Pages

Wednesday, February 25, 2009

269 Calon Bertanding Pada Pemilihan Umno Mac Ini

KUALA LUMPUR, 24 Feb-- Pemilihan Umno yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan akan menyaksikan 269 calon bertanding merebut pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno dan ketiga-tiga sayap parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Samsudin Osman berkata hanya seorang calon yang layak bertanding telah menarik diri daripada pemilihan kali ini.

"Kita telah menerima surat daripada Datuk Mohammed Radzi Manan yang menarik diri daripada bertanding untuk jawatan ahli Majlis Tertinggi," katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan menentukan nombor calon di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ialah calon tunggal untuk jawatan presiden parti.

Tiga calon iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohamed Ali Rustam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden.

Lapan calon pula akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden iaitu Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, bekas Menteri Wilayah Persekutan Tan Sri Isa Abdul Samad, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim dan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Seramai 51 calon telah mengesahkan untuk bertanding bagi mengisi 25 kerusi Majlis Tertinggi Umno.

Dua calon akan berentap merebut jawatan Pengerusi Tetap iaitu penyandangnya Tan Sri Onn Ismail dan anggota Parlimen Jerai Datuk Paduka Badruddin Amiruldin manakala dua lagi calon iaitu anggota Parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz dan Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman akan bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap.

Bagi Pergerakan Wanita pula, jawatan ketua akan ditandingi dua calon iaitu penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz dan Penasihat Hal Ehwal Wanita kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ahli Exco Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim ialah calon tunggal untuk jawatan naib ketua pergerakan itu.

Seramai 50 calon mengesahkan akan merebut 25 kerusi jawatankuasa pergerakan itu, dan empat calon pula bertanding untuk jawatan timbalan pengerusi tetap.

Pengerusi Tetap Wanita Umno Tan Sri Napsiah Omar ialah calon tunggal bagi mempertahankan jawatan itu.

Pergerakan Pemuda menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan naib ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin untuk merebut jawatan ketua.

Dua calon pula mengesahkan bertanding jawatan naib ketua iaitu anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Reezal Merican Naina Merican manakala 65 calon akan merebut 25 tempat dalam jawatankuasa pergerakan.

Dua calon pula berentap bagi jawatan pengerusi tetap pergerakan itu iaitu penyandangnya Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Rami Simbok dari bahagian Puchong manakala enam calon lagi mengesahkan bertanding jawatan timbalan pengerusi tetap Pemuda Umno.

Pergerakan Puteri pula menyaksikan pertandingan enam penjuru untuk jawatan ketua iaitu ketua penerangan pergerakan itu Datuk Shahaniza Shamsuddin, naib ketua Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, anggota Exco Puteri Datin Ismalina Ismail, setiausaha Puteri Bibi Sharliza Mohd Khalid, pengerusi tetap Puteri bahagian Petaling Jaya Utara Ida Rahayu Md Noor dan bekas ketua Puteri cawangan OUG, bahagian Seputeh Saarah Ali Bashah.

Jawatan naib ketua Puteri ditandingi lima calon iaitu Nolee Ashilin Mohammed Radzi dari bahagian Lembah Pantai, Shahanim Mohod Yusoff (Sungai Petani), Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Pasir Salak), Norrdiana Shafie (Kuala Terengganu) dan Haslina Mohd Zerain (Ampang) manakala 53 calon pula bertanding untuk kerusi jawatankuasa pergerakan itu.

Bagi jawatan pengerusi tetap Puteri dua calon akan bertanding iaitu Roslinda Abdul Rahman (Rasah) dan Azlieza Azizan (Tangga Batu) dan jawatan Timbalan Pengerusi Tetap pula akan ditandingi tiga calon iaitu Haspalela Mohammed Hassan (Pulai), Zakiah Kalipunya (Semporna) dan Rosmarynda Mohamad Rasidi (Bandar Tun Razak).

Samsudin berkata kesemua calon masih boleh menarik diri sekalipun cabutan nombor yang menentukan kedudukan mereka pada kertas undi sudah ditentukan.

"Kita belum cetak kertas undi, jadi kita boleh keluarkan nama mereka," katanya.

Samsudin berkata pada pemilihan kali ini, mereka bercadang memperkenalkan sistem pengiraan undi secara berkomputer bagi mempercepatkan proses.

"Apa yang kita lakukan ialah menggunakan kertas undi yang boleh diimbas oleh komputer, tetapi proses pengundian tetap dijalankan secara manual," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan akhir mengenai perkara itu terletak di tangan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Kami cuma akan mencadangkan kepada MT selepas mesyuarat pada 13 Mac ini," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini