Pages

Monday, April 20, 2009

PKR tidak mahu Guan Eng bincang isu Fairus di media

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa supaya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar tidak terus membincangkan mengenai kes bekas Timbalan Ketua Menteri 1 dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin melalui media secara terbuka.

Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali berkata perbincangan secara terbuka hanya akan merugikan Pakatan Rakyat.

"Bagi pihak PKR saya meminta Ketua Menteri Pulau Pinang supaya tidak melanjutkan lagi perbincangan melalui media tentang kes Mohammad Fairus ini kerana ia hanya menguntungkan pihak lawan Pakatan.

"Hari ini (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan Lim telah sempat berbual dan saya percaya semua kekeliruan telah mereka selesaikan," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar ke mStar Online hari ini.

Semalam Lim mengakui secara peribadi beliau kurang gembira dengan perkembangan yang berlaku berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus baru-baru ini.

Bagaimanapun Lim berkata, demi semangat setiakawan dalam pakatan pembangkang, beliau menyerahkan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Dalam pada itu, Dr. Syed juga menjelaskan tindakan Mohammad Fairus melepaskan kerusinya sebagai ADUN Penanti dibuat berdasarkan pertimbangannya sendiri.

"Kami berharap SPR akan bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan tidak terpengaruh oleh sikap sesetengah pihak berkuasa yang seolah-olah cuba hendak mengelak pilihan raya kecil dari diadakan," katanya.

Bagaimanapun tambah beliau Umno berhak untuk tidak meletakkan calonnya dalam pilihan raya kecil Penanti yang sepatutnya diadakan tidak lama lagi.

"Mungkin Perdana Menteri dan Umno bimbang (akan) kalah dan lebih bimbang lagi jikalau kalah dengan perbezaan undi lebih besar.

"Kami mengalu-alukan sekiranya Umno memutuskan tidak akan bertanding," katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membayangkan Barisan Nasional (BN) berkemungkinan tidak akan meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil kerusi DUN Penanti jika mendapat konsensus semua parti komponen BN.

Banyak pihak mengesyorkan agar BN tidak meletakkan calon bersaing di Penanti atas beberapa alasan.

Ini termasuklah bagi mengelakkan pembaziran wang dan masa. Sejak pilihan raya umum Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil termasuk penggunaan wang lebih RM30 juta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis untuk mengendali dan memastikan kelancaran pilihan raya kecil.

Bagaimanapun ujar Dr. Syed, BN boleh memberikan sebarang alasan yang disukainya untuk tidak menyertai pilihan raya kecil ini.

"Tetapi, kenapa soal pembaziran baru sekarang ditimbulkan, pada hal kerajaan Umno-Bn tidak habis-habis membazirkan wang rakyat?

"Mengapa soal main politik ditimbulkan sekarang pada hal pemimpin-pemimpin Umno-Bn tidak sudah-sudah bermain politik melalui media yang mereka kuasai?" katanya.

No comments:

Posting Terkini