Pages

Sunday, February 1, 2009

IPF tidak mahu gopoh

PETALING JAYA: Presiden Barisan Progresif India (IPF), Puan Sri Jayashree Gnanapandithan tidak mahu tergopoh-gopoh untuk menerima pelawaan rakan sejawatannya dari MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu semalam agar kedua-dua parti itu bergabung.

"Saya tidak mahu tergopoh-gopoh dalam hal ini. Saya kena berbincang dengan ahli-ahli saya terlebih dahulu," kata isteri mendiang Tan Sri M.G. Pandithan itu kepada mStar Online.

Jayashree yang mengetuai IPF sebelum kematian Pandithan tahun lalu mengesahkan Samy Vellu ada menghubungi beliau pagi semalam.

Kata Jayashree, beliau telah memaklumkan kepada Samy Vellu cadangan itu memerlukan perbincangan mendalam di kalangan pemimpin dan ahli IPF.

"Ini bukan soal saya mahu atau tidak... ia melibatkan IPF, bukan saya seorang. Jadi kena berbincang sebelum membuat keputusan muktamad," katanya lagi.

Samy Vellu, kata Jayashree, menerima pendirian tersebut.

Ketika ditanya sama ada secara peribadi mengalu-alukan pelawaan itu, Jayashree menambah, ia bukan soal sama ada beliau menyambut baik ataupun sebaliknya tetapi mahu ia dihalusi secara mendalam dengan mendapatkan input semua pihak dalam IPF.

Katanya, IPF lazimnya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada hari Ahad."Esok (hari ini) tidak kesempatan untuk memanggil mesyuarat CWC dan kemudian disusuli dengan sambutan Thaipusam dan tidak sempat minggu depan.

"Jadi kita kena menunggu sehingga selepas sambutan Thaipusam untuk berbincang di peringkat CWC," katanya.

semalam Samy Vellu mempelawa IPF, yang ditubuhkan oleh pemimpin yang beliau pecat dua dekad yang lalu, untuk bergabung dengan parti itu bagi menyatupadukan kaum India.

"Kami akan memberikan penghormatan sewajarnya dan akan melayan mereka seperti saudara kami sendiri," kata samy Vellu.

Samy Vellu berkata, beliau akan menghantar surat kepada Jayashree mengenai kemungkinan kedua-dua parti bergabung.

IPF ditubuhkan oleh Pandithan selepas dipecat pada 1988 dan pernah menganggotai Gagasan Rakyat sebelum kembali menyokong Barisan Nasioanl (BN) sejak pilihan raya umum 1995.

Sejak itu, IPF berusaha untuk menjadi anggota BN tetapi dihalang oleh Samy Vellu.

Samy Vellu telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan IPF sejak lima tahun lalu, tetapi ini kali pertama mempelawa untuk bergabung.

Presiden MIC yang lama berkhidmat itu menambah, pihaknya turut mempelawa semua bekas anggota IPF untuk menyertai parti berkenaan.


No comments:

Posting Terkini