Pages

Saturday, July 31, 2010

SKANDAL 'PETERPORN' : 32 rakaman aksi seks

JAKARTA: Kebenaran dakwaan bahawa Ariel Peterpan benar memiliki 32 rakaman aksi seksnya hanya akan diketahui apabila vokalis itu dibicarakan tidak lama lagi.

Ketua Perhubungan Awam Polis Indonesia, Encik Marwoto Soeto, berkata pihak berkuasa enggan memberi pengesahan atau komen terhadap dakwaan berkenaan.

'Lebih baik kita tunggu perbicaraan. Jika isu itu nanti ada ditimbulkan, maka cerita itu memang benar dan jika sebaliknya, maka dakwaan itu tidak benar,' katanya kepada media kelmarin.

Ariel yang popular dengan lagu Ada Apa Denganmu masih terkurung dalam lokap polis di Jakarta kerana menjadi suspek dalam aksi seks bersama kekasihnya, Luna Maya dan Cut Tari. (Lagi foto di sini)

Kedua-dua wanita itu adalah personaliti televisyen terkenal Indonesia dan belum disahkan akan diheret ke muka pengadilan bersama Ariel.

Luna Maya dikehendaki melaporkan diri kepada polis dari masa ke masa kerana tidak memberikan kerjasama sepatutnya ketika disoal siasat pihak berkuasa.



Turut ditahan adalah penyunting muzik yang juga teman karib Ariel, Rejoy (RJ), yang dipercayai dalang terawal mencuri rakaman seks berkenaan daripada komputer riba penyanyi terbabit sebelum ia tersebar dengan meluas.

Ketika kes itu baru didedahkan, ada pihak tertentu mendakwa rakaman ranjang Ariel itu sebenarnya tidak terhad kepada Luna Maya dan Cut Tari.

Sejumlah nama - termasuk penyanyi dan pelakon terkenal -- turut dikaitkan sebagai teman pemuas nafsu Ariel.

Sementara itu, Encik Marwoto berkata, pihak pendakwa masih dalam proses menyiapkan pertuduhan terhadap Ariel.

Katanya, kemungkinan besar penyanyi itu akan didakwa dalam tempoh lapan hari.

'Mudah-mudahan siasatan dapat disiapkan segera dan tiada lagi kerumitan baru kepada polis akibat penangkapan individu lain,' katanya. -- Agensi.


Ulama: Haram gunakan visa umrah untuk tunai haji

JEDDAH: Menggunakan visa umrah bagi mengerjakan ibadah haji adalah haram, kata ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Abdul Mohsen Al-Obaikan.

'Adalah haram bagi sesiapa yang tiba di negara ini dengan visa umrah untuk tinggal melebihi had yang dibenarkan sehingga musim haji untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu,' kata Sheikh Mohsen kepada akhbar Asharq Al-Awsat.

Beliau, yang juga Penasihat Diraja juga berkata umrah seseorang yang datang ke negara itu untuk melakukan umrah adalah sah tetapi ia akan menjadi haram sekiranya dia tinggal melebihi had yang dibenarkan untuk mengerjakan haji.

'Menurut syariah, tindakan tidak menghormati undang-undang dan peraturan sesebuah negara adalah haram.

'Peraturan itu dibuat untuk kebajikan masyarakat Islam dari dalam dan juga luar Arab Saudi,' katanya.

Menurutnya, mereka yang melawat negara itu mesti menggunakan visa untuk tujuan ia dikeluarkan.

'Jika mereka diberikan visa untuk melakukan umrah, mereka perlu melakukan ibadah itu dan pulang ke tanah air. Adalah haram jika mereka tunggu untuk melakukan haji,' katanya. -- Agensi.


Lebih 260 terkorban dalam banjir

PESHAWAR: Perangkaan kematian akibat banjir selama tiga hari di Pakistan mencapai sekurang-kurangnya 267 jiwa semalam, kata para pegawai penyelamat dan pemerintah.

Ini sedang hujan lebat terus menyebabkan sungai-sungai di kawasan terbabit terus sarat dipenuhi air dan menenggelamkan kampung-kampung serta menyebabkan kejadian tanah runtuh.

Jumlah kematian semakin meningkat ekoran hujan monsun itu mencerminkan keadaan prasarana yang teruk di Pakistan.

Para pekerja penyelamat yang kekurangan kelengkapan berhempas pulas ke kawasan-kawasan perkampungan terpencil untuk memberi bantuan kepada para penduduk yang terkandas.

Ramalan cuaca bercampur-campur. Beberapa daerah dijangka mengalami kurang hujan manakala yang lain pula diramalkan mengalami lebih banyak hujan.

Stesen televisyen Pakistan menunjukkan imej penduduk yang berusaha bergayut pada pagar-pagar dan benda-benda lain yang tidak bergerak di tengah-tengah arus deras air bah.

Kawasan barat laut negara itu kelihatan paling teruk terjejas. Menteri Perhubungan wilayah itu, Encik Mian Iftikhar, berkata ia adalah kejadian banjir paling teruk di wilayah berkenaan sejak 1929.

Sekurang-kurangnya 245 orang mati di beberapa kawasan wilayah tersebut sepanjang tiga hari lalu, kata Encik Mujahid Khan daripada Yayasan Edhi, sebuah pertubuhan khidmat menyelamat yang dikendalikan pihak swasta, yang turut menawarkan khidmat ambulans dan mengurus bilik mayat.

Sementara itu, pemerintah Pakistan telah meningkatkan usaha menyelamat selepas ribuan penduduk kampung terkandas di wilayah berkenaan.

Sistem perhubungan juga terputus.

'Kami mempunyai 23 helikopter yang sedang membantu dalam misi-misi bantuan dan menyelamat di seluruh wilayah Khyber Pakhtunkhwa hari ini (semalam),' kata Encik Amir Siddique, seorang jurucakap bagi Penguasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), menerusi telefon dari Islamabad semalam.

Encik Iftikhar bagaimanapun berkata prasarana di wilayah itu 'sudah dimusnahkan oleh pengganasan'.

'Apa yang tinggal telah dimusnahkan pula oleh banjir ini. Ada kemungkinan berlakunya lebih banyak kejadian banjir, dan lebih banyak kerosakan,' tambahnya.

Beliau membuat rayuan bagi mendapatkan bekalan khemah, bot dan makanan bagi mereka yang kehilangan tempat kediaman dan meminta orang ramai berpindah dari kawasan-kawasan yang terjejas ke bandar-bandar.

Askar-askar lengkap dengan jaket keselamatan, bot dan rakit telah dikerahkan untuk membantu memindahkan keluarga-keluarga ke lokasi lebih selamat, kata pihak tentera di laman webnya kelmarin.

Sekurang-kurangnya 400,000 orang terkandas di beberapa bandar dan perkampungan yang terjejas di wilayah itu. -- AP, Bloomberg.





Sekilas Dunia

American Idol: Ellen tarik diri

LOS ANGELES: Pengadil rancangan popular televisyen American Idol, Ellen DeGeneres, kelmarin mengumumkan beliau akan menarik diri selepas satu musim.

DeGeneres berkata 'ia tidak sesuai' bagi beliau kerana beban kerja melebihi jangkaan dan sukar untuk menyinggung perasaan para peserta.

Fox enggan beritahu penggantinya tetapi laman web Deadline.com berkata penyanyi Jennifer Lopez sudah setuju gantikan DeGeneres. -- AP, Reuters.



AS tolak bayar pampasan

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat menolak satu rang bagi pampasan berjumlah AS$7.4 bilion ($10 bilion) kepada penduduk yang sakit akibat debu beracun ekoran robohnya menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Rang itu dinamakan bagi pihak Encik James Zadroga, 34 tahun, seorang detektif polis yang mati akibat debu di Ground Zero.

Tetapi pemeriksa kesihatan New York berkata penyakit paru-paru Encik Zadroga disebabkan pengambilan dadah. -- AP.



Mantan PM Fiji tak ngaku salah

WELLINGTON: Mantan Perdana Menteri Fiji, Mahendra Chaudhry, semalam tidak mengaku salah di atas 12 pertuduhan.

Antaranya dia dituduh melanggar undang-undang Fiji kerana tidak mengisytihar mata wang asing dan menipu pegawai cukai, antara November 2000 dan 23 Julai tahun ini. - AP.




Friday, July 30, 2010

Kawalan keselamatan di masjid dan pusat Islam diperketatkan

NEW YORK: Jabatan Polis New York (NYPD) semalam berkata ia akan mengetatkan kawalan keselamatan di sekitar masjid-masjid dan pusat-pusat Islam di bandar itu sepanjang bulan suci Ramadan yang akan datang.

Rondaan polis akan ditingkatkan di semua pusat-pusat keagamaan dan tapak-tapak pusat-pusat yang akan datang dari 11 Ogos hingga 9 September ini, kata jabatan tersebut dalam satu kenyataannya.

Langkah itu dibuat menyusuli satu rancangan kontroversial untuk membina sebuah masjid berdekatan tapak Pusat Dagangan Dunia yang diserang pengganas pada 11 September 2001.

'Semasa Ramadan, jabatan ini akan meningkatkan kawalan di pusat-pusat pemeriksaan di sekitar masjid-masjid, mengerahkan kereta ronda ke tempat-tempat ibadah, dan mengerahkan unit-unit preman antijenayah tambahan untuk mengelakkan berlakunya kecurian,' kata NYPD.

Pasukan Petugas Jenayah Kebencian jabatan berkenaan 'juga akan meneruskan latihan kesedaran jenayah kebencian seperti biasa di seluruh bandar itu... (dan) akan berkunjung ke masjid-masjid dan tapak-tapak yang terdapat rancangan membina masjid-masjid di masa depan'.

Sebuah lembaga masyarakat New York pada Mei lalu menyokong rancangan membina sebuah pusat kebudayaan Islam dan sebuah masjid, yang terletak hanya dua blok dari kawasan 'Ground Zero', tapak beberapa anggota militan merempuh menara kembar bangunan Pusat Dagangan Dunia dengan dua pesawat - mengakibatkan 3,000 orang terbunuh pada 11 September 2001.

Para penentang rancangan itu mengadu bahawa projek tersebut adalah satu penghinaan kepada peristiwa kematian mangsa-mangsa keganasan itu, manakala para penyokongnya pula percaya ia akan menukar pandangan stereotaip yang negatif terhadap Islam. -- AFP.



Bekas juara bowling remaja hadapi tuduhan rogol gadis bawah umur

MELAKA: Bekas juara kejohanan bowling remaja kebangsaan dihadap ke Mahkamah Sesyen, kelmarin, atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 13 tahun di sebuah hotel dekat Ayer Keroh, awal bulan lalu.

Nor Afizal Azizan, 19 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di bilik bernombor 225, tingkat dua, Hotel Kings, Ayer Keroh, antara 12.30 pagi dengan 5 pagi, pada 5 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Sebaik pertuduhan membabitkan gadis bawah umur itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Katar, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Cik Ifa Sirrhu Samsudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Encik Azrul Zulkifli Stork.

Cik Ifa dalam hujahnya meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 ($4,275) dengan seorang penjamin ke atas tertuduh. Bagaimanapun, ia dibantah oleh Encik Azrul dan memohon nilai itu dikurangkan kepada RM5,000 kerana ayah keluarga tertuduh tidak bekerja.

Hakim Abu Bakar kemudian menetapkan 30 Ogos bagi sambungan perbicaraan.



Waran tangkap ke atas Thaksin

BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas perdana menteri negara itu, Encik Thaksin Shinawatra, yang diburu polis, berhubung dakwaan memalsukan perisytiharan aset.

'Thaksin gagal hadir tanpa memberitahu mahkamah. Tindakannya menunjukkan beliau berhasrat melarikan diri,' kata Hakim Thanan Wanagowit. 'Kes ini belum selesai sehingga beliau ditahan,' ujarnya. -- AFP.




Rundingan Arab-Palestin bermula

KAHIRAH: Para pegawai Arab memulakan rundingan penting dengan Presiden Palestin, Encik Mahmud Abbas, semalam bagi memutuskan sama ada beliau akan memulakan rundingan langsung dengan Israel di tengah-tengah desakan Amerika Syarikat.

Encik Abbas memulakan rundingan dengan menteri luar dan pegawai lain dari 13 negara anggota jawatankuasa Inisiatif Damai Arab. Beliau dijangka membentangkan hasil rundingan tidak langsung yang diusahakan Amerika dan diluluskan Liga Arab bagi tempoh empat bulan. -- AFP.




Thursday, July 29, 2010

Jangan terpedaya dengan dakyah UMNO

Kerajaan persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional sengaja mencari kesalahan kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, malah mensensasikan isu pasir di Selangor dan Pulau Pinang untuk memberi imej buruk terhadap kerajaan PR, kata Mohamad Sabu, ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika mengulas isu kecurian pasir di Pulau Pinang, semalam.

"Cuba kita lihat bagaimana pelbagai bentuk tribulasi yang dilakukan oleh UMNO dan BN di negeri-negeri yang diperintah oleh Kerajaan PR bagi menyalahkan Kerajaan Negeri yang tidak dipimpin oleh mereka," kata Mohamad Sabu.

"Isu pasir di Selangor dan di Pulau Pinang cuba mereka sensasikan. Pelbagai tuduhan dan dakwaan yang mereka lakukan semata-mata bagi memberi imej buruk terhadap kerajaan negeri yang diterajui oleh PR." Beliau berkata sedemikian di depan khalayak 4000 orang, yang menghadiri ceramah di Kompleks Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang, Bukit Mertajam, semalam.

Beliau menambah, "Mereka cuba menyifatkan kepimpinan Kerajaan PR adalah lemah dan tidak kuat. Namun begitu saya yakin rakyat kini bukan lagi mudah ditipu oleh Kerajaan yang diperintah oleh BN."

UMNO main sentimen perkauman

Sementara itu, Mohamad Sabu juga menyelar kepimpinan UMNO yang sentiasa memainkan sentimen perkauman terutamanya dalam isu yang melibatkan masyarakat Melayu.

"Seringkali mereka mengatakan sekiranya UMNO kalah dan hilang kerusi dalam pilihan raya maka kuasa dan politik Melayu akan hilang. Apakah mereka lupa apabila UMNO hilang kuasa di Kelantan sejak 20 tahun yang lalu apakah Melayu hilang kuasa sedangkan yang memerintah Kelantan itu adalah Melayu juga yang datangnya dari PAS?"

Mohamad Sabu (gambar kanan) menyeru, "Oleh kerana itu, rakyat jangan terpedaya dengan dakyah dan sentimen perkauman yang dimainkan oleh UMNO dan BN semata-mata bagi meraih sokongan yang semakin hilang terhadap mereka. Masyarakat Melayu khususnya jangan termakan isu yang dimainkan oleh UMNO apabila mengatakan kuasa politik akan hilang sekiranya UMNO tidak berkuasa, sedangkan PAS bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai sebuah parti untuk orang Melayu dan umat Islam di negara ini."

Kejadian curi pasir berlarutan sejak zaman pemerintahan BN

Di samping itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga menyelar kerajaan persekutuan yang menyalahkan kerajaan negeri dalam isu kecurian pasir di atas tapak Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang. Menurut beliau lagi, kerajaan negeri sukar untuk mencampur tangan dalam hal tanah milik kerajaan persekutuan, lantaran daripada halangan dan kerenah dari kerajaan persekutuan.

"Walaupun begitu, sebagai sebuah kerajaan negeri yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat maka kita turut berasa terpanggil untuk mengetahui perkembangan insiden kecurian pasir di atas tapak tanah milik Kerajaan Persekutuan itu," tambahnya.

"Kejadian ini telah berlarutan sejak tahun 2002 lagi semasa negeri ini diterajui oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN). Namun begitu tiada tindakan yang diambil oleh mereka walaupun ianya telah berleluasa sekian lama. Adalah sesuatu yang menghairankan apabila mereka tidak mengambil apa-apa tindakan sejak lapan tahun yang lalu," kata Lim Guan Eng (gambar kiri) yang mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri selepas PRU ke-12, Mac 2008.

"Oleh kerana kepentingan rakyat dan masyarakat setempat adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah, maka kita tetap akan memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan bagi mencari dalang sebenar di sebalik aktiviti mencuri pasir di atas tanah tersebut," janji Lim Guan Eng.

Biarpun diasak dengan pelbagai tuduhan dari media arus perdana yang dikuasai UMNO-BN, namun hadirin tetap memberi sambutan gemuruh kepada Lim Guan Eng ketika beliau melontarkan kritikan terhadap kerajaan BN, di samping mengulas bagaimana kerajaan pimpinannya memanfaatkan warga Pulau Pinang dengan dasar-dasar yang mesra rakyat.

BN adalah punca kepada apa yang sedang berlaku

Manakala Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dalam ucapan beliau menyeru agar seluruh masyarakat di Pulau Pinang supaya tidak percaya dengan pelbagai isu yang sedang dimainkan oleh BN.

Salleh Man (gambar kanan) berkata, banyak isu perumahan yang dibangkitkan oleh UMNO dan BN adalah untuk menunjukkan mereka prihatin terhadap rakyat walaupun sebenarnya mereka adalah punca kepada apa yang berlaku sekarang.

"Isu perumahan yang berlaku di Jelutong sebagai contoh bukannya bikinan PR. Ia telah berlaku sejak pemerintahan BN lagi. Segala macam tohmahan yang mereka dakwa mempunyai niat tertentu untuk menyembunyikan kesalahan lampau yang telah mereka lakukan terhadap masyarakat dan rakyat negeri ini."

"Apabila mereka mulai merasakan tercabar dan kuasa semakin hilang maka bagi meraih kembali dokongan yang semakin pudar itu isu akan disensasikan. Setelah mereka tidak berjaya dengan isu perumahan beralih pula kepada isu peniaga kecil. Kini mereka mainkan pula isu pasir di Balik Pulau yang ternyata berada di atas tanah milik mereka secara total."

"Dalam isu ini kita mahu mereka yang bertanggungjawab di sebalik kegiatan mencuri pasir di kawasan tersebut segera dihadapkan ke muka pengadilan. Selagi masalah ini tidak selesai maka Kerajaan Persekutuan akan sentiasa menyalahkan Kerajaan Negeri walaupun pada hakikatnya mereka sedar mengenai kejadian sebenar di atas tapak tersebut," katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Helmi Haron, Mudir Yayasan An-Nadhoh, ustaz Mutalib Maarof dan kepimpinan PR Negeri Pulau Pinang.

* MerdekaReview.

Subsidi untuk rakyat dipotong, Subsidi untung IPP dikekalkan


Baru-baru ini, Petronas merungut kerana terpaksa menanggung beban subsidi gas sejumlah RM116 bilion, malah menyatakan harapannya agar kerajaan menunaikan janji untuk memansuhkan subsidi secara beransur-ansur. Di samping itu, sementara Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan potongan subsidi minyak, gas dan gula, subsidi kepada korporat dikekalkan sebaliknya, memberi manfaat yang terbesar kepada penjana kuasa bebas (IPP).

Sesetengah orang menuding jari terhadap IPP, lantaran daripada double standard yang diamalkan oleh PM Najib dalam isu subsidi. Dalam satu kenyataan oleh Persatuan IPP pada 21 Julai 2010, mereka menafikan bahawa IPP menerima manfaat daripada subsidi gas, sebaliknya mendakwa bahawa manfaat ini disalurkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism

Menurut Persatuan IPP, dalam model operasi IPP yang sedia ada, harga gas ditetapkan oleh kerajaan, dan gas ini dibekalkan kepada IPP. Dalam hal ini, IPP yang menandatangani kontrak dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad), hanya berperanan sebagai pembekal eletrik, dan tidak terlibat dalam hal ehwal pengguna.

PPA yang berat sebelah

Bagaimanapun, kenyataan Persatuan IPP ini hanya benar secara luarannya. Sememangnya IPP tidak memperolehi manfaat kewangan secara langsung daripada subsidi gas ini, tetapi IPP telah mengaut keuntungan yang besar secara tidak langsung daripada subsidi gas ini. Pada hakikatnya, Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) antara kerajaan, TNB dengan IPP menjadi punca kepada mekanisme subsidi ini.

Seandainya dilihat dari struktur sektor bekalan elektrik secara menyeluruh, TNB adalah pembekal elektrik yang utama, dengan kira-kira 60% aset kilang penjana elektrik di Semenanjung Malaysia, dan 55% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia. Sementara itu, IPP menguasai 40% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia, di samping 5% yang selebihnya dimiliki SESB di Sabah dan SESCo di Sarawak.

Sektor elektrik merupakan pengguna terbesar dalam pasaran gas semulajadi. Menurut laporan kewangan Petronas pada tahun 2009, 59.7% gas semulajadi disalurkan kepada sektor elektrik, dan kira-kira dua pertiga daripadanya pula dibekalkan kepada IPP. Jikalau dilihat mengikut nisbah, IPP merupakan unit penerima subsidi gas yang terbesar dalam sektor elektrik.

Menurut maklumat daripada laporan kewangan Petronas pada tahun 2007, Petronas telah menanggung beban subsidi gas sebanyak RM58.2 bilion untuk sektor elektrik mulai tahun 1997. RM27.6 bilion (47%) daripadanya dibekalkan kepada IPP, sementara TNB memperolehi subsidi gas sebanyak RM21.2 bilion (37%). Malah, RM9.4 bilion (16%) yang selebihnya, dikongsi oleh perusahaan kecil dan sederhana, bidang komersial dan rumah tangga. Jelas, IPP memperolehi subsidi gas yang tertinggi.

Petronas kini membekalkan gas semula jadi kepada sektor elektrik pada harga RM6.40 per mmBtu (Million Metric British Thermal Units), selepas subsidi. Menurut harga antarabangsa pada pertengahan Julai, harga pasaran gas semulajadi adalah USD 4.39 atau RM14/mmBtu. Dengan kata lain, IPP membeli gas semula jadi dengan harga RM7.60 (55%) lebih rendah daripada harga pasaran, selepas subsidi yang sudah tentu tidak kecil angkanya.

Subsidi menguntungkan IPP

Seandainya mengikut kenyataan Persatuan IPP, manfaat daripada subsidi akan dialihkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism. Pada hakikatnya, keadaan tidak berlaku sebagaimana yang diperkatakan. Setelah membeli gas semulajadi dengan harga yang lebih rendah dari pasaran, IPP tidak membekalkan elektrik kepada TNB dengan harga rendah, sebagaimana yang dijangkakan. Sebaliknya, IPP menjual elektrik dengan harga yang lebih tinggi kepada TNB, lantas mengaut keuntungan berganda daripadanya.

TNB terpaksa membeli kuasa elektrik daripada IPP dengan harga yang lebih tinggi, kerana terikat dengan PPA, wahal kos TNB untuk menjana elektrik sendiri jauh lebih rendah daripada kosnya membeli dengan IPP. Akhirnya, beban peningkatan kos TNB dipindah kepada pengguna, apabila TNB meminta agar kerajaan meluluskan kenaikan harga elektrik. Dengan kata lain, pengguna bukan sahaja tidak dimanfaatkan daripada subsidi, sebaliknya menanggung kos untuk membeli elektrik daripada IPP.

Lebih-lebih lagi, syarat-syarat yang berat sebelah dalam PPA telah mencungkil pertikaian. Jeff Rector, seorang pengkaji dari Universiti Stanford di bawah The Program on Energy and Sustainable Development, pernah mengemukakan satu laporan berjudul The IPP Investment Experience in Malaysia pada tahun 2005. Menurut laporan tersebut, syarat take or pay yang digariskan dalam PPA menyatakan bahawa TNB bertanggungjawab untuk membiayai kuasa elektrik IPP, sama ada bekalan tersebut diperlukan atau tidak.

Menurut laporan ini, kesemua IPP fasa pertama menjana kuasa elektrik dengan gas semulajadi, yang dibekalkan Petronas secara khususnya. Syarat PPA menyatakan bahawa risiko kenaikan kos gas semulajadi ditanggung sepenuhnya oleh Petronas. Malah, dalam PPA untuk IPP fasa pertama, bekalan elektrik ditetapkan pada harga antara 13.7 sen dengan 15.5 sen per kilowatt-hour, jelas lebih tinggi daripada kos yang dihasilkan TNB sendiri.

Harga ini ditetapkan dengan mengambil purata anggaran inflasi untuk tempoh 21 tahun. Maka dengan ini, untuk beberapa tahun pada peringkat awal secara khususnya, IPP akan mengaut keuntungan yang besar, dan keuntungan akan berkurang apabila sampai ke peringkat akhir tempoh 21 tahun ini. Malah, IPP berpeluang untuk menjelaskan kos permulaannya (modal) pada peringkat awal tempoh 21 tahun ini, dan terus menikmati keuntungan setahun demi setahun kemudiannya.

Selain itu, Jeff Rector mendedahkan bahawa lima buah IPP fasa pertama dijamin dengan pulangan 20%, dalam perjanjian konsesi ini. Tetapi, IPP ini memperolehi pulangan yang lebih tinggi pada akhirnya.

IPP menjadi beban TNB

Manfaat sebagaimana yang disebut di atas tidak dikecapi oleh IPP fasa kedua, apabila PPA menyatakan bahawa risiko kos kenaikan harga bahan bakar ditanggung bersama oleh TNB dan IPP. Namun demikian, syarat take or pay tetap dikekalkan, iaitu TNB wajib membeli kuasa elektrik daripada IPP, sama ada perlu atau tidak. Syarat inilah yang menjurus kepada masalah 40% lebihan kapasiti elektrik (unutilized capacity), yang dihadapi oleh TNB.

Jelas, IPP menjadi beban TNB. Dalam satu wawancara bersama Business Time, yang disiarkan pada 2 Mac 2009, bekas Ketua Pegawai Kewangan TNB, Izzaddin Idris (gambar kanan) berkata, setinggi 80% kos operasi TNB dalam laporan kewangan tahun 2008 digunakan untuk membiayai IPP, perlombongan arang dan gas semulajadi yang dibekalkan Petronas. Antaranya, RM8.7 bilion digunakan untuk membiayai IPP, dengan RM4.8 bilion daripadanya untuk bekalan elektrik.

Izzaddin Idris berkata, TNB akan memperuntukkan RM5 bilion untuk hasilan kuasa elektrik pada tahun kewangan 2009, dan kos ini dijangka akan bertambah pada masa depan.

Ringkasnya, dalam isu subisidi gas dan bekan elektrik, IPP menjadi penerima manfaat terbesar, sementara Petronas, TNB, kerajaan, malah rakyat perlu menanggung kerugian akibat daripadanya. Subsidi tidak menguntungkan rakyat, yang sebaliknya perlu menanggung kosnya kerana penyelewengan dalam hasilan elektrik.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Analisa asal dalam edisi bahasa Cina disiarkan pada 23 Julai 2010. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tuesday, July 27, 2010

Fail rahsia tentera AS mengandungi butiran laporan Pentagon Bocor

WASHINGTON: Rumah Putih mengecam tindakan membocor fail tentera rahsia yang mendakwa perkhidmatan perisikan Pakistan membantu kumpulan Taleban.

Laman web Wikileaks menyiarkan kelmarin sekitar 92,000 dokumen mengandungi butiran mengenai perang Afghanistan berdasarkan laporan Pentagon dan pegawai tentera dari 2004 hingga 2010.

Dokumen itu antara lain 'membayangkan Pakistan, yang jelas sekutu Amerika Syarikat, membenarkan perkhidmatan perisikannya bertemu secara langsung dengan Taleban'.

Perkhidmatan perisikan Pakistan didakwa 'mengatur rangkaian kumpulan militan yang menentang askar Amerika di Afghanistan, dan malah merancang membunuh pemimpin Afghan'.

Fail itu turut mengandungi butiran mengenai bertambahnya penduduk awam yang maut di tangan pasukan tentera antarabangsa dan Taleban.

Rumah Putih mengecam penyiaran dokumen itu kerana maklumat tersebut dikatakan boleh membahayakan askar Amerika.

'Amerika mengutuk keras pendedahan maklumat rahsia oleh individu atau pertubuhan, yang boleh membahayakan nyawa rakyat Amerika dan sekutu kami, dan mengancam keselamatan nasional,' kata Penasihat Keselamatan Rumah Putih, Encik James Jones.

Namun, beliau berjanji ia tidak akan menjejas komitmen Presiden Barack Obama untuk 'mengukuhkan' kerjasamanya dengan Afghanistan dan Pakistan.

Duta Pakistan ke Amerika, Encik Husain Haqqani, berkata dokumen itu tidak mencerminkan ke- adaan sebenar.

Bagaimanapun, senator Amerika, Encik John Kerry, berkata ia menimbulkan 'persoalan penting berkaitan realiti dasar Amerika terhadap Pakistan dan Afghanistan'.

Encik Obama menetapkan Julai tahun depan sebagai tarikh permulaan pengunduran askar Amerika di Afghanistan.

Terdapat hampir 150,000 askar Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Afghanistan. -- AFP.

Sekilas Berita Dunia

Pentadbiran lama bermasalah

MANILA: Presiden Filipina, Encik Benigno Aquino, berkata semalam pentadbirannya mewarisi banyak masalah daripada pentadbiran sebelumnya.

Dalam ucapan pertama kepada rakyat selepas menjadi presiden, Encik Aquino berkata pentadbiran mantan Presiden Gloria Arroyo antara lain menghabiskan dana bencana dan membeli terlalu banyak beras hingga banyak rosak. -- Agensi.



Serangan demi tujuan politik

BANGKOK: Letupan bom di Bangkok kelmarin yang menyebabkan seorang terbunuh dan 10 cedera bertujuan mencetus kekacauan untuk kepentingan politik, kata polis.

Jeneral Panupong Singhara Na Ayutthaya berkata pihaknya sedang memeriksa rakaman kamera litar tertutup dan mengesyaki seorang lelaki.

Tetapi jurucakap parti pembangkang, Parti Puea Thai, menuduh penyokong kerajaan menjadi dalang letupan itu. -- AFP.



Mayor didesak letak jawatan

DUISBURG (Jerman): Mayor Duisburg, Encik Adolf Sauerland, didesak meletak jawatan ekoran kejadian rempuhan di pesta muzik tekno Love Parade yang menyebabkan sekurang-kurangnya 19 orang mati Sabtu lalu.

Pihak berkuasa dilaporkan diberi amaran bandar itu terlalu kecil untuk menganjurkan pesta muzik terbesar di Eropah itu.

Kawalan keselamatan juga dikatakan tidak mencukupi. -- AFP.




Anugerah Diraja Kewangan Islam

PUSAT Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) di Malaysia telah mengetuai satu inisiatif untuk mengiktiraf seorang individu yang telah memberikan sumbangan besar kepada kemajuan kewangan Islam di peringkat sejagat.

Di bawah saranan kerajaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berkenan untuk menganugerahkan pengiktirafan yang dipanggil Anugerah Diraja Bagi Kewangan Islam pada 25 Oktober ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif MIFC, Tan Sri Datuk Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata:

'Kewangan Islam semakin menjadi salah satu segmen kewangan antarabangsa yang paling pesat berkembang. Oleh itu, inilah masanya bagi Malaysia mengiktiraf individu yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan kewangan Islam.'

Proses pemilihan pemenang anugerah itu akan dijalankan oleh panel juri antarabangsa bebas yang dipengerusikan oleh Tun Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Yayasan Forum Kewangan Islam Sedunia.

Tujuh orang juri telah dilantik.

Mereka terdiri daripada tokoh terkemuka cendekiawan syariah, ahli akademik dan pengamal kewangan Islam dari Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Antaranya termasuk Profesor Dr Volker Niehaus, mantan Presiden Universiti of Marburg dari Jerman; Profesor Dr Abbas Mirakhor, mantan Pengarah Eksekutif Dana Kewangan Antarabangsa (IMF); Dr Mohamed Ali Elgari, Profesor Ekonomi Islam, Universiti King Abdul Aziz dari Arab Saudi; Encik A. Riawan Amin, Pengerusi Persatuan Bank-bank Islam Indonesia; serta Dr Yahia Abdul Rahman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Lariba Bank of Whittier, Amerika.



Keuntungan bersih SIA capai $253 juta

BERTAMBAH PULIH: Keuntungan SIA yang positif sekali gus mengatasi ramalan purata $232 juta yang dibuat oleh para pengamat. Ia dirangsang oleh permintaan penerbangan yang lebih memberangsangkan. -- Foto BLOOMBERG

SINGAPORE Airlines (SIA) Ltd mencatatkan keuntungan lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama tahun ini yang berakhir bulan lalu berikutan permintaan bagi penerbangan dan kargonya yang semakin pulih.

Keuntungan bersih bagi syarikat penerbangan kedua terbesar di dunia berdasarkan nilai pasaran itu mencapai $253 juta berbanding kerugian sebanyak $307.1 juta setahun lalu, menurut kenyataan SIA semalam.

Ini sekali gus mengatasi ramalan purata $232 juta yang dibuat oleh para pengamat.

Ini juga merupakan keuntungan suku tahunan yang tertinggi sejak Disember lalu apabila ia meraih keuntungan sebanyak $404 juta.

'Tempahan awal menandakan pemulihan pada jumlah penumpang dan pulangan pada suku pertama yang lalu akan mampu bertahan bagi baki tahun ini.

'Selain itu, terdapat tanda-tanda bahawa permintaan bagi kargo yang meningkat baru-baru ini mungkin dapat dikekalkan buat masa terdekat, walaupun kadar pertumbuhan mungkin akan lebih perlahan sedikit,' kata kenyataan itu.

Pendapatan firma itu tumbuh 20.7 peratus kepada $3.47 juta, mencerminkan faktor penumpang dan pulangan yang lebih mantap.

Perbelanjaan SIA turut meningkat berbanding setahun lalu tetapi pada kadar lebih perlahan, sebanyak 0.8 peratus, ekoran perbelanjaan ke atas minyak yang lebih tinggi.

SIA berkata keuntungan operasi bagi suku tersebut juga positif. Ia mencecah $251 juta setelah mengalami kerugian sebanyak $319 juta tahun lalu.

Menurut SIA yang dimiliki oleh Temasek Holdings, jumlah penumpang yang diterbangkan naik 5.5 peratus kepada empat juta sedang industri pelancongan pulih daripada kemelesetan ekonomi.

Ia juga mampu mengisi secara purata 78.4 peratus tempat duduk bagi suku itu, berbanding 71.6 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Jumlah purata yang dibayar seorang pelancong untuk terbang sejauh satu kilometer atau pulangan penumpang turut meningkat sebanyak 14.7 peratus.

Minggu lalu, SIA mengumumkan rancangan untuk menambah lebih banyak penerbangan ke bandar-bandar termasuk Los Angeles, Sydney dan Moscow didorong oleh permintaan yang melonjak.

Firma-firma penerbangan global masih 'merawat luka' setelah mengalami prestasi paling buruk akibat kegawatan ekonomi.





Isteri curang bijak simpan rahsia

WANITA bijak menipu hinggalah kecurangan mereka terbongkar.

KISAH isteri curang atau suami menangkap isteri berkhalwat dengan lelaki lain semakin kerap dilaporkan media kebelakangan ini.

Kes terbaru berlaku di Kuantan, Pahang, 5 Julai lalu. Seorang suami, dikenali sebagai Muhammad yang mengesyaki isterinya bermain kayu tiga bertindak memasang perangkap dengan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Menurut Muhammad, pada mulanya beliau tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita itu sibuk dengan perniagaan butiknya.

“Namun, saya sendiri yang menangkapnya ketika dia berdua-duaan dengan seorang lelaki lain di sebuah bilik sewa yang terletak di atas sebuah restoran,” cerita beliau.

Bagi Halim (bukan nama sebenar) pula, dia tidak menyangka isterinya Halimah (nama samaran) yang berperwatakan baik sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.

“Sepanjang hidup bersamanya, tidak sedikit pun saya meragui kesetiaannya memandangkan perkahwinan kami atas dasar suka sama suka,” katanya dalam ruangan forum Internet.

Halim memberitahu, ketika dia bersusah payah membangunkan perniagaan, Halimah merupakan menjadi sumber inspirasinya.

Isterinya juga melayannya dengan penuh kasih sayang dan rumah tangga mereka bertambah bahagia selepas dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.

Namun, ada juga rakan memberitahu Halim mereka pernah melihat Halimah bersama lelaki lain dalam keadaan mencurigakan tetapi tidak diendahkan Halim.

Pada suatu hari, kereta yang dipandu Halim rosak dan beliau terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil sebuah lagi keretanya.

Di rumah, Halim terkejut besar melihat kelibat seorang lelaki keluar dari pintu belakang. Dengan segala kudrat, Halim mengejar lelaki itu dan berjaya menangkapnya.

Meningkat

Tetapi apa yang menyedihkan, Halim mendapati isterinya berada dalam keadaan kusut dan memakai baju tidur tanpa coli di ruang tamu. Mereka berdua akhirnya bercerai.

Menurut seorang peguam syarie, Musa Awang, kes perceraian akibat isteri curang seperti yang dilalui Muhammad dan Halim itu meningkat 20 peratus setiap tahun.

“Perkara ini cukup serius terutama bagi pasangan suami isteri yang menetap di bandar besar. Saya berpendapat antara puncanya ialah isteri banyak menghabiskan masa di tempat kerja.

“Mereka kurang bersama suami dan jika ada masalah rumah tangga, mereka akan berkongsi dengan orang ketiga yang suka mengambil kesempatan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun mengendalikan kes cerai di mahkamah syariah.

Beliau berpendapat, perkara-perkara itu boleh menyebabkan hubungan suami dan isteri renggang, bergaduh dan akhirnya memilih cerai sebagai jalan untuk keluar daripada konflik rumah tangga.

Musa tidak menyalahkan isteri seratus peratus. Suami juga, katanya, mungkin menjadi punca isteri curang, misalnya suami tidak menunaikan tanggungjawab zahir dan batin.

“Selain itu, suami sendiri mungkin curang terlebih dahulu hingga menyebabkan isteri beralih cinta kepada orang lain. Begitu juga jika suami berpoligami tanpa kebenaran, berperwatakan kasar dan suka memukul isteri,” terang beliau.

Musa memberitahu, dalam keadaan itu, perceraian dianggap penyelesaian terbaik.

Bagi Pengarah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM), Linda Jamaluddin, masalah bermula apabila si isteri mengadu kepada orang lain yang tidak berkaitan.

Katanya, wanita lebih terdorong untuk berjumpa teman sepejabat atau jiran-jiran untuk meluahkan perasaan.

Cinta sepejabat

“Daripada situlah timbul perasaan kasihan lebih-lebih lagi kawan lelaki hingga membibitkan cinta terlarang,” katanya.

Linda berpendapat kecurangan berlaku disebabkan masalah komunikasi dalam rumah tangga. Suami tidak memahami isteri dan begitulah sebaliknya. Faktor lain ialah suami tidak mahu berkongsi kerja dan tugas menguruskan rumah tangga.

“Kesilapan paling utama adalah apabila suami atau isteri berkongsi masalah rumah tangga dengan orang lain hingga menimbulkan masalah lain khususnya curang,” hujah beliau.

Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali memberitahu, kecurangan merupakan salah satu punca perceraian di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan angka yang tepat berhubung kes cerai yang melibatkan isteri curang.

“Kes cerai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ialah sebanyak 15 hingga 18 peratus berbanding jumlah perkahwinan yang didaftarkan setiap tahun,” katanya.

Che Mat memberitahu, faktor kewangan suami yang tidak stabil selain cabaran kehidupan di bandar besar juga boleh mengakibatkan isteri curang.

“Dahulu, rata-rata isteri menjadi suri rumah tetapi kini kebanyakan mereka bekerja. Pergaulan di pejabat juga menjadi sebab isteri bermain kayu tiga selain waktu yang singkat bersama suami sendiri.

“Lagipun tempoh perkahwinan selama satu hingga lima tahun merupakan tempoh yang kritikal dan pasangan suami isteri yang dapat menghadapinya dengan baik mungkin perkahwinan mereka akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.

Pakar psikologi, Dr. Suradi Salim pula berpandangan manusia sebenarnya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

“Manusia bukan malaikat. Seperti curang seorang lelaki, wanita juga boleh melakukannya,” katanya. Namun, menurut Suradi lelaki lebih cenderung bersikap curang kerana sikap ego mereka.

“Wanita dikenali dengan kesetiaan tetapi lebih berbahaya kerana mereka bijak menyimpan kecurangan mereka,” terang beliau.

Dua Hakim Syarie Wanita Temui Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Dua hakim syarie wanita pertama negara, yang akan memulakan tugas secara rasmi pada 2 Ogos, hari ini menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya di sini.

Suraya Ramli, 31, dan Rafidah Abdul Razak, 39, bertemu dengan Najib selama kira-kira setengah jam mulai pukul 9 pagi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Ketua Hakim Syarie Tan Sri Ibrahim Lembut.

Suraya akan berkhidmat di Mahkamah Syariah Putrajaya dan Rafidah pula di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Najib telah mengumumkan pelantikan kedua-dua hakim wanita itu sebagai hakim syarie wanita pertama bagi mempertingkatkan keadilan dalam sesuatu kes berkaitan kekeluargaan dan hak-hak wanita dan keperluan semasa, awal bulan ini.

Jamil Khir ketika ditemui pemberita berkata pada pertemuan itu, Perdana Menteri telah memberikan amanat dan motivasi kepada mereka sebelum memulakan tugas secara rasmi Ogos ini.

Beliau berkata amanat itu juga sebagai pesanan kepada mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan sebagai hakim syarie wanita pertama negara berikutan mereka sentiasa mendapat perhatian orang ramai terutamanya media.

"Ini kerana ini kali pertama hakim wanita akan mendengar kes dan kebetulan di mahkamah syariah, kes-kes membabitkan wanita juga semakin bertambah.

"Perdana Menteri telah memberikan motivasi, semangat dan nasihat agar mereka melihat kes-kes itu dengan sebaik mungkin, bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi untuk memberi keadilan yang sebaik mungkin," katanya.

Suraya pula berkata beliau akan menjalankan amanah yang diberikan dengan adil dan mengikut hukum syarak.

Sebelum ini Suraya merupakan Penolong Pengarah Kanan Bahagian LAtihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Rafidah ketika ditemui berkata amanat Perdana Menteri agar mereka melaksanakan tugas dengan baik akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. - BERNAMA


Monday, July 26, 2010

Najib hilang kelayakan sebagai Perdana Menteri

Oleh Abdul Aziz Mustafa

Kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 81 peratus ke negara ini menghilangkan kelayakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Merudumnya pelaburan asing itu menunjukkan betapa buruknya tahap pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, katanya.
“Dalam sebuah negara Perdana Menteri adalah Ketua Pegawai Eksekutuf (CEO) yang bertanggungjawab untuk membawa pulangan yang lumayan pada negara dari sejumlah wang yang telah dibelanjakan.

“Kejatuhan kedatangan pelabur asing sebanyak 81% telah menghilangkan kelayakkan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Najib seharus berundur secara terhormat demi untuk menyelamatkan satu Malaysia “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

KPI dan NKRA diperkenalkan oleh pentadbiran Najib untuk mengukur adalah pencapaian dalam pengurusan.

“Dalam sektor korporat perkembangan begini adalah gambaran gagalnya seorang CEO. CEO seperti ini akan dipecat kerana tidak produktif dan gagal membawa pulangan keuntungan kepada syarikat. Kejatuhan 81% kemasukan pelabur asing adalah satu pencapaian buruk dan memalukan.

“Bersediakah Najib untuk berundur?

“Tentu tidak dan Najib akan kata business as usual. Inilah budaya ‘tidak apa’ Umno yang merosakkan negara,” kata Mahfuz.

Beliau melihat kejatuhan pelaburan asing yang begitu teruk itu adalah akibat dari gejala rasuah dan kepincangan sistem perundangan negara sehingga persepsi pelabur antarabangsa terhadap Malaysia begitu buruk sekali.

Menurut beliau, bagi pelabur asing, mereka akan melabur di tempat lain selain Malaysia apabila di Malaysia mereka berhadapan dengan rentetan birokrasi yang kronik dan juga terpaksa membayar tukang-tukang lobi yang mewakili ahli-ahli kabinet dan isteri serta keluarga mereka.

“Fenomena ini membawa kepada rasuah berleluasa. Di Malaysia Umno mengamalkan konsep who you know, not what you know. Kalau hendak kelulusan menteri, perlu bekerjasama dengan balaci-balacinya.” kata beliau.

Menurut beliau lagi, pelabur-pelabur asing juga tidak berminat kepada Malaysia apabila melihat kepincangan sistem perundangan dan keadilan negara.

“Kes Lingamgate, kes rampasan kuasa Umno Barisan Nasional (BN) di Perak, kes sodomi kedua dan lain-lain memberi gambaran law of rule bukan rule of law,” katanya.

Begitu juga dengan kepincangan pengurusan di Sime Darby, Felda, Maybank dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, kata beliau, kesemuanya memberi tanggapan buruk kepada pelabur-pelabur asing.

“Mereka melihat di Malaysia tidak ada budaya accountability dan responsibility.

“Sime Darby rugi berbillion, ahli lembaga pengarah masih ada, tidak ada sesiapa yang dikenakan tindakan undang-undang atau diberhentikan.

“Maybank buat pelaburan bodoh di Indonesia dengan membeli Bank Internasional Indonesia, CEOnya dilantik jadi menteri kabinet, sekarang jadi Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC). Felda susut rizab tunai berbillion ringgit, Najib terus jadi Perdana Menteri yang menguruskan Felda dan (Datuk) Ahmad Maslan terus jadi Timbalan Menteri.

“Mana dia accountability dan responsibility? Pelabur tidak akan melabur di negara yg tidak ada budaya accountability dan responsibility,” tegas beliau.

Laporan Pelaburan Dunia 2010 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menunjukkan jumlah FDI ke Malaysia terus mencatatkan penurunan mendadak pada tahun lalu.

Jumlah itu berkurangan RM19.04 bilion berbanding RM23.47 bilion yang diterima pada tahun 2008 (Perangkaan diambil kira berdasarkan nilai US$1 = RM3.20650).

Perangkaan tahun lalu yang hanya bernilai RM4.43 bilion juga tidak mencerminkan separuh daripada apa yang lazimnya diterima oleh Malaysia pada 1995 hingga 2005.

Prestasi Malaysia juga dianggap memalukan jika dibandingkan dengan ekonomi Thailand dan Indonesia yang tidak mengecut dengan teruk di sebalik menerima tempiasan krisis kewangan dunia itu.

Thailand kehilangan RM14.24 bilion manakala Indonesia pula hanya berkurangan RM8.32 billion dalam FDI mereka, tahun lalu.

Kejatuhan mendadak itu yang dikatakan paling buruk dalam 15 tahun menyaksikan jumlah terkumpul FDI yang mengalir keluar melebihi jumlah pelaburan yang diterima sebanyak RM3.21 bilion.


Belum habis isu Cut Tari muncul isu berahi Krisdayanti

Belum habis masalah perceraiannya dengan Atha, Raul Lemos sudah menuai masalah baru. Gara-gara ciumannya dengan Krisdayanti dalam sebuah preskon belum lama ini, baik Raul maupun KD dituntut karena diduga melakukan tindak pidana. Laporan itu disampaikan langsung oleh pengacara yang juga anggota LSM Hajar kepada SPK Polda Metro Jaya, Jumat (23/7).

"Melaporkan Krisdayanti dan Raul Lemos, yang diduga telah melakukan tindak pidana keasusilaan. Untuk pasalnya 281 jo 28 KUHP, jo pasal 1 ayat 1, (dan) pasal 32 UU No. 44 tahun 2008 tentang pornoaksi. Yang kita laporkan adalah tindak pidananya. Pengembangan polisi untuk menerapkan pasal mana itu adalah kewenangan polisi," tutur Yaser


Ditemui usai melaporkan mantan istri Anang Hermansyah tersebut pada Jumat (23/7), Yaser menegaskan bahwa dengan adanya pelanggaran ini baik KD maupun Raul bisa dipenjarakan. "2 tahun atau lebih, apalagi dengan UU Pornografi sampai 5 tahun ke atas," ujarnya. (Lagi foto Kris kesini)


Diakui Yaser, sebelumnya pihak LSM Hajar sendiri memang belum melakukan pembicaraan dengan KD dan Raul. Tapi menurut mereka seharusnya selaku public figure sudah harus mengerti mengenai hal-hal seperti apa yang bisa dipertontonkan ke ranah publik. Ia pun memberikan contoh atas kasus video porno yang meresahkan belakangan ini. "Kasus Luna Maya, ada beberapa pemuda memperkosa anak kecil. Itu menjadi catatan kalau public figure melakukan ini, bagaimana nasib anak bangsa," ujarnya

"Ini bukan ancaman untuk KD. Kita hanya ingin dia mengerti bahwa tindakan itu tidak dilakukan, bahwa tindakan itu ada unsur pidananya. Dia harus sadar efeknya seperti apa karena dia public figure. Di kasus Ariel awalnya untuk konsumsi pribadi, tapi karena lain hal jadi kesebar. Tapi kalau untuk kasus KD, itu sudah mempertontonkan, jadi untuk UU Pornografi kena, dan lebih parah dari kasus Ariel - Luna karena ini dengan niat mempertontonkan di depan umum, apalagi di depan media elektronik," urai Yaser.


Pengurangan subsidi boleh jejas kedudukan Najib dan populariti BN

Oleh
Suhana A. Samat

Kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
Kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju
Kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara
Kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja
Kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta
Kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta
Jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu
Tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?


ITULAH antara bait sajak yang dikarang mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang mempersoalkan rasional tindakan kerajaan Malaysia mengurangkan subsidi petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) berkuat kuasa pada 16 Julai lalu.

Pandangan Dr Mohd Asri mewakili suara rakyat biasa yang mempersoalkan pengurangan subsidi itu.

Di Malaysia, isu pengurangan subsidi bukan sekadar isu kenaikan kos sara hidup, malah ia merupakan isu politik penting yang menjadi senjata parti pembangkang yang lantang menyuarakan bantahan mereka.

Timbul persoalan kenapa kerajaan terpaksa menaikkan harga barangan keperluan tersebut, apatah lagi ia dilakukan secara mengejut dan dilihat agak drastik.

RASIONAL MENGURANGKAN SUBSIDI
Pada Jun 2008, pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, terpaksa menghadapi kemarahan rakyat berikutan penarikan subsidi minyak sehingga mencetuskan kenaikan harga 41 peratus ke atas petrol kepada RM2.70 ($1.15) seliter dan 63 peratus ke atas diesel, kepada RM2.58 seliter.

Walaupun beliau segera menampilkan rebat bagi kereta di bawah 2,000 cc dan motosikal, jalur kemarahan itu tampaknya digunakan gerakan pembangkang.

Ini meskipun tindakan itu perlu dilakukan ekoran kenaikan harga minyak sejagat yang mencecah sehingga AS$130 ($178) setong.

Selang beberapa bulan kemudian, harga bahan bakar itu diturunkan semula setelah harga minyak mentah dunia terus stabil.

Meskipun demikian, insiden itu telah meningkatkan lagi tekanan daripada parti pembangkang yang mendakwa Datuk Seri Abdullah perlu berundur lebih awal kerana gagal menangani masalah ekonomi dan kebajikan rakyat sejak mengurangi subsidi petrol dan diesel.

Pada April 2009, Datuk Seri Abdullah menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun tarikh yang dipersetujui pada awalnya ialah Jun 2010.

Jika dilihat nasib yang menimpa Datuk Seri Abdullah, Datuk Seri Najib lantas kini dilihat lebih berani apabila melaksanakan program rasionalisasi subsidi secara berperingkat.

Meskipun kemarahan rakyat dijangkakan, Datuk Seri Najib menjelaskan langkah itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta bagi tahun ini.

Bagaimanapun, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula tahun ini.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak 5 sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram.

Ini bermakna harga petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Harga petrol RON 97 akan diapungkan secara terkawal.

Minyak diesel pula dinaikkan kepada RM1.48 berbanding RM1.43 sebelum ini.

Untuk gula, kenaikannya ialah 25 sen sekilogram - RM1.65 kepada RM1.90 sekilogram.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Beliau, yang juga menteri kewangan, berkata penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakan bagi pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.

Untuk mengukuhkan lagi hujah kerajaan, pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, malah dilaporkan berkata Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, pula berkata tindakan kerajaan itu adalah bagi memastikan pengagihan subsidi dapat diperhalusi seterusnya diagihkan kepada kelompok yang memerlukan di negara ini dan bukannya golongan mewah.

'Rakyat perlu sedar dan faham sebab utama kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk menyelaraskan subsidi kepada rakyat. Ini kerana kalau kita lihat betul-betul subsidi yang diberikan kerajaan kita kepada rakyat hari ini, ia banyak menguntungkan orang kaya.

'Kalau kita bandingkan dengan negara lain, mereka benar-benar mengkhususkan kumpulan yang wajar menerima subsidi. Sebagai contoh di Amerika Syarikat, mereka hanya memberikan bantuan makanan dan perlindungan, tetapi itu hanya untuk golongan susah.

'Bukan macam kita, orang kaya yang memandu kereta Mercedes isi minyak sampai RM200, orang kampung hanya isi minyak RM3 untuk motosikal mereka. Untuk seliter minyak, kerajaan memperuntukkan 80 sen subsidi bagi seliter, kalau seminggu lima kali orang kaya isi minyak. Siapa yang untung?' katanya.

APA KATA PEMBANGKANG

Di pihak pembangkang pula, mereka menegaskan pentadbiran Datuk Seri Najib tidak sewajarnya merampas subsidi rakyat, memandangkan Perbendaharaan mengaku mempunyai lebihan pendapatan RM10 bilion tanpa subsidi diselaras.

Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Mahfuz Omar, berkata kewangan kerajaan masih kukuh walaupun tanpa langkah mengurangkan subsidi tersebut.

'Kalau betul-betul kerajaan hendak mengurangkan dan menjimatkan RM750 juta, apa gunanya potong subsidi ini sedangkan kerajaan ada lebihan pendapatan RM10 bilion tanpa diselaras subsidi... apa perlunya penyelarasan subsidi ini?' tanya beliau.

Selain parti pembantang, pengurangan subsidi itu turut dibantah badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes).

Badan itu akan melancar kempen bantahan lusa.

Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli, berkata pihaknya juga akan berusaha mengajak lebih banyak NGO bersama dengan badan itu membantah kenaikan harga barangan tersebut.

Langkah kerajaan mengumumkan bahawa pemilik kenderaan asing tidak lagi dibenarkan membeli petrol RON 95 di stesen-stesen minyak di Malaysia turut menimbulkan kegelisahan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang meminta diberi tempoh lebih lama kepada ahli-ahli persatuan itu sebelum kerajaan menguatkuasakan sekatan bermula 1 Ogos ini.

Pemilik kenderaan asing hanya dibenarkan membeli petrol RON 97 sejajar dengan dasar kerajaan yang menetapkan subsidi hanya untuk rakyat Malaysia dan bukan pemilik kenderaan asing.

Minggu lalu, sekitar 130 pengusaha bas di Semenanjung yang menjadi ahli Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), termasuk syarikat terbesar perkhidmatan itu, KTB, mengumumkan tidak akan menyediakan bas tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri ini berikutan kenaikan 5 sen harga diesel yang diumumkan kerajaan pada 16 Julai lalu.

Pengarah Eksekutif KTB, yang mewakili pengusaha bas berkenaan, Tengku Hasmadi Tengku Hashim, berkata langkah tersebut terpaksa diambil ekoran kenaikan subsidi diesel itu disifatkan sebagai mendadak.

Kenaikan itu menyebabkan KTB berdepan kerugian hampir RM3 juta kerana menanggung bebanan bahan bakar dan kenaikan kos penyelenggaraan.

KESAN TERHADAP KERAJAAN

Kesangsian terhadap kerajaan merupakan salah satu sebab utama mengapa pengurangan subsidi ini menjadi isu hangat.

Bagi rakyat biasa, isu kos sara hidup harian lebih penting daripada isu penakatan ekonomi negara.

Pengurangan subsidi kali ini hanya satu langkah awal.

Rakyat Malaysia telah dimaklumkan agar menjangkakan lebih banyak pengurangan subsidi pada masa depan.

Lantas, tidak hairanlah jika golongan itu mempersoalkan apa perkongsian manfaat yang boleh mereka perolehi jika kerajaan meraih penjimatan hasil pengurangan subsidi tersebut.

Mereka yang membangkang berkata kerajaan pernah menjanjikan pemberian insentif dan kemudahan lain hasil penjimatan masa-masa lalu, tetapi ia tinggal janji semata-mata.

Seperti kata Dr Mohd Asri dalam sajaknya:

Tapi entah berapa kali janji... konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti... hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi.

Kami terus termanggu di sini... kalian juga yang nikmati... kami hanya menggigit jari.

Sama ada isu ini akan menggugat kedudukan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan menjejas populariti Barisan Nasional (BN) bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan menangani rintihan rakyat.

Selagi isu pengagihan manfaat ini tidak ditangani dan dijelaskan oleh kerajaan Datuk Seri Najib, selagi itu suarasuara membangkang akan terus kedengaran dan menjadi 'duri dalam daging' dalam pentadbiran beliau.





Yassin Ditahan Positif Dadah

SUBANG JAYA: Bekas anggota kumpulan pelawak Senario, Yassin Yahya (gambar), ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah, awal pagi Ahad.

Yassin,32, ditahan di sebuah pusat hiburan di Sunway Piramid sekitar pukul 1 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya juga menjalankan ujian air kencing kepada 30 orang awam lain yang berada di pusat hiburan itu.

"Tiga lelaki termasuk Yassin didapati positif dadah selepas ujian tersebut dilakukan.

"Ujian tersebut juga mendapati Yassin mengambil dadah jenis ganja, manakala dua orang lagi iaitu pengurusnya dan seorang ahli perniagaan dikesan mengambil dadah jenis ketamin," kata Khalid seperti dipetik portal The Star Online, Ahad.

Tambahnya, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya.




Kaedah Baru Tanggani Pornografi Di Internet

BATU PAHAT : Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menjadikan pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan keperluan menapis bahan pornografi di internet sebagai 'perisai baru' untuk menangani gejala negatif itu yang semakin berleluasa.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementerian akan mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah itu tanpa disalahertikan oleh mana-mana pihak yang kononnya mengagungkan kebebasan maklumat tanpa batasan di internet.

"Saya amat mengalu-alukan pandangan Tun (Dr Mahathir) kerana selama ini kami keseorangan dalam hal menyajikan maklumat di internet. Lebih ramai pemimpin menyuarakan hal ini, lebih mudah bagi kami.

"Dengan menggunakan tuntutan undang-undang (bagi menangani bahan pornografi), ada sahaja pihak yang cuba menyalahertikan. Sebenarnya, kita ada Seksyen 265, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mengenang Tokoh Negarawan Allahyarham Tun Hussein Onn di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) anjuran Arkib Negara di sini hari ini. Turut hadir pada program itu adalah balu Allahyarham Tun Hussein, Tun Suhailah Tan Sri Mohamed Noah, isteri Rais, Datin Seri Masnah Rais, Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Sidek Jamil dan Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.

Media baru-baru ini melaporkan Dr Mahathir menyuarakan pandangan supaya bahan pornografi di internet ditapis kerana dibimbangi menjadi punca berlaku peningkatan jenayah seksual.

Rais berkata perbincangan secara halus dan objektif akan diadakan bagi mencari mekanisme yang sesuai untuk menangani masalah itu supaya tidak disalahertikan oleh mana-mana pihak sebagai menyekat kebebasan.

Beliau menjelaskan, jika sumber bahan pornografi itu dikesan diperoleh daripada pembekal perkhidmatan internet di dalam negara, pihak kementerian boleh mengambil tindakan namun buat masa ini tidak berkeupayaan menghalang penyebaran bahan itu yang dibekalkan dari luar negara.

"Perlu ada mekanisme dalaman supaya pornografi tidak jadi bahan yang meluas di internet. Dalam masa sama, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya gejala ini dapat diatasi," katanya. - BERNAMA


Sunday, July 25, 2010

Bekas isteri Sultan tidak diizin tinggalkan Brunei hingga tamat idah

KUALA LUMPUR: Bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah, Cik Azrinaz Mazhar Hakim, masih berada di salah sebuah istana di Brunei dan tidak dibenarkan meninggalkan negara itu sehingga tamat tempoh idah.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, selepas idah, Cik Azrinaz mungkin menetap di London atau Australia atau mungkin kembali ke tanah air.

'Itu semua bergantung kepada kehendak beliau sendiri. Di tanah air, keluarga Azrinaz kini menetap di Shah Alam dan bukan di Bukit Antarabangsa, Ampang, seperti dilaporkan,' kata sumber itu lagi.

Kelmarin, Utusan Malaysia menyiarkan artikel tentang spekulasi di mana Cik Azrinaz berada sejak diceraikan Sultan Brunei dengan talak satu, bulan lalu.

Ada yang menyatakan beliau kini menetap di istana hinggap Sultan Brunei di London dan tidak kurang desas-desus bahawa bekas personaliti TV3 itu sudah kembali ke tanah air dan menetap bersama keluarganya.

Menyentuh soal penjagaan anak, sumber itu memberitahu kedua-dua cahaya mata pasangan itu akan dijaga sepenuhnya oleh pihak istana.

Sumber itu turut menafikan laporan sebelum ini yang menyatakan Cik Azrinaz diberi pilihan menjaga salah seorang daripada dua anaknya itu.

Tegas beliau, laporan yang menyatakan Cik Azrinaz memilih untuk menjaga anak keduanya iaitu Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, dua tahun, tidak benar.

'Sekiranya selepas tempoh idah iaitu sekitar September ini Sultan Brunei tidak rujuk, Azrinaz bukan sahaja terpaksa meninggalkan istana malah tidak akan dapat hak penjagaan kedua-dua anaknya kerana mereka adalah waris Sultan Brunei,' katanya.

Dalam pada itu, pelbagai pihak lain seakan-akan 'mengunci mulut' daripada membicarakan mengenai bekas isteri kedua Sultan Brunei itu.

Malah, beberapa rakan karib Cik Azrinaz juga enggan mengulas ke mana beliau menghilang.

Masing-masing mengakui kali terakhir mereka berhubungan adalah ketika wanita itu diceraikan.

Malah, ada yang memberitahu khidmat telefon bimbitnya telah ditamatkan sejurus berita mengenai perceraian tersebut tersebar.

Sultan Brunei, 63 tahun, diijabkabulkan dengan Cik Azrinaz, 31 tahun, pada 20 Ogos 2005 dalam satu majlis tertutup di ibu kota.

Selain Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, hasil perkahwinan mereka dikurniakan juga dengan seorang putera, Pengiran Muda Abdul Wakeel, empat tahun.





Suami harap Cut tidak diheret ke mahkamah

JAKARTA: Pasangan suami isteri, Cut Tari dan Encik Johannes Yusuf Subrata, amat berharap pihak berkuasa tidak mengheret personaliti televisyen popular itu ke mahkamah kerana terbabit dalam hubungan seks dengan Ariel Peterpan.

Menurut Encik Johannes, ketika ini pun Cut Tari amat terseksa kerana terpaksa berdepan dengan pengadilan masyarakat yang membuat kesimpulan sendiri.

'Cut Tari kini menghadapi hukuman orang ramai dan ia cukup berat untuk isteri saya serta keluarga.

'Keadaan menjadi lebih sukar kerana kami mempunyai anak,' katanya di pejabat peguam, Encik Hotman Paris Hutapea, kelmarin.

Cut Tari mengaku menjadi pasangan seks Ariel dalam klip video yang tersebar di Internet baru-baru ini.

Sehingga kini, nasibnya belum pasti sama ada akan didakwa di mahkamah atau tidak.

Bekas juara tilawah Al-Quran di sekolah rendah itu mungkin terlepas daripada pendakwaan kerana dianggap menjadi mangsa sebab tidak pernah memberi izin Ariel merakam aksi ranjang mereka.

Cut Tari bernikah pada 9 Januari 2004 dan dikurniakan anak perempuan, Sydney, pada Februari 2008.

Kata Encik Johannes, dalam keadaan genting ini, beliau tidak banyak menaruh harapan.

'Kami hanya mohon keadilan,' katanya.

Sementara itu, Encik Hotman berkata, pihaknya masih berharap pihak berkuasa mengecualikan anak guamnya daripada terus disiasat dan dikenakan tindakan.

'Kami harap Cut dilepaskan daripada sebarang tuduhan di mahkamah,' katanya.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, berkata kes video lucah artis baru-baru ini adalah satu tragedi moral dan akhlak di republik itu.

Justeru, perkara itu seharusnya dijadikan teladan di kalangan tokoh masyarakat untuk memberi pendidikan terhadap anak-anak.

'Tragedi akhlak yang belum lama ini terjadi, apa yang disebut kes video lucah. Pelajaran apa yang boleh dipetik dari situ, siapa yang dipertanggungjawabkan dan apa yang harus kita lakukan agar tidak terjadi kes itu pada masa depan,' kata Dr Yudhoyono.

Beliau memberi ucapan itu di kemuncak sambutan Hari Anak Nasional yang berlangsung pagi Khamis lalu di Sasono Langen Budoyo, Taman Mini Indonesia Indah, Jakarta Timur.

Katanya, pendidikan moral dan keperibadian anak bermula dari rumah dan dikembangkan di sekolah oleh guru.

Namun, pendidikan berupa teladan di sekeliling dan masyarakat luas turut memainkan peranan penting, tambah beliau.

'Anak sudah tentu akan membandingkan apa yang mereka lihat dan alami di sekeliling dengan pelajaran yang diterima daripada ibu bapa dan guru,' kata Dr Yudhoyono. -- Agensi.



Lapan diberkas ekoran kes bunuh

Singapura: LAPAN lelaki Melayu yang terlibat dalam pergaduhan berdarah di Orchard Plaza hingga menyebabkan kematian Mohamad Noraidi Zahari telah diberkas polis semalam.

Tujuh daripada lelaki itu akan dihadapkan di mahkamah hari ini kerana tuduhan membunuh yang boleh membawa hukuman mati.

Seorang suspek pula akan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan lanjut.

Kesemua lelaki yang ditangkap itu merupakan warga Singapura berusia antara 17 dengan 41 tahun.

Menurut polis dalam satu kenyataan semalam, kelapan-lapan suspek telah ditahan menyusuli penyiasatan intensif dan operasi yang dipimpin para pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dalam masa 27 jam.

Polis berkata, suspek-suspek itu ditangkap di beberapa lokasi di Singapura, termasuk Choa Chu Kang, Bukit Merah, Sembawang dan Marsiling.

Tubuh Mohamad Noraidi yang dikelar dan bermandi darah dijumpai bergelimpangan di pintu masuk Orchard Plaza oleh pegawai polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan sekitar 4.15 pagi kelmarin.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) dalam keadaan tidak sedarkan diri, tetapi disahkan meninggal dunia pada 4.58 pagi.

Pergaduhan itu dipercayai akibat pertelingkahan merebut perempuan dan berlaku apabila sekumpulan lelaki menyerang satu kumpulan lain yang sedang makan roti perata di kedai berdekatan Orchard Plaza.

Dalam wawancara dengan televisyen Internet, RazorTV, seorang pegawai keselamatan, Encik Mohd Salleh, yang bertugas di Orchard Plaza pada waktu itu, berkata pergaduhan melibatkan seramai 20 orang itu bermula di Cuppage Plaza berdekatan, sebelum berpindah ke Orchard Plaza.

Di sana, beliau ternampak lima lelaki menyerang mangsa menggunakan pisau atau parang panjang. Beliau terus menghubungi polis sebelum kelima-lima penyerang itu melarikan diri.

'Saya beritahu mangsa supaya tidak bergerak kerana darah mengalir keluar dengan banyak. Dia kata dia haus dan kami memberinya air,' kata pegawai keselamatan itu.

Ketika mengulas mengenai penangkapan itu, Pengarah CID, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Ng Boon Gay, berkata:

'Saya memuji pegawai saya yang bekerja keras untuk mengheret mereka yang yang terlibat ke muka pengadilan dalam masa yang pendek. Tindakan ganas dan secara terang tidak menghormati undang-undang ini tidak boleh diterima langsung.

'Kami akan bertindak tegas terhadap sebarang individu atau kumpulan yang mengambil tindakan undang-undang sendiri dan memastikan mereka akan menghadapi sepenuhnya tindakan undang-undang,' katanya.



Friday, July 23, 2010

Gambar bogel Agnes Monica beredar di Internet


JAKARTA: Penyanyi lagu Matahariku, Agnes Monica (gambar), menafikan sekeras-kerasnya dakwaan gambar bogel yang beredar di Internet baru-baru ini adalah dirinya.

Pengurus selebriti berdarah campuran IndonesiaCina itu, Chrish, berkata gambar tersebut dipalsukan kerana tidak menampakkan dirinya yang sebenar.

'Gambar itu tidak mempunyai tanda lahir seperti yang ada pada tubuh Agnes,' katanya kelmarin.

Minggu lalu gambar seorang wanita menyerupai Agnes, 24 tahun, dalam tab mandi beredar di Internet dan menimbulkan tanda tanya orang ramai, terutama pengguna laman sembang.

Chrish berkata kesahihan gambar tersebut juga tidak boleh diterima akal kerana memaparkan wajah Agnes yang lengkap bersolek walaupun ketika mandi. (Lagi foto Agnes di sini)

'Saya yakin Agnes akan membasuh dulu mukanya sebelum mandi,' kata beliau.

Seorang pengamat fotografi, Encik Abimanyu Wachjoewidajat, turut meragui kesahihan gambar tersebut.

'Foto itu dibuat dengan penyuntingan kurang teliti kerana ada dua corak warna kulit berbeza di antara wajah dengan tubuh.

'Belahan rambut Agnes juga biasanya dari kiri ke kanan, tetapi gambar itu menunjukkan sebaliknya,' katanya.

Sementara itu, Agnes sebelum ini ditukil sebagai berkata orang ramai sentiasa menganggap personaliti terkenal selalunya bersifat 'suci'.

'Pantang larang masih kuat dan orang ramai menganggap personaliti terkenal mesti bebas daripada kesalahan walaupun semua kita adalah manusia,' katanya. -- Agensi.





Korea Utara kutuk sekatan baru Amerika

HANOI: Korea Utara semalam mengutuk sekatan baru oleh Amerika Syarikat terhadapnya.

Encik Ri Tong Il, jurucakap perwakilan Korea Utara ke Forum Serantau Asean (ARF), berkata sekatan yang diumumkan Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, itu kelmarin mencabul kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 Julai lalu.

Ini kerana Majlis Keselamatan PBB mengutuk serangan yang menenggelamkan kapal perang Cheonan pada 26 Mac lalu, mengakibatkan 46 kelasinya maut.

Bagaimanapun, Majlis Keselamatan PBB itu tidak menyalahkan Korea Utara di atas insiden itu. Pyongyang juga menafikan terlibat dalam insiden berkenaan.

'Sekatan itu jelas satu pernyataan permusuhan yang meningkat. Amerika sepatutnya mengorak langkah konkrit ke arah mengadakan dialog jika ia serius mahu membebaskan Semenanjung Korea daripada senjata nuklear,' tegas Encik Ri.

Kenyataannya itu bertepatan dengan ketibaan Cik Clinton di Hanoi bagi menghadiri sidang ARF.

Cik Clinton mengumumkan sekatan perdagangan ke atas Korea Utara ketika melawat Seoul Rabu lalu.

Encik Ri juga menyifatkan latihan bersama tentera laut Korea Selatan dan Amerika dari 25 hingga 28 Julai ini sebagai satu ancaman terhadap keamanan serantau.

'Latihan bersama tentera (Amerika dan Korea Selatan) bukan saja mengancam keselamatan dan kemantapan Semenanjung Korea, bahkan rantau ini secara keseluruhan,' tegas Encik Ri.

Kritikan oleh Korea Utara itu menyusuli bantahan China terhadap latihan perang melibatkan 20 kapal dan 200 pesawat di perairan timur Korea Selatan.

Encik Ri berkata Korea Utara masih komited untuk kembali ke rundingan enam pihak dengan China, Jepun, Russia, Korea Selatan dan Amerika mengenai program senjata nuklearnya.

Namun, Menteri Luar Korea Selatan, Encik Yu Myung-hwan, menyifatkan tawaran untuk berunding itu sebagai satu taktik bagi mengalihkan perhatian daripada kes Cheonan. -- AFP, Bloomberg.



Murid darjah satu dakwa dicabul guru

ARAU (Perlis): Seorang murid perempuan darjah satu sebuah sekolah di Jelempok di sini mengalami trauma untuk ke sekolah setelah mendakwa dicabul oleh seorang guru lelaki sekolah berkenaan, yang berusia lingkungan 50-an.

Ketika ditemui di rumahnya, murid tersebut mendakwa guru itu mencium pipi kirinya di belakang pintu semasa sesi bengkel ketika waktu rehat pagi Selasa lalu.

'Dia menyuruh seorang murid memanggil saya berjumpanya di bengkel tersebut, setibanya saya dia menyuruh saya ke belakang pintu bengkel sebelum mencium saya,' katanya.

Menurutnya, selepas itu, guru tersebut mengarahkannya agar tidak memberitahu sesiapa.

Katanya, ketika kejadian tiada sesiapa berada dalam bengkel ataupun kawasan berhampiran.

'Saya terperanjat dengan tindakan cik gu lalu lari menyembunyikan diri,' katanya kepada para pemberita di sini.

Menurutnya, ketika diarah berjumpa guru tersebut, dia menyangka guru itu mahu bertanya mengenai peperiksaan.

Murid itu memberitahu, dia mengenali guru tersebut tetapi guru itu tidak mengajarnya dan hanya dilihat selalu bertugas menjaga peperiksaan di sekolah berkenaan.

Akibat kejadian tersebut, murid berkenaan, anak seorang anggota bomba dan penyelamat di sini, mendesak keluarganya agar menukarkannya ke sekolah lain.

Sementara itu, bapa murid tersebut berusia 41 tahun yang berang dengan tindakan guru tersebut telah melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis pada 8 malam Selasa lalu.

Menurutnya, kejadian tersebut diberitahu sendiri oleh anaknya sebaik sahaja dia pulang ke rumah selepas habis waktu kerja.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan daripada bapa murid perempuan itu. -- Utusan Malaysia.





Sultan Kelantan kecewa

Sultan Kelantan bersama isteri keduanya yang dilaporkan telah diabaikan oleh Tuanku Sultan akibat mendapat tekanan daripada isteri pertamanya. Alahai sultan!!!

KOTA BAHRU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, melahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan sikap Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, barisan Exco serta pegawai tertinggi kerajaan negeri kerana tidak menyambut kepulangan Sultan daripada menjalani rawatan susulan di Singapura, kelmarin.

Rasa dukacita Tuanku Ismail itu dinyatakan oleh anakanda beliau, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra, dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media.

Nota: Atas alasan apa sultan mesti mendapatkan rawatan di hospital Singapura? Mengapa jutaan ringgit wang rakyat mesti dibelanjakan hanya untuk memuaskan selera sultan dan isterinya? Bukan sedikit wang rakyat yang telah dihabiskan untuk menuruti kerenah para sultan..!!!


'Keadaan kesihatan Tuanku berada pada tahap yang amat baik dan berdasarkan laporan terkini pemeriksaan doktor pakar di Singapura, Tuanku mempunyai keupayaan minda dan fizikal yang baik dan boleh membuat apa-apa keputusan dengan sendiri.

'Di sini, Tuanku ingin menzahirkan rasa dukacita dan kekecewaan baginda dengan ketidakhadiran menteri besar, exco-exco negeri Kelantan termasuk juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias; Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad, dan pegawai tinggi kerajaan negeri menyambut keberangkatan pulang baginda.

Tuanku Ismail tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sekitar 1.20 petang kelmarin selepas menerima rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura sejak 15 Julai lalu.

Beliau diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan anakanda beliau iaitu Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Muhammad Fakhry.

Sebelum ini, krisis Istana Kelantan mencetuskan polemik yang berpanjangan termasuk tindakan pihak berkuasa yang menggunakan anggota Unit Tindakan Khas membawa Tuanku Ismail ke Hospital Universiti Sains Malaysia ketika dalam perjalanan dari Istana Mahkota menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebelum berangkat ke Hospital Mount Elizabeth pada 4 Mei lalu.

Datuk Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), bagaimanapun menjawab 'senyap adalah nasihat'.

Ini kerana beliau mengambil sikap mendiamkan diri kerana menganggap isu tersebut hanya melibatkan masalah kekeluargaan. -- Utusan Malaysia.


Lelaki dijel 62 tahun sebab rogol cucu

KUCHING: Seorang datuk, yang juga bekas Ahli Majlis Perbandaran Padawan, meringkuk dalam penjara selama 62 tahun selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan merogol cucunya sejak enam tahun lalu.

Tertuduh berusia 60 tahun mengaku melakukan semua kesalahan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia mengaku merogol cucunya di dua lokasi berasingan iaitu di kebun dan rumahnya.

Dia dihukum mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Hakim Mahkamah Seksyen Kuching, Cik Afidah Abdul Rahman, memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula semalam.

Mengikut kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa raya, Encik Teo Teck Soon, tertuduh didakwa merogol cucunya ketika budak itu berusia lapan tahun buat kali pertama di sebuah pondok di kawasan kebun di Jalan Kuching, Serian, sekitar Januari hingga Disember 2004.

Dia kemudian mengulangi kesalahan itu pada 2005.

Warga emas itu turut dituduh melakukan perbuatan sama pada 2006, 2007, 2008 dan 2009, dan kali terakhir ialah pada 28 Jun lalu.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh meminta hukuman ke atasnya dikurangkan dengan alasan dia sudah tua dan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan serta mengaku sudah insaf.

Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengandung 28 minggu, selain terdapat kesan koyak pada kemaluannya.

Tertuduh dikatakan memelihara mangsa sejak kecil selepas ibu bapanya menghilangkan diri.

Sepanjang tempoh itu, tertuduh dikatakan mengambil kesempatan ketika mangsa berusia lapan tahun sehinggalah dia berusia 14 tahun.

Mengikut fakta kes, kejadian itu disaksikan sendiri isteri tertuduh, namun dia dimarahi dan diugut supaya tidak melaporkan perkara ini. -- Harian Metro.


Siapa pencipta skala richter?

DI peringkat antarabangsa, kadar kekuatan gegaran bagi kejadian gempa bumi diukur secara piawai menggunakan unit skala richter.

Unit tersebut sebenarnya telah diciptakan oleh seorang pakar seismologi terkenal daripada Amerika Syarikat (AS), Charles F Richter pada tahun 1935.

Pada mulanya, ukuran tersebut digunakan untuk mengukur kejadian gempa bumi di California.

Unit gandaan matematik itu kemudian telah diperkembangkan secara lebih terperinci untuk tujuan memperluaskan penggunaannya.

Secara asasnya, skala richter diukur menggunakan logaritma gandaan atau amplitud gelombang yang dirakamkan oleh mesin sesimograf.

Ia mampu mengukur kekuatan gempa menggunakan pecahan desimal dengan setiap bacaan akan mewakili kekuatan 10 kali ganda berbanding angka sebelumnya.




Thursday, July 22, 2010

Mungkinkah Najib menjadi saksi di mahkamah Peranchis?

Barangkali ramai orang sudah mempercayai keupayaan Perdana Menteri Najib Razak menerajui kepimpinan negara. Sebutan ‘Satu Malaysia’ sering kedengaran di sana sini terutama melalui corong-corong radio dan televisyen. Tidak cukup dengan itu, apa jua dasar baru yang diperkenalkan, masih juga menyematkan perkataan ‘1Malaysia’ seperti ‘Klinik 1Malaysia’ dan sebagainya.

Tetapi, adakah kita pasti Najib sekarang tidur lena? Mungkin agak keterlaluan apabila kita mengatakan dia sekarang mampu untuk tidur lena di tilam empuk di puncak Putrajaya.

Cerita-cerita tentang pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu sudah tentu masih muncul dalam mimpi-mimpinya. Manakan tidak? Sekiranya kita tidak bersubahat pun, igauan-igauan yang timbul apabila terkenangkan sesuatu pembunuhan itu juga sudah cukup membawa kegerunan kepada kita semua – sudah tentu kepada aku sendiri.

Ada segelintir pihak yang cuba menyangkal penyelidikan prestasi Najib melalui satu tinjauan Merdeka Center yang memberangsangkan tidak lama dahulu.

Cerita demi cerita, pembongkaran demi pembongkaran. Malah, kisah ini juga cuba dilukiskan secara sinis dalam majalah-majalah kartun yang kemudiannya diharamkan oleh pihak kerajaan (sebut Kementerian Dalam Negeri).

Penyunting kepada portal berita Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin kini berganding bahu dengan salah seorang ahli politik berwibawa dan peguam Zaid Ibrahim dalam mendedahkan kebobrokan Najib.

Melalui pendedahan-pendedahan yang dijalankan, orang ramai mula bertanya-tanya dan menimbulkan ratusan lagi persoalan. Menjurus dari situ, surat akuan sumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam memperkuatkan dakwaan yang dilemparkan. Malahan peguam kanan Manjeet Singh Dhillon – yang membawa jawapan dalam bentuk akuan bersumpah (SD) Bala bersamanya apabila pulang daripada London untuk diserahkan kepada SPRM – telah dicerobohi rumah kediamannya dan komputer ribanya dicuri.

Zaid Ibrahim telah menuduh Najib yang takut kepada Raja Petra dan Bala kerana apa yang mereka tidak mengetahui mengenai pembunuhan Altantuya ialah sebenarnya itulah yang perlu diketahui umum.

Kenapa SPRM berdolak-dalih?

Jadi, adakah kita terkejut sekiranya tidak ada usaha dijalankan untuk menyiasat Bala di London? Ya, mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dipersoalkan mengenai fungsi kebebasan yang konon diakui itu.

Dolak-dalih SPRM di dalam kes ini jelas menjelekkan mata dunia. Pihak polis cawangan khas dikatakan sudah pun memulakan siasatan mereka. Jadi, adakah bermakna SPRM sudah lepas dari tanggungjawab untuk memberi keadilan? Bagaimana SPRM boleh memperbaiki kredibilitinya sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk membenteras kegiatan rasuah dengan dolak-dalih yang diberikan seperti ini?

Bagi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula, lebih baik berdiam sahaja dari mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan.

Khairy Jamaluddin pula dengan ‘semangat Melayu’ berkobar-kobar menyelar pihak polis yang melengah-lengahkan usaha menangkap Raja Petra. Di antara Khairy, Najib dan Raja Petra sudah tentu tiada cinta antara mereka. Masing-masing dengan agenda masing-masing. Sekiranya kesemuanya itu dicantumkan dengan fakta yang ada pada Bala, sudah tentu semuanya akan selesai.

Sekarang, pihak berkuasa Peranchis sudah pun memulakan siasatan terhadap kes ini. Bala sudah mengatakan bahawa beliau akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan dia kotakan apa yang dikatakan.

Melalui kenyataan medianya, Bala memberitahu bahawa dia menceritakan segala apa yang diketahuinya berkenaan dengan pembunuhan Altantuya, pembelian perkakas ketenteraan melalui broker Abdul Razak Baginda dan pertaliannya mereka semua dengan Najib.

Bala juga mendedahkan kepada pihak berkuasa Peranchis mengenai bagaimana beliau diugut dan disogokkan dengan wang oleh adik Najib Nazim dan penjual permaidani Deepak Jaikishan.

Pertemuan Bala di Paris bersama pendakwaraya Peranchis M Ryckewaert pada Julai 12 lalu dijalankan selama tiga jam.

Menurut Bala, apa yang menarik minat pihak berkuasa Peranchis ialah berkaitan dengan pembelian kapal selam Scorpene pada tahun 2002 ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan. Mereka mahu menyiasat sama ada DCNS, sebu

Di dalam kenyataan medianya, Bala telah menceritakan mengenai syarikat Malaysia, Perimekar yang dimiliki isteri Abdul Razak Baginda dibayar RM570 juta untuk menyelaraskan dan menyediakan perkhidmatan sokongan terhadap Scorpene.ah syarikat pertahanan yang berpengkalan di Peranchis ada memberi komisyen di dalam pembelian tersebut. Bagi Peranchis, transaksi sedemikian merupakan satu jenayah.

Apakah pilihan yang ada pada Najib kini? Walau apa pun terjadi, Najib perlu mempersiapkan dirinya dengan berhadapan dengan mahkamah – tidak di negara ini, di negara asing. Beliau perlu mengemukakan seberapa banyak bukti untuk menyingkirkan pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan, bukannya cuba menutup mulut atau menghalang pendakwaan.

Melalui mahkamah sahajalah Najib boleh menyingkirkan syak wasangka kenapa inspektor Azilah Hadri dan korporal Sirul Azhar Umar yang bertugas dengan pejabatnya boleh terbabit dalam perbuatan meletupkan si mangsa dengan bahan letupan C4.

Tetapi, adakah Najib berupaya lakukan sebegitu? Bayangkan Najib dan Rosmah berarak memasuki mahkamah sebagai saksi ke kamar keadilan? Hancur-lulurlah Rosmah jika mana beliau tidak pula berpeluang untuk membeli-belah sakan di Paris – pusat fesyen dunia.

- Sumber

KETUA AUDIT NEGARA BERBOHONG?

Oleh: MUTALIB M.D

KETUA Audit Negara Malaysia, Tan Sri Dato' Setia Haji Ambrin Bin Buang, didakwa berbohong kepada rakyat Sabah dengan mengeluarkan Sijil Pengesahan Audit Palsu berhubung kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri Sabah sejak 2004.

Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat Semporna, Azizul Sanarul ketika mendedahkan perkara berkenaan berkata, kedudukan Kewangan Negeri Sabah terutama pada 2008 tidak menunjukkan keadaan sebenar kerana tidak menyatakan Liabiliti dan disediakan dengan niat ‘Malafide’ sehingga membebankan pembayar cukai dengan ‘hutang terlindung’ akibat ‘kecuaian’ kerajaan negeri Sabah.

“Jika kita kaji begitu banyak kes pampasan dan gantirugi yang diputuskan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah mencabar atau mengemukakan rayuan. Oleh itu kerajaan negeri begitu banyak berhutang, tetapi tidak dimasukkan ke dalam laporan Ketua Audit Negara. Kita mahu tahu kenapa?,” tanya Azizul yang kesal kerana 212 Ahli Parlimen di Malaysia gagal mengesan pemalsuan ini sedangkan ianya dibentangkan setiap tahun di Parlimen.

Kata Azizul, kecenderungan Kerajaan Negeri membatalkan Konsesi Pembalakan atau memberikan kawasan yang tidak berkayu menyebabkan kerap disaman dan mereka yang memberi atau membatalkan kelulusan ‘dilepas dan dibebaskan’ daripada sebarang ‘Surcaj’ sebaliknya rakyat menanggung beban hutang akibat pembatalan atau pemalsuan kawasan pembalakan.

Azizul merujuk kepada Laporan Audit 2008 yang menyatakan Analisis Audit mendapati kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2008 adalah baik. Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri bertambah baik berbanding tahun 2007. Kedudukan kecairan tunai sangat baik di mana aset semasa mampu menampung tanggungan semasa.

Dalam Laporan Audit 2008 juga kata Azizul, Ketua Audit Negara memperakui bahawa Kedudukan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri mengalami peningkatan sejumlah RM490.73 juta atau 31.39% daripada RM1.56 bilion pada tahun 2007 menjadi RM2.05 bilion pada tahun 2008.

Kata Azizul lagi, Ketua Audit Negara juga memperakui bahawa Akaun Hasil Disatukan mencatatkan peningkatan dalam lebihan pendapatan bagi tahun 2008 sejumlah RM637.48 juta menjadikan baki terkumpul meningkat 36.02% kepada RM2.41 bilion pada tahun 2008 berbanding lebihan sejumlah RM585.50 juta pada tahun 2007.

Walaupun kutipan hasil turut meningkat sejumlah RM562.21 juta atau 20.23% menjadi RM3.34 bilion pada tahun 2008 namun kata Azizul, ianya tidak menyatakan keadaan sebenar kerana perbelanjaan mengurus, Akaun Kena Bayar, tunggakan hasil, tunggakan bayaran balik pinjaman boleh dituntut dan tunggakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Persekutuan telah meningkat pada tahun 2008.

Menurut Azizul lagi, Para 4.1 Laporan Ketua Audit Negara 2008 tidak menyerlahkan Kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri kerana Mengikut Lembaran Imbangan, jumlah Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2008 adalah berjumlah RM2.05 bilion. Jumlah tersebut terdiri daripada aset berbentuk wang tunai sejumlah RM87.29 juta dan pelaburan sejumlah RM1.97 bilion. Kumpulan Wang Disatukan terdiri daripada 3 akaun iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan. Kedudukan Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2008 berbanding tahun 2007.

Analisis Nisbah Semasa, kata Azizul, adalah untuk mengukur kemampuan Kerajaan Negeri menjelaskan jumlah tanggungan semasa dengan membandingkan aset semasa dengan liabiliti semasa. Aset semasa Kerajaan Negeri terdiri daripada Wang Tunai dan Pelaburan.

Manakala tanggungan semasa, kata Azizul, terdiri daripada Akaun Kena Bayar, Deposit dan Tunggakan Bayaran Balik Hutang Awam. Analisis Audit pada tahun 2008 mendapati Nisbah Semasa Kerajaan Negeri adalah lebih daripada 1 iaitu 2.27:1.

“Di atas kertas, ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai kecairan tunai yang sangat baik di mana aset semasa berjumlah RM2.05 bilion mampu menampung tanggungan semasa berjumlah RM905.26 juta. Namun kenapa tidak mengambil kira jumlah hutang yang wajib dibayar kepada beberapa syarikat sebagaimana yang diputuskan Mahkamah?,” tanya Azizul yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi kenapa Laporan Audit 2008 tidak menyatakan kedudukan sebenar kewangan Kerajaan Negeri Sabah.

Baca seterusnya di sini

Wednesday, July 21, 2010

Wanita Paling Cantik di Usia 31 Tahun

Perempuan berada di puncak kecantikannya saat berusia 31, ujar studi terbaru.

"Perempuan yang berada di usia akhir 20 tahunan dan awal 30 dianggap lebih menarik dibandingkan mereka yang berusia 18 ataupun 19 tahun," ujar peneliti seperti dikutip dari Telegraph.

Penemuan ini diambil dari survei dua ribu perempuan dan laki-laki yang menemukan fakta bahwa keindahan pada dasarnya tergantung pada kepribadian seseorang sebagai tolak ukur.

Selebirti yang saat ini berada di usia 31 dan tampak matang adalah presenter TV Christine Bleakley, (foto atas) hakim di Strictly Come Dancing Alesha Dixon dan Danielle Lineker.

Wanita di Inggris rata-rata sudah menikah dan miliki anak di usia 30 tahunan. Saat ditanya soal umur wanita yang paling menarik, koresponden survei mengatakan perempuan di umur 31 tahun dibandingkan usia lainnya.



Berdasarkan survei ini, kecantikan didefinisikan sebagai orang yang sangat percaya diri oleh 70% koresponden, memiliki tampilan yang menarik sebanyak 67% dan 47% koresponden menilai cantik berdasarkan ciri khas atau gaya seseorang.

Tuesday, July 20, 2010

Suspek penyebar video sex Cut Tari dikenal pasti

JAKARTA: Suspek dan rakan Ariel Peterpan, yang ditangkap polis kerana didakwa menyebarkan video lucah tiga selebriti terkenal Indonesia yang hanya dinamakan RJ sebelum ini, telah dikenal pasti sebagai Reza Rizaldy.

'Suspek bernama RJ itu ialah Reza Rizaldy alias Redjoy yang bekerja sebagai pembantu atau penyunting muzik di studio milik saya,' kata penerbit album kumpulan Peterpan, Encik Capung Purnomo, ketika dihubungi wartawan di Bandung kelmarin.

Katanya, RJ bekerja dengan Peterpan sejak kumpulan muzik pop itu melancarkan album pertamanya pada 2005.

Encik Purnomo berkata beliau mengenali pemuda itu sebagai seorang lelaki yang baik dan beliau terkejut apabila mengetahui polis menamakannya sebagai suspek.

'Sepanjang pengetahuan saya, dia seorang pemuda yang baik dan tidak mempunyai masalah.

'Apabila ada laporan mengatakan dia mempunyai masalah peribadi dengan Ariel, saya terkejut kerana RJ ialah penyunting muzik yang disenangi penyanyi itu,' jelasnya.

RJ dinamakan sebagai suspek yang kali pertama memuat naik video seks membabitkan bintang pop itu bersama kekasihnya, Luna Maya, dan model, Cut Tari.

Jurucakap polis kebangsaan, Mejar Jeneral Edward Aritonang, berkata suspek dilapor memuat turun video seks berkenaan daripada komputer riba Ariel.

Sementara itu, satu kajian terbaru Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI) menunjukkan sekurang-kurangnya 30 juta kanak-kanak Indonesia menamakan Ariel sebagai idola mereka tanpa menghiraukan pembabitan vokalis itu dalam skandal video lucah.

Sehubungan itu, pengerusi suruhanjaya terbabit, Encik Hadi Supeno, melahirkan rasa bimbang akan kemungkinan peminat kecil berkenaan terjejas dengan pembabitan Ariel dalam kes video seks berkenaan, lapor The Jakarta Post kelmarin.

'Saya cadangkan supaya Ariel memohon maaf supaya peminat kecil beliau memahami bahawa apa yang beliau lakukan itu salah dan tidak sepatutnya diulang,' kata Encik Hadi yang dipetik tempoaktif.com kelmarin.

Encik Hadi berkata beliau turut melawat Ariel yang ditahan di unit jenayah ibu pejabat polis Indonesia Jumaat lalu dan menyampaikan cadangannya itu. -- Agensi.