Pages

Saturday, April 18, 2009

Kapal selam pertama negara tiba 25 Julai

KUALA LUMPUR: Kapal Selam Scorpene pertama negara, Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman, yang diterima secara rasmi daripada pengarah projek Scopene di Toulon Perancis pada 24 Januari lalu, dijangka tiba di tanah air pada 25 Julai depan.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar, berkata kapal selam itu akan berlabuh di Pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, Pulau Indah, Klang, dan akan disambut Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dalam satu upacara khas sebelum meneruskan pelayaran ke pangkalan TLDM Lumut.

"Seterusnya, kita akan mengaturkan pergerakannya (kapal selam) ke Langkawi untuk pertunjukan Lima 2009 sebelum menuju ke pangkalan TLDM Sepanggar Sabah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian logo Jubli Intan TLDM dan pelancaran album lagu patriotik kumpulan Koir Suara (Koswa) TLDM oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal di sini.

Abdul Aziz berkata, kapal selam KD Tunku Abdul Rahman itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh krew TLDM.

"Mereka kini masih menjalani latihan untuk memahirkan cara pengendalian, pengoperasian dan penggunaan kapal selam untuk misi tertentu dan kita mempunyai jurulatih tentera laut Perancis untuk melatih tentera laut kita dari segi teknikal," katanya.

Scorpene, kapal selam tempur konvensional yang dibina di Cherbourg, Perancis oleh DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia, itu mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Ia antara lain dilengkapi dengan enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak, peluru berpandu antikapal permukaan dan torpedo antikapal selam.

Kapal selam berkuasa diesel dan elektrik dengan kelajuan 20 knot itu berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 periuk api, manakala pengisian peluru berpandu menggunakan sistem automatik sepenuhnya.

Mengenai status pembinaan pangkalan TLDM Sepanggar itu, Abdul Aziz berkata ia akan siap seperti yang dirancang dan akan diserahkan kepada kerajaan pada 30 Mei ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata sambutan Jubli Intan TLDM pada 27 April ini akan dipenuhi pelbagai acara termasuk majlis pengisytiharan Lumut sebagai bandar tentera laut, hari terbuka Armada bersama pameran Jom Heboh TV3, penganugerahan dan perarakan panji-panji tiga unit TLDM. - Bernama

No comments:

Posting Terkini