Pages

Saturday, July 11, 2009

Pemimpin negara kaya bertemu di Italy

L'AQUILA (Italy): Para pemimpin negara membangun dan terkaya dunia mengadakan pertemuan di Italy semalam bagi mencapai persetujuan mengenai pemanasan sejagat dan perdagangan antarabangsa.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dijadualkan mempengerusikan rundingan mengenai perubahan iklim itu.

Namun, harapan untuk mencapai sebarang persetujuan menjadi malap selepas China dan India menolak tuntutan agar pengeluaran gas rumah kaca dikurangkan sehingga separuh menjelang 2050.

Keadaan ekonomi dunia yang masih rapuh dijangka turut menjadi tajuk perbincangan pada hari pertama sidang puncak Kumpulan Lapan (G8) yang dihadiri Amerika, Jepun, Jerman, Perancis, Britain, Italy, Canada dan Russia itu.

Mereka akan cuba mencapai persetujuan untuk mengehadkan pemanasan sejagat kepada 2 darjah Celsius dan berikrar akan mengurangkan pengeluaran gas rumah kaca antara 50 dengan 80 peratus menjelang 2050.

Sejauh ini suhu dunia telah meningkat sekitar 0.7 darjah Celsius.

'Saya berharap matlamat 2 darjah Celsius ini dapat dipersetujui semua negara yang hadir hari ini,' kata Perdana Menteri Britain, Encik Gordon Brown, sebelum rundingan bermula semalam.

Namun, sebarang kemajuan mungkin mengalami kegenjotan kerana Presiden China, Encik Hu Jintao, telah menarik diri daripada sidang puncak itu untuk menangani masalah rusuhan kaum di wilayah Xinjiang yang telah mengorbankan 156 jiwa Ahad lalu.

Para perunding India pula berkata negara-negara membangun mahu melihat negara-negara kaya menyediakan dana bagi membantu mereka menangani masalah banjir, ribut dan paras air laut yang meningkat.

Jepun pula berkata negara-negara kaya berharap dapat meyakinkan negara G5 bahawa langkah memperkenalkan amalan mesra alam tidak semestinya menjejas perkembangan ekonomi mereka.

Negara G5 terdiri daripada Brazil, China, India, Mexico dan Afrika Selatan.

Isu-isu ekonomi yang lebih luas juga merupakan agenda utama rundingan mereka semalam.

China, India dan Brazil mengutarakan saranan agar dunia mula mencari mata wang sejagat sebagai alternatif kepada penggunaan dolar Amerika.

Setiausaha Luar India, Encik Shivshankar Menon, berkata negara G5 telah menyarankan agar mata wang alternatif digunakan bagi urus niaga di antara kumpulan tersebut.

Awal daripada itu, negara G8 turut mengeluarkan satu kenyataan yang mengutuk ujian nuklear yang dilancarkan Korea Utara pada 25 Mei lalu.

Menurut kenyataan tersebut, ujian itu menjejas keamanan dan kemantapan di rantau itu. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini