Pages

Wednesday, June 17, 2009

JEPUN LARANG EKSPORT KE KOREA UTARA SEBAGAI HUKUMAN

TOKYO: Jepun semalam melarang semua eksport ke Korea Utara bagi menghukum negara komunis itu kerana ujian bom nuklear dan peluru berpandunya yang terbaru.

'Kabinet telah meluluskan larangan penuh ke atas eksport ke Korea Utara,' kata seorang pegawai Kementerian Perdagangan, Encik Masaru Yamazumi.

'Larangan itu akan berkuatkuasa sehingga 13 April tahun depan. Kami telah meluaskan larangan itu untuk merangkumi semua barangan,' tegas beliau.

Kabinet Perdana Menteri Taro Aso menyetujui sekatan baru tersebut awal dari itu, kata para pegawai, tanpa memberi butir lanjut.

Langkah terbaru Tokyo itu dibuat sewaktu timbul kebimbangan Korea Utara mungkin melancarkan satu ujian bom nuklear selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan sekatan lebih ketat ke atas negara itu sebagai tindak balas terhadap ujian nuklear dan peluru berpandu yang dijalankannya pada 25 Mei.

Korea Utara semalam dilaporkan telah selesai membuat persiapan bagi tapak pelancaran di Dongchang-ri, di pantai barat lautnya.

Akhbar Chosun Ilbo berkata gambar satelit menunjuk struktur itu setinggi 50 meter.

Ini bererti ia boleh melancarkan sebuah peluru balistik antara benua sepanjang 40 meter atau lebih panjang.

Kelmarin, para pegawai Amerika Syarikat berkata pentadbiran Obama akan mengarahkan tentera laut negara itu menahan dan meminta kebenaran memeriksa kapal Korea Utara yang disyaki membawa senjata atau teknologi nuklear.

Tetapi mereka tidak akan menaiki kapal secara paksa bagi melakukan pemeriksaan.

Para pegawai berkata Amerika akan melaporkan kapal yang enggan diperiksa kepada Majlis Keselamatan PBB.

Ketika sesebuah kapal itu dikesan dan pelayarannya dijejaki, Amerika akan meminta negara yang bakal disinggahinya supaya melakukan pemeriksaan.

Para pegawai berkata mereka yakin China juga akan menguatkuasa sekatan baru, termasuk tidak membenarkan kapal yang disyaki membawa senjata dan teknologi mengisi minyak atau mendapatkan bekalan. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini