kontrak saya akan tamat pada 2 Feb,” kata beliau yang telah berkhidmat di Pejabat Menteri Besar selama lapan tahun.

Sebelum ini Nik Aziz pernah membuat kenyataan tiada rombakan terhadap barisan Exco Kerajaan Negeri, sebaliknya jika berlaku pertukaran di kalangan pegawai kerajaan, ia adalah perkara biasa dalam sesebuah organisasi.

Laporan-laporan blog semalam menyebut mereka akan digantikan mulai Jumaat ini.

Laporan blog juga mendakwa keputusan menggantikan Anual Bakhri berkait dengan hubungan beliau dengan Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa dan isu menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang akan meninggalkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Bagaimanapun kebenaran itu menjadi tanda tanya memandangkan Husam juga mempunyai hubungan rapat dengan Nik Aziz.

Anual Bakhri pernah didakwa oleh anak Nik Aziz sebagai antara pegawai yang memberikan nasihat yang salah kepada Mursyidul Am PAS itu dan cuba melaga-lagakan beliau dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Husam tak letak jawatan, kita semua ‘sayang dia’

KOTA BARU, Dis 29 — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menamatkan spekulasi kononnya Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatannya ekoran rombakan dalam pentadbiran pejabat menteri besar.

Sebaliknya Nik Aziz memberitahu, Husam yang merupakan bekas setiausaha politiknya sebenarnya pemimpin kesayangan semua orang.

“Mana boleh dia (Husam) letak jawatan... kita semua sayang pada dia, dia punya kebijaksanaan,” kata beliau selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di sini petang ini.

Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa Husam akan meninggalkan Kabinet kerajaan negeri dan kerusi Dewan Undangan Negeri, Nik Aziz berkata, “siapa kata dia (Husam) nak letak jawatan? Karut semua itu.”

Dimaklumkan perkara itu dilaporkan oleh blog sejak beberapa hari lalu, Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan, “celaka blog itu. Tak ada kerja lain... tau nak laga-lagakan orang.”

“Suka buat dosa. Berdosa menulis perkara bukan-bukan tanpa bukti dan fakta jelas,” tambah beliau.

Husam juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan. Malah juga diamanahkan untuk mengetuai jawatankuasa berkaitan isu pertikaian royalti minyak untuk negeri itu.

Laporan Polis Terhadap Ketua Pengarah RTM

PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya kerana didakwa menerbitkan satu artikel berunsur fitnah dalam blognya baru-baru ini.

Ng Wei Aik, setiausaha politik Ketua Menteri Lim Guan Eng, berkata beliau telah diarah oleh Lim membuat laporan polis berhubung artikel Ibrahim dalam laman blognya http://duniatiger.blogspot.com, yang bertajuk 'Ada Orang Nak Penjarakan Saya' pada Sabtu lalu.

"Ibrahim mendakwa terdapat seorang pekerja di pejabat Ketua Menteri telah mengugutnya, akan tetapi, kami telah mengadakan siasatan dan tidak ada seorang pun yang bekerja di pejabat Ketua Menteri mengenali beliau," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Ng berkata, jika benar individu itu wujud, Ketua Menteri akan mengambil tindakan, tetapi jika palsu, Ibrahim perlu meletak jawatan kerana kesalahannya itu. - BERNAMA



Umno sasar 661,000 ahli didaftar sebagai pengundi

KUALA LUMPUR: Umno sedang giat mendaftar 661,000 ahli parti itu sebagai pengundi.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata usaha itu sedang diterajui oleh seorang lagi Naib Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selaku Pengerusi Jawatankuasa Biro Keahlian Umno.

"Saya difahamkan Datuk Seri Shafie sudah berusaha ke arah itu," katanya yang juga Menteri Dalam Negeri, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), hari ini.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dilaporkan telah mengarahkan semua Umno negeri membersihkan senarai keahlian masing-masing dan memastikan mereka yang layak supaya didaftarkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang suku tahun pertama.

Pemuda Umno pula melalui Biro Keahlian dan Pemilihan kini aktif menjalankan kempen pendaftaran bagi memastikan ahliya yang layak mengundi dapat didaftarkan sebagai pemilih menjelang Jun tahun depan.

Pengerusi biro itu, Mohd Hishamuddin Yahaya, berkata sejumlah 210,743 ahli Pemuda dikesan layak mengundi.

"Berdasarkan satu kempen itu, golongan pengundi muda nyata memberi reaksi positif terhadap usaha Pemuda Umno. Kami yakin berdasarkan perkembangan semasa menerusi pelbagai program yang akan dilaksanakan bagi mendekati pengundi muda, mereka akan bersama Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang," katanya dalam laman web Pemuda Umno.

Pergerakan Puteri Umno pula mensasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada 119,000 ahli pergerakan itu yang belum menjadi pemilih didaftarkan sebagai pengundi sebelum Jun tahun depan.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika dihubungi berkata, sasaran itu penting dalam usaha memberi kelebihan undi kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Puteri mengambil ini secara serius dan saya telah mengarahkan Puteri negeri-negeri supaya memastikan ahli yang layak mengundi didaftarkan sebagai pemilih. Ini penting supaya mereka tahu tanggungjawab mereka," katanya.

Puteri Umno kini mempunyai 340,000 ahli. - Bernama

Kerajaan Selangor Amal Bajet Berimbang, Elak Defisit Kewangan

Shah Alam, 29 Dis- Setiuasaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadapi krisis kewangan pada tahun hadapan.

Katanya, Selangor tidak akan menghadapi defesit kewangan kerana kerajaan negeri mengambil pendekatan mengekalkan bajet berimbang dalam keadaan ekonomi dunia yang masih lembab.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa Selangor akan mengalami masalah defisit kewangan pada 2010.

“ Saya rasa buat masa ini tidak timbul kita menghadapi masalah defisit dan sebagainya sebab pengurusan kewangan kita pun baik. Sejak 2008 kita ambil alih, kita teruskan bajet berimbang berbanding negeri-negeri BN lain yang sesetengahnya berhutang dengan kerajaan Persekutuan, kita dalam sudut itu, masih lagi mampu melakukan bajet berimbang tanpa perlu berhutang pada mana-mana pihak” ujarnya kepada Tv Selangor.

Sebaliknya ujar Nik Nazmi, kerajaan-kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional termasuk kerajaan Persekutuan sendiri harus menjadikan pentadbiran kerajaan negeri Selangor sebagai contoh.

Katanya, Kerajaan Pusat sendiri gagal menguruskan bajet dengan baik sehingga mengalami masalah defisit yang agak serius.

“ Pada masa yang sama, kerajaan Persekutuan sendiri pun terus menerus bajet defisit yang saya kira semakin serius dan masih lagi belum dapat mengadakan bajet berimbang. Jadi kita daripada rekod kita dari 2008, 2009, bajet yang berimbang. Jadi kita tidak melihat satu masalah untuk kita meneruskan amalan bajet berimbang dan defisit itu hanya dalam keadaan benar-benar memerlukan”.

Nik Nazmi yang juga ADUN Seri Setia, turut melabelkan Khir Toyo sebagai seorang yang tidak arif tentang ekonomi berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan Menteri Besar itu.

“ Melihat kepada keadaan ekonomi, yang masih lagi hambar di seluruh dunia, jadi saya rasa tidak timbul lah isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr Khir Toyo. Kena tanya kepada dia, mungkin dia seorang yang kurang faham tentang pengurusan dana dan sebagainya”.

Menurut Nik Nazmi, Kerajaan Selangor berjaya mengurangkan bajet dari RM 1.4 bilion pada tahun lalu kepada RM 1.3 bilion pada tahun 2010 mengambil kira keadaan ekonomi dunia.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan hasil pendapatan dalam negeri itu.

“ Ya sekarang memang di seluruh pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya, pejabat tanah dan sebagainya, fokus untuk meningkatkan hasil tetapi kita kena realistiklah. Dalam keadaan ekonomi yang menguncup, dalam keadaan ekonomi yang hambar, bukan sahaja di Selangor, bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh dunia, tentu akan memberikan kesan daripada segi pungutan hasil” ujar Nik Nazmi mengakhiri perbualan.

Kerajaan Negeri Agih 40,000 Beg Sekolah

SHAH ALAM, 28 Dis. - Sempena sesi persekolahan akan datang, Kerajaan Negeri memberikan 40,000 beg sekolah percuma kepada setiap Dewan Undangan Negeri untuk diedarkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Exco Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jeyakumar berkata setiap Dun mendapat 700 beg sekolah, yang akan diagihkan kepada penduduk setempat oleh wakil rakyat masing-masing.

“Pemberian ini adalah satu cara kerajaan negeri meringankan beban rakyat terutamanya dimusim persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

Dr Xavier berkata pendidikan adalah jaminan masa depan anak-anak Selangor, dan demikian itu kerajaan negeri bertanggungjawab meringankan beban ibu-bapa di kala kemelut ekonomi hari ini.

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM600,000 untuk program bantuan persekolahan ini.

Tahun lalu, kerajaan negeri mengagihkan bantuan 700 kasut sekolah ke setiap Dun.

Enam Juta Bangunkan Sekolah Agama Rakyat

BANTING, 28 Dis - Kerajaan Negeri memperuntukan RM6 juta dalam usaha menaiktaraf sekolah agama rakyat yang selama ini terpinggir.

Menyedari sumbangan besar institusi pengajian Islam kepada pembangunan masyarakat madani, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata peruntukan ini bertujuan menaiktaraf kualiti bangunan dan prasarana sekolah pondok yang usang.

Menurutnya, Pondok Bustanul Arifin yang terletak di Banting ini antara pusat pengajian agama yang menerima peruntukan tersebut bagi tujuan membaik pulih bangunannya yang sudah daif.

Pusat pengajian yang diasaskan Ustaz Ahmad Ansori Murshid ini dibangunkan sejak tahun 2003 dan kini mempunyai bilangan pelajar seramai 130 orang.

Dr Halimah berkata demikian kepada TV Selangor selepas merasmikan Majlis Penutup Kem Bina Iman, di pusat pengajian itu petang semalam.

Dalam acara tersebut, seramai 160 pelajar lelaki seluruh Selangor dihimpunkan dalam program jati diri Kem Bina Iman di Banting Selangor.

Dr Halimah Ali berkata kem lapan hari tujuh malam dengan kerjasama Pusat Pengajian Pondok Bustanul Arifin bertujuan membangunkan potensi diri setiap pelajar selain mengenal pasti masalah mereka melalui modul SPIES.

“Program Generasi Idaman Selangor dimana kita cuba mencegah anak dari pelbagai latar belakang khususnya dikalangan remaja belia ini yang mana mereka ini datang daripada seluruh Selangor dan kita tempatkan disini 8 hari, ada yang sebulan,ada yang tiga hari dan ada diantara kalangan mereka ini anak-anak atau remaja yang telah terjebak dalam gejala sosial bahkan ada yang ditahan oleh polis untuk ke pondok ini,”katanya

Pemaju Bukit Botak hanya tahu berdusta

Selayang, 26 Disember - Penduduk Bukit Botak sebulat suara menyatakan penuh usaha kerajaan negeri Selangor mengambil-alih projek perumahan yang tertangguh sejak 30 tahun lalu.

Ketika ditemui TV Selangor semalam, penduduk meluahkan rasa kesal dengan kegagalan pemaju melunaskan projek tersebut.

Menyifatkan tindakan kerajaan negeri sebagai penyelesaian kepada masalah yang terlanjur berpanjangan, penduduk berkata mereka letih dengan omong kosong pemaju.

“Jadi kita nak benda ni dibuat oleh kerajaan negeri sebab kita dah tunggu benda ni nak dekat 30 tahun yang si swasta-swasta ni. Dah 30 tahun dah. Dah tiga suku rakyat sini bapak dia hilang,” ujar beliau.

Baru-baru ini kerajaan negeri Selangor mengumumkan pengambil-alihan projek tersebut namun TV Selangor difahamkan ia mendapat bantahan dari masyarakat setempat.

Md Nor menjelaskan masyarakat sebenarnya telah terkeliru kerana kerajaan negeri gagal memberi penjelasan terperinci kepada penduduk sebelum ini.

Lebih dari itu, mereka turut dihujani dengan dakyah pemaju yang menurut penduduk memaksa mereka menandatangani memorandum membantah pengambil-alihan itu.

“Jadi saya tak berapa percaya dengan badan ni sebab dah 20 tahun badan ni buat tidak ada apa. Tengok sendiri itu. Jadi saya nak juga benda ni di buat oleh kerajaan negeri sebab badan ni dia akan mengambil masa yang lama sebab dia nak minta kelulusan dari kerajaan negeri juga. Sebab saya rasa badan ni besar kemungkinan dia lebih kepada kepentingan peribadi daripada kepentingan rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian setelah mendapat maklumat dari pegawai daerah bahawa lot yang diperuntukkan pihak berkepentingan mencecah 8 ribu kaki persegi, walhal penduduk sekadar menerima 2,200 kaki persegi.

Bekas penduduk Bukit Botak turut meminta subsidi RM500 yang dijanjikan pemaju disambung semula.

Menurut mereka, pemaju berjanji untuk memberi subsidi RM500 sepanjang proses penempatan sementara, namun ia telah dihentikan sejak beberapa tahun lalu.

“Maka di sini kita minta, kita harap sangat kerajaan negeri ini atas keperihatinan tolong sambung semula subsidi sewa rumah kepada penduduk sebagaimana yang diberikan sewaktu berpindah pada tahun 2007.”

Monday, December 28, 2009

Wajibkan rakyat mengundi

SHAH ALAM - Malaysia perlu mencontohi negara Australia dan 37 buah negara lain yang mengamalkan dasar mewajibkan rakyat mengundi bagi menjamin pengundi yang layak mengundi diberi hak mengundi secara automatik tanpa perlu mendaftar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr Chen Man Hin berkata, dasar mewajibkan rakyat mengundi dilihat sebagai kaedah yang lebih efektif bagi memastikan semua rakyat yang layak mengundi diberikan hak untuk melaksanakannya dan memastikan peratusan yang keluar mengundi tinggi.

“Australia telah mengamalkan dasar tersebut dan dapat mencapai rekod peratusan rakyat keluar mengundi tertinggi sebanyak 98 peratus. Begitu juga dengan negara Eropah, Itali dan Perancis.

“Di Asia, negara yang mempraktikkan dasar mewajibkan rakyat mengundi ialah Singapura, Thailand dan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Khamis lalu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sehingga Disember 2009, sejumlah 4.38 juta rakyat Malaysia belum mendaftar sebagai pengundi.

Man Hin berkata, sudah tiba masanya negara ini melaksanakan dasar mewajibkan rakyat mengundi sebagaimana yang dijalankan oleh kebanyakan negara dan perlu meninggalkan sistem sedia ada.

“Kelebihan utama dengan mewajibkan rakyat mengundi ialah semua pengundi yang layak mengundi boleh melaksanakan hak mereka untuk mengundi. Inilah demokrasi kerana semua rakyat yang layak mengundi boleh mengundi,” katanya.

Menurutnya, sistem pendaftaran pemilih di negara ini didakwa satu kaedah tidak produktif kerana terlalu banyak borang perlu diisi aelain pusat pendaftaran mengundi yang jauh dari tempat kediaman.

“Kenyataan oleh Timbalan Pengerusi SPR bahawa hanya 11 juta daripada 16 juta rakyat negara ini yang layak mengundi telah mendaftar mengundi. Ini bermakna 5 juta rakyat masih belum mendaftar.

“Perkara ini sungguh mengecewakan apabila sejumlah pengundi yang layak telah menafikan hak mereka untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan kekangan kecil iaitu kegagalan untuk mendaftar sebagai pengundi,” katanya.

MYRewards Touch n Go

MYRewards adalah kad baru menggabungkan pembayaran tol serta pembelian barangan di kedai yang dibekalkan dengan mesin kad Touch N Go.

"Kebaikannya ialah, setiap kali digunakan, pengguna akan menerima minimum empat peratus rebat. Kumpulan Narsqo menjangkakan kira-kira 100,000 kedai di seluruh negara akan menggunakan kemudahan ini menjelang 2012. Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh KUMPULAN Narsqo.



Salleh cadang logo baru untuk BN

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, mencadangankan Barisan Nasional (BN) merintis usaha penjenamaan semula termasuk memperkenalkan logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri dan pengertian gagasan 1Malaysia.

"Dalam proses penjenamaan semula itu untuk mendekatkannya dengan hati rakyat, Barisan Nasional hanya perlu "dipasarkan" dengan singkatan BN saja," katanya dalam laman web beliau, www.keruak.com.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata penjenamaan BN itu amat penting kerana dalam suasana politik sekarang, rakyat sudah mempunyai pilihan, iaitu BN dan Pakatan Rakyat.

Katanya, untuk memastikan BN terus unggul dan relevan, sistem keahlian secara terus perlu diwujudkan.

"Menerusi kaedah baru ini, mereka yang komited atau minat dengan BN dan dasar serta pemimpinnya, tetapi tidak menyukai parti komponen tertentu kerana terlalu banyak politiking, akan dapat terus bersama kita," katanya.

Namun, katanya, cadangan itu memerlukan perincian lanjut dengan mengambil kira sistem dan perlembagaan dalam BN. - Bernama

Misteri Mesir purba

LAMBANG KEMEWAHAN: Membentuk Sphinx adalah satu cara bagi firaun Mesir purba untuk bermegah dengan kekayaan mereka semasa hidup dan selepas hayatnya.

RAMAI yang tersalah anggap bahawa tamadun Mesir purba 'mengerikan' kerana ia menyanjungi kematian.

Sebenarnya, orang Mesir purba benar-benar menyanjungi kehidupan - satu sikap yang mendorong mereka untuk melakukan apa sahaja untuk menemui kehidupan abadi, menurut kurator Muzium Negara, Cik Hairani Hassan.

Sesungguhnya kematian bagi mereka bukanlah babak terakhir perjalanan hidup ini.

Sebaliknya, kematian dianggap sekadar proses peralihan sebelum manusia melanjutkan riwayatnya dalam dunia akhirat yang lebih selesa dan berkekalan.

Kepercayaan yang amat kuat kepada hidup selepas mati inilah yang mendorong penduduk Mesir purba mengidamkan riwayat yang panjang - sepanjang Sungai Nil yang sekian lama menjadi sumber rezeki mereka.

Sebagai persiapan untuk menjalani hidup selepas mati, mereka mengumpulkan beraneka harta karun dan bermacam-macam kekayaan dunia untuk ditanam di dalam makam abadi bersama jasad mereka.

Didorong kepercayaan ini juga, orang Mesir purba adalah pakar dalam bidang pengawetan dan telah berkali-kali memperhalusi teknik pengawetan mayat.

Buktinya adalah keupayaan mereka mengawet mayat dengan membungkusnya rapi hinggakan mayat itu bagai baru sahaja terpisah daripada rohnya, walaupun hakikatnya ia sudah dimamah ribuan tahun.

Keyakinan mereka kepada kehidupan abadi ini sebenarnya menguntungkan kita, manusia pada zaman ini.

Tanpa tamadun yang mereka tinggalkan, kita tidak akan dapat mengagumi kekayaan yang ditinggalkan Horemheb, firaun Mesir terakhir dalam kurun ke-18.

Malah, misteri yang menyelubungi mumia Nes-Khons yang 'kalis reput' mungkin akan terkubur selama-lamanya daripada pengetahuan kita.

Kita di Singapura pun tidak terlepas berpeluang menyaksikan keajaiban peninggalan tamadun Mesir purba ini kerana bermula awal minggu lalu satu pameran mengenai artifak purba Mesir diadakan di sini.

Dijayakan dengan sokongan Muzium Kunsthistorisches di Vienna, Austria, pameran Quest For Immortality: The World Of Ancient Egypt itu kini sedang berlangung di Muzium Negara sehingga 4 April tahun depan.

Ia menampilkan 230 artifak, termasuk teks Mesir purba, arca dan objek-objek purba pengebumian.

Antara bahan pameran yang paling berharga dalam pameran itu adalah tiga mumia yang berusia sekitar 2,760 tahun.

Dibahagikan kepada tiga ruang berbeza, pameran ini bertema 'pencarian abadi' yang menggambarkan keinginan kuat warga purba Mesir untuk kekal abadi di dunia.

Kehadiran artifak-artifak ini menjadikan pameran Mesir purba ini yang terbesar pernah dianjurkan oleh Muzium Negara, kata pengarah muzium, Cik Lee Chor Lin.

'Memang menjadi hasrat kami untuk menampilkan sejarah dalam konteks yang berbeza-beza dan dalam bentuk yang masih relevan pada masa ini.

'Kami mungkin tidak dapat membawa piramid ke sini tetapi kami berjaya membawa masuk objek purba yang digunakan sebagai bahan penting dalam upacara pengebumian Mesir purba,' katanya lagi.

Lebih 200 artifak yang dibawa ke Singapura itu adalah daripada koleksi artifak Mesir dan Kawasan Berdekatan Timur milik Muzium Kunsthistorisches.

Ia hanya sebahagian kecil daripada koleksi lebih 12,000 artifak dari zaman tahun 4,000 Sebelum Masihi hingga 950 Sesudah Masihi.

Namun, ia adalah bahagian yang penting dan mewakili artifak-artifak yang lain, menurut pengarah koleksi artifak Mesir Muzium Kunsthistorisches, Dr Regina Hoelzl.

'Kami berbesar hati kerana dapat mempamerkan untuk kali pertama pilihan artifak yang mewakili kekayaan budaya Mesir purba.

'Antaranya ialah karya-karya agung seperti arca patung Firaun Amenemhet V dan Sphinx Firaun Amenhotep III,' katanya dalam satu kenyataan media.

'Kami berharap para pelawat akan menikmati pameran ini dan juga budaya Mesir purba yang menarik,' tambahnya.

Lelaki Nigeria dipercayai cuba letupkan pesawat AS

KEADAAN CEMAS: Sorotan kamera video ini menunjukkan para pegawai keselamatan berada di kaki tangga pesawat Northwest Airlines penerbangan 253 selepas ia mendarat di lapangan terbang Detroit dari Amsterdam.

DETROIT (Michigan): Seorang lelaki rakyat Nigeria, yang dilaporkan ada kaitan dengan Al-Qaeda, cuba meletupkan sebuah pesawat Northwest Airlines sewaktu ia hendak mendarat di Detroit Jumaat lalu.

Namun, penumpang dan kru pesawat yang tercium bau asap dan bunyi seperti mercun dapat menundukkannya, kata penumpang dan para pegawai federal.

Pesawat penerbangan 253 itu, yang membawa 278 penumpang dan 11 kru, berada cuma 20 minit dari lapangan terbang apabila penumpang mendengar bunyi letupan, kata para saksi.

Namun, Abdul Farouk Abdulmutallab, 23 tahun, dapat ditundukkan para penumpang dan kru pesawat.

Dia kemudian dibawa ke bahagian depan pesawat dengan kakinya melecur dan seluarnya koyak.

Para pegawai penguatkuasa berkata lecuran itu menunjukkan bahan letupan dipasang pada kakinya.

Selepas ditahan, Abdulmutallab memberitahu pihak berkuasa bahawa dia menggunakan picagari berisi bahan kimia untuk dicampurkan dengan serbuk yang dilekap pada kakinya.

Seorang pegawai perisikan Amerika Syarikat berkata bahan letupan itu terdiri daripada serbuk dan cecair.

'Bunyinya seakan mercun dalam sarung bantal. Mula-mula terdengar bunyi letupan, kemudian keluar asap,' kata Encik Peter Smith, seorang penumpang dari Belanda.

Seorang penumpang lain, dikenali sebagai Syed Jafry, yang duduk tiga baris di belakang suspek, berkata beliau nampak nyala api dan tercium bau asap.

'Seorang lelaki di belakang saya menerkam suspek. Berlaku satu pergelutan. Keadaan jadi kecoh. Tetapi suspek dapat diseret ke depan,' kata beliau.

Para pegawai Rumah Putih berkata Presiden Barack Obama, yang sedang bercuti di Hawaii bersama keluarganya, menyifatkan insiden itu sebagai satu serangan pengganas.

Beliau mengarahkan langkah keselamatan dipertingkat di semua lapangan terbang.

Anggota Kongres Parti Republikan bagi New York, Encik Peter King, yang menjadi anggota Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Dewan Perwakilan, berkata insiden itu 'jelas ada kaitan dengan Al-Qaeda'.

Menurut beliau, bahan letupan yang digunakan 'agak canggih' dan berlainan daripada yang pernah disaksikan sebelum ini.

Seorang pegawai kanan Parti Republikan dalam Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan, Encik Pete Hoekstra, berkata beliau ada maklumat bahawa suspek mungkin ada kaitan dengan Anwar al-Aulaqi, imam radikal yang berpangkalan di Yaman. Imam itu ada kaitan dengan askar yang mengamuk dan menembak mati 13 orang di kem Fort Hood, Texas, bulan lepas.

Namun para pegawai lain berkata dakwaan tersebut belum dapat disahkan. Mungkin lelaki itu bertindak secara bersendirian atau cuma mendapat inspirasi dan bukan dilatih atau diarah kumpulan pengganas. -- Reuters, Bloomberg, AP, AFP.

Gus Dur di hospital, adik dipecat dari parti

JAKARTA: Sewaktu mantan presiden Indonesia, Encik Abdurrahman Wahid yang lebih dikenali sebagai Gus Dur, terlantar di hospital kelmarin, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) yang diasaskan beliau mengalami pergolakan dalaman selepas ia memecat adik Gus Dur, Cik Lily Wahid, yang merupakan anggota lembaga penasihat PKB.

'Ibu Lily sering bertindak menentang parti. Beliau melakukan semua itu tanpa membincangkan isu tersebut dengan anggota parti yang lain,' kata jurucakap PKB, Encik Agus Sulis, seperti ditukil laman berita Jakarta Globe semalam.

Menurut beliau, Cik Lily Wahid dipecat Khamis lalu.

Menurutnya lagi, Cik Lily telah bertindak keterlaluan apabila beliau memohon untuk memfailkan semakan perundangan berhubung Undang-Undang Menteri Pemerintah 2008 kepada Mahkamah Perlembagaan, bertujuan menyingkirkan pengerusi PKB, Encik Muhaimin Iskandar, yang juga Menteri Tenaga Manusia dan Transmigrasi.

'Jelas tujuan utamanya ialah mahu menyingkirkan bapak Muhaimin Iskandar,' kata Encik Agus.

Cik Lily memohon mahkamah menyemak semula Fasal 23 undang-undang berkenaan yang menetapkan bahawa para menteri tidak boleh bekerja dalam lembaga syarikat swasta.

Para menteri juga dilarang mengepalai pertubuhan yang dibiayai dengan wang rakyat.

Cik Lily menggesa PKB mengadakan mesyuarat 'tergempar' mengenai pucuk kepimpinan parti pada tahun hadapan, dan bukan pada 2013, sebagaimana dijadualkan.

Encik Ali Nashan Musya, saudara lelaki mantan pengerusi PKB, Encik Ali Masykur Musa, akan menggantikan Cik Lily buat sementara waktu.

Cik Lily bagaimanapun, bertekad mahu mencabar pemecatan beliau di mahkamah.

'Saya tidak berniat hendak menyingkirkan bapak Muhaimin sebagai pengerusi parti. Secara jujur, beliau tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya disebabkan memegang jawatan menteri,' kata Cik Lily kepada Jakarta Globe.

PKB tidak sunyi daripada konflik. Ia ditubuhkan oleh Gus Dur dan sejumlah ulama dari Nahdlatul Ulama (NU). NU diasaskan pada 1926 oleh Encik Hasyim Asya'ri, datuk Gus Dur.

Gus Dur memimpin PKB selama beberapa tahun. Beliau juga sering memecat pegawai lain, termasuk sepupunya, Encik Muhaimin Iskandar, sebagai pengerusi PKB pada 2008. -- Agensi.

Sekilas - Berita Dunia

Peringati ulang tahun tsunami

BANDA ACEH: Ribuan orang di Asia memperingati ulang tahun kelima bencana tsunami yang meragut lebih 220,000 jiwa pada 2004.

Di Banda Aceh, ribuan penduduk berhimpun di masjid untuk membaca tahlil bagi 170,000 mangsa yang terkorban.

Naib Presiden Indonesia, Encik Boediono, menyertai upacara di Ulee Lheu.

Di Thailand, ribuan sami Buddha berkumpul dan bersembahyang di Ban Nam Khem, di pantai Andaman yang melihat 5,400 orang terkorban.

Rakyat Sri Lanka turut bertafakur selama dua minit bagi memperingati 23,000 orang yang terkorban. -- Agensi.

9 kelasi maut, kapal terbakar


CARACAS (Venezuela): Sembilan kelasi disahkan terkorban dan lima cedera, selepas sebuah kapal kargo Greek terbakar pada Hari Krismas, lapor agensi berita ABN.

Ia menukil panglima tentera laut Venezuela, Laksamana Carlos Maximo Aniasi, sebagai berkata kebakaran berlaku di bilik enjin kapal bernama Aegean Wind itu yang membawa biji besi, sebelum subuh.

Kapal itu sedang dalam perjalanan dari Brazil ke Houston apabila kebakaran berlaku kira- kira 61 kilometer ke timur laut pulau La Blanquilla, kata beliau. -- Reuters.

Penerbit cari askar kudung anggota

LONDON: Penerbit realiti televisyen Big Brother edisi Britain, menjadikan askar yang cedera sebagai peserta dalam rancangan itu.

Askar yang kudung anggota mereka semasa bertugas di Afghanistan dan Iraq diminta mengambil bahagian dalam rancangan itu, lapor akhbar Daily Mail.

Pihak tentera yang diminta membantu merekrut peserta, menuduh penerbit rancangan cuba mengambil kesempatan daripada penderitaan askar terlibat. -- AFP.

AS minta laporan penuh dari M'sia

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat meminta Malaysia menyediakan laporan lengkap mengenai kehilangan dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlaku dua tahun lalu.

Difahamkan permintaan itu dibuat atas kapasiti negara adikuasa dunia itu sebagai pengeluar pesawat tersebut dan mahu menggunakan laporan itu bagi tujuan siasatan kerana ia melibatkan isu keselamatan.

Menurut sumber, permintaan itu sudah dimaklumkan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia melalui kedutaan Amerika di Kuala Lumpur.

'Kehilangan peralatan itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh isu keselamatan. Justeru, siasatan terperinci perlu dilakukan,' kata sumber itu seperti ditukil akhbar Berita Harian Malaysia semalam.

Jurucakap Kedutaan Amerika, Encik Tina Malone, kelmarin berkata pemerintah Amerika memandang serius kejadian itu sejak ia dilaporkan Sabtu lalu.

'Pemerintah Amerika amat bimbang dengan kehilangan ini. Kami juga akan menemui agensi berkaitan di negara ini untuk membincangkan isu itu,' katanya.

Pada Jun dan November 2007, dua enjin pesawat F-5E yang berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth dilaporkan hilang ketika proses penyelenggaraan rutin dijalankan.

Kecurian itu dipercayai didalangi orang dalam syarikat penyelenggara pesawat dengan dibantu orang dalam.

Kehilangan enjin pertama dilaporkan di Gudang Material Udara I, Sungai Besi, manakala enjin kedua hilang sejurus meninggalkan pangkalannya di Butterworth untuk ke ibu negara. Ia dipercayai sebagai komponen alat ganti kepada pembeli antarabangsa dari Amerika Latin.

Kehilangan enjin-enjin bernilai RM100 juta ($41 juta) itu hanya disedari setahun selepas itu, sebelum laporan dibuat di ibu pejabat polis Brickfields pada 4 Ogos 2008.

Kelmarin, Jabatan Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan berhubung kes kehilangan dua enjin jet pejuang TUDM kepada polis bagi membolehkan kes itu disiasat lebih lanjut, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

TUDM kelmarin mengesahkan bahawa seorang brigedier-jeneral dan beberapa kakitangan lain sudah dipecat sebelum kehilangan enjin pesawat F-5E diketahui.

Tindakan itu lebih berkaitan dengan ketidakcekapan kakitangan, dan langkah yang wajar sudah diambil agar kejadian tidak berulang. -- NST.


Sunday, December 27, 2009

8 pilihan raya kecil warnai politik negara sepanjang 2009

KUALA LUMPUR, Dis 27 — Senario politik negara tahun ini diwarnai lapan pilihan raya kecil, dua bagi kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dan keputusan lapan pilihan raya kecil itu menunjukkan bahawa demokrasi masih subur di negara ini kerana pakatan pembangkang terdiri DAP-PKR-PAS menang kedua-dua kerusi Parlimen dan empat daripada enam kerusi DUN itu.

Siri pilihan raya itu bermula bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail daripada Barisan Nasional akibat serangan jantung ketika sedang bermain badminton pada Nov 28 2008.

Pada pilihan raya kecil yang diadakan pada Jan 17 2009, Mohd Abdul Wahid Endut daripada Pas menewaskan Datuk Wan Abdul Farid Wan Salleh daripada Barisan Nasional dan calon bebas, Azharuddin Mamat, dengan majoriti 2,631 undi.

Kemudian pada 7 April, sejarah tercipta apabila tiga pilihan raya kecil dijalankan secara serentak iaitu bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak serta kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah dan kerusi DUN Batang Ai di Sarawak.

Kerusi Bukit Gantang dan Batang Ai kosong kerana kematian wakil rakyat masing-masing manakala di Bukit Selambau, ia disebabkan ADUN di situ daripada PKR meletak jawatan. Satu rekod dicipta di Bukit Selambau apabila 15 calon bertanding. Kerusi itu dimenangi S Manikumar daripada PKR. Kecuali calon BN, Datuk S.Ganesan, yang lain hilang wang pertaruhan.

Kerusi Bukit Gantang dimenangi wakil Pas manakala Batang Ai pula dikuasai BN. Akibat masalah dalaman politik di Pulau Pinang, kerusi DUN Penanti dikosongkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR.

BN membuat kejutan dengan memutuskan untuk tidak bertanding kerana menganggap kekosongan itu bukannya berlaku akibat kematian penyadang tetapi sengaja dikosongkan oleh PKR untuk membolehkan seorang wakilnya yang lain bertanding di situ.

Suhu politik negara kemudian dipanaskan dengan kekosongan kerusi DUN Manik Urai di Kelantan ekoran kematian penyandangnya Ismail Yaacob dari Pas akibat serangan jantung pada Mei 22.

Berbanding Penanti yang tidak meriah, senario di Manik Urai menjadi tumpuan penganalisis politik bagi mengukur sejauh mana keupayaan BN untuk menembusi “kubu kuat” Pas itu.

Keputusan agak mengejutkan kerana calon BN Tuan Aziz Tuan Mat kalah dengan hanya 65 undi berbanding majoriti 1,352 yang diraih oleh Pas pada pilihan raya umum tahun lepas.

“Kejayaan” itu mendorong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berkata : “Inilah kali pertama saya terima ucapan tahniah kerana kita kalah.”

Sebulan kemudian, satu lagi kerusi DUN Pulau Pinang, Permatang Pasir, menjadi kosong akibat kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas, juga kerana sakit jantung. Dan dalam pilihan raya kecil kemudiannya, wakil parti itu Mohd Salleh Man menewaskan Rohaizat Othman daripada BN dengan majoriti 4,551 undi.

Selang beberapa minggu kemudiannya, kematian ADUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan, Azman Mohammad Noor daripada BN, membolehkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bertanding menentang Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Seperti dijangka, Mohd Isa menang dengan yang memperoleh 8,013 undi menewaskan lawannya itu dengan majoriti 5,435 undi iaitu 110 peratus peningkatan berbanding majoriti 2,333 undi yang dicatat oleh BN pada pilihan raya umum lepas.

Pada Nov 24 lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat perintah Mahkamah Rayuan bagi penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kedah kawasan Kota Siputeh, ekoran kegagalan wakil rakyatnya, Datuk Abu Hassan Sarif daripada BN, menghadiri persidangan sebanyak dua kali berturut-turut. — Bernama

Saturday, December 26, 2009

440kg ketamin bakal dihantar ke Malaysia

CHENNAI -- Pihak berkuasa India berjaya memintas cubaan penghantaran konsainan 440kg ketamin ke Malaysia di Pelabuhan Tuticorin di selatan India dan menahan tiga suspek berkaitan dengan penyeludupan.

Bertindak atas maklumat, Direktorat Risikan Hasil (DRI) di pelabuhan di Chennai pada Jumaat merampas dadah itu, dianggarkan bernilai RM32 juta di pasaran antarabangsa, yang telah dibungkus dan diikrarkan sebagai produk makanan.

"Konsainan itu dicatatkan dalam dua bil perkapalan bagi dihantar ke Malaysia dan diikrarkan mengandungi garam iodin, kacang, kuih beras dan barangan lain," kata DRI dalam satu kenyataan.

Suspek berkenaan disyaki telah memalsukan dua bil perkapalan itu bagi 519kg garam iodin, seberat kira-kira 13 tan.

Namun pemeriksaan oleh DRI mendapati 22 daripada 510 beg, dibungkus sebagai garam iodin, mengandungi ketamine hidroklorida. Setiap beg seberat kira-kira 20kg. - Bernama

Pemandu Bas Sani Express Akui Terlelap

IPOH: "Saya terlelap."

Itu pengakuan pemandu bas dua tingkat Sani Express yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara awal pagi ini yang mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera.

Ketua Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd Rodzi Rejab berkata, siasatan awal polis mendapati pemandu berkenaan merancang untuk bertukar giliran memandu dengan pembantunya sebaik tiba di kawasan Rehat & Rawat Sungai Perak dekat sini.

"Ujian alkohol dan dadah yang dijalankan ke atas pemandu berusia 38 tahun itu didapati negatif," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu berkenaan direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Rodzi berkata, bas ekspres tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan trafik namun beliau enggan menyatakan rekod pemandu yang ditahan itu. - BERNAMA

KDN Masih Kaji Buku Barry Wain

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mengkaji kandungan buku tulisan Barry Wain bertajuk "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times," sebelum membuat keputusan tentang pengedaran buku itu di Malaysia.

Menurut kenyataan KDN hari ini, kajian itu merupakan satu proses biasa kepada mana-mana penerbitan di dalam dan luar negara dan buku tulisan Barry Wain tidak terkecuali daripada menjalani proses tersebut.

Kajian itu bagi memastikan ia tidak menimbulkan sebarang kemudaratan kepada keselamatan dan kententeraman rakyat Malaysia, menurut kenyataan itu.

"KDN mempunyai masa selama 60 hari bagi menentukan sama ada untuk meluluskan atau sebaliknya pengedaran buku tersebut di Malaysia".

Isnin lepas, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menolak laporan sebuah portal berita propembangkang kononnya pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) telah menahan 800 naskhah buku itu di Pelabuhan Klang sejak empat minggu lalu.

Dalam bukunya, Wain bekas Pengarang Urusan Asian Wall Street Journal mendakwa kononnya Dr Mahathir membazirkan sehingga RM100 bilion ketika menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dalam blognya www.chedet.co mengakui pernah berlaku beberapa kerugian dalam tempoh pentadbirannya tetapi jumlahnya tidak pun mencecah RM10 bilion.

Dr Mahathir turut mempersoalkan mengapa Barry Wain yang kini berpangkalan di Singapura begitu berani dan bersungguh-sungguh mahu menulis serta mendedahkan isu melibatkan pemimpin Malaysia.

"Dia tahu kalau dia menulis apa-apa menentang pemimpin Singapura, dia akan diheret ke mahkamah, disaman dan dipaksa membayar ganti rugi dalam jumlah yang banyak.

"Rakan-rakan sekerjanya ramai yang didapati salah kerana memfitnah apabila mereka menulis sesuatu yang tidak dipersetujui oleh para pemimpin Singapura," kata Dr Mahathir dalam blognya. - BERNAMA

Ahli Parlimen Tak Setuju Waktu Sidang Dihadkan

PETALING JAYA: Sebahagian besar Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan cadangan supaya Sidang Dewan Rakyat dihadkan tempoh waktunya kerana ia berlaku di luar jangkaan.

Malah mereka tidak menolak dipanjangkan waktu bahkan ditambah hari persidangan selain waktu perbahasan serta mengutamakan kehadiran ke Dewan Rakyat.

Bagi mereka isu perbahasan sehingga ke lewat malam bukan menjadi keutamaan pada masa ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika dihubungi mStar Online berkata, masa adalah elemen penting dalam menentukan pertumbuhan organisasi, negara serta rakyat dan perlaksanaan tersebut mestilah tidak mengugat hak perbahasan Ahli-Ahli Parlimen.

"Kita boleh melihat kemungkinan panjangkan sesi parlimen atau menetapkan satu bentuk struktur perbahasan yang dapat pastikan penggunaan masa perbahasan yang efisyen dan efektif," katanya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya tempoh waktu sidang dewan berkenaan dihadkan supaya tidak berlarutan hingga lewat malam.

Bagi Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, beliau kurang bersetuju dengan cadangan tersebut namun tidak membantah jika ia dilaksanakan.

"Melalui pengalaman sepanjang berada di Parlimen, perbahasan sehingga ke lewat malam adalah di luar jangkaan," jelasnya.

Menurutnya, keadaan tersebut jarang berlaku dan tidak memberi masalah kepada dirinya jika terpaksa menunggu perbahasan selesai.

"Adakalanya subjek perbahasan mengenai rang undang-undang dan isu yang penting, jadi memang tak boleh elak. Tapi ia tidak selalu berlaku," katanya.

Beliau mencadangkan supaya pertimbangan dibuat terhadap menambah bilangan hari persidangan atau memanjangkan waktu perbahasan sebagai satu cara mengatasi isu berkenaan.

"Apa yang penting dalam perkara ini, tanggungjawab semua Ahli Parlimen untuk menghadirkan diri ke sidang Dewan Rakyat harus diutamakan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw yang berpandangan sama seperti Rosnah berkata, isu berhubung rakyat perlu diutamakan dan tidak bersetuju jika sidang Dewan Rakyat dihadkan.

"Jika nak bersidang sampai empat pagi pun apa salahnya? Perhatian mengenai masalah negara dan rakyat lebih penting," katanya.

Beliau berkata, perbincangan di Dewan Rakyat melibatkan wang dan masa depan rakyat. Oleh itu katanya, Ahli Parlimen perlu mengambil perhatian tentang masalah negara dan harus menyelesaikan masalah berkaitan dengan segera walaupun waktu sidang terpaksa dilanjutkan sehingga lewat malam.

Berbeza bagi Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang berpendapat itu itu tidak perlu diperdebatkan.

"Bersidang hingga ke lewat malam bukan isu utama, bagi saya masa yang diberi untuk berhujah dalam Dewan Rakyat patut diberi perhatian," katanya.

Beliau berpendapat, penyebab utama sidang berlanjutan hingga lewat malam adalah disebabkan masa yang kadang kala tidak mencukupi dan sesetengah Ahli Parlimen menggunakan masa yang lebih untuk berhujah dan akhirnya berlarutan hingga lewat malam.

Katanya, takwim persidangan yang lebih sistematik dapat membantu dalam kelancaran perjalanan sidang Dewan Rakyat.

Ancaman bunuh isteri Obama

WASHINGTON: Pihak Berkuasa Amerika Syarikat menahan dan mendakwa seorang wanita di Hawaii minggu lalu atas dakwaan mengancam untuk membunuh isteri Presiden Barack Obama, Cik Michelle, beberapa hari sebelum pasangan itu dijangka tiba di pulau berkenaan untuk cuti Krismas.

Menurut dokumen mahkamah, Kristy Lee Roshia ditahan pada 19 Disember di Kaneohe, Hawaii, oleh ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika.

Hakim Mahkamah Persekutuan menangguh perbicaraan sehingga pemeriksaan mental ke atasnya dilakukan. -- Reuters.


Kota air Venice tenggelam

VENICE: Para pelancong terpaksa mengangkat bagasi mereka untuk menaiki bot apabila air pasang yang luar biasa menyebabkan banjir melanda kota air Venice, kelmarin.

Lebih separuh daripada kota lama itu ditenggelami air yang mencapai 143 sentimeter di atas paras laut.

Banjir terburuk yang pernah melanda Venice dalam tempoh lebih dua dekad berlaku tahun lalu apabila air mencapai 160 sentimeter di atas paras laut. -- Reuters.


Murugiah Timbalan Menteri haram

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP), menganggap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, sebagai "timbalan menteri haram" kerana enggan melepaskan jawatannya walaupun sudah dipecat daripada parti itu Jun lalu.

Presiden PPP, Datuk M Kayveas, berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menentukan kedudukan Murugiah yang enggan melepaskan jawatannya sungguhpun pelantikannya dulu dibuat atas kuota PPP.

"Sekarang ini Murugiah adalah seorang timbalan Menteri yang haram...dia bukan lagi ahli PPP dan terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan terhadapnya," kata Kayveas pada majlis rumah terbuka Hari Krismas anjuran PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Kayveas berkata, sebelum ini PPP sudah memberi peluang kepada Murugiah untuk mewakili parti dalam kerajaan tetapi beliau telah menggunakan jawatannya dalam kerajaan bagi mencapai cita-cita peribadinya.

Hadir sama pada rumah terbuka itu ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. - Bernama

Video terbaru Taliban paparkan imej tentera AS yang ditangkap

KANDAHAR (Afghanistan): Taliban hari ini mengeluarkan video menunjukkan askar Amerika Syarikat (AS), Bowe Robert Bergdahl, yang ditangkap di Afghanistan kira-kira enam bulan lalu.

Jurucakap kumpulan itu berkata, pihaknya mendesak tahanan di pusat tahanan AS dibebaskan sebagai pertukaran kepada kebebasan Bergdahl.

Video 36 minit itu memaparkan Bergdahl, 23, dalam pelbagai kedudukan termasuk di depan permaidani, memakai pakaian pertempuran, topi tentera dan cermin mata.

Klip video itu turut memaparkan siaran berita membabitkan pemimpin politik AS, tindak balas ketenteraan Taliban dan mangsa yang terbunuh di kalangan rakyat biasa dan penderaan banduan yang ditempatkan di pusat tahanan AS.

"Ingin saya beritahu kamu semua bahawa peperangan ini dilihat tidak dapat dikawal dan bakal terlepas daripada genggaman kamu, di mana ia juga disifatkan bakal menjadi seperti perang di Vietnam, melainnkan rakyat AS bangkit dan menghentikan semua perkara yang di anggap membuang masa," kata Bergdah menerusi video yang dipaparkan itu. - AFP

Bekas juara dunia tinju Thai ditembak mati di Moscow

MOSCOW: Bekas juara dunia tinju Thai ditembak mati di Moscow, di mana dipercayai dilakukan oleh pembunuh upahan, menurut pegawai negara itu, hari ini, iaitu pembunuhan berprofil tinggi terbaru di ibu kota Russia.

Jawatankuasa Penyiasatan pejabat pendakwa raya dalam kenyataannya, berkata mayat Muslim Abdullayev, 27, ditemui lewat Khamis lalu, dengan pelbagai kecederaan daripada tembakan di kepala di sebuah stadium di utara Moscow.

"Jelas menunjukkan pembunuhan ini dilakukan pembunuh upahan (pembunuhan kontrak)," kata sumber keselamatan.

"Ketika ini kaitan antara mangsa sedang disiasat dan khususnya jika mangsa mempunyai konflik pada masa ini," tambahnya lagi.

Agensi berita RIA-Novosti memetik sumber lain dengan berkata, dua individu menyerang Abdullayev ketika beliau sedang keluar dari sesi latihan di stadium itu.

"Mereka datang dari belakang dan pada awalnya memukul kepala mangsa dengan satu objek keras sebelum melepaskan tembakan ke arah peninju itu," kata sumber itu, dengan menambah mangsa mati sebelum bantuan tiba. - AFP

Friday, December 25, 2009

Pengacara program realiti antara ditahan di kelab malam

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lelaki berusia 28 tahun yang juga pengacara bersama program realiti tarian popular adalah antara 21 individu yang ditahan dalam operasi polis di sebuah kelab malam di Bukit Bintang, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pelakon itu dibebaskan selepas ujian air kencing mendapati beliau bebas daripada dadah.


Pemimpin penentang China dipenjara 11 tahun

BEIJING: Penentang kerajaan China yang paling dikenali, Liu Xiaobo, dipenjarakan hari ini bagi tempoh 11 tahun kerana berkempen mendapatkan kebebasan politik negara itu, di mana hukuman itu dikecam kumpulan hak asasi manusia dan Washington.

Liu yang akan menyambut ulangtahun kelahiran ke-54 Isnin ini, membantu menguruskan petisyen piagam 08 yang mengajak melakukan perubahan politik dan sebelum itu terkenal mengadakan bantahan pro-demokrasi 1989 di Tiananmen Square.

Dia yang dihadapkan di mahkamah berdiri bertentangan hakim yang mengisytiharkan Liu bersalah kerana membangkitkan konsep subversi dalam pemerintahan negara itu.

Selepas pengisytiharan itu dibacakan, Liu tidak dibenarkan memberi sebarang maklum balas di mahkamah. - Reuters

Sekilas - Sukan

Ahn Jung-hwan dapat tempat

SEOUL: Bekas pemain penyerang Korea Selatan, Ahn Jung-hwan, ditawarkan tempat dalam pasukan Piala Dunia negara itu.

Jurulatih nasional Korea Selatan, Huh Jung-moo, memberitahu Ahn, 33 tahun, yang membantu negaranya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2002, boleh memainkan peranan dalam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan nanti. -- Reuters.

Adriano kekal di Flamengo

RIO DE JANEIRO: Bekas pemain Inter Milan, Adriano, mengesahkan akan terus bersama kelab Flamengo selepas kelabnya bersetuju untuk menambah 40 peratus gaji bulanannya.

Pemain antarabangsa Brazil itu akan menerima kenaikan baru itu tahun depan. Musim ini, Adriano menerima gaji sekitar AS$230,000 ($322,000). -- Reuters.

Diouf boleh main untuk Utd

LONDON: Pemain penyerang Senegal, Mame Biram Diouf, boleh muncul untuk pasukan Manchester United bulan depan selepas mendapat permit kerja, demikian kata jurucakap pasukan itu kelmarin.

Berusia 22 tahun, Diouf, yang dibeli daripada kelab Molde, mungkin akan muncul pada bulan depan. -- Reuters.

Pegawai Dan Anggota Diberhentikan Sebelum Kehilangan Enjin Pesawat - TUDM

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai berpangkat Brigadier Jeneral dan beberapa anggota lain telah dikenakan tindakan pemberhentian sebelum kejadian kehilangan dua enjin pesawat F-5E diketahui berlaku.

Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kementerian Pertahanandalam satu kenyataan di sini semalam berkata, tindakan itu lebih berkaitankepada ketidakcekapan dan prestasi kerja yang merupakan langkah-langkah biasadilaksanakan untuk mencegah perkara yang tidak diingini berulang.

"Dengan adanya kenyataan ini, TUDM berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian yang bercanggah daripada fakta sebenar untuk mengelakkan kekeliruan pelbagai pihak.

"TUDM sentiasa peka di atas keperluan untuk memantapkan sistem pengurusan aset dan operasi bagi memastikan kesiapsiagaan TUDM berada pada tahap yang terbaik pada sebilang masa," kata kenyataan itu.

Berhubung kes kehilangan enjin pesawat F-5E yang dilaporkan media baru-baru ini, ia telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"TUDM difahamkan kes itu sedang dikaji dan menanti arahan dari Peguam Negara untuk tindakan seterusnya," kata kenyataan itu.

Oleh itu, TUDM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan dan pendakwaan dan berharap semua pihak menunggu maklum balas dari Pejabat Peguam Negara sebelum memberikan sebarang kenyataan.

TUDM telah mula mengoperasikan pesawat F-5E pada 1974. Pada 1999, TUDM menamatkan perkhidmatan pesawat itu dan tugasnya sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambilalih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.

Bagaimanapun, usia menjangkau 29 tahun di dalam inventori TUDM, pada 2003 pesawat itu telah diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa. - BERNAMA

Thursday, December 24, 2009

Operasi potong bekalan air sekitar KL, Kajang

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan mengadakan operasi pemotongan bekalan air bagi akaun bil air yang tertunggak di beberapa kawasan sekitar bandaraya dan Hulu Langat sepanjang bulan depan.

Menurut kenyataan Syabas hari ini, operasi dari 4 hingga 8 Januari akan melibatkan kawasan Kampung Pandan, Desa Pandan, Jalan Cochrane, Sri Angsana Hilir, Pandan Jaya, Taman Cempaka, Taman Dagang, Taman Nirwana, Taman Maluri dan Taman Cheras Indah.

Turut terbabit ialah Taman Komersial, Pandan Mewah, Taman Mawar, Taman Kencana, Taman Mega, Taman Muda, Taman Melor, Bukit Permai, Taman Pertama, Taman Putra, Taman Bukit, Teratai, Taman Saga, Taman Seraya, Taman Shamelin dan Taman Miharja.

Operasi pada 11 hingga 15 Januari pula membabitkan Taman Rajawali, Taman Ikan Emas, Kampung Cheras Baru, Taman Tenaga, Desa Aman, Taman Bukit Pandan, Taman Mutiara, Taman Bahtera, Taman Cheras, Taman Billion, Taman Rakyat, Taman Segar, Alam Jaya, Taman Sunway, Cheras Awana, Taman Mudun, Taman Mulia, Taman Bukit Hijau, Desa Bukit Cahaya, Alam Damai dan Cheras Utama.

Operasi dari 18 hingga 22 Januari membabitkan Taman Supreme, Bandar Tun Razak, Taman Midah, Desa Tun Razak, Bandar Damai Perdana, Desa Baiduri, Taman Bukit Angsana, Taman Delima, Taman Dahlia, Taman Minang, Taman Anggerik dan Taman Minang Ria.

Taman Len Sen, Taman Connought, Taman Orkid Desa, Taman Cheras Permata, Taman Taynton View, Taman Cuepacs, Taman Masria, Cheras Hartamas, Taman Wangsa, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Loke Yew, Salak Selatan dan Sungai Besi.

Kawasan Hulu Langat yang melibatkan Kampung Sungai Ramal, Country Heights, Taman Sri Ramal, Taman Ramal Indah, Taman Desa Surada, Taman Ramal Desa, Sungai Chua, Taman Muhibbah, Taman Kajang Mewah, Taman Putra, Taman Sri Saga, Taman Sri Kenari, Taman Bunga Raya, Taman Sepakat Indah, Taman Berjaya, Kawasan Perindustrian Sungai Chua, Bukit Angkat, Taman Sutera, Taman Taming Emas, dan Taman Pasir Emas.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran bil air dengan segera bagi mengelakkan pemotongan bekalan air dan sekiranya pemotongan berlaku bayaran RM50 akan dikenakan untuk penyambungan semula bekalan. - Bernama

Anwar tak boleh pancing maklumat pendakwaan: Hakim

PUTRAJAYA: Seseorang tertuduh yang menghadapi dakwaan jenayah tidak dibenarkan "memancing maklumat" kepunyaan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu pada 6 November ketika membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya dokumen dan maklumat lain yang diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 51 dan 51A Kanun Prosedur Jenayah dibekalkan untuk beliau menyediakan pembelaan terhadap tuduhan liwat terhadapnya.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 21 Disember yang diperoleh media hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hasan Lah memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memerintahkan pendakwaan supaya membekalkan dokumen dan bahan berkenaan kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan berkata ia mentafsirkan dengan tegas Seksyen 51 kanun berkenaan dan mengehadkan kuasa budi bicaranya berhubung permohonan untuk memperoleh dokumen berkenaan di peringkat pra perbicaraan.

"Melainkan apa yang diperuntukkan mengikut Seksyen 51A kanun berkenaan, responden tidak berhak untuk memperoleh atau memeriksa keterangan atau bahan yang berada dalam pemilikan pendakwaan sebelum perbicaraan bermula," katanya. - Bernama

Wednesday, December 23, 2009

Jeneral ditembak mati

BAGHDAD: Pegawai kanan tentera Iraq ditembak mati di depan rumahnya barat Baghdad, kata Kementerian Dalam Negeri Iraq, hari ini.

“Brig Jeneral Riad Abdel Majid, penyiasat kepada kementerian pertahanan dibunuh di Ghazaliya oleh pihak yang tidak dikenali, di mana tembakan dilepaskan ke arahnya ketika beliau berada di depan rumah,” katanya.

Beliau menambah, serangan itu berlaku lewat Selasa. - AFP



Pesawat pejuang Thailand terhempas, juruterbang terbunuh

BANGKOK: Juruterbang pesawat pejuang Thailand terbunuh hari ini selepas pesawatnya, F5E terhempas di timur laut ketika latihan, kata jurucakap angkatan tentera udara.

“Kemalangan jam 11.55 pagi itu disebabkan pesawat pejuang F5E yang sudah digunakan sejak 1981 dan berpangkalan di kapal di wilayah Ubon Ratchathani, terhempas di tepi jalan,” kata Kapten kumpulan, Montol Suchookorn.

Juruterbang bagi jet satu tempat duduk itu, Pegawai Penerbangan Chatchawan Rasami, terbunuh di tempat kejadian,

Montol berkata, pasukan penyiasatan dikerahkan ke tempat kejadian selepas itu, di mana didapati ia adalah satu kemalangan. - AFP

Permohonan rayuan Anwar dalam saman Dr Mahathir didengar 1 Mac

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 1 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak saman fitnahnya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Pendaftar, Jumirah Marjuki, menetapkan tarikh itu dalam kamar semasa kes itu didengar hari ini untuk tujuan pengurusan.

Dalam permohonan yang dikemukakan pada 20 November lalu, Anwar menyenaraikan tiga isu untuk ditentukan oleh mahkamah, antaranya sama ada Mahkamah Rayuan, dalam keadaan undang-undang terkini yang tidak memihak kepada bantahan bersifat teknikal, boleh terus memutuskan untuk enggan mengguna pakai budi bicara untuk memastikan bahawa kecacatan bersifat teknikal tidak diberi keutamaan ke atas hak-hak substantif.

Pada 10 Oktober lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malik Ishak, yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma''ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, menolak saman Anwar berjumlah RM100 juta dengan alasan bahawa memorandum rayuan yang dikemukakan oleh Anwar dalam bahasa Inggeris adalah satu kecacatan, tidak sah dan menyalah guna proses mahkamah.

Sebelum itu pada 4 Julai 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telahpun menolak saman itu dengan kos.

Anwar telah mendakwa bahawa kenyataan Dr Mahathir yang menganggap beliau seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan menghina beliau. - Bernama


Pusat beli belah Tanah Abang runtuh, dua maut

JAKARTA: Dua orang terbunuh dan berbelas lagi dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan bangunan tambahan di pusat membeli belah pasar borong tekstil Tanah Abang di sini pagi ini, yang turut menjadi destinasi berbelanja yang popular bagi rakyat Malaysia.

Disebabkan pusat membeli belah itu popular dalam kalangan pelancong dan peniaga dari Malaysia, Kedutaan Malaysia di sini turut memantau kerja mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan.

Sehingga tengah hari ini, belum ada maklumat sama ada terdapat rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian yang berlaku pada jam 10 pagi pagi tadi.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa orang mangsa yang tertimbus telah dikeluarkan daripada runtuhan bangunan tambahan itu dan kerja menyelamat masih dijalankan oleh puluhan petugas dengan dibantu oleh orang ramai, termasuk dengan menggunakan gergaji besi dan mengalihkan serpihan konkrit.

Belum ada laporan rasmi mengenai kejadian runtuhan itu tetapi beberapa pekerja binaan di situ berkata yang runtuh ialah tambahan bangunan yang sedang dibina yang mereka sebut hendak dijadikan tandas awam. - Bernama

Harga komoditi dijangka meningkat tahun depan

KUALA LUMPUR: Harga di pasaran komoditi dijangka menunjukkan arah aliran yang meningkat pada tahun depan apabila penganalisis dan peserta industri menjangka harga komoditi utama seperti minyak sawit, keluli dan emas melonjak berikutan permintaan kukuh dan sentimen pasaran yang lebih baik.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Kumpulan Interband, Jim Teh, berkata wujud kemungkinan pasaran minyak sawit mengalami kenaikan harga pada separuh kedua tahun depan.

"Lebih ramai peserta asing dijangka memasuki pasaran itu pada tahun depan," katanya baru-baru ini, sambil menyatakan ia adalah berikutan kerjasama antara Bursa Malaysia dan CME Group Inc, yang juga adalah pasaran derivatif paling pelbagai dan paling besar di dunia.

Perkongsian itu yang membabitkan pelesenan harga penyelesaian hadapan minyak sawit mentah mentah (MSM) Bursa Malaysia Derivatives Bhd akan meningkatkan lagi pengiktirafan MSM Malaysia sebagai penanda aras minyak makan antarabangsa.

Pada 2009, MSM mencecah paras tertinggi RM2,894 setan metrik pada 13 Mei, 2009.

Sehingga Disember, kontrak hadapan MSM diniagakan antara RM2,400 hingga RM2,600 satu tan metrik dan penganalisis mengunjurkan bahawa iklim yang lebih panas berikutan corak iklim El-Nino dan permintaan yang lebih kukuh, terutama sekali dari China dan India, akan melonjakkan harganya kepada RM3,000 pada tahun depan.

"Bagaimana pun, wujud kebimbangan bahawa stoknya yang kekal tinggi akan memberi tekanan kepada harga," katanya.

Sementara itu, kebimbangan mengenai langkah pemulihan ekonomi global juga akan mempunyai sedikit kesan kepada pasaran komoditi, dengan bank-bank menghadkan kredit yang dihulurkan kepada perniagaan bagi menunjukkan langkah berhemah.

Sungguh pun begitu, pengeluar masih boleh tersenyum untuk menuju ke bank berikutan catatan keuntungan yang agak berpatutan kerana kos pengeluaran masih rendah antara RM1,200 hingga RM1,500 satu tan metrik.

Laporan Penyelidikan Ekuiti Malaysia MIDF menyatakan bahawa MSM telah menunjukkan prestasi lebih baik dari pencabar terdekatnya, iaitu minyak kacang soya, sehingga 25 November 2009 kerana pembeli minyak makan beralih kepada MSM sebagai gantian yang lebih murah.

Katanya, diskaun MSM yang besar sebanyak 34 peratus bagi minyak kacang soya sehingga akhir 2008, adalah sebab utama harga MSM meningkat pada tahun ini.

Bagi pasaran getah, penganalisis berkata, bekalan yang kecil telah mendorong kenaikan harga getah yang lebih tinggi pada tahun ini.

Keluaran getah global pada tahun ini sebanyak 9.36 juta tan metrik adalah 640,000 tan metrik lebih rendah daripada yang didaftarkan pada 2008, demikian menurut Persatuan Getah Vietnam (VRA).

Kenaikan harga minyak mentah serta bekalan yang rendah di negara pengeluar Thailand, Indonesia dan Malaysia berikutan kombinasi iklim kemarau dan hujan, telah menyebabkan harga getah meningkat lebih 20 peratus pada tahun ini.

Di pasaran tempatan, pada 22 Disember, harga SMR20 sudah mencatatkan paras tertingginya sebanyak 954 sen sekilogram (s/kg) manakala harga lateks pukal melonjak kepada paras tertingginya sebanyak 601 sen s/kg pada 7 Disember.

Menurut VRA, harga getah yang dieksport melonjak ke paras tertinggi sekitar AS$2,300 setan metrik pada Disember.

Harga yang tinggi itu menyebabkan pengguna utama seperti China untuk tidak memasuki pasaran tetapi peniaga menjangka harga akan turun pada awal tahun depan, sebelum mengukuh semula apabila momentum pemulihan ekonomi global kian cepat.

Harga getah akan dipengaruhi peningkatan pengeluaran tayar dan permintaan.

Di dalam pasaran logam, penganalisis menjangka harga bergerak lebih tinggi pada tahun depan berikutan bertambah baiknya ekonomi global.

Harga tembaga dan aluminium telah mencecah paras tertinggi pada Disember apabila momentum pembelian kian meningkat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin menurun mengenai masalah hutang Dubai.

Bagi timah, Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) telah dniagakan pada paras tertinggi untuk tempoh 14 bulan pada 21 Disember, apabila harga logam itu mencecah AS$15,740 setan metrik sejajar dengan peningkatan harga logam antarabangsa.

Menurut penganalisis, permintaan bagi mendapatkan timah perindustrian sebahagiannya dipacu oleh kekurangan bekalan dan keinginan pelabur yang kian meningkat untuk menyimpan aset berasaskan logam.

Penganalisis Penyelidikan OSK, Ng Sem Guan, berkata harga keluli juga dijangka bergerak lebih tinggi pada tahun depan berikutan usaha sama antara dua pelombong utama, iaitu BHP Billiton Ltd dan Rio Tinto Group.

BHP Billiton, syarikat perlombongan terbesar di dunia dan Rio Tinto, pengeksport bijih besi kedua terbesar, telah menyatukan operasi bijih besi Australia Barat masing-masing yang bakal memberi kesan kepada harga keluli. Bijih besi, yang kebanyakannya digunakan di dalam pengeluaran keluli.

Pada Disember, harga keluli dicatatkan sekitar AS$500 satu tan metrik.

Sementara itu, emas menjadi tarikan sebagai komoditi selamat dengan harga sentiasa berada pada paras tinggi berikutan kekurangan bekalan serta ketidakstabilan pasaran kewangan.

Emas kini diniagakan sekitar AS$1,080 hingga AS$1,100 seauns.

Bank pusat di seluruh dunia kini dikatakan menyandarkan semula lebih banyak rizab kepada emas berbanding dengan kelas aset yang lain yang kebanyakannya di dominasi oleh dolar Amerika Syarikat. - Bernama

Russia bekal 20 pesawat MiG kepada Myanmar

MOSCOW: Russia menandatangani kontrak membekalkan 20 pesawat pejuang jenis MiG-29 untuk kegunaan angkatan tentera Myanmar, menurut akhbar Kommersant, hari ini.

Kontrak itu ditandatangani beberapa minggu lalu dan ia mencecah nilai hampir 400 juta Euro (AS$570 juta), menurut sumber yang rapat dengan syarikat penjulan senjata Russia, Rosoboronexport yang dipetik akhbar itu.

Myanmar yang kini dikenakan sekatan oleh negara Barat tetapi badan hak asasi manusia mendakwa negara yang diperintah Junta Tentera itu menerima bekalan senjata dari negara jiran, China, India dan Russia.

Sumber berkata, tawaran Russia itu mengatasi tawaran Republik China yang menawarkan Myanmar jet pejuang moden jenis

J-10 dan FC-1.

Akhbar itu melaporkan, Russia sudah menghantar 12 pesawat MiG-29s ke Myanmar sepanjang 2001.

“Ia adalah kontrak bekalan pesawat pejuang jenis itu yang terbesar selepas kontrak sama ke Algeria pada 2007,” lapor Kommersant. - AFP

Rumah Kedai Zaman Kolonial Musnah Dalam Kebakaran

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran empat buah kedai menjual barangan eksesori dan pakaian di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di Jalan Gambier di sini, malam tadi. Sebanyak enam buah jentera dari lima balai berhampiran dikerah bagi mengawal keadaan selepas menerima panggilan pada kira-kira 8.40 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. -- fotoBERNAMA

KUCHING: Empat buah rumah kedai zaman kolonial di Jalan Gambier berdekatan dengan Kuching Waterfront di sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Sharil Yaman berkata 47 anggota dengan enam jentera daripada lima balai bomba yang diketuai Penolong Pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Fathulmuen Abdul Salam dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 8.57 malam.

"Kami menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira pukul 8.47 malam yang melaporkan sebuah kedai tekstil di Jalan Gambier terbakar," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini malam ini.

Bagaimanapun katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Ini kejadian kebakaran kedua di Jalan Gambier yang menempatkan deretan rumah kedai zaman kolonial dan bangunan bersejarah di bandaraya ini. - BERNAMA

Posting Terkini

Berita Popular Bulan Ini