Pages

Wednesday, August 31, 2011

Kehamilan Beyonce Catat Rekod Baru di Twitter


Kehamilan Beyonce Catat Rekor Baru di Twitter
New York – Beyonce yang tampak hamil saat tampil di MTV Video Music Awards mendapatkan reaksi luar biasa pemirsa melalui komentar di Twitter.
Saat Beyonce tampil dalam acara tersebut pada Minggu (28/8), pukul 22:35 waktu setempat, terdapat 8.868 tweet per detik. Twitter mengatakan jumlah tweet ini merupakan rekor baru.

Pendatang juga punyai hak dalam tribunal pengguna


KUALA LUMPUR 31 Ogos – Pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin yang membayar caj pendaftaran proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) mempunyai hak untuk mendapat nasihat dan menuntut semula lebihan bayaran yang terpaksa dibayar mereka, kata bekas pengerusi Tribunal Pengguna, Pretam Singh Darshan Singh.

Kerajaan menetapkan bayaran maksimum RM35 untuk pendaftaran pendatang asing tanpa izin menerusi 348 syarikat-syarikat pengurus manakala kadar caj perkhidmatan proses pemutihan maksimum adalah RM300.

"Namun, ribuan pendatang asing tanpa izin telah membayar lebih daripada caj yang ditetapkan. Mereka yang dikenakan bayaran lebih daripada apa yang sepatutnya boleh memfailkan kes di bawah Tribunal Pengguna,” katanya di sini hari ini.

Dr Mahathir Bimbang Segelintir Pihak Cuba Pesongkan Fakta Sejarah


PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang dengan segelintir pihak yang cuba memesongkan fakta sejarah dengan memburuk-burukkan pemimpin yang telah berjuang untuk mencapai kemerdekaan.
"Terdapat satu trend sekarang ini memburuk-burukkan imej pemimpin yang telah berusaha untuk berjuang demi kemerdekaan negara.
"Saya khuatir trend ini berjalan begitu lancar dan apa yang dikatakan oleh Mat Sabu adalah sebahagian daripada usaha memburukkan pemimpin lama mungkin kerana kaitan mereka dengan UMNO," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini Selasa.
Beliau berkata kerajaan harus memberi penerangan yang jelas tentang perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu dan tidak ada alasan yang mengatakan bahawa komunis yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Utusan tidak lapor isu sebenar


PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mengecam Utusan Malaysia kerana membuat laporan yang berunsur fitnah kerana memusing fakta isi ucapan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung peristiwa Bukit Kepong.
Setiausaha Agongnya S Arutchelvan berkata PSM berpendirian bahawa apa yang ditulis oleh akhbar arus perdana milik Umno itu bukanlah isu sebenar dan terkeluar dari konteks maksud apa hendak disampaikan oleh Mohamad Sabu.
Ini adalah kerana sejarah negara ditulis dari kaca mata Umno yang telah bersekongkol dengan British untuk mendapat kemerdekaan,” ujar Arutchelvan yang mendakwa pejuang kemerdekaan aliran kiri seperti Shamsiah Fakeh tidak direkodkan di dalam buku sejarah.
Pemimpin PAS yang juga dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa bahawa anggota komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 adalah pejuang negara yang sebenar dalam satu ceramah di Tasek Gelugor pada 21 Ogos, lapor Utusan Malaysia.

Tuesday, August 30, 2011

TAUFAN LANDA TAIWAN


KAOHSIUNG: Taiwan memindahkan ribuan penduduknya, menutup sekolah dan menghentikan perkhidmatan kereta api sedang Taufan Nanmadol melanda negara itu semalam.

Taufan tesebut yang sebelum itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban di Filipina, melanda berdekatan bandar Taitung di timur Taiwan awal semalam.

Kawasan itu merupakan antara daerah yang paling padat penduduk di Taiwan.

Pegawai Biro Kaji Cuaca Taiwan ditukil sebagai berkata:

'Ini adalah taufan terburuk yang melanda Taiwan sejak (Taufan) Morakot.'

Taufan Morakot telah menyebabkan lebih 700 orang terkorban atau hilang apabila ia melanda negara itu pada 2009.

Monday, August 29, 2011

Ketua kedua Al-Qaeda dikatakan terbunuh di Pakistan


WASHINGTON: Para pegawai Amerika Syarikat dan Pakistan berkata ketua kedua Al-Qaeda, Atiyah Abd al-Rahman (gambar), telah mati terbunuh di Pakistan, satu tamparan besar bagi kumpulan pengganas itu yang Amerika percaya sedang diambang kekalahan.

Sejak serangan Navy Seals ke pekarangan kediaman Osama bin Laden berjaya membunuh ketua Al-Qaeda itu pada Mei lalu, pentadbiran Presiden Barack Obama agak terbuka dalam penilaiannya bahawa Al-Qaeda sedang berada di ambang kekalahan, dengan pihak kepimpinan kumpulan itu kini kucar-kacir.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Leon Panetta, bulan lalu berkata kekalahan Al-Qaeda berada dalam genggaman Amerika jika mereka dapat terus melakukan beberapa serangan yang berjaya.

'Kini masanya, berikutan apa yang berlaku pada Osama, bagi memberi tekanan ke atas mereka,' kata Encik Panetta, 'kerana saya percaya jika kita teruskan usaha kita boleh melumpuhkan Al-Qaeda sebagai satu ancaman besar.'

Istana dibuka sempena Hari Raya



Singapura: PEKARANGAN Istana akan dibuka kepada orang ramai dari 8.30 pagi hingga 6 petang esok sempena Hari Raya Puasa. Ini kali terakhir rumah terbuka Istana dihos oleh Presiden S R Nathan, yang penggal jawatannya berakhir lusa.

Satu persembahan tarian Melayu oleh Persatuan Rakyat (PA) dan pancaragam oleh Sekolah Menengah Zhonghua serta Sekolah Poi Ching akan diadakan, menurut satu kenyataan Pejabat Presiden semalam.

Bayaran masuk tidak dikenakan ke atas warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura. Pengunjung lain dikenakan bayaran $1 seorang.

Sunday, August 28, 2011

12 terkorban apabila feri sesak karam


KOLAKA (Indonesia): Sebuah feri yang sesak dengan penumpang karam di timur Indonesia awal semalam, menyebabkan 12 maut, sedang pasukan pencari dan penyelamat terus meronda kawasan perairan yang berombak itu.

Sejumlah 93 orang, termasuk kapten feri berkenaan, telah diselamatkan tetapi para pegawai khuatir masih ada penumpang yang terperangkap dalam feri yang tenggelam itu, kata ketua polis Sulawesi, Brigedier Jeneral (BG) Sigit Sudarmanto.

Feri 'Windu Karsa', yang sedang dalam pelayaran dari bandar Bajoe ke Kolaka, karam selepas tengah malam kelmarin di kawasan perairan di selatan Sulawesi ketika kebanyakan penumpangnya sedang tidur.

Mereka yang diselamatkan memberitahu para penyiasat bahawa kapal itu karam selang beberapa jam selepas satu kebocoran ditemui di bahagian belakangnya.

Saturday, August 27, 2011

Terminal bas Puduraya kini Pudu Sentral

KUALA LUMPUR:  Terminal Bas Puduraya di sini yang mula beroperasi pada 1976 dan baru sahaja dinaik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.
Beliau berkata penukaran nama terminal bas itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.
Najib berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut twitternya, selepas beliau tweet setelah bersahur awal pagi tadi bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya.

Friday, August 26, 2011

Mengapa PAS semakin popular daripada Umno


Umat Islam di negara ini telah diingatkan supaya tidak memperkecilkan atau menghina agama lain, walaupun dalam hal mempertahankan Islam, kerana tindakan itu bertentangan dengan ajaran Islam. Ini dikatakan oleh pemimpin PAS, yang memetik ayat dari Al-Quran (6:108):
"Jangan mencaci orang-orang yang mereka sembah selain dari Allah kalau-kalau mereka perlu, dan di dalam kejahilan, mereka mencaci Tuhan."
Hentikan klise agama: Mengapa PAS semakin popular daripada UmnoPAS telah berubah menjadi sebuah entiti politik yang sangat disukai di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini sebelum dan selepas pilihan raya umum 2008. Apabila UMNO semakin terbabit dalam politik perkauman dan pada masa yang menjadikan agama sebagai cara untuk memenangi sokongan orang Melayu, PAS telah menunjukkan pendirian sederhana dalam politik Malaysia. Menghentam bangsa atau agama dalam politik nampaknya tidak menjadi kegemaran untuk PAS. PAS juga dilihat sebagai lebih radikal daripada UMNO apabila ia melibatkan penggunaan agama untuk menuai sokongan dari rakyat. Jika PAS boleh menegakkan tingkah laku politik sekarang pilihan raya umum akan datang akan menyaksikan parti itu menang besar dan menjadi parti politik terbesar mewakili orang Melayu dan Islam di negara ini. Nampaknya bahawa PAS dalam perjalanan untuk menggantikan UMNO sebagai parti politik terbesar bagi orang Melayu dan umat Islam di negara ini

Sekilas Berita Dunia


26 pelombong masih terperangkap


BEIJING: Seramai 26 orang pekerja lombong terperangkap sejak dua hari lalu dalam sebuah lombong arang batu di timur laut China.

Akhbar tempatan berkata pasukan penyelamat semalam cuba mengepam air keluar daripada lombong dekat Qitaihe, di wilayah Heilongjiang.

Seramai 19 pekerja lombong berjaya menyelamatkan diri ke permukaan. -- AP.

Ganti rugi jika ditunda lebih 4 jam

Mayat doktor tanpa kepala ditemui atas kerusi


KUANTAN: Mayat seorang doktor ditemui dalam keadaan ngeri dengan kepalanya putus, dipercayai dipenggal dengan parang di dusun buahbuahan miliknya, malam Selasa lalu.

Dalam kejadian di sebuah kebun di Kampung Sertik, Bentong, sekitar 8 malam itu, Dr Harjit Singh, 61 tahun, dikatakan sedang berehat di anjung rumahnya di kawasan kebun kira-kira 50 meter dari jalan di Kampung Sertik.

Mangsa dikunjungi lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun itu, yang bekerja menjaga kebun miliknya berbincang sesuatu.

Namun, berlaku pertengkaran antara mereka.

Suspek yang dipercayai berang berikutan pertengkaran itu melibaskan parang dan mengenai leher Dr Singh, menyebabkan kepala doktor itu putus dan beliau meninggal dunia di tempat kejadian.

Wednesday, August 24, 2011

Majlis syura: Sultan Selangor sangkal dakwaan MB


SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, melahirkan rasa terkejut dan marah dengan tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, yang mengatakan bahawa penubuhan sebuah majlis syura bagi menangani isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) adalah atas titah sultan Selangor itu, demikian menurut setiausaha sulitnya, Datuk Mohamad Munir Bani, semalam.

Sebaliknya, Datuk Mohamad Munir berkata, dalam pertemuan minggu lalu, Tan Sri Abdul Khalid hanya mengatakan mahu bertemu dengan pengurusan DUMC mengenai kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di premis gereja itu pada 3 Ogos lalu.

'Memang Tuanku langsung tidak titahkan Menteri Besar menubuhkan majlis syura, itu sebab tuanku terkejut dan murka dengan apa yang berlaku.

Tuesday, August 23, 2011

Laporan HKL tidak lengkap, cacat- pakar Australia


drKUALA LUMPUR: Pakar Patologi Forensik dari Australia, Dr David Wells ketika perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur tidak lengkap dan tepat.
Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Dr Wells memberitahu pentingnya untuk merekod kes seksual secara terpeinci, kerana ia  memperincikan apa yang terjadi ketika kejadian dan akan diteliti oleh ramai orang.
“Ia (aspek) penting untuk proses dokumentasi pesakit,” katanya.

Seperti Mandela, tindakan Anwar protes sistem perundangan Malaysia


KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan ketika berada di kandang tertuduh semalam sebagai protesnya terhadap sistem perundangan dan politik yang tidak adil di negara ini.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran, Anwar bertindak sedemikian kerana sedar keterangannya dari kandang saksi tidak diberi perhatian atau penekanan berbanding keterangan dari kandang tertuduh.
“Dengan enggan untuk memberi keterangan dan mencabar mereka untuk melakukan yang paling teruk, Anwar sebenarnya telah meletakkan undang-undang dan politik itu sendiri yang dibicarakan,”
“Sekarang dia telah mengubah pendakwaan itu dan menjadikannya sebagai senjata untuk memperbaiki negara,” kata Surendran.

Najib, Nazri didakwa hina Parlimen


KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghina Parlimen apabila tidak menghormati penubuhan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen seperti yang diputuskan jemaah menteri Rabu minggu lalu.
Najib pada Jumaat lalu menegaskan pilihan raya umum (PRU) akan datang boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya.
Kesal dengan kenyataan Najib itu, Mahfuz menganggap penubuhan jawatankuasa tersebut hanya semata-mata untuk kepentingan politik Barisan Nasional (BN) dan menurunkan suhu politik terhadap tuntutan rakyat yang mahu melihat sistem pilihan raya berubah.

Hakim gagal pastikan perbicaraan adil- Anwar


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohamad Diah gagal memastikan perbicaran adil dalam kes fitnah II yang dihadapinya.
Menurut Anwar, ia berdasarkan keengganan Mohd Zabidin memerintahkan pendakwa menyediakan bukti untuk pasukan peguam bela sebelum perbicaraan berlangsung.
“Kegagalan anda untuk melaksanakan budi bicara kehakiman dengan memerintahkan pendedahan itu bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang Malaysia tetapi  melanggar piawaian antarabangsa di sebuah negara moden untuk melaksanakan kedaulatan undang-undang,” kata Anwar ketika membela diri hari ini.

Monday, August 22, 2011

Sekilas Dunia


Juruterbang maut semasa pertunjukan
KANSAS CITY: Seorang juruterbang aksi nekad maut dalam nahas ngeri ketika pertunjukan udara selepas pesawatnya gagal menamatkan aksi dan terhempas ke tanah, pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Penerbangan Missouri, Encik Joe McBride, berkata juruterbang itu gagal melakukan aksi berlingkar-lingkar dan menyebabkannya terhempas di kawasan lapangan terbang pada sekitar 1.45 petang waktu tempatan.

Tiada penonton mengalami kecederaan dalam nahas yang pertama sepanjang Ekspo Pertunjukan Udara Tahunan Kansas City itu. -- Agensi.

Kim Jong-il lawat stesen tenaga hidro Russia

Mati dipanah petir dipercayai ketika guna telefon bimbit


TANAH MERAH (Kelantan): Seorang remaja perempuan maut akibat dipanah petir, dipercayai ketika menggunakan telefon bimbit milik ibunya di sebuah bangsal berhampiran rumahnya di Kampung Belimbing, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 5.50 petang itu, mangsa, Siti Munirah Nordin, 13 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan terbakar di sebelah kanan muka, telinga, kepala dan punggungnya.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bercakap dengan seseorang menggunakan telefon tersebut ketika cuaca agak redup dan petir sedang berbunyi.

Remaja berkenaan hanya ditemui oleh abangnya, Mohd Firdaus, 16 tahun, sudah meninggal dunia di bangsal sekitar 9 malam.

Ahli keluarga mencarinya setelah Siti Munirah tidak pulang ke rumah berbuka puasa sejak keluar pada 4.30 petang.

Sunday, August 21, 2011

Indonesia akan perkenal aturan hadkan garam



JAKARTA: Bimbang dengan meningkatnya angka kematian akibat penyakit tidak berjangkit, Kementerian Kesihatan Indonesia sedang menyiapkan peraturan bagi mengehadkan pengambilan garam.

Sasaran awal dasar itu ialah mengurangkan penyakit seperti angin ahmar dan darah tinggi yang banyak dialami penduduk.

Peraturan Menteri Kesihatan berhubung perkara itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya awal tahun depan dan ia akan disusuli dengan peraturan bagi mengehadkan pengambilan gula dan lemak.

SPR patut berhenti menjadi tali barut Umno Barisan Nasional (BN)


KUALA LUMPUR: Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya kesilapan dalam daftar pemilih hanyalah 0.0001 peratus, tidak logik, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.
Lebih-lebih lagi, katanya, ia dibuat ketika Pakatan Rakyat berjaya membuktikan pelbagai kepincangan dalam daftar pemilih SPR hingga terbukti kewujudan pengundi hantu.
“Penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan pilihan raya bukti jelas sistem dalam daftar pemilih SPR adalah kotor. Pilihan raya di Malaysia juga kotor.
“Kalau Najib pun mengakuinya, SPR patut berhenti menjadi tali barut Umno Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Keadilan Daily di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gombak, hari ini.

Sami ditahan atas tuduhan melakukan seks dengan kanak-kanak


COLOMBO 20 Ogos - Seorang sami penganut Buddha terkemuka ditahan hari ini atas tuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang gadis berusia 12 tahun.

Perbuatan tersebut telah melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak di negara itu.

Menurut polis, sami yang berusia 60 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut lebih dari setahun terhadap mangsa di sebuah kuil di pusat wilayah utara Anuradhapura.

Sebelum ini, beberapa sami telah disabitkan atas kesalahan yang sama tetapi kes ini merupakan antara kes berprofil tinggi dalam negara itu. - AFP

Pesawat Red Arrow terhempas


LONDON 20 Ogos - Sebuah pesawat Red Arrow milik Tentera Udara Diraja Britain (RAF) dilaporkan terhempas semasa pertunjukkan aksi akrobatik udara di Bournemouth yang terletak di selatan pantai Inggeris hari ini.

Menurut penerbit media BBC yang berada di tempat kejadian berkata, hanya lapan daripada sembilan pesawat yang mengambil bahagian dalam pertunjukkan itu selamat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bournemouth.

Seorang jurucakap dari Kementerian Pertahanan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Aksi pertunjukkan akrobatik itu diadakan setiap musim panas di negara tersebut yang terdiri daripada Juruterbang RAF. – AFP

Saturday, August 20, 2011

Iklan Seksi


Nurul Wahab
PETALING JAYA: Pihak pengurusan penyanyi Nurul Wahab meminta maaf berhubung isu penyiaran iklan promosi hari Raya pusat pengurusan badan, Glow-Glamour yang memapar penyanyi itu berpakaian terdedah.
Menurut pengurusnya, Badrul Hashim, Nurul yang merupakan duta Glow-Glamour tidak mengetahui mengenai iklan tersebut termasuklah gambar yang dipaparkan oleh pihak pengeluar produk itu.

Najib atau Muhyiddin, siapa arah siapa?


Suatu ketika, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memeranjatkan banyak pihak apabila dengan tidak semena-mena beliau mencadangkan ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC).
Tujuan dibentuk PSC ialah bagi mendapatkan persetujuan semua pihak, kerajaan dan pembangkang, ke atas reformasi dalam pilihan raya sebagai mengambil jalan tengah berikutan tuntutan lapan perkara yang diterajui oleh Bersih 2.0.
Tetapi pada ketika yang lain, tidak sampai 48 jam kemudian, beliau mengendurkan pandangannya dengan menyatakan tidak ada cacat celanya dengan sistem pilihan raya dewasa ini.   Beliau hanya mencadangkan ditubuhkan PSC memandangkan beberapa pihak menuntut dibuat perubahan dalam sistem itu.

Friday, August 19, 2011

Tempoh pajakan Tanjong Katong Complex dilanjutkan 10 tahun lagi

NOTA: Singapura adalah negara Cina yang dilahirkan oleh pemimpin Umno. KESEMUA empat calon Presiden Singapura berbangsa Cina. Sejarah jelas membuktikan betapa pemimpin-pemimpin Melayu Umno telah mengadai, menjual dan melupuskan hak, khazanah dan kedaulatan Bangsa Melayu.

Singapura: TEMPOH pajakan Tanjong Katong Complex (TKC) bakal dilanjutkan selama 10 tahun lagi apabila ia tamat pada 31 Disember 2012.

Langkah terbaru ini sekali gus menunda rancangan pemerintah merobohkan pusat beli-belah itu bagi memberi laluan kepada pembangunan semula Paya Lebar Central.

Bahkan, Penguasa Tanah Singapura (SLA), yang menguruskan TKC, bakal menaik taraf pusat beli-belah itu - yang popular dalam kalangan pelanggan Melayu - pada 2013.

Mengumumkan langkah itu semalam, Setiausaha Parlimen Kanan (Pertahanan merangkap Pembangunan Negara), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata ia bagi memastikan perniagaan Melayu kekal di kawasan itu dan berpeluang memasuki pembangunan baru yang dirancang di Geylang Serai kelak secara perlahan-lahan.

Thursday, August 18, 2011

Qazaf: Anwar mohon halang Zainul Rijal wakili Jawi


KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal meneruskan tindakan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, memfailkan permohonan bagi menghalang seorang peguam syarie daripada mewakili Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam rayuannya.
Beliau memohon mahkamah supaya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ditegah dan tidak dibenar mewakili Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam rayuannya itu.

Syabu: Pelakon didenda RM5,000


Gambar kiri, Benjy ketika ditahan pada Mac 2010 manakala kanan ialah gambar Benjy semalam.
KUALA LUMPUR – Pelakon Benjy, anak dramatis Azean Irdawaty boleh menarik nafas lega apabila hanya didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas satu tuduhan memiliki syabu seberat 0.24 gram di kediamannya pada Mac tahun lalu.
Majistret Hafizza Sauni memutuskan demikian terhadap Benjy, 33, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Rakyat Malaysia berusia 18 tahun berhak mengundi


KUALA LUMPUR, 17 OGOS – Jika Datuk Seri Najib Razak benar-benar ikhlas untuk mereformasikan sistem pilihan raya, mulakan pendaftaran automatik dan menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun dengan segera.

Ketua Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, perkara itu boleh dilaksanakan serta-merta, dan bukan menunggu sehingga enam bulan atau setahun.

“Kalau ini pun tak berani dilakukan, terbukti kerajaan Barisan Nasional hanya pandai tabor janji tapi tak berniat hendak laksanakan apa-apa perubahan yang baik untuk rakyat,” katanya.

Dalam banyak aspek kehidupan, usia 18 tahun sudah dianggap dewasa, malah sesiapa yang mencapai usia itu boleh dihadapkan ke mahkamah sebagai orang dewasa.

Sebaliknya, untuk menentukan masa depan negara, kerajaan hanya membenarkan mereka yang berusia 21 tahun ke atas sahaja untuk mendaftar sebagai pengundi.

Tuesday, August 16, 2011

Selangor tubuh pasukan pantau projek awam – MB


Kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan projek pembangunan dan pembinaan instrastuktur untuk rakyat diurus dan ditadbir dengan baik.
Menteri Besar,  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pasukan ini dianggotai oleh tenaga profesional terdiri daripada jurutera, juru ukur bahan (QS) dan pegawai teknikal yang berpengalaman, tahu latar belakang kontraktor yang dipilih serta paling penting mereka  bijak menilai kos sebenar dan kepentingan sesuatu projek awam.
“Hasilnya, kita akan dapat menentukan projek diurus dengan baik.  Ini memberi ‘kawalan dan imbangan” atau “check and balance’ dalam cara pemberian kontrak.

Sunday, August 14, 2011

Beijing kerah unit komando kawal


BEIJING: China mengerah unit antipengganasan elitnya ke wilayah barat laut Xinjiang selepas satu siri serangan membawa maut di sana, kata media milik pemerintah negara itu, semalam.

Unit Komando Harimau Bintang Salju dijangka menjalankan 'misi-misi antipengganasannya' di Kashgar dan Hotan, yang terjejas dengan kejadian keganasan baru-baru ini, kata akhbar harian China Daily, sambil memetik seorang jurucakap bagi pasukan polis wilayah.

Unit berkenaan adalah satu kumpulan antipengganasan elit di bawah Angkatan Bersenjata Rakyat China, yang mempunyai tanggungjawab termasuk mengawal rusuhan dan penghapusan bom serta menjalankan tindakan wajar terhadap kejadian rampasan.

Saturday, August 13, 2011

12 individu Muslim beri keterangan 15 Ogos


PETALING JAYA: Seramai 12 individu Muslim yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika menghadiri majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Seksyen 13 minggu lalu akan hadir memberi keterangan Isnin depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh sumber dalaman bahagian penguatkuasaan Jais dan ini sudah dimaklumkan kepada 12 individu berkenaan kelmarin supaya hadir di pejabat jabatan agama itu di Shah Alam.
Menurut sumber itu, peguam dari firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakil 10 daripada 12 individu Muslim itu memahami situasi terbabit dan membenarkan anak guam mereka hadir memberi keterangan kepada Jais.

Friday, August 12, 2011

Beza pengundi tulen, pengundi hantu


PETALING JAYA:  Pemuda PAS mendakwa mendapat bukti terdapat unsur-unsur manipulasi dalam pilihan raya yang membabitkan Umno, kata Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda,  Suhaizan Kaiat.
Beliau memberi contoh  tiga individuyang didaftarkan sebagai pengundi  cuma dibezakan dengan 2 digit nombor kad pengenalan.
Beliau berkata, Mohd Bahar Omar hanya dibezakan dengan nombor 5 dan nombor 8 dua digit terakhir kad pengenalan.
“Mohd Bahar yang mempunyai nombor kad pengenalan 800105025489  adalah ahli Pemuda Umno Jalan Junjung dalam parlimen Kulim-Bandar Baru.

Wanita berburka lakukan serangan nekad


PESHAWAR: Seorang pengebom nekad wanita yang berpakaian burka menyerang polis di tempat kejadian satu letupan awal daripada itu di barat laut Pakistan, semalam.

Letupan kembar itu membunuh lima orang dan memecahkan suasana agak tenang di negara yang sering bergolak dengan keganasan pihak militan itu sejak dua bulan lalu.

Dalam insiden pertama semalam, sebuah bom yang dikawal dari jarak jauh meletup di kawasan Pintu Gerbang Lahori di Peshawar, sedang sebuah trak polis yang membawa para konstabel polis yang baru memulakan tugas syif mereka melalui kawasan itu.

Empat pegawai polis dan seorang budak lelaki terbunuh, manakala 22 lagi cedera.

Kereta api laju Beijing kini lebih perlahan



BEIJING: Sebuah kereta api laju meninggalkan sebuah stesen di Beijing, semalam.

Pemerintah China dilaporkan telah mengarahkan agar kelajuan kereta api di landasan yang baru dibina itu diperlahankan kepada 200 kilometer sejam berbanding kelajuan maksimum sehingga 250 kilometer sejam.

Semalam, pihak berkuasa juga telah membekukan semua projek baru pembinaan landasan kereta api, selang tiga minggu satu kemalangan kereta api laju di negara itu menimbulkan keprihatinan keselamatan.

Pertembungan dua buah kereta api berkelajuan tinggi pada 23 Julai lalu mengorbankan 40 orang dan mencetuskan kemarahan orang ramai. -- Foto AFP

NGO pantau sendiri gereja di Selangor


SHAH ALAM: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) baru, Gerakan Cegah Murtad (GCM), mengambil inisiatif akan melakukan pemantauan secara persendirian terhadap gereja-gereja di seluruh Selangor tanpa menunggu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Langkah ini bagi membendung gejala murtad berikutan tercetusnya kontroversi serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu oleh Jais dengan menahan 12 individu Muslim.

Kenapa takut pada DAP?


Apa yang DAP janjikan bukanlah hal-hal yang berbentuk material semata-mata tetapi ikrar DAP khasnya dalam bentuk ‘roh’ untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957.

Bermula dengan slogan Malaysia untuk Rakyat Malaysia kepada Utamakan Rakyat Malaysia, dan diperincikan lagi dengan Jalan Tengah Malaysia, DAP sentiasa konsisten menjunjung semangat Perlembagaan.

Sama sekali tidak pernah DAP mengkhianati roh ini. Ini kerana…

Thursday, August 11, 2011

NGO cegah murtad ditubuh


NGO cegah murtad ditubuh
SHAH ALAM - Selepas seminggu isu dakwaan cubaan memurtadkan umat Islam di sebuah gereja di Seksyen 13 Petaling Jaya, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelar sebagai Gerakan Cegah Murtad (GCM) ditubuhkan bagi menyokong tindakan Jabatan Agama Islam (JAIS) memelihara kesucian Islam.

Dianggotai 25 NGO berdaftar, gerakan berkenaan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berterusan JAIS dengan menggunakan kuasa yang ada mengikut undang-undang bagi menangani isu murtad.

Jurucakap GCM, Hamidzun Khairuddin berkata, isu murtad seharusnya diuruskan dengan profesional dan efisyen tanpa campur tangan politik.

Pengundi bertindih, Mafrel mahu siasat


KUALA LUMPUR: Selepas pendedahan mengenai kewujudan pengundi hantu berusia lebih 100 tahun dan penduduk tetap yang didaftar sebagai pengundi, kini timbul isu pengundi bertindih yang boleh mengundi di dua tempat.
Sekurang-kurangnya tujuh pengundi setakat ini dikesan telah ‘diklonkan’ dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di kawasan Parlimen Titiwangsa dan Setiawangsa, selain dikesan turut berlaku di Perak dan Terengganu.
Justeru Badan Malaysia Untuk Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel) menawarkan untuk membantu menyiasat dan menyemak isu pengundi bertindih itu di kawasan yang menerima aduan.

Wednesday, August 10, 2011

Lagi pengundi bertindih dikesan dalam daftar pemilih SPR


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Kawasan Titiwangsa (DPPKT) mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan kewujudan beberapa lagi pengundi bertindih di parlimen itu.
Menurut Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, carian pihaknya mendapati terdapat beberapa individu yang mempunyai nama yang sama dalam daftar pemilih SPR.
“Ada beberapa individu mempunyai 1 kad pengenalan lama tetapi memiliki dua pengenalan baru yang sama, nama yang sama dan mengundi di dua parlimen yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tuesday, August 9, 2011

Akta Jenayah Akidah bukti Umno tidak ikhlas


KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Saranan mewujudkan Akta Jenayah Akidah semakin membuktikan sikap tidak ikhlas Umno mempertahankan Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Cadangan itu bukan sahaja ketinggalan zaman, malah semakin membuktikan sikap tidak ikhlas Umno dalam isu-isu berkaitan kepentingan Islam atau dalam usaha-usaha mempertahankan Islam.
"Nampak benar bila Umno nak tonjolkan diri sebagai jaguh, akta mengenai murtad pun dicadangkan.
"Tetapi bila hal berkaitan Islam tidak menguntungkannya dari segi politik, Umno bukan sahaja tidak mahu menyokong malah menentang dan memfitnahkan habis-habisan seperti yang berlaku terhadap Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993," kata beliau.

Kemuka bukti PR jadi pengundi kepada SPR


KUALA LUMPUR:  Pakatan pembangkang perlu mengemukakan bukti-bukti dakwaan mereka bahawa terdapat sejumlah pemilih yang disenaraikan di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku kedua tahun ini, adalah berstatus Penduduk Tetap (PR), kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk disiasat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ini kerana adalah mustahil untuk seseorang PR didaftarkan sebagai pengundi memandangkan mereka tidak mempunyai kad pengenalan berwarna biru.

Monday, August 8, 2011

DAP bersiap sedia jika PRU diadakan hujung tahun ini


DAP sedang bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada bila-bila masa, khususnya jika Parlimen dibubarkan akhir tahun ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata krisis ekonomi Amerika Syarikat yang turut menjejaskan iklim ekonomi Malaysia mungkin akan memaksa kerajaan Barisan Nasional untuk mengadakan PRU lebih awal.

“Lebih-lebih lagi perhimpunan aman Bersih 2.0 serta pendedahan mengenai proses pilihan raya yang tidak bersih akan memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan PRU lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, DAP telah membuat persiapan awal termasuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

Selain itu, DAP juga mengadakan bengkel dan seminar di kalangan pemimpin dan ahli untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi PRU ke-13 akan datang.

Guan Eng berkata tohmahan dan fitnah terhadap DAP yang semakin menjadi-jadi membuktikan UMNO dan BN semakin kehilangan arah dalam usaha mengekalkan kuasa mereka.

PAS mahu temui gereja, Jais


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini memutuskan untuk menemui pihak Gereja Methodist Damansara Utama dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung isu ‘serbuan’ gereja itu Rabu lalu.
“Kami tidak boleh membuat kenyataan sebelum mendapat penjelasan dari pihak gereja dan Jais. Datuk Dr Hasan Ali telah memberi penjelasan kepada pimpinan PAS hari ini tetapi itu tidak cukup.”
Demikian ditegaskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat parti, di Jalan Raja Laut petang tadi.

Sunday, August 7, 2011

Biometrik tidak halang pengundian berulang


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mempertahankan penggunaan dakwat kekal sebagai satu-satunya pengesahan bagi mengelakkan seseorang individu membuang undi berulang kali, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
Katanya, sistem biometrik yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya mengesahkan identiti seseorang tetapi tidak berupaya mengesahkan sama ada individu itu sudah membuang undi menggunakan identiti berlainan.
“Sistem biometrik hanya boleh mengesahkan kad pengenalan tetapi tidak mengesahkan sama ada seseorang itu ada tiga kad pengenalan atau sudah mengundi di lokasi berbeza.

Saturday, August 6, 2011

1,000 ahli Umno bincang kaedah terbaik bangunkan Kelantan


BACHOK: Lebih 1,000 anggota Umno daripada 13 bahagian di Kelantan menyertai perbincangan mencari kaedah terbaik membangunkan negeri itu yang jauh ketinggalan berbanding negeri lain.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata perbincangan yang digabung dengan pengisian Ramadhan itu bermula tengah hari sehingga lewat malam ini.
“Saya dan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Fuad Hassan akan menjadi ahli panel kepada perbincangan itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Umno Bahagian Bachok hari ini.

Krisis hutang Eropah: Ekonomi M’sia tidak terjejas


KEPALA BATAS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yakin ekonomi Malaysia tidak akan terjejas dengan krisis hutang Eropah dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata Malaysia masih mampu mempertahankan kedudukan ekonominya ekoran kebergantungan kepada ekonomi Asia seperti China dan India.
Katanya negara juga dijangka mampu berhadapan dengan situasi semasa itu kerana tidak mempunyai pendedahan terus.
“Kekukuhan asas ekonomi Malaysia yang didorong oleh permintaan domestik akan menjadi penampan bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global.

Friday, August 5, 2011

Penyelesaian isu serbuan gereja: MB minta nasihat Sultan Selangor

Kerajaan Negeri peka dengan laporan media berkenaan serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada malam 3 Ogos 2011. 

Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim (gambar kanan) berkata tindakan seterusnya akan diambil selepas menerima laporan JAIS yang juga akan dipersembahkankepada DYMM Sultan Selangor.

"Sebaik menerima laporan JAIS saya akan mengadap DYMM Tuanku Sultan untuk mendapat nasihat dalam menyelesaikan isu ini serta memastikan perkara sebegini tidak akan berlaku lagi," kata Menteri Besar.

PAS tangkap pengedar MyKad kepada warga asing


SHAH ALAM: PAS Selangor mengesan sindiket pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang didakwa didalangi rakyat tempatan berlaku di DUN Paya Jaras, Subang dekat sini.
Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman berkata, PAS mengesan pada Februari lalu apabila tangkapan dibuat di sebuah rumah.
Beliau juga kesal ekoran laporan hasil siasatan berhubung sindiket pemberian kad pengenalan kepada warga asing masih belum mendapat perhatian pihak polis.

Mydin jelaskan dakwaan terima peruntukan RM1 bilion untuk KR1M


PETALING JAYA: Mydin Mohamed Holdings Bhd yang menguruskan Kedai Rakyat 1Malaysia  (KR1M) hari menjelaskan pihaknya tidak tahu mengenai dakwaan menerima peruntukan RM1 bilion dari kerajaan.
Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin dalam satu surat kepada FMT semalam.
Beliau menjawab laporan yang disiarkan oleh laman web tersebut yang mengatakan syarikat pasar raya gergasi itu menerima peruntukan RM1 bilion dari kerajaan untuk KR1M.
Menurutnya, KR1M merupakan sebuah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) di mana Mydin selaku mentor dan pembekal yang mengeluarkan modal sendiri.