BANDAR GAZA: Menteri Pertahanan Israel, Encik Ehud Barak, semalam berkata askar Israel hampir mengepung seluruh bandar Gaza dan operasi akan diteruskan sehingga rakyat Israel selamat daripada serangan roket militan Palestin.
'Bandar Gaza sudah dikepung sebahagiannya. Kami sudah membedil Hamas habis-habisan, tetapi kami belum mencapai matlamat,' kata Encik Barak kepada parlimen Israel.
'Kami akan lakukan apa saja untuk melindungi rakyat kami. Kami mahu serangan ke atas rakyat dan askar kami dihentikan,' tegasnya.
Askar Israel semalam membedil rumah, masjid dan terowong di Jaluran Gaza dari udara, darat dan laut, mengakibatkan 24 orang terkorban, menjadikan angka korban sejauh ini 538 orang.
Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert, menolak rayuan Presiden Perancis, Encik Nicolas Sarkozy, dan Presiden Russia, Encik Dmitry Medvedev, agar dihentikan operasi.
Pemimpin Hamas, Encik Mahmoud Zahar, yang ditukil stesen televisyen Hamas, Al Aqsa TV, semalam menggesa pejuang Hamas 'mengganyang' askar Israel dan menyerang penduduk awam, termasuk sekolah dan saumaah di Israel.
Encik Zahar membayangkan militan akan menyerang sasaran penduduk awam Israel dan sasaran Israel di tempat lain.
'Pemimpin Israel menghalalkan pembunuhan rakyat mereka di serata dunia apabila mereka membunuh rakyat kami,' tegas Encik Zahar.
Sementara itu, satu misi Kesatuan Eropah (EU) diketuai Menteri Luar Republik Czech, Encik Karel Schwarzenberg, semalam mengadakan rundingan dengan Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, di pusat peranginan Sharm el-Sheikh bagi merintis satu gencatan senjata dan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza.
'Misi kami bertujuan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,' kata Encik Schwarzenberg.
Menteri Luar Mesir, Encik Ahmed Abul Gheit, berkata: 'Rundingan dengan Presiden Mubarak adalah mengenai situasi di Gaza, cara mencapai gencatan senjata segera dan membuka laluan (Rafah).'
Ketua dasar luar EU, Encik Javier Solana, berkata EU 'sedang berusaha mewujudkan gencatan senjata... lebih cepat, lebih baik'.
Hamas turut diundang untuk berunding dengan para pegawai Mesir.
'Kami diundang Mesir untuk pergi ke Kahirah. Kami mahu ditamatkan segera pencerobohan Israel dan sekatan ditarik balik. Kami mahu mendengar usul Mesir,' kata Encik Ossama Hemdan, seorang pegawai Hamas berpangkalan di Beirut.
Presiden Perancis, Encik Nicolas Sarkozy, Menteri Luarnya, Encik Bernard Kouchner, dan satu delegasi menteri Eropah juga tiba di Timur Tengah semalam.
Sementara itu, pesawat Israel melancarkan 30 serangan udara malam kelmarin, termasuk ke atas sebuah masjid di Jabaliya yang didakwa menyimpan sejumlah senjata dan ada terowong bawah tanah.
Hamas dan Jihad Islam membalas serangan dengan melepaskan bedilan roket Qassam, Grad atau Katyusha. Polis Israel berkata 24 roket gugur di wilayah Israel semalam, mengena dua rumah tetapi tiada sesiapa cedera.
Semalam panglima Pengawal Revolusi Iran, Brigediar Jeneral Mirfaysal Bagherzadeh, menggesa negara Islam menggunakan minyak sebagai senjata bagi menamatkan pertempuran di Gaza.
Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, pula menggesa dipulau dolar Amerika dan produk Amerika, termasuk Coca-Cola, sebagai membantah sokongan Washington terhadap Israel. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment