Pages

Sunday, June 14, 2009

HADI AWANG KENAKAN SYARAT JIKA UMNO SETUJU TERUSKAN PERBINCANGAN

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan kini mengenakan syarat jika Umno dan Barisan Nasional (BN) bersetuju meneruskan perbincangan dengan parti itu.

Antara syarat beliau ialah menggesa kerajaan BN melaksanakan pemulihan terhadap demokrasi negara, sistem kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kebebasan media.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas apabila ditanya sama ada PAS akan bersetuju meneruskan perbincangan khususnya dalam isu kerajaan perpaduan jika kerajaan BN mematuhi syarat ditetapkan parti itu.

'Itu tak timbul lagi, saya tak mahu jawab benda akan datang... Saya utamakan dulu perbincangan untuk memulihkan demokrasi, kehakiman, kebebasan media... kita akan berjumpa (dengan Umno/BN) untuk isu ini saja,' katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa PAS Pusat, di sini, kelmarin.

Datuk Seri Abdul Hadi, dalam ucapan dasarnya pada Muktamar PAS Khamis lalu, membangkitkan semula idea pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara.

Ditanya bila PAS mahu membincangkan isu kerajaan perpaduan secara serius, beliau berkata isu itu tidak berbangkit.

Katanya, penjelasan kerajaan perpaduan hanya akan dilakukan jika pertanyaan itu datang daripada rakan dalam Pakatan Rakyat.

Ditanya kemungkinan timbul perpecahan dalam PAS sehingga mewujudkan dua kumpulan berbeza pendapat mengenai isu kerajaan perpaduan, Datuk Seri Abdul Hadi bukan saja menafikannya dan memberi komitmen terhadap Pakatan Rakyat, malah mahu PAS menyelesaikan dulu isu dalaman sama ada dalam parti dan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, di Kota Bharu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, melahirkan rasa marah terhadap pemimpin PAS yang mencetuskan idea penubuhan kerajaan perpaduan.

'Suara sumbang dari dalam PAS yang menyokong kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno. Pihak yang sokong perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas,' tegasnya.

Sambil menegaskan, beliau berpegang kepada keputusan Muktamar PAS di Ipoh, tahun lalu, yang membuat ketetapan mengukuhkan Pakatan Rakyat, Datuk Nik Aziz berkata, isu kerajaan perpaduan bukan dibangkitkan PAS, sebaliknya 'orang perpaduan' dalam parti itu. -- BHM, Utusan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini