Pages

Saturday, April 11, 2009

TIMUR TENGAH SEMAKIN SUKA OBAMA

KAHIRAH: Rantau Timur Tengah kian menyukai pemimpin baru Amerika Syarikat, Presiden Barack Obama, yang nyata berjaya menimbulkan rasa kagum di negara-negara Arab dan penduduk dunia yang beragama Islam dengan janji membuka lembaran baru dengan dunia Islam, minggu ini.

Ia perubahan besar di rantau itu, yang menyaksikan sepasang kasut melayang ke arah mantan Presiden Amerika, Encik George W. Bush.

Daya tarikan Encik Obama meningkatkan harapan terhadap perubahan dasar Amerika, yang sebelum ini membangkitkan kemarahan Arab dan Islam.

Apa yang dikehendaki ramai ialah penekanan Washington bagi penubuhan negara Palestin dalam usaha meredakan konflik Arab-Israel.

'Semua orang optimistik terhadap lelaki ini. Dia lain daripada yang lain dan mungkin boleh menjadi rakan dunia Islam,' kata Encik Nasser Abu Kwaik, seorang tukang gunting rambut di bandar Al-Beireh, Tebing Barat.

Lawatan Encik Obama ke Turkey minggu ini dipenuhi tanda muhibah kepada penganut Islam dan disiar secara langsung oleh rangkaian televisyen satelit Arab, seperti Al-Jazeera.

Tajuk utama yang menggembirakan ramai ialah apabila Encik Obama menegaskan 'Amerika tidak akan berperang dengan Islam', dan dalam ucapan kepada Parlimen Turkey, Encik Obama menyatakan ahli keluarganya beragama Islam.

Langkah beliau menghentikan ucapan sebelum azan menunjukkan beliau sudah biasa dengan kehidupan penganut Islam.

'Obama orang sederhana, dengan pandangan kemanusiaan terhadap isu dunia, terutama berkaitan Arab dan dunia Islam. Beliau tidak seperti Bush, yang angkuh dan hanya tahu menggunakan kuasa tentera,' kata Encik Jamal Dahan, 50 tahun, seorang penduduk di Beirut, Lebanon.

Negara tegar turut perasan. Presiden Iran, Encik Mahmoud Ahmadinejad, mengalu-alu rundingan dengan Amerika jika Encik Obama 'jujur'.

Ramai mahu Encik Obama membuktikan kata-katanya. -- AP.

No comments:

Posting Terkini