Pages

Saturday, April 18, 2009

Kenyataan Dato’ Noh Omar Dibidas

SHAH ALAM, 17 April - Kerajaan negeri Selangor membidas tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Noh Omar yang enggan melayan pengesahan sesuatu permohonan bantuan yang dikeluarkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata tindakan itu bukan sahaja berbaur politik malah melanggari undang-undang sedia ada.

Katanya, kementerian itu perlu menghormati undang-undang serta menjunjung hasrat rakyat yang telah memilih PR di lima buah negeri di Semenanjung Malaysia selain mengiktiraf JKKK yang dilantik mereka.

Menurutnya, bantuan daripada kerajaan sama ada pusat atau negeri adalah daripada wang rakyat dan percubaan untuk mengetepikan kuasa JKKK yang sah dari segi undang-undang adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan jelas ingin mempergunakan wang rakyat untuk meraih sokongan politik daripada golongan petani.

“Kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya motif Barisan Nasional (BN) dan menasihatkan kerajaan Pusat supaya mengembalikan hak rakyat untuk mendapatkan bantuan melalui saluran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri di bawah pentadbiran PR akan cuba untuk menyalurkan bantuan tanpa mengira latar belakang politik, kaum, agama mahupun status mereka.

“Bagi semua bantuan yang telah dirancang dan diperuntukkan, kerajaan negeri akan memastikannya menepati sasaran tidak kira ianya daripada agensi pusat mahupun negeri dan lebih penting lagi kepada mereka yang betul-betul memerlukan bantuan,” katanya.

No comments:

Posting Terkini