Pages

Tuesday, March 10, 2009

Kes liwat, Anwar kata "fitnah jahat"

KUALA LUMPUR: Kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Julai ini.

Mahkamah menetapkan 1 hingga 24 Julai sebaga tarikh perbicaraan sebentar tadi.

Apabila kes itu disebut semula hari ini, Anwar mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Selepas tuduhan dibacakan, Anwar berkata: "Saya minta bicara, ini fitnah jahat."

Hakim Mohamad Zabidin menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan secara rasminya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen hari ini walaupun mendapat bantahan daripada peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah.

Sulaiman berhujah bahawa sijil pemindahan kes itu sepatutnya dikemukakan kepada Hakim Mahkamah Sesyen S. M. Komathy Suppiah memandangkan perkara itu pada asalnya didengar oleh beliau.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden memberitahu mahkamah bahawa Komathy sedang bercuti dan mana-mana mahkamah rendah boleh mendengar perkara berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozana Ali Yusoff bersetuju dengan Mohamed Yusof dan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Kes itu disebut semula kira-kira 10.30 pagi tadi.

Ia telah pun disebut buat kali pertama Ogos lalu di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun minggu lalu kes itu diputuskan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23 di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000.

Sulaiman memohon kepada mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan untuk membekalkan semua dokumen berkaitan bagi persediaan pihak pembelaan.

Beliau menegaskan bahawa pihak pembelaan memerlukan laporan DNA bagi mendapatkan pandangan pakar luar negara.

No comments:

Posting Terkini