Pages

Wednesday, June 17, 2009

YAHOO! LUASKAN WADAH LUNGSUR INTERNET MELALUI TELEFON BIMBIT

SYARIKAT Internet, Yahoo! akan meluaskan wadah telefon bimbitnya di rantau Asia Pasifik dalam usaha menarik pelanggan yang lebih gemar melungsur Internet melalui telefon bimbit daripada komputer.

Yahoo! Mobile kini disediakan di Singapura, Australia, Malaysia, Taiwan, Argentina, Brazil, Italy, Mexico dan Sepanyol, menurut wakil syarikat yang mengumumkan perluasan itu pada pameran dagangan CommunicAsia 2009 di Singapura semalam.

Yahoo! Mobile menawarkan kandungan setempat yang dapat diakses menggunakan lebih 400 jenis telefon bimbit.

'Dengan produk seperti Yahoo! Mobile kami merancakkan lagi industri telefon bimbit dan mewujudkan permintaan pelanggan dengan khidmat Internet yang menarik di pelbagai wadah alat bimbit,' kata Naib Presiden Kanan Yahoo! Mobile, Encik David Ko, dalam taklimat akhbar semalam.

Pengarah Urusan Yahoo! Mobile Asia Pasifik, Encik Matthias Kunze, berkata lebih ramai pengguna baru Internet akan menggunakan telefon bimbit daripada komputer peribadi (PC).

Yahoo! Mobile kini ditawarkan di 17 negara termasuk di Eropah, Asia, Benua Amerika dan versi setempat tambahan dijangka dilancarkan menjelang beberapa bulan mendatang, menurut syarikat itu.

Khidmat itu mula ditawarkan di Amerika Syarikat, Canada, Britain, Jerman, Perancis, Indonesia dan Filipina.

No comments:

Posting Terkini