Pages

Saturday, September 6, 2008

Nicol dipaksa berhempas-pulas


KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dipaksa berhempas- pulas hampir sejam sebelum melayakkan diri ke suku akhir Terbuka Belanda di Amsterdam, semalam.

Pemain nombor satu dunia dan penyandang juara itu memerlukan 58 minit untuk mengetepikan pemain bukan pilihan, Isabelle Stoehr dari Perancis 11-9, 9-11, 11-6, 11-5.

Nicol, yang memburu kejuaraan ketujuh berturut-turut dalam sirkit skuasy profesional dunia tahun ini, kini akan berdepan pemain England, Laura Lengthorn-Massaro.

Lengthorn-Massaro, pilihan keenam kejohanan turut dipaksa berkerja keras ketika menewaskan lawan dari Hong Kong, Rebecca Chiu 11-8, 7-11, 11-8, 14-16, 11-7.

Walaupun mengharungi aksi pembukaan yang mendebarkan, namun bagi Nicol tiada apa yang mencemaskan dengan permainannya semalam.

"Perlawanan pusingan pertama biasanya memang seperti ini kerana anda baru hendak menyesuaikan diri dengan keadaan kejohanan dan gelanggang, lagi pun Isa (Stoehr) memberi ruang yang terhad untuk saya bergerak.

"Saya memulakan permainan dengan baik, namun dia merubah corak permainannya pada set kedua, dan tidak banyak yang dapat saya lakukan ketika itu.

"Saya tahu saya perlu mengembalikan rentak permainan jika mahu memenangi perlawanan ini, pada akhirnya semua pukulan dan gerakan saya kembali seperti yang diharapkan,'' kata Nicol.

Nicol, 25, telah memenangi enam kejuaraan Wispa (Persatuan Pemain Skuasy Profesional Wanita Antarabangsa) sepanjang 2008 - Terbuka Apawamis, Kuala Lumpur, Britain, Seoul, Malaysia dan Singapura Masters.

Sementara itu Lengthorn-Massaro mengakui, pertemuan dengan Nicol di suku akhir merupakan ujian paling sukar, apatah lagi selepas dia diheret dalam pertarungan satu jam tujuh minit ketika menewaskan Rebecca.

"Saya tidak sangka perlawanan akan berlangsung sesengit ini (menentang Rebecca), dia bermain dengan lebih baik berbanding sebelumnya dan ia benar-benar mengejutkan.

"Perlawanan ini agak meletihkan dan ia bukan persiapan yang bagus untuk menghadapi Nicol, apa pun saya tetap akan memberikan tentangan terbaik di suku akhir,'' kata Lengthorn-Massaro.

Pemain adik-beradik Grinham, Natalie dan Rachael turut meneruskan cabaran ke suku akhir dan menjadi calon utama untuk menentang Nicol di final nanti.

Semalam, Natalie mudah mengetepikan Lauren Brings dari England 11-2, 11-3, 11-4 untuk bertemu bekas juara dunia dan rakan senegara dari Belanda, Vanessa Atkinson.

Rachel pula menumpaskan Dominique Lloyd-Walter dari England 11-6, 11-8, 11-8 untuk menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain England dan pilihan kelapan, Alison Waters.
Sumber

No comments:

Posting Terkini