Pages

Saturday, April 11, 2009

JEPUN PERKETAT SEKATAN EKONOMI KE ATAS KOREA UTARA

TOKYO: Jepun semalam memperbaharui dan mengetatkan sekatan terhadap Korea Utara.

Namun, Tokyo tidak sependapat dengan Amerika Syarikat berhubung tindakan yang patut dikenakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Pyongyang kerana pelancaran roketnya, kata para pegawai.

Kabinet Jepun semalam memutuskan untuk mengetatkan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Korea Utara sejak ujian peluru berpandu 2006.

Ini termasuk mengetatkan kawalan terhadap pengiriman wang ke Korea Utara, dengan menghadkan jumlah wang yang boleh dibawa pelawat ke Korea Utara, kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Encik Takeo Kawamura.

Tokyo mengurangkan jumlah kiriman wang yang boleh dihantar ke Korea Utara tanpa melapor kepada kerajaan Jepun daripada 30 juta yen ($455,400) kepada 10 juta yen; dan mengurangkan wang yang boleh dibawa pelawat ke Korea Utara sebanyak satu pertiga kepada 300,000 yen.

'Tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu tidak dapat kami terima. Langkah tambahan itu bertujuan memantau pengaliran wang ke Korea Utara dengan lebih rapi,' kata Encik Kawamura dalam satu sidang akhbar.

Tokyo turut melanjutkan setahun lagi sekatan yang sedia ada, termasuk larangan import dan lawatan warga Korea Utara serta persinggahan kapalnya ke Jepun, kata para pegawai.

Tetapi Tokyo enggan mengambil langkah lebih tegas seperti melarang semua eksport dari Jepun.

Langkah itu diambil sewaktu Jepun berusaha agar Majlis Keselamatan PBB meluluskan satu resolusi yang mengenakan tindakan tegas terhadap Korea Utara.

Namun langkah Tokyo itu tidak disokong Amerika, sedang China dan Russia mahukan resolusi lebih lembut dan tidak mengikat kerana tidak yakin pelancaran roket Pyongyang itu satu pencabulan resolusi PBB.

Satu kenyataan yang tidak mengikat akan dianggap satu tamparan diplomatik kepada Jepun kerana Perdana Menteri, Encik Taro Aso, sedang berdepan dengan sokongan yang kian merosot menjelang pilihan raya tahun depan.

Encik Aso semalam berlepas ke Thailand untuk menghadiri sidang puncak Asean ke-14, tempat beliau dijangka cuba meyakinkan para pemimpin Asean agar mengeluarkan kenyataan keras berhubung pelancaran roket Korea Utara itu.

Inisiatif Jepun itu disokong Korea Selatan, tetapi kedutaan Korea Utara di Bangkok membayangkan ia akan menentang sebarang kenyataan yang mengutuk pelancaran roketnya pada 5 April lalu itu.

'Sekarang terserah kepada Thailand bagaimana hendak memasukkan satu kenyataan (mengenai Korea Utara),' kata satu sumber diplomatik di Bangkok. -- AP, AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini