Pages

Thursday, April 7, 2011

Perancis adakan debat kontroversial mengenai amalan Muslim


PARIS: Parti konservatif Perancis yang memerintah mengadakan satu perdebatan kontroversial mengenai amalan agama Islam kelmarin.

Namun, ia menolak dakwaan taksub bangsa dan berkata langkah mengemukakan isu itu boleh membantu menyekat kepopularan parti sayap paling kanan.

Presiden Nicolas Sarkozy menyeru supaya diadakan perbincangan mengenai Islam dan sekularisme.

Usaha ini dilakukan bagi menangani kebimbangan bahawa beberapa perlakuan Muslim secara terang-terangan, termasuk solat di jalan raya dan pemakaian burka, menghakis identiti sekular Perancis.


Dengan kepopularannya pada tahap terendah setahun menjelang pilihan raya presiden, Encik Sarkozy dituduh cuba memenangi kembali hati pengundi sayap kanan yang semakin tertarik kepada parti Barisan Nasional di bawah pemimpin barunya, Cik Marine Le Pen.

Belum pun bermula, perdebatan itu dicemari kritikan daripada pemimpin-pemimpin agama, pemulauan oleh kumpulan Islam terbesar Perancis serta ketidakhadiran Perdana Menteri Francois Fillon.

'Segala-galanya yang mungkin telah dilakukan bagi menghalang perbincangan ini. Tetapi kami tidak mengalah... sebab rakyat Perancis yang menggesa ia diadakan,' kata setiausaha agung Parti Majoriti Popular (UMP) Encik Sarkozy, Encik Jean-Francois Cope.

'Kurangnya satu isu bererti kurang satu hujah pilihan raya bagi Marine Le Pen,' katanya.

Perbincangan itu dihadiri oleh beberapa menteri; ketua rabai, Encik Gilles Bernheim; dan wakil-wakil agama lain, namun tiada pemimpin Islam menyertainya.

Kumpulan-kumpulan Islam menuduh UMP menjadikan agama itu sasaran mereka.

Islam agama kedua terbesar di Perancis dengan lima hingga enam juta penganut, selepas Roman Katolik, menurut perangkaan pemerintah.

'Tujuan perdebatan ini hanya satu iaitu mengekalkan UMP dalam perhatian media menjelang pilihan raya,' kata Encik Hassan Ben M'Barek daripada 'Banlieues Respect' yang merancang membahagi-bahagikan bintang-bintang hijau berbucu lima bagi membantah langkah mencari kesalahan Islam itu.

'Jelas sekali, hal ini menggalak fobia terhadap Islam,' katanya.

Pemerintahan UMP sudah pun melarang penggunaan tudung cara Islam di sekolah serta pemakaian burka di khalayak ramai. -- Reuters.

Everyone is a genius at least once a year. The real geniuses simply have their bright ideas closer together. Failure is simply the opportunity to begin again, this time more intelligently.


No comments:

Posting Terkini