Pages

Saturday, July 11, 2009

Korea Utara disyaki dalang godam komputer

SEOUL: Korea Utara telah dikenal pasti oleh agensi risikan utama Korea Selatan sebagai suspek serangan siber yang menyasarkan laman web pemerintah dan laman web lain di Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Pakar komputer berkata serangan siber adalah mudah dan murah untuk dilakukan dengan mengupah pihak asing.

Serangan itu mula melumpuhkan laman web di Amerika mulai cuti hujung minggu Hari Kemerdekaan pada 4 Julai lalu dan di Korea Selatan mulai Selasa lalu.

Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan memberitahu Ahli Jawatankuasa Perisikan Parlimen kelmarin bahawa Pyongyang atau pihak yang bersimpati dengannya dipercayai dalang serangan itu.

Namun agensi perisikan itu enggan mengesahkan maklumat tersebut tetapi menyatakan dalam satu kenyataannya bahawa kecanggihan serangan itu menunjukkan ia dilakukan pada peringkat tinggi, bukannya penggodam biasa.

Serangan siber besar-besaran yang dilaporkan sebenarnya lebih meluas daripada jangkaan awal dan turut melibatkan Rumah Putih, Pentagon, Bursa Saham New York dan beberapa lagi laman web rasmi.

'Ia satu serangan yang besar,' kata Encik Johannes Ullrich, Ketua Pegawai Teknologi SANS Internet Storm Center.

Berdasarkan analisis awal, sasaran-sasaran serangan itu meliputi Agensi Keselamatan Nasional (NSA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Nasdaq dan Washington Post.

Bagaimanapun, serangan siber ke atas Rumah Putih 'langsung tidak memberi kesan ke atas operasi hariannya', kata jurucakap Encik Nick Shapiro.

'Langkah-langkah pencegahan berjaya mengekalkan laman web WhiteHouse.gov daripada digodam dan masih boleh diakses orang awam,' katanya. -- AP.

No comments:

Posting Terkini