Pages

Wednesday, April 8, 2009

Senator minta lebih masa untuk Dewan Negara bersidang

KUALA LUMPUR: Dua Senator hari ini meminta kerajaan supaya memperuntukkan lebih banyak masa kepada Dewan Negara untuk bersidang.

Datuk Syed Ali Alhabshee, berkata pertambahan masa itu penting bagi membolehkan ahli Dewan Negara mengkaji dan membaca Rang Undang-Undang sebelum membahaskannya.

"Dewan ini akan dikenali sebagai rubber stamp sebab tak bahas sesuatu Rang Undang-Undang dan terus luluskan, sebab hari ini kita kena luluskan tujuh Rang Undang-Undang sampai malam.

"Sepatutnya sebelum kita bersidang, kita boleh buat kerja rumah. Takkan Rang Undang-Undang datang (dibentangkan) hari ini, hari ini juga hendak dibahas kerana kita pun hendak baca dulu," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2009.

"Saya rasa tidak adil kerana ia menyekat ahli Dewan, perlu lulus juga suka atau tidak suka. Jangan ikut tujuh hari bersidang, tujuh hari kena habis. Bagilah ruang ahli Dewan hendak bagi pendapat supaya Rang Undang-Undang dapat dibahas dan diluluskan secara berhemah," katanya.

Pendapat yang sama turut disuarakan oleh Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir yang khuatir jika sesuatu Rang Undang-Undang diluluskan tanpa berhemah, ahli Dewan juga yang akan dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan.

"Jika sesuatu berlaku siapa yang tanggungjawab, (orang akan kata) inilah Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang luluskan undang-undang. Jadi kami minta beri peluang dan masa kepada kami untuk mengkaji rang undang-undang ini," katanya. - Bernama

No comments:

Posting Terkini