Pages

Wednesday, May 19, 2010

Hartawan China dihukum jel 14 tahun

BEIJING: Seorang peruncit peralatan yang pernah menjadi ahli perniagaan terkaya di China telah dihukum penjara selama 14 tahun atas kesalahan berdagang saham berdasarkan maklumat dalaman, rasuah dan beberapa kesalahan lain, dalam kes salah laku terbaru melibatkan hartawan-hartawan China.

Encik Huang Guangyu telah membina syarikat Gome Electronics menjadi penyedia peralatan terbesar China dan pernah dianggarkan mempunyai aset bernilai AS$6.3 bilion ($8.8 bilion).

Kejatuhannya dengan secara mendadak mencerminkan status tidak menentu para usahawan China, yang mana suasana ekonominya yang tumbuh melambung telah menghasilkan puluhan hartawan.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin perniagaan telah dikenakan hukuman penjara atas kesalahan-kesalahan kewangan.

Keputusan oleh sebuah mahkamah Beijing itu telah diumumkan oleh pihak pendakwa tertinggi China dan dilaporkan pada berita tengah hari stesen televisyen negara itu.

Seorang penyambut tamu bagi pihak peguam bela Encik Huang berkata pasukan pembelaan itu enggan membuat sebarang ulasan.

Encik Huang ditahan pada November 2008 dan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Gome pada tahun berikutnya.

Encik Huang juga dituduh menjalankan 'operasi haram' dan membocorkan maklumat, kata pemerintah China.

Stesen televisyen China News Service berkata pertuduhan-pertuduhan terhadapnya termasuk pembayaran rasuah sebanyak 4.6 juta yuan ($941,160) kepada lima kakitangan pemerintah dan menjalankan dagangan saham Gome berdasarkan maklumat dalaman bernilai 1.4 bilion yuan.

Salah seorang kakitangan itu, bekas timbalan pengarah jabatan jenayah Kementerian Keselamatan Awam China, Encik Xiang Huaizhu, telah dibicarakan pada Mac lalu atas dakwaan mengambil 1.4 juta yuan dalam bentuk rasuah daripada Encik Huang, menurut laporan-laporan berita awal dari ini.

Namun, belum ada keputusan yang diumumkan sejauh ini.

Beberapa hartawan yang pernah berada dalam senarai terkaya di China juga dipenjarakan selepas terbabit dalam beberapa kegiatan menyalahi undang-undang.

Encik Huang mungkin menghadapi masalah tambahan atas dakwaan memanipulasi harga saham, menjana wang haram, pemindahan aset secara haram dan mengelak daripada cukai.

Isterinya, Cik Du Juan, juga disiasat dan pihak berkuasa Hongkong telah membekukan aset mereka di sana. -- AP.



No comments:

Posting Terkini