Pages

Thursday, November 12, 2009

Penyerang pernah hubungi ulama radikal

WASHINGTON: Agensi perisikan Amerika Syarikat mendapat tahu bahawa Mejar Nidal Malik Hasan, yang menembak mati 13 orang di pangkalan tentera Fort Hood minggu lalu, pernah menghubungi Anwar al-Awlaki, ulama radikal yang bersimpati dengan Al-Qaeda, tahun lepas.

Para pegawai berkata Biro Siasatan Federal (FBI) dan Pasukan Petugas Bersama Pengganasan (JTTF) pernah menyiasat e-mel yang dihantar Mejar Hasan kepada Al-Awlaki.

Tetapi kedua-dua pasukan petugas itu merumuskan bahawa komunikasi itu tidak menimbulkan sebarang ancaman. Ini kerana ia termasuk sebahagian daripada kajian Mejar Hasan mengenai umat Islam, pihak tentera dan tekanan postrauma di kalangan askar Amerika yang pulang dari Iraq dan Afghanistan.

Oleh sebab itu, kedua-dua pasukan petugas itu tidak memberitahu Jabatan Pertahanan mengenai komunikasi tersebut, kata seorang pegawai kanan pertahanan kelmarin.

Para pegawai pertahanan berkata mereka tidak tahu mengenai hubungan antara Mejar Hasan dengan Al-Awlaki sehingga selepas berlakunya pembunuhan itu.

'Tidak ada unit tentera atau Jabatan Pertahanan yang tahu mengenai hubungan beliau dengan kumpulan pelampau,' kata pegawai itu.

Namun, para pegawai mengakui ada seorang penyiasat Jabatan Pertahanan, yang juga anggota Perkhidmatan Siasatan Jenayah Pertahanan, tahu mengenai hubungan Mejar Hasan dengan Al-Awlaki, tetapi tidak berkongsi maklumat perisikan itu dengan pihak tentera. Isu tersebut kemudian ditutup dan siasatan tidak diteruskan.

Sebenarnya, sejak itu banyak perkara telah berlaku. Ini termasuk Mejar Hasan membeli dua pucuk senjata api pada 1 Ogos lalu, dan beliau pernah menulis mengenai serangan bom nekad di sebuah laman web enam bulan dulu.

Senjata itu ternyata digunakan Mejar Hasan semasa menembak mati 13 orang di Fort Hood minggu lalu.

Satu pembentangan kertas kerja olehnya mengenai dilema askar Amerika beragama Islam yang berdepan dengan 'konflik agama' turut merisaukan rakan-rakannya di kem Walter Reed.

Di Washington, para pegawai keselamatan dan pakar pengganasan kini mempersoalkan sama ada para pegawai tidak memanfaatkan maklumat perisikan atau tidak mengambil berat ancaman yang ditimbulkan Mejar Hasan. -- AP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini