Pages

Saturday, April 11, 2009

PROTON DIMINTA PERJELAS PENJUALAN FIRMA ITALY PADA HARGA 1 EURO

PULAU PINANG: Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dijangka memanggil Proton Holdings Bhd bagi mendapatkan penjelasan mengenai jualan MV Agusta pada harga satu euro ($1.99).

Pengerusi PAC, Datuk Azmi Khalid, berkata PAC ingin mendapatkan Proton Holdings menjelaskan mengenai jualan MV Agusta, sebuah firma pengeluar motosikal Italy pada 2006.

'Kami berharap untuk mendapatkan lebih banyak butiran maklumat mengenai jualan MV Agusta oleh syarikat pengeluar kereta nasional itu,' katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Proton telah mengambil alih kepentingan 57.75 peratus di dalam MV Agusta pada Disember 2004 pada harga 70 juta euro tetapi memutuskan menjual kepentingan itu setahun kemudian kepada GEVI s.p.a pada harga satu euro.

Selain itu, PAC merancang mendapatkan penjelasan lanjut daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

'Walaupun ia bukan tanggung jawab kami untuk memanggail GLC tetapi kami telah mengatur satu jadual untuk memanggil GLC bagi mendapatkan gambaran jelas, terutama sekali laporan kira-kira tahunan masing-masing yang tidak jelas,' katanya, sambil menyatakan sesi itu akan bermula minggu depan tetapi tidak mahu mendedahkan butiran nama agensi yang akan dipanggil.

Datuk Azmi menambah, PAC telah menerima banyak aduan daripada kontraktor dan pembekal yang cuba mendapatkan bantuan PAC untuk menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.

'Kami mendapati bahawa apabila kerajaan dapat menyediakan pakej rangsangan yang besar semasa kemelesetan ekonomi sekarang ini dan wangnya tidak dibayar, bermakna pakej itu sendiri tidak berkesan membantu menangani masalah di pasaran,' katanya.

Katanya tindakan itu akan secara tidak langsung merangsang ekonomi negara dan mencapai wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan konsep 'Satu Malaysia. Rakyat Dahulu. Prestasi Sekarang.' - Bernama.

No comments:

Posting Terkini