Pages

Saturday, June 20, 2009

Berita Ringkas

26 terbunuh dalam tempuran

MOGADISHU (Somalia): Sekurang-kurangnya 26 terbunuh dalam satu pertempuran membabitkan polis dan puak pemberontak di sebuah masjid dengan kebanyakan mereka terkena bom mortar di Mogadishu, petang kelmarin.

Antara yang terbunuh ialah seorang komander kanan polis dan lima kanak-kanak.

Kejadian berlaku sebaik jemaah masjid selesai mengadakan solat asar, dengan 13 orang maut di tempat kejadian. -- AFP.

Miliki beribu tan senjata kimia

SEOUL: Korea Utara mempunyai beberapa ribu tan senjata kimia yang boleh dipasang pada peluru berpandu untuk menyerang Korea Selatan, menurut satu laporan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) semalam.

Menurut laporan itu, Korea Utara mempunyai antara 2,500 dengan 5,000 tan senjata kimia seperti gas mustard dan sarin.

Akhbar Jepun pula semalam melaporkan Korea Utara mungkin melancarkan peluru berpandu jarak jauh menghala ke Hawaii pada awal bulan depan. -- Reuters, AP.

Gempa bumi di tengah Taiwan

TAIPEI: Satu gempa bumi sederhana dengan kekuatan 5.1 pada skala Richter dilaporkan berlaku di wilayah tengah Taiwan, namun tiada sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Biro Pusat Cuaca negara itu berkata kejadian tersebut berlaku pada 1.17 pagi (waktu tempatan) dan berpusat kira-kira 22.4 kilometer dari wilayah Chiayi, di selatan Taiwan. -- AP.

Siku Clinton retak lepas terjatuh

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, jatuh dan sikunya retak semasa dalam perjalanan ke Rumah Putih kelmarin.

Cik Clinton, 61 tahun, dirawat di hospital George Washington dan dijadualkan menjalani pembedahan ke atas siku kanannya minggu depan. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini