Pages

Wednesday, April 13, 2011

Permainan jahat polis halang peguam jumpa tahanan ISA


KUALA LUMPUR: Tindakan polis menghalang peguam berjumpa mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Kadir Hashim di Bukit Aman semasa keluarganya dibenar melawat beliau pagi tadi adalah permainan jahat polis untuk menafikan hak tahanan, kata Murni Hidayah Anuar.
Peguam daripada Lawyers for Liberty (LFL) itu yang mewakili keluarga Kadir berkata, sikap polis yang sengaja tidak memberi kebenaran seumpama itu bukan kali pertama terjadi apabila seseorang individu ditahan di bawah ISA.
“Polis sengaja berniat jahat dengan menafikan hak Kadir untuk bertemu peguam dan ini perlu kerana kami mahu berjumpa untuk bercakap sendiri dengannya bagi menyiapkan afidavit.

“Bagaimanapun kami (peguam) akan mendesak polis supaya memberi kerjasama untuk kami berjumpa dengan Kadir,” kata Murni dalam sidang media di hadapan balai itu dekat sini, hari ini.
Turut serta dalam sidang media itu, peguam dari LFL, Afiq Mohd Noor.
Kadir, 42, seorang peniaga tomyam yang juga ahli KEADILAN Cabang Lembah Pantai ditangkap polis 1 April lalu mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan terlibat dalam kegiatan subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit.
Beliau yang kudung pergelangan tangan kiri ditahan polis Bukit Aman di rumahnya di Kampung Bukit Kerinchi kira-kira jam 6.00 petang.
Kadir hanya dibenar berjumpa ahli keluarganya hari ini setelah 13 hari ditahan tanpa sebarang khabar berita.
Ibunya, Mah Mat Idris hadir bersama abang Kadir, Hisham Hashim dan mereka hanya dibenar bertemu Kadir kira-kira sejam.
Hadir sama, penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Nalini E.
Mengulas lanjut, Murni turut meluahkan kekecewaannya kerana sikap polis yang tidak mahu bekerjasama ketika dihubungi bagi mengetahui perkembangan Kadir.
“Saya kecewa dengan tindakan polis, walaupun sudah dihubungi beberapa kali, mereka tidak mahu beri kerjasama kepada kami.
“Walaupun surat kami telah hantar minggu lepas, tetapi polis tetap tidak memberi kebenaran meskipun keluarga sendiri untuk berjumpa tahanan. Baru semalam polis hubungi keluarga untuk datang hari ini, tetapi tidak menghubungi kami selaku peguam kepada Kadir,” ujarnya.
Tegas Murni, sekiranya polis masih berkeras tidak mahu bekerjasama dengan peguam, beliau akan berbincang untuk memfailkan habeas corpus bagi pihak Kadir.
“Memandangkan polis tidak mahu bekerjasama dengan pihak peguam, kami akan berbincang untuk memfailkan habeas corpus,” ujarnya.

No comments:

Posting Terkini