Pages

Monday, January 19, 2009

Konvensyen khas BN bulan depan ditangguhkan?

PETALING JAYA: Konvensyen khas Barisan Nasional (BN), antara lima inisiatif Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum bersara Mac ini dipercayai kemungkinan ditangguhkan.

mStar Online difahamkan pertemuan khas itu yang pertama seumpama akan diteruskan selepas pemilihan Umno.

Penangguhan itu dipercayai bagi membolehkan proses penjenamaan dilakukan serentak apabila Timbalan Perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara.

Bagaimanapun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya belum membuat keputusan sama ada meneruskan atau menangguhkan idea konvensyen itu yang sepatutnya berlangsung bulan depan.

"Kita belum buat apa-apa keputusan lagi, tangguh ataupun teruskan seperti yang dirancang kita tak putuskan lagi.

"Tunggulah mesyuarat pengurusan dulu, nanti kita bincang," katanya kepada mStar Online.

Konvensyen yang diilhamkan Perdana Menteri itu antara lain bertujuan untuk merangka program atau pelan yang terbaik untuk kemajuan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ia juga bagi kerajaan BN memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

Bagaimanapun jelas Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno, mesyuarat Pengurusan BN itu hanya akan diadakan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan diadakan minggu hadapan.

"MT Umno akan mesyuarat dulu minggu depan, lepas tu baru kita buat mesyuarat BN," katanya.- mStar

No comments:

Posting Terkini