Pages

Saturday, April 18, 2009

MB Lawat Mangsa Banjir di Bukit Changgang

KUALA LANGAT, 17 April - Kerajaan negeri sedang mengkaji langkah terbaik bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Rancangan Tanah Belia, Bukit Changgang dekat sini, kata Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata salah satu punca kejadian banjir di kawasan itu disebabkan keadaan ban yang terlalu rendah sehingga airnya melimpah ke kawasan yang didiami penduduk.

“Hasil pemantauan yang kita buat kita dapati ianya juga berpunca daripada paras air dari sungai berdekatan yang naik ekoran hujan lebat yang berlaku sejak beberapa hari ini,” katanya.

Menurut beliau, bagi mengatasi masalah banjir di kawasan itu, pihaknya juga akan terus mengenalpasti masalah selain mengambil tindakan segera bagi mengelakkan banjir yang sama berulang.

Mengulas mengenai keengganan sesetengah penduduk kampung Orang Asli di Bukit Serdang berpindah ke pusat penempatan banjir, Abdul Khalid berkata semuanya terpulang kepada kehendak masing-masing sama ada hendak berpindah atau tidak.

“Kita tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu,” katanya.

Menurutnya, walaupun dibenarkan tinggal di bawah khemah yang disediakan, mereka diingatkan supaya berhati-hati terutamanya pada waktu malam.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (SKRTB) di sini, petang tadi.

Turut sama dalam lawatan itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari dan Pegawai Daerah Kuala Langat, Asmawi Kasbi.

Dalam pada itu, lebih 250 keluarga mangsa banjir ditempatkan di Pusat pemindahan Banjir di SKRTB, di sini.

Dalam lawatan petang tadi, Abdul Khalid turut berharap penduduk dapat bersabar selain mengharapkan keadaan akan pulih seperti sediakala. - MURIZA ABDUL HAMID

No comments:

Posting Terkini