Pages

Saturday, April 18, 2009

SPR nak sekat kehadiran penyokong parti yang bertanding

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang memikirkan kaedah untuk mengehadkan bilangan kehadiran penyokong ketika hari penamaan calon, semasa pengundian dan lokasi pengumuman keputusan rasmi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengesahkan yang pihaknya sedang memikirkan perkara tersebut dan akan dibincangkan secara mendalam Rabu depan.

Kata beliau, perbincangan juga akan diadakan dengan parti-parti politik bagi mendapatkan pandangan dan kerjasama apabila pendekatan itu dikuatkuasakan kelak.

"Pendekatan baru ini akan dibincangkan pada Rabu depan," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

"Pendekatan baru ini bertujuan mengehadkan kehadiran penyokong parti-parti politik yang bertanding," katanya lagi.

Menurut beliau, makin lama makin ramai yang datang ketika hari penamaan calon dan hari pengundian.

"Jumlah yang datang semakin meningkat dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya lain... adalah ini sesuatu yang perlu, ini dilakukan untuk menunjukkan kekuatan parti politik masing-masing," kata beliau sambil menambah, "bagaimana hendak mengawal jika jumlah yang datang sampai 100,000 atau 200,000."

Sejak pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

No comments:

Posting Terkini