Pages

Friday, October 24, 2008

AirAsia Tingkatkan Jaminan Tepat Masa Bagi Penumpang

KUALA LUMPUR, 24 Okt- AirAsia, syarikat penerbangan utama dan syarikat penerbangan tambang murah terbesar di Asia, akan meningkatkan jaminan tepat masanya, yang merupakan satu perlindungan untuk penumpangnya yang menerima kesan dari kelewatan penerbangan.

Mulai bulan depan, jaminan tepat masa memendekkan tempoh menunggu dari tiga jam ke dua jam, melayakkan mereka yang menerima kesan kelewatan penerbangan lebih dua jam menerima baucar e-cenderahati.

Setiap baucar e-cenderahati bernilai RM200 dan boleh digunakan untuk membeli tempat duduk dalam penerbangan AirAsia yang lain atau ditebus dengan sebarang produk atau perkhidmatan, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai jaminan tepat masa yang ditingkatkan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Seri Tony Fernandes berkata: "Jurang antara kami dan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh berkurangan sejak hari pertama kami beroperasi dan saya berani menyatakan kami lebih baik berbanding banyak syarikat yang lain."

Jaminan tepat masa yang ditingkatkan itu adalah manfaat yang dipindahkan kepada penumpang AirAsia hasil dari prestasi tepat masa syarikat penerbangan itu yang meningkat bagi penerbangan merentasi jaringan keseluruhannya, katanya.

Syarikat penerbangan itu menyatakan hanya selepas tiga bulan jaminan tepat masa dilancarkan pada Jun tahun ini, bilangan penerbangan AirAsia yang terlewat sejam atau lebih telah berkurangan dari tiga peratus dalam Julai dan empat peratus pada Ogos kepada dua peratus dalam September.

Sebagai kesan langsung daripadanya, AirAsia telah menyaksikan prestasi tepat masanya bagi pelepasan penerbangan bertambah baik daripada 89 peratus pada Julai dan 85 peratus pada Ogos kepada 90 peratus dalam September, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini