Pages

Sunday, June 14, 2009

Khalid mengaku terlepas pandang isu SIS

SHAH ALAM: Yang Dipertua Pas, Shah Alam Khalid Samad, hari ini mengakui kesilapannya yang terlepas pandang mengenai usul yang dibawa oleh Dewan Muslimat kawasan itu mengenai isu membabitkan badan bukan kerajaan (NGO,) Sisters In Islam (SIS), yang mendapat reaksi pelbagai pihak.

Usul itu yang dilulus tanpa bahas pada hari terakhir Muktamar Pas ke-55 di sini Ahad lalu mendapat bantahan daripada kalangan pemimpin pakatan pembangkang, NGO dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khalid berkata, beliau telah mengesan ketidaksesuaian ayat di dalam usul itu yang agak sensitif dan telah mengarahkan Dewan Muslimat memperbetulkan ayat itu agar sesuai dengan konsep dakwah Islam pada mesyuarat khas bagi membincangkan usul-usul dari Shah Alam pada 23 April lalu.

"Usul itu telah dibawa oleh Dewan Muslimat semasa Mesyuarat Agung Pas Shah Alam pada 19 April," katanya pada sidang akhbar khas bagi menerangkan isu itu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak membuat semakan lanjutan terhadap usul berkenaan sebelum dihantar ke Pas Pusat kerana terlalu sibuk dalam persiapan penganjuran Muktamar Pas dan juga pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada hujung Mei lalu.

Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam berkata, beliau akan menulis surat kepada Pas Pusat dalam masa terdekat bagi menerangkan keadaan sebenar mengenai usul itu.

Katanya, beliau tidak diminta oleh Pas Pusat untuk memberi penjelasan mengenai isu ini tetapi beliau telah diminta untuk menguruskannya kerana usul itu dibawa oleh Pas Shah Alam.

Ditanya sama ada beliau akan meminta maaf kepada SIS, katanya beliau perlu meminta maaf kepada parti terlebih dahulu kerana kesilapannya itu.

Khalid berkata, beliau ada dihubungi oleh Pengurus Kanan SIS, Maria Chin Abdullah, dan beliau telah menerangkan maksud sebenar Dewan Muslimat di dalam usul itu.

"Pas Shah Alam mahu wakilnya mengadakan perbincangan dan perbahasan mengenai isu-isu agama dengan SIS dan bukannya mengharamkan SIS atau menahan ahli-ahlinya untuk dipulihkan fahaman mereka tentang Islam," katanya.

Usul itu antara lain menyatakan:

"(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal.

"Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya". - Bernama

No comments:

Posting Terkini