Pages

Thursday, April 9, 2009

KEMENANGAN PKR TUNJUKKAN DR M SUDAH HILANG PENGARUH

Oleh
Suhana A. Samat

Dari Bukit Selambau, Kedah: KEMENANGAN calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menunjukkan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, sudah hilang pengaruh di kalangan pengundi Melayu.

Naib Presiden PKR, Encik Azmin Ali, berkata kemenangan itu juga menunjukkan pengundi menolak kepimpinan perdana menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditemui di pusat penjumlahan undi di Dewan Sekolah Menengah Teknik 2, di Sungai Petani, malam kelmarin, Encik Azmin berkata:

'Mahathir masih mencampuri urusan pentadbiran negara dan parti setelah beliau meninggalkan kerajaan dan Umno. Sepatutnya berilah peluang kepada Datuk Seri Najib dan pasukan baru bawa perubahan.

'Oleh kerana Umno cuba meraih sokongan melalui kenyataan Dr Mahathir, maka orang Melayu bangun dan menolak sama sekali Dr Mahathir di Bukit Selambau.

'Kedah mewakili semua rakyat Malaysia. Ini referendum rakyat Malaysia - Melayu, Cina, India - untuk menolak kepimpinan Datuk Seri Najib dan Barisan Nasional.'

Isnin lalu, Dr Mahathir melawat Bukit Selambau untuk berkempen bagi calon BN.

Muka baru dalam PKR, Encik S. Manikumar, berjaya mempertahankan kerusi parti itu setelah menang dengan majoriti 2,403 undi.

Encik Manikumar, 35 tahun, memperoleh 12,632 undi, manakala calon BN, Datuk S. Ganesan, 49 tahun, mendapat 10,229 undi.

Pilihan raya kecil itu mencatat sejarah tersendiri apabila ia menyaksikan pertandingan membabitkan 15 calon, termasuk 13 calon bebas.

Secara keseluruhan, 13 calon bebas itu hanya mampu meraih 1,326 undi dan hilang wang pertaruhan masing- masing.

Walaupun PKR berdepan dengan krisis kecil menyusuli pemilihan mengejut Encik Manikumar, yang bakal dilantik sebagai Exco Kerajaan Kedah, sokongan pengundi di DUN Selambau meningkat.

Kerusi itu pernah dimenangi oleh calon bebas, Encik V. Arumugam, setelah mengalahkan calon BN, Encik S. Krishnan, dengan majoriti 2,362 pada pilihan raya lepas, sebelum beliau menyertai PKR.

Keputusan pilihan raya kecil semalam mengekalkan status quo dalam DUN Kedah dengan Pakatan Rakyat mempunyai 21 kerusi dan BN 14 kerusi.

Tanda-tanda awal Encik Manikumar akan menang mula kelihatan apabila pihak media mendapat berita sekitar 8 malam bahawa Datuk Ganesan tidak akan berada di pusat penjumlahan undi.

Yang hadir ialah Encik Manikumar, para pegawai PKR dan calon-calon bebas.

Proses penjumlahan undi pula mengalami sedikit kegenjotan apabila dua daripada 65 kotak undi hanya tiba di pusat itu pada 8.50 malam.

Ini kerana pemandu kereta yang membawa kotak-kotak undi itu tersesat jalan dalam keadaan cuaca yang hujan lebat.

Mengulas keputusan rasmi yang akhirnya diumumkan pada 10.45 malam, Encik Manikumar berkata ia menunjukkan peratusan pengundi Cina dan India yang menyokong PKR adalah tinggi.

Dalam satu sidang media yang berasingan pula, Datuk Ganesan berkata walaupun perit, keputusan rakyat perlu dihormatinya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang hadir dalam sidang akhbar yang sama, berkata kegagalan calon BN bukan bermakna rakyat menolak kepimpinan baru negara.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor tempatan dan nasional yang menyumbang kepada kekalahan itu.

'Itu adalah jauh sekali kerana (Datuk Seri) Najib baru pegang tampuk pimpinan dan barisan jemaah menteri belum pun diumumkan.

'Dan dalam keadaan ini, saya rasa jauh untuk orang menilai kepimpinannya kerana saya mengenali Najib dengan dekat dan melalui beberapa pilihan raya kecil dengannya.

'Saya percaya berikan masa kepada kami. Kami dapat buktikan bahawa politik BN bukan politik sementara, bukan politik sensasi dan bukan politik berkisar kepada isu-isu tertentu saja tetapi suatu perjuangan yang konsisten dan mengambil kira citarasa dan kehendak orang ramai, masa, tempat dan zaman,' jelas beliau.

No comments:

Posting Terkini