Pages

Tuesday, October 28, 2008

Kerajaan Tangguh Pembelian Eurocopter, Kata Abdullah


KUALA LUMPUR, 28 Okt-- Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725 pada masa ini sehingga keadaan krisis ekonomi dunia kembali stabil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan beliau pada 13 Okt lepas.

"Pada waktu ini keputusan yang diambil ialah Eurocopter tidak akan dibeli sebab kita memerlukan peruntukan-peruntukan untuk membiayai projek-projek lain sementara (ini) tindakan kita menghadapi satu situasi kedudukan ekonomi yang bersabit dengan krisis kewangan (maka) ia ditangguh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini, Selasa.

Abdullah berkata kerajaan perlu menumpukan perhatian dan menyalurkan peruntukan terhadap projek-projek yang lebih penting dan memberi faedah kepada rakyat.

"Ini bukan bermakna kita tidak beli langsung, bila kedudukan kewangan membolehkan kita beli, kita akan beli," katanya.

Abdullah berkata kerajaan akan membeli helikopter itu lebih awal jika keadaan ekonomi kembali pulih.

Beliau berkata proses pembelian pesawat itu memgambil masa selama tiga tahun.

"Keputusan dibuat (untuk mendapatkan Eurocopter) pada 2011 dan kalau boleh kita nak beli lebih awal mungkin 2009 kalau kita ada wang. Tiga tahun kita akan dapat helikopter ini kerana ia bukannya seperti membeli kereta, hari ini beli esok boleh dapat," katanya.

Kerajaan melalui mesyuarat Kabinet pada 18 Julai 2007 memutuskan untuk membuat perolehan bagi menggantikan pesawat Nuri berikutan rungutan beberapa Anggota Parlimen dan masyarakat umum berhubung helikopter jenis itu yang sering terlibat dalam nahas udara dan mengorbankan anggota tentera.

Pada 3 Sept lepas Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan daripada Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter, pesawat milik Eurocopter Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat European Aeronautic Defence and Space Co (EADS) dan kementerian itu mengeluarkan Surat Hasrat kepada Eurocopter pada 15 Sept 2008.

Abdullah turut menjelaskan bahawa peruntukan pembelian Eurocopter itu adalah sebanyak RM1.679 bilion dan bukannya RM2.3 bilion seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Beliau berkata harga Eurocopter agak mahal kerana mempunyai spesifikasi tinggi dan mempunyai pelbagai fungsi yang sesuai bagi menggantikan Nuri.

"Helikopter ini mahal harganya kerana spesifikasinya agak tinggi dan ada beberapa fungsi iaitu sebagai helikopter mencari dan menyelamat, helikopter tempur dan mengangkut anggota. Helikopter ini diharapkan mempunyai kebolehan untuk melaksanakan beberapa kerja, tentulah ini bukan helikopter yang biasa," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan telah memaklumkan kepada EADS mengenai penangguhan pembelian itu, Abdullah berkata syarikat itu belum dimaklumkan lagi.

Beliau berkata TUDM kini mempunyai 28 helikopter Nuri yang sentiasa diselenggara dan kerajaan sedar bahawa masanya sudah tiba untuk menggantikan pesawat yang sudah digunakan selama 39 tahun itu.

Ditanya sama ada mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang akan membincangkan pembelian helikopter itu perlu diteruskan esok memandangkan kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan pembelian aset itu, Abdullah berkata ia perlu diteruskan.

"Kerana ia telah diputuskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak waktu itu supaya PAC diberi peluang untuk menghalusi perkara-perkara (berhubung) pembelian helikopter ini.

"Biarlah mereka tahu apa prosedur yang digunakan oleh kementerian, mengapakah harganya begitu tinggi dan apa sebab-sebabnya (membeli Eurocopter)," katanya.

Ketika ditanya adakah keputusan penangguhan itu akan memberi kesan kepada pembelian helikopter akan datang, Abdullah berkata: "Saya tidak fikir begitu. Hakikatnya kita perlu menghadapi situasi tertentu yang memerlukan kita memperuntukan sejumlah dana dan perlu membelanjakan sejumlah wang bagi memberi faedah langsung kepada rakyat."

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini