Pages

Thursday, September 16, 2010

Menara Eiffel ditutup seketika ekoran ancaman bom

PARIS: Polis memindahkan lebih 2,000 pengunjung dari Menara Eiffel dan kawasan taman yang menjadi tumpuan di sekitar Paris susulan amaran bom kelmarin.

Menurut polis, syarikat yang menguruskan Menara Eiffel menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali sekitar 8.20 malam (waktu tempatan).

Susulan panggilan itu, unit khas dilengkapi anjing pengesan diarah ke menara tersebut untuk mencari bom di setiap tingkat.

Sebahagian daripada stesen kereta api bawah tanah Saint-Michel, berdekatan gereja Nortre Dame, turut ditutup ekoran amaran bom yang serupa.

Namun, selang tiga jam kemudian, kawasan di sekeliling Menara Eiffel dibuka semula kepada orang ramai apabila tidak ada bom dikesan.

Stesen Saint-Michel turut dibuka semula menjelang tengah malam.

Stesen itu merupakan sasaran serangan pengganas pada 1995, yang menyebabkan lapan orang terkorban.

Ancaman bom itu dibuat selang beberapa jam selepas Parlimen Perancis meluluskan rang mengharamkan pemakaian purdah dan burqa oleh wanita Islam.

Undang-undang itu akan dilaksanakan sepenuhnya awal tahun depan jika keputusan itu tidak ditukar hakim kanan Perancis.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada ancaman bom itu mempunyai kaitan dengan undang- undang baru itu.

Kelmarin, Dewan Senat meluluskan pindaan itu dengan 246 undian menyokong dan hanya satu undi membantah.

Majlis Perlembagaan kini diberi tempoh sebulan untuk mengesahkan sama ada undang- undang itu sah atau tidak.

Jika dilaksanakan, ia memperuntukkan tempoh enam bulan bagi proses penerangan kepada wanita yang sudah memakai purdah atau burqa.

Golongan itu boleh dikenakan denda sebanyak 150 euro ($260) sekiranya pemakaian burqa atau purdah di tempat umum diteruskan.

Suami atau saudara lelaki yang memaksa isteri atau adik beradik perempuan mereka mengenakan pakaian itu boleh dikenakan denda 30,000 euro dan dipenjarakan. -- Agensi.



No comments:

Posting Terkini