Pages

Tuesday, October 28, 2008

Low Siew Moi akan memangku jawatan Pengurus Besar PKNS


GEMBIRA… MB Selangor, Khalid Ibrahim bersama-sama masyarakat berbilang kaum di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak di majlis rumah terbuka di Bandar Tasik Pemaisuri semalam.

PENGURUS Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Harun Salim akan bersara pada hujung Oktober ini dan Menteri Besar Selangor, selaku Pengerusi PKNS, menerima persaraan beliau.

Sehubungan itu, Menteri Besar, setelah mengambil kira kepentingan semasa, bersetuju melanjutkan tarikh persaraan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun Low Siew Moi, selama satu tahun dan melantik beliau memangku jawatan Pengurus Besar sementara PKNS.

Low yang sudah 35 tahun berkhidmat di PKNS, iaitu selama 11 tahun berjawatan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun, yang bertanggungjawab menerajui bahagian korporat, kewangan dan pengurusan aset, dilihat sebagai calon paling sesuai memangku secara sementara waktu jawatan terpenting di PKNS.

Dengan persaraan Harun, Menteri Besar yang juga pernah mengetuai syarikat swasta, berpendapat persaraan serentak dua pegawai kanan tersebut tidak boleh menjamin penerusan pentadbiran yang berkesan.

Oleh sebab itu, beliau meminta Puan Low agar menangguhkan persaraan dan sebaliknya berkerjasama dengan ahli lembaga pengarah PKNS bagi menerajui urusan pentadbiran PKNS sehingga calon yang sesuai dilantik mengisi jawatan Pengurus Besar.

Kita bersyukur kerana Low yang berpengalaman dan dedikasi, bersetuju menyatakan kesediaan beliau menjalankan tugas tersebut, dan pada masa sama lembaga pengarah PKNS berusaha mendapatkan Pengurus Besar yang berkaliber, berwibawa, beretika dan berkebolehan untuk membawa perbadanan itu ke era baharu.

Dalam hal ini, Low mengakui agar peneraju PKNS yang baharu mestilah seorang Bumiputera yang profesional dan mempunyai pengalaman dalam pembangunan hartanah, pembangunan semula dan disegani oleh komuniti hartanah.

Menteri Besar juga berpendapat yang pengalaman Low amat berguna bagi membantu Kerajaan Negeri melaksanakan penyusunan semula dalam operasi dan aktiviti PKNS yang bukan sahaja beraspirasi untuk menjadi antara organisasi yang terbaik di rantau ini tetapi juga dalam usahanya memulakan projek pembangunan semula perumahan baharu di Petaling Jaya, Kajang dan Klang.

Perlu ditegaskan, pencarian calon Pengurus Besar PKNS dalam kalangan pegawai kanan yang sedang berkhidmat PKNS sudahpun diusahakan.

Namun, ada beberapa sebab tentang perlunya juga kita mencari calon di luar PKNS.

Antara sebabnya, PKNS berkehendakan pegawai yang profesional dalam aspek hartanah, di samping mempunyai kelayakan dalam bidang pengurusan hartanah, kejuruteraan, seni bina atau jurunilai untuk mengetuai PKNS memulakan projek pembangunan semula sebagaimana dinyatakan di atas.

Kami juga mendapati terdapat unsur ‘pertembungan kepentingan’ dalam struktur PKNS itu sendiri apabila terdapat sekumpulan pegawai kanan memegang saham 30% dalam anak syarikat PKNS, iaitu PKNS Infra Sdn Bhd.

Setelah membuat pemeriksaan terhadap rekod PKNS selama 44 tahun ini, kami amat kesal apabila mendapati pengalaman PKNS dalam usaha memartabatkan kaum Melayu dalam bidang peniagaan, khususnya dalam bidang pembangunan hartanah, amat tidak membanggakan.

Ini disebabkan lebih 75% daripada projek yang dilaksanakan diberi kepada syarikat bukan Melayu baik secara langsung mahupun tidak secara langsung.

Perlu ditegaskan, Kerajaan Pakatan Rakyat amat mementingkan pentadbiran secara telus dan bertanggungjawaban dan berpendapat PKNS perlu mengubah corak pentadbiran supaya menghayati dan melaksanakan kepentingan ini.

Kami dapati akaun yang sedia ada tidak mencerminkan gambaran yang betul tentang operasi perbadanan tersebut. Sebagai contoh, mengikut laporan akaun tahun 2007, Pengerusi PKNS mendakwa perbadanan tersebut berjaya dalam perniagaan pembagunan hartanah setelah mengaut untung sebayak RM500 juta. Namun setelah disemak, didapati 50% keuntungan tersebut berbentuk hasil pendapatan luar biasa.

Berkaitan dengan pengumuman keuntungan tersebut, turut diperlihatkan keputusan yang meragukan apabila PKNS menghadiahkan RM100,000 kepada mantan Pengerusi PKNS, yang juga bekas Menteri Besar Selangor, sebagai bonus terhadap kejayaan PKNS memperoleh ‘keuntungan’ tersebut.

Lebih parah lagi, kami dapati terdapat beberapa aktiviti dan keputusan perniagaan yang dibuat bukan berdasarkan keperluan PKNS tetapi keperluan politik kerajaan yang terdahulu!

Perkara ini sudahpun diakui oleh Pengurus Besar sekarang dan Low bersedia bekerjasama dengan lembaga pengarah PKNS bagi mengenal pasti perkara yang dibetulkan yang sekali gus membaiki pentadbiran perbadanan itu.

Sesungguhnya, tindakan yang radikal perlu dilakukan bagi ‘membersihkan’ PKNS supaya ia betul-betul mencapai matlamat asal untuk memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah yang diceburi, di samping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat terutama kalangan masyarakat Melayu yang mahu berkerja keras dan berusaha tanpa ihsan daripada mana-mana pihak.

ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

27 Oktober 2008

No comments:

Posting Terkini