Pages

Friday, April 30, 2010

Pesakit mental tikam 31 orang di tadika

BEIJING: Seorang lelaki bersenjatakan pisau mencederakan 28 murid tadika, dua guru dan seorang pengawal keselamatan di sebuah tadika di bandar Taixing, dalam wilayah Jiangsu, timur China, kelmarin.

Lima murid kini berada dalam keadan kritikal di hospital Jiangsu, kata seorang pegawai Jabatan Penerangan, Encik Zhu Guiming.

Penyerangnya, dikenal pasti sebagai Xu Yuyuan, 47 tahun, seorang penganggur, lapor agensi berita Xinhua.

Dia dikatakan merempuh masuk sebuah bilik darjah bersenjatakan sebilah pisau sepanjang 20 sentimeter, pagi semalam, lalu menyerang murid Tadika Zhongxin, yang rata-rata berusia empat tahun.

Dua guru dan seorang pengawal keselamatan yang cuba menghalang, turut cedera.

Mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. -- Agensi





Anak Aquino dijangka menang besar

MANILA: Anak lelaki hero demokrasi Filipina, mendiang Corazon Aquino, dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Presiden pada bulan depan.

Menurut satu tinjauan terbaru yang diumumkan oleh Pulse Asia semalam, 39 peratus daripada responden berkata mereka akan mengundi Encik Benigno Aquino.

'Dengan hampir empat dalam setiap 10 pengundi Filipina menyokongnya, Senator Aquino kekal di tangga depan sebagai calon Pilihan Raya Presiden pada Mei ini,' kata Pulse Asia.

Di tempat kedua ialah pemaju hartanah jutawan, Encik Manuel Villar, dan mantan Presiden Joseph Estrada, yang masing-masing mendapat 20 peratus sokongan.

Encik Villar, yang sebelum ini dilihat sebagai pencabar utama Senator Aquino, melihat sokongannya merosot 5 peratus berbanding tinjauan yang diadakan pada awal bulan ini.

Sokongan terhadap Senator Aquino dan Encik Estrada pula meningkat 2 peratus.

Pada 1998, Encik Estrada menang dalam Pilihan Raya Presiden apabila berjaya meraih 39 peratus daripada undi.

Namun, pemerintahannya berakhir dengan tiba-tiba pada 2001 apabila beliau didakwa mengamalkan rasuah.

Tinjauan terbaru oleh Pulse Asia itu dijalankan 23-25 April lalu dan melibatkan 1,800 pengundi berdaftar.

Tinjauan itu merupakan yang terakhir dilakukan sebelum pilihan raya.

Senator Aquino meraih simpati apabila ibunya meninggal dunia lewat tahun lalu dan ini dijadikan sebagai batu loncatan dalam kempen Pilihan Raya Presiden.

Mendiang Corazon Aquino memimpin 'kuasa rakyat' dalam usaha mengguling Ferdinand Marcos pada 1986, sebelum menjadi Presiden selama enam tahun.

Sekitar 50 juta penduduk dijangka keluar membuang undi pada 10 Mei ini untuk memilih pengganti Presiden Gloria Arroyo, yang perlu berundur pada 30 Jun ini.

Sokongan ke atas seorang lagi calon Presiden, mantan Setiausaha Pertahanan, Encik Gilberto Teodoro, kekal pada paras hanya 7 peratus.

Encik Teodoro dipilih oleh Cik Arroyo sebagai calon penggantinya. -- AFP.


Dakwa terima $1.7j bagi lemahkan Pak Lah

Penulis blog: Dana untuk biaya aktiviti 'Operasi Gerak Saraf' bagi wujudkan tanggapan buruk terhadap mantan PM


KOTA BHARU: Seorang penulis blog mendakwa menerima peruntukan lebih RM4 juta ($1.7 juta) dalam tempoh tiga tahun bagi mewujudkan persepsi buruk untuk melemahkan mantan perdana menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan memastikan Parti Islam SeMalaysia (PAS) kekal memerintah di Kelantan.

Syed Azidi Syed Abdul Aziz, yang lebih dikenali sebagai 'Kickdefella', membuat dakwaan itu dalam blognya selepas beberapa pihak, termasuk Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mengecam dan mempertikai sumbangannya kepada parti.

Beliau turut mencabar pihak terbabit supaya menjalankan siasatan berhubung pendedahan itu dan sumber wang yang disalurkan kepadanya.

'Sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat di Kelantan, saya telah membelanjakan sejumlah hampir lebih RM4 juta untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuklah pembelian aset, peralatan, pembayaran upah operatif, percetakan dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu Operasi Gerak Saraf.

'Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu. Dari mana saya mendapat wang sebanyak itu bagi mengendalikan satu Operasi Gerak Saraf untuk mewujudkan persepsi yang boleh melemahkan Abdullah seterusnya mempermudahkan PAS menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kelantan?' tulis Syed Azidi dalam blognya kelmarin.

Tulisannya itu merujuk kepada kenyataan Setiausaha Akhbar Datuk Nik Aziz, Encik Ahmad Fadhli Shaari, yang juga ketua penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, dan tulisan seorang lagi penulis blog yang menyifatkannya sebagai seorang yang kecewa serta membuat pelbagai pembohongan.

Sebelum ini, Syed Azidi, yang suatu ketika cukup akrab dengan pimpinan PAS Kelantan, turut mendedahkan dokumen mengenai beberapa kepincangan dalam negeri.

Ini bagi mengesahkan dakwaannya berhubung pemohon tender kawasan balak dan hutan simpan memberi sumbangan kepada PAS Kelantan dan sebahagian daripada syarikat serta individu yang sering mendapat habuan.

Syed Azidi turut menjadi tumpuan ketika isu menantu Datuk Nik Aziz, Encik Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, mantan ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), dikaitkan dengan rasuah.

Syed Azidi pernah bertugas sebagai pegawai perhubungan awam PMBK dan jawatannya itu ditamatkan pada November 2009.

Sementara itu, Tun Abdullah berkata semalam beliau bersedia menerima penjelasan Syed Azidi jika penulis blog itu mahu menemuinya untuk menerangkan tentang perang saraf bagi mewujudkan persepsi yang boleh melemahkan BN.

Tun Abdullah juga berkata beliau tidak terkejut jika dakwaan itu benar kerana ia adalah permainan politik. -- Utusan Malaysia, BHM.


Peguam skandal kapal selam Perancis kini di KL

KUALA LUMPUR: Salah seorang daripada anggota perundangan Perancis yang memfailkan aduan di mahkamah di Paris berhubung skandal pembelian kapal selam kepada kerajaan Malaysia dilaporkan berada di Kuala Lumpur, semalam.

Misi Encik Joseph Breham adalah mencari maklumat lanjut bagi menyediakan kes berkenaan serta berjumpa dengan pertubuhan hak asasi manusia, Suaram, yang juga anak guamnya dalam kes berkenaan, lapor akhbar Asia Sentinel.

Perjanjian pembelian kapal selam, yang menelan belanja berbilion dolar itu dimeterai oleh menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak yang kini Perdana Menteri Malaysia.

Perjanjian itu dikatakan memberi komisen RM3.7 bilion ($1.5 bilion) kepada seorang sekutu rapat Datuk Seri Najib, Encik Abdul Razak Baginda, lapor akhbar itu.

Nilai pembelian itu adalah untuk memperoleh dua kapal selam kelas diesel - yang dibina oleh Armaris, sebuah anak syarikat firma pertahanan gergasi Perancis, DCN (yang dulunya dikenali sebagai Direction des Constructions Navales) dan pemajakan kapal selam ketiga yang sudah bersara yang diusahakan oleh sebuah syarikat usahasama antara DCN dan firma, Sepanyol, Agosta.

Encik Breham, seorang daripada tiga peguam yang memfailkan kes berkenaan dengan pihak pendakwaan Perancis bagi pihak Suaram, memberitahu Asia Sentinel bahawa mahkamah Perancis telah membuka siasatan awal dan akan menasihatkan anak guamnya berhubung langkah seterus mereka.

Encik Breham, Encik Renaud Semerdjian dan peguam utama, Encik William Bourdon, memfailkan permohonan bagi pertama kali menyiasat rasuah dan wang umpanan ke atas DCN pada Disember lalu dan memfailkan dokumen tambahan pada Februari lalu.

Kes berkenaan menjadi tajuk utama media di Malaysia berikutan pembunuhan ngeri seorang penterjemah Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu, pada Oktober 2006 yang juga kekasih Encik Abdul Razak, yang mengiringinya ke Perancis berhubung beberapa urus niaga pembelian kapal selam berkenaan.

Mendiang Altantuya, yang juga seorang model, dijumpai dalam keadaan berkecai diletupkan dengan bahan peledak milik pihak keselamatan di sebuah hutan di luar Kuala Lumpur.

Selain kos kapal selam dan juga komisen yang tinggi, lebih menggemparkan, kontrak asal menyebut kapal selam berkenaan tidak mempunyai kelengkapan senjata dan peralatan mengesan.

Pihak ketenteraan Malaysia perlu membuat bayaran tambahan 130 juta euro ($235 juta) untuk melengkapkan kapal selam itu.

'Adakah ini bermakna, kita membeli besi kosong?' soal seorang pegawai tentera yang tidak mahu dikenali, menerusi e-mel kepada Asia Sentinel. -- Agensi.


Wajar didakwa jika pukul anak sendiri

LONDON: Kumpulan hak asasi manusia, Majlis Eropah, berpendapat ibu bapa yang memukul anak sendiri wajar didakwa kerana melakukan serangan.

Menurut mereka, amalan memukul kanak-kanak - walaupun tamparan yang perlahan - boleh memberi kesan buruk terhadap psikologi.

Malah, seorang pegawai pertubuhan itu turut membandingkan perbuatan tersebut sama seperti seorang lelaki mengasari isteri sendiri. -Agensi.



Meraikan hari jadi pelayan sebagai tugas diplomat?

Singapura - BOLEHKAH tindakan seorang diplomat berpengalaman meraikan hari jadi seorang pelayan karaoke di pusat karaoke sambil ditemani pelayan lain di tempat itu dianggap melakukan satu tugas rasmi atau tidak lebih daripada satu kegiatan peribadi?

Persoalan itu diajukan Kementerian Ehwal Luar (MFA) kepada Duta Romania ke Singapura, Encik Aurelian Neagu, yang dipanggil MFA untuk menjelaskan kenyataan pemerintah Romania bahawa mantan kuasa usahanya, Dr Silviu Ionescu, mempunyai kekebalan diplomatik.

'MFA bertanya Encik Neagu tiga kali sebagai seorang diplomat berpengalaman dan kepada Pemerintah Romania, apakah mereka menganggap majlis bagi meraikan hari jadi seorang pelayan karaoke di kelab karaoke sebagai sebahagian tugas rasmi ketua misi diplomatik Romania? Duta Neagu tidak menjawab soalan itu,' kata MFA dalam kenyataan media semalam.

Dr Ionescu terlibat dalam kes langgar lari di sini pada 15 Disember lalu.

Siasatan Mahkamah Koroner mendapati Dr Ionescu, 50 tahun, merupakan orang yang memandu kereta Audi A6 milik Kedutaan Romania semasa kejadian langgar lari itu.

Nahas tersebut mengakibatkan seorang terbunuh dan dua lagi cederea.

Bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan bahawa Dr Ionescu dipercayai menanggalkan bendera Romania daripada kereta itu sebelum menghadiri pesta ulang tahun tersebut di sebuah kelab karaoke di Selegie Road.

Menurut MFA, Encik Neagu berkata beliau telah diarahkan pemerintahnya agar menjelaskan kepada MFA bahawa pihak berkuasa Romania masih belum membuat keputusan mengenai kekebalan diplomatik Dr Ionescu pada 15 Disember lalu.

'Namun Encik Neagu memberi jaminan sekiranya siasatan menunjukkan pada malam itu Dr Ionescu melakukan kegiatan peribadi, pihak berkuasa Romania akan mengambil tindakan guaman sepenuhnya terhadap beliau,' ujar MFA lagi.

MFA menjelaskan bahawa untuk melindungi kepentingan Singapura, Encik Anil Kumar Nayar, Duta Besar Singapura ke Brussels, dan para pegawai Pejabat Peguam Negara (AGC) akan melawat Romania bulan depan bagi memberikan bantuan kepada pihak berkuasa Romania.

Singapura juga telah melantik seorang peguam Romania untuk melihat bagaimana kepentingan Singapura dapat dilindungi dalam kes ini.

Encik Neagu telah mengadakan mesyuarat dengan pegawai MFA selama lebih setengah sejam pagi semalam.

MFA turut berkata bahawa ia telah menegaskan kepada Encik Neagu sebarang kelewatan akan hanya meningkatkan tanggapan mengenai niat dan keseriusan Romania dalam menangani kes itu.

Terus kukuh hubungan S'pura-AS

HUBUNGAN dua hala Singapura-Amerika Syarikat akan terus diperkukuhkan dengan keutamaan kini lebih tertumpu kepada usaha-usaha menggalak hubungan peringkat tinggi dan menggandakan dagangan.

Ini dinyatakan duta baru Amerika ke Singapura, Encik David Adelman, semasa pertemuannya dengan media tempatan semalam.

Menurutnya, beliau akan memulakan langkah dengan menggalak hubungan di peringkat paling tinggi.

Rancangan itu selaras dengan pengumuman pentadbiran Presiden Barack Obama awal tahun ini yang mahu menggandakan eksport Amerika dalam jangka masa lima tahun mendatang.

'Sejauh mana langkah-langkah konkrit yang boleh dijangkakan, sebuah misi perdagangan di peringkat tinggi akan diadakan bagi kededua haluan,' kata Encik Adelman, 45 tahun, ketika ditemui media di Kedutaan AS di Napier Road semalam.

Selain isu dagangan, Encik Adelman turut mengalu-alukan langkah Singapura dalam memupuk budaya toleransi terhadap agama dan budaya lain dan memberi jaminan akan terus mendekati semua lapisan masyarakat, agama dan budaya.

Beliau juga memuji sumbangan Singapura dalam perang menentang pengganasan di Afghanistan serta kepimpinan Singapura dalam Pasukan Bertindak Bersama 151 menjaga keamanan di Teluk Eden.

Encik Adelman tiba di Singapura untuk memulakan tugas pada 2 April lalu dan telah bertemu Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden S R Nathan semalam untuk memberikan surat tauliahnya.

Menyentuh tentang sistem politik di sini, Encik Adelman berkata ia terpulang kepada rakyat Singapura untuk membuat keputusan dan bukan niat beliau hendak campur tangan dalam politik tempatan.

'Di Amerika, kami menilai kebebasan media, kebebasan perhimpunan dan demokrasi berbilang parti. Kami percaya ia contoh terbaik sebuah demokrasi yang berjaya,' kata beliau.

Bekas senator dan peguam di Georgia itu ke sini bersama isteri dan tiga anaknya, yang kini menuntut di Sekolah Amerika Singapura.

Sejak berada di sini, beliau tertarik dengan orang-orang Singapura yang dianggapnya cerdik dan peramah.

'Saya juga telah makan di Pusat Makanan Adam Road barubaru ini dan amat menggemari nasi lemak,' kata beliau yang berura-ura belajar bahasa Melayu.



Thursday, April 29, 2010

Kickdefella diupah Umno

PAS Kelantan menganggap blogger Kickdefella, yang mendakwa telah dibiayai RM4 juta parti itu untuk memburukkan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri, sebagai “budak upahan dan suruhan Umno.”

“Dia macam budak-budak, blogger kampung sahaja... jadi bukan standard parti (PAS) untuk membincangkan isu ini (pendedahan Kickdefella)... bukan standard kami,” kata Setiausaha PAS Kelantan Zaki Ibrahim di Kota Baru.

Beliau menolak PAS Kelantan akan membincangkan isu berkenaan.

Sehubungan itu beliau mencabar Kickdefella, nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz supaya menyertai Umno dan berhadapan dengan PAS atas nama parti, bukannya sebagai “budak suruhan Umno.”

“Kickdefella hanya mahu dapatkan publisiti murahan. Kita cabar dia mendaftar sebagai ahli Umno, maka kita boleh lawan atas nama parti,” katanya.

Zaki yang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran mengulas tulisan blog Syed Azidi, yang sebelum ini menjadi tumpuan kontroverasi Menteri Besar Kelantan dan menantunya, mendakwa telah dibiayai RM4 juta untuk memburuk-burukkan kepimpinan Abdullah ketika menjadi perdana menteri.

Menurut Syed Azidi, usaha memburuk-burukkan Abdullah yang menjadi perdana menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009 dikenali sebagai Operasi Gerak Saraf.

Beliau menambah, usaha berkenaan dijalankan bagi membolehkan PAS mudah mengatasi Barisan Nasional untuk kekal berkuasa.

PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Kata Syed Azidi, beliau telah membelanjakan sejumlah wang itu sepanjang tiga tahun berkhidmat di Kelantan.

“Sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat di Kelantan, saya telah membelanjakan sejumlah hampir lebih RM4 juta untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuklah pembelian aset, peralatan, pembayaran upah operasi, percetakan dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan Operasi Gerak Saraf.

“Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu,” katanya.

“Dari mana saya mendapat wang sebanyak itu bagi mengendalikan Operasi Gerak Saraf untuk mewujudkan persepsi yang boleh melemahkan Perdana Menteri Abdullah seterusnya mempermudahkan bagi PAS menewaskan Barisan Nasional di Kelantan?” soal beliau.

Mengulas soal pembiayaan RM4 juta pula, Zaki yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, PAS tidak akan menggunakan wang untuk berhadapan dengan Umno dan BN.

“Kita tidak guna duit untuk menjatuhkan parti tetapi menghadapi Umno, BN atas nama dasar perjuangan, bukannya wang... kita tidak pernah gunakan wang,” katanya.

“PAS parti yang sudah lama ditubuhkan, bergerak sejak 1951, kami tiada duit, kami pun tidak perlu menggunakan duit untuk melawan,” katanya lagi.

Zaki juga menambah, Syed Azidi, yang pernah dianggap sebagai orang kanan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa sengaja mahu “melaga-lagakan pemimpin” PAS negeri dengan membuat dakwaan-dakwaan seperti itu menerusi blognya.

Tuesday, April 27, 2010

Hulu Selangor kemenangan sementara BN

KUALA LUMPUR, 27 April — PAS, komponen Pakatan Rakyat, mendakwa kejayaan Barisan Nasional (BN) menawan semula Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi kelmarin hanya “satu kemenangan bersifat sementara”.

Dengan merujuk kepada keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok, Selangor pada 2007 dan Pendang, Kedah lapan tahun lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yakin Pakatan Rakyat akan merampas balik Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-13.

Kedua-dua kerusi itu kemudian telah dimenangi oleh PAS dan PKR - dua anggota Pakatan Rakyat.

“Saya boleh nampak ini satu kemenangan sementara kepada BN (di Hulu Selangor), sebab di Ijok pun (BN) menang seperti di Pendang tapi kami menang (kemudian).

“Ini pengulangan kepada itu (kemenangan balik),” kata beliau pada sidang media mengumumkan analisis awal pihak PAS di sini hari ini.

Mustafa juga berkata, keputusan pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor ini adalah satu “keputusan BN gembira dalam gelisah.”

“Kemenangan dalam keadaan tak ceria,” dakwa beliau lagi sambil menambah, ini kerana tiada perubahan mendadak sokongan kepada BN berbanding dua tahun lalu.

P. Kamalanathan dari BN menewaskan Datuk Zaid Ibrahim dari Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.

Calon BN itu menerima 24,997 undi manakala Zaid memperolehi 23,272 undi.

Mustafa juga calon pihaknya dari Parti Keadilan Rakyat sebenarnya tidak mengalami kemerosotan undi.

“Undi untuk Datuk Zaid naik kira-kira 100 undi manakala calon BN mendapat kira-kira 2,000 undi lebih berbanding ketika pilihan raya umum 2008,” katanya.

Dengan merujuk kepada sejumlah 26,000 undi yang diperoleh BN membabitkan ketiga-tiga kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor dua tahun lalu, Mustafa berkata, “tidak berlaku peralihan besar undi daripada Pakatan Rakyat kepada BN, tidak berlaku.”

Bahagian Parlimen Hulu Selangor terdiri daripada kerusi Dun Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.

Katanya, tindakan melompat parti membabitkan beberapa pemimpin PKR bahagian Hulu Selangor dan dari beberapa negeri lain dan fitnah terhadap Zaid tidak menjejaskan sokongan kepada beliau.

Mengenai punca undi majoriti diperoleh BN pula kata beliau, ia disumbangkan oleh penurunan undi rosak, trend undi pos dan sokongan pengundi-pengundi dari luar.

Berbanding Mac 2008 undi rosak kali ini merosot daripada 1,461 undi lepada 731 undi manakala jumlah undi pos diterima calon BN ialah 767 berbanding 120 undi untuk calon Pakatan Rakyat.

Oleh itu kata Mustafa beliau mereka yang mengundi rosak dua tahun lalu kini menyokong BN.

Mustafa juga menafikan Zaid tidak berjaya kerana penyokong beliau atas alasan minum arak.

Beliau juga menafikan Pakatan Rakyat gagal mempertahankan Hulu Selangor kerana pengundi PAS tidak menyokong Zaid.

Katanya penyokong-penyokon PAS lazimnya akan mengikut arahan kepimpinan parti dan kes ini menyokong Zaid.

BN lebih berliku selepas Hulu Selangor

ALOR SETAR, 26 April: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor semalam memberikan mesej yang jelas BN bakal menghadapi jalan-jalan yang lebih berliku pada masa akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) ketika sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, hari ini melahirkan rasa terkejutnya dengan kemenangan tipis calon BN, P Kamalanathan.

"BN menang kita tak terkejut, tapi yang kita terkejut BN menang sikit, majoriti undi yang hanya 1,700 lebih tak setimpal dengan apa yang dia sogokkan kepada pengundi di Hulu Selangor. BN akan berhadapan jalan yang berliku jika keputusan ini diambil kira.

"Peruntukan untuk sekolah Cina, peneroka Felda, projek-projek segera dan berbagai-bagai lagi sogokan kepada pengundi termasuk serangan peribadi ke atas calon adalah amalan yang menyalahi undang-undang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kena siasat perkara ini," katanya yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Azizan yang bersimpati di atas kekalahan Pakatan Rakyat (PR) bagaimanapun turut mengucapkan tahniah kepada jentera PR yang berjaya meningkatkan jumlah undi berbanding pilihan raya yang lalu.

Keputusan malam tadi menyaksikan calon PR, Datuk Zaid Ibrahim mendapat 23,272 undi, berbanding 23,177 undi yang diperolehi oleh Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pilihan raya umum yang lalu.

"Ini merupakan petanda baik kepada PR dalam pilihan raya yang akan datang. Kita harap PR akan mencatatkan kemenangan dalam PRK Sibu, 15 Mei nanti," katanya. - Harakah



Monday, April 26, 2010

Bridget Welsh: Tiada pemenang dalam PRK Hulu Selangor

Tiada pemenang dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, malah ia belum cukup untuk dilihat sebagai referendum terhadap Perdana Menteri Najib Razak sungguhpun Barisan Nasional menawan semula kawasan pengundian ini. Demikianlah pandangan pengkaji politik, Bridget Welsh semasa mengulas keputusan PRK Hulu Selangor.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Bridget Welsh (gambar kiri) yang juga Profesor Madya di Singapore Management University berkata, walaupun BN memenangi PRK ini, namun ia satu kemenangan yang "kurang cantik", khususnya apabila Najib menongkah arus tradisional dan turun sendiri ke padang untuk menarik undi dengan menabur gula.

"Sememangnya, anda boleh mengatakan menang tu menang-lah," kata Bridget Welsh. Pada awal PRK Hulu Selangor, Bridget Welsh menganggap ia sebagai satu referendum terhadap prestasi Najib dalam menguruskan ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kempen untuk PRK ini, beliau menganggap ia "belum cukup untuk dilihat sebagai referendum".

Calon MIC-BN P.Kamalanathan menewaskan calon PKR-PR Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. PRK yang mencatat kadar pengundian 75.87% ini mempunyai 731 undi rosak

Pakatan Rakyat perlu muhasabah

Selain itu, Bridget Welsh berpendapat bahawa Pakatan Rakyat harus mengambil iktibar dari PRK ini. Menurut Bridget, PR harus berkempen dalam satu pasukan, malah dalam PRK ini, PR lebih berada pada kedudukan "mengawal" (defend), dan agak perlahan langkahnya pada peringkat permulaan. Beliau menjangkakan keadaan mungkin memihak kepada PR seandainya tempoh berkempen dipanjangkan.

Pada pandangan Bridget, sungguhpun strategi BN untuk menyerang secara peribadi terhadap Zaid (gambar kanan) dan menabur gula kelihatan berkesan, namun taktik ini telah menjadikan kemenangan ini tercalit. Beliau menganggap Zaid Ibrahim seorang calon yang baik dan berwawasan, tetapi lemah dalam strategi kempennya.

"Saya merasakan tiada pemenang yang sebenarnya dalam PRK ini. Malah pengundi Hulu Selangor juga bukan pemenang yang sebenar. Walau bagaimanapun, saya masih dalam pengamatan," katanya.

Pada 24 April, PM Najib menjanjikan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada SRJK (c) Rasa, pembinaan 200 unit rumah kos rendah di Hulu Bernam dan peruntukan RM25 ribu kepada dua pertubuhan Cina di Hulu Bernam, seandainya BN menang.

Pada 23 April, Najib mengumumkan pembayaran pampasan tanah atas pembelian tanah sebanyak RM 50 ribu kepada 100 orang bekas peneroka FELDA Sungai Buaya, yang membawa kepada jumlah RM5 juta. Setiap daripada mereka memperolehi RM1000 pada peringkat awal, dan ini merupakan hasil penantian 15 tahun oleh mereka.

Selain itu, Najib mengumumkan pembinaan susur masuk dan keluar Sungai Buaya di Lebuhraya Utara-Selatan yang bernilai RM85 juta, yang bakal dimulakan pada tahun depan dan dijangka akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.

PRK Ijok?

Apa yang menarik, PRK Hulu Selangor agak menyerupai PRK Ijok pada tahun 2007 dalam banyak perkara. PM ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi turun ke kawasan pengundian tiga hari sebelum mengundi, apabila keadaan agak mencemaskan buat pihak BN. Apa yang berbeza, bekas PM Mahathir Mohamad tidak dibawa bersama. Namun, kempen BN yang diketuai Najib pada ketika itu juga mengerahkan jentera kerajaan sepenuhnya.

Dalam kedua-dua PRK ini, budaya rasuah, ugutan, samseng bermaharajalela. Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak memperlihatkan "keberkecualiannya", apabila masalah senarai daftar pengundi, pertukaran pusat mengundi masih berlaku.

Jika dilihat kejadian keganasan yang berlaku, PRK Hulu Selangor mungkin gagal menandingi PRK Ijok, kerana calon PKR ketika itu, Khalid Ibrahim dibaling dengan air botol semasa berkempen. Malah pada hari penamaan calon, Naib Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Khairy Jamaluddin (gambar kanan) mengetuai penyokong BN untuk bertelagah dengan PR. Poster "Sedia Gempur" kelihatan di mana-mana, malah berlakunya perang membaling air botol dan pertembungan fizikal.

Kedua-dua PRK ini memperlihatkan kecenderungan pengundi Cina untuk menyokong PKR. Walaupun PKR tidak menang di Pekan Ijok, kawasan pengundi Cina majoriti, namun PRK hanya tewas nipis, memperlihatkan pola pengundi Cina yang menyebelahi PKR.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Presiden Palestin diundang temui Obama

RAMALLAH (Tebing Barat): Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, telah diundang menemui Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, di Washington bulan depan bagi membincangkan usaha menyambung semula rundingan damai dengan Israel.

Undangan itu disampaikan duta khas Encik Obama ke Timur Tengah, Encik George Mitchell, yang menemui Encik Abbas di Tebing Barat Jumaat lalu, kata ketua perunding Palestin, Encik Saeb Erakat.

Encik Abbas dikatakan memberi jawapan positif terhadap undangan itu. Namun, tarikh rundingan belum ditetapkan.

Sabtu lalu, Encik Abbas menggesa Encik Obama agar memaksa satu perjanjian damai Timur Tengah, sekali gus mencerminkan kekecewaannya ekoran kegagalan Washington mendapatkan tolak ansur dari pemerintah tegar Israel di bawah Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu.

Dalam satu rayuan lantang, Encik Abbas berkata jika Encik Obama berpendapat sebuah negara Palestin itu penting bagi kepentingan Amerika, maka beliau harus mengambil langkah tegas mencapainya.

'Oleh kerana anda dan pegawai pentadbiran Amerika yakin mengenainya, adalah menjadi tanggung jawab anda mengambil langkah mencapai huraian dan memaksa penyelesaian,' kata Encik Abbas dalam ucapannya kepada pergerakan Fatah pimpinannya.

'Jangan kata ia satu strategi penting bagi Amerika tetapi anda tidak berbuat sesuatu,' tegasnya.

Washington telah mengenakan tekanan kepada Palestin dan Israel agar kembali ke meja rundingan.

Tetapi, para pemimpin Palestin enggan menyambung rundingan selagi Israel enggan membekukan pembinaan petempatan di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.

Akhbar Israel, Haaretz, berkata Encik Obama telah memberitahu Encik Abbas bahawa beliau tidak berhasil memujuk Encik Netanyahu agar membekukan pembinaan petempatan di Baitulmakdis Timur, tetapi berkata beliau tidak akan melakukan tindakan 'utama' semasa rundingan berlangsung. -- AP, AFP, Reuters.





600,000 apartmen di Mesir milik rakyat Saudi

JEDDAH: Rakyat Arab Saudi memiliki lebih 600,000 apartmen di Mesir, kata satu laporan pihak berkuasa pelancongan Mesir.

'Sekitar 60 peratus apartmen milik rakyat Saudi bertumpu di Kahirah, 20 peratus di Iskandariyah, 10 peratus lagi di daerah peranginan pantai utara,' kata laporan itu.

'Kecenderungan rakyat Saudi membeli hartanah di Mesir merancakkan perusahaan pelancongan,' kata Menteri Pelancongan Mesir, Encik Zuhayr Garanah, sebagaimana ditukil laman web Arab News semalam.

Menurut beliau, rakyat Saudi membeli apartmen di Mesir dengan banyaknya selepas peraturan perjalanan bagi rakyat Saudi ke Amerika dan Eropah menjadi lebih ketat. -- Agensi.




Askar maut: PM New Zealand singkat lawatan

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Encik John Key, menyingkatkan lawatannya ke Turkey ekoran kematian tiga askar tentera udara apabila sebuah helikopter terhempas semasa sambutan Hari Anzac semalam.

Tiga askar terkorban apabila pesawat itu terhempas sekitar 6 pagi di kawasan bukit di Pukerua Bay, 40 kilometer ke timur laut Wellington, ketika dalam penerbangan dari Ohakea ke Wellington.

'Saya menerima laporan bahawa tiga askar Tentera Udara Diraja New Zealand terkorban dalam satu nahas helikopter dan seorang lagi cedera parah,' kata Encik John Key kepada pemberita di Gallipoli, Turkey. -- Agensi.




Salah tembak: Tunjuk perasaan bertukar ganas

KABUL: Tunjuk perasaan oleh suku kaum Afghan di wilayah Logar ke selatan Kabul bertukar ganas apabila mereka membakar trak tangki minyak.

Ini berlaku selepas tentera Amerika dan Afghan menembak mati penduduk awam yang disangka militan.

Ketua polis Logar, Kolonel Ghulam Mustafa, berkata tiga penduduk awam ditembak mati apabila askar Amerika dan Afghan menyerbu sebuah rumah yang disangka dihuni pengganas, malam kelmarin.

Perusuh membakar 15 trak tangki minyak menyusuli tunjuk perasaan itu. -- AFP.



Teheran tuduh UAE samakan Iran dengan Israel

TEHERAN: Iran kelmarin menuduh Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyamakannya dengan Israel dalam pertikaian mereka mengenai tiga pulau di rantau Teluk.

Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed al-Nahayan, Selasa lalu menuduh Iran 'menduduki' Kepulauan Abu Musa dan kepulauan Tunb Besar dan Tunb Kecil, yang terletak dekat laluan kapal.

Semasa bercakap dalam sidang Parlimen, Sheikh Abdullah berkata perkara tersebut 'merupakan satu perkara yang menyakitkan buat semua rakyat UAE'.

Beliau menggesa rakyat UAE agar 'berfikir bagaimana hendak membantu saudara mereka yang tinggal di kepulauan itu terutama nya di kepulauan Abu Mousa.'

Selama ini, ketiga-tiga pulau itu dikuasai oleh Iran tetapi turut dituntut oleh UAE dengan disokong banyak negara Arab.

Dalam satu kenyataan yang mencetuskan kemarahan Teheran, agensi berita UAE, WAM, menukil Sheikh Abdullah sebagai berkata:

'Pendudukan di mana-mana tanah Arab adalah satu pendudukan. Pendudukan Israel di Bukit Golan, selatan Lebanon, Tebing Barat atau Gaza tetap dipanggil pendudukan. Dan tidak ada tanah Arab yang lebih berharga daripada yang lain.'

Sheikh Abdullah juga berkata Iran menolak semua inisiatif untuk menghuraikan pertikaian selama tiga dekad itu, sama ada menerusi rundingan atau pun pengantaraan antarabangsa.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Ramin Mehmanparast, berkata beliau berharap menteri UAE itu silap ditukil, lapor agensi berita Mehr kelmarin.

'Apa yang ditukil mengenai kepulauan Iran dan perbandingan yang dibuat antara Iran dengan Israel membuat rakyat kami berasa tersinggung' kata Encik Mehmanparast.

'Kenyataan serupa itu, jika berlaku lagi, pasti akan mencetuskan kemarahan rakyat Iran,' tambah beliau.

UAE - yang merupakan sekutu Amerika Syarikat - dan Iran mempunyai hubungan perdagangan yang kuat.

Bagaimanapun, hubungan diplomatik menjadi tegang selepas Iran mendirikan pejabat maritim di salah sebuah pulau yang dipertikaikan itu pada 2008. -- Reuters.


BN menang tapi hilang sokongan pengundi Cina

HULU SELANGOR, 26 April — Menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor semalam sebagai kemenangan yang baik, para pemimpin BN berkata parti masing-masing telah dapat menawan hati dan fikiran rakyat di kawasan tersebut.

Namun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata walaupun menang dengan majoriti 1,725, tetapi pengundi Cina didapati tidak menyokong BN, bukan sahaja dalam pilihan raya kecil itu tetapi juga semasa pilihan raya umum 2008.

“Kita perlu melihat di mana silap kita. Saya akan berjumpa dengan parti-parti komponen untuk membincangkan perkara ini, tetapi kita gembira kerana pengundi India kembali menyokong BN. Begitu juga dengan pengundi Melayu.

“Kita hilang kerusi pada pilihan raya 2008 dengan majoriti kecil 198 undi tetapi kini mengekalkan kembali kerusi dengan majoriti yang lebih besar. Ini menunjukkan rakyat menyambut baik konsep yang diutarakan pucuk pimpinan seperti gagasan 1 Malaysia dan Model Ekonomi Baru,” katanya selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor diumumkan di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Baru di sini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula berkata MCA memerlukan anjakan paradigma bagi mendekati masyarakat Cina yang dilihat tidak begitu memberi perhatian kepada soal kehendak dan keperluan asas.

“Anjakan paradigma ini mesti datang dari pemimpin MCA. Selain itu Hulu Selangor mempunyai masalah dalamannya sendiri. Bagi saya dan pemimpin parti yang lain, banyak perkara yang perlu dilakukan.

“Ia satu lagi isyarat, jika mereka tidak meletak ke tepi perbezaan antara mereka, maka MCA akan menjadi bakul sampah politik atau dinosur politik.

“Kami perlu melihat kembali diri kami, sama ada selepas 50 tahun menumpukan perhatian kepada masyarakat peringkat setempat, kami perlu melihat lebih lagi.

“Anda boleh pasti bahawa kami akan menjadi lebih vokal selepas ini,” katanya.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata walaupun BN menang, tetapi terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan diselesaikan.

“Sokongan di kalangan masyarakat Cina tidak bertambah. Apabila kita mula berkempen di sini, tahap sokongan hanya sekitar 12 hingga 15 peratus. Selepas perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) turun menemui rakyat, ia meningkat kira-kira 25 peratus.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu pula berkata partinya perlu menggandakan usaha untuk menarik kembali sokongan pengundi India.

“Ya, kami mendapat sedikit kejayaan dalam memenangi pengundi India. Dalam pilihan raya ini kami mendapat kira-kira 65 peratus sokongan. Ia pernah mencapai 80 peratus sebelum 2008. Kami perlu mencapai sasaran ini,” katanya.

Timbalannya Datuk G. Palanivel yang juga bekas wakil rakyat Hulu Selangor sebelum tewas pada pilihan raya 2008 berkata, sementara kejayaan kali ini meningkatkan motivasi BN, ia perlu menilai semula dan memperbaiki kelemahannya.

“Kemenangan ini adalah baik, kita mendapat majoriti yang lebih baik tetapi terdapat kelemahan yang perlu difikirkan,” katanya.

Beliau berkata MIC perlu melakukan bedah sasat dan terus berusaha mendapat sokongan pengundi India menerusi pelbagai strategi. — Bernama

Sunday, April 25, 2010

PRK Hulu Selangor: Laporan Dari Pusat Media


Laporan penting sekitar prk Hulu Selangor dari Pusat Media Kuala Kubu Baru di sini.




Batang Kali: BN Yakin

Ikuti perkembangan di Hulu Selangor setiap jam di sini


HULU SELANGOR: Calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan yakinpengundi di kerusi Parlimen Hulu Selangor akan membuat penilaiaan terbaik dengan memilih BN pada pilihan raya bagi kawasan itu yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, setelah berakhirnya tempoh berkempen selama lapan hari, hari ini beliau menyerahkan nasibnya kepada tuhan.

"Saya tahu pengundi di sini boleh berfikir dengan baik, mereka boleh menilai yang mana baik dan patut dipilih.

"Saya hanya boleh berdoa kepada tuhan dan walau apapun, pada akhirnya nanti, tuhan yang akan menentukan siapa yang akan menang," katanya semasa ditemui media ketika melawat pusat mengundi di SekolahKebangsaan Sungai Choh, di sini hari ini.

Beliau melawat pusat mengundi berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi sambil ditemani isterinya, S. Shobana.

Pada pilihan raya ini, Kamalanathan ditentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

Dalam pada itu beliau berkata, BN mempunyai peluang untuk menang pada pilihan raya ini.

"BN ada peluang, segala sokongan yang ditunjukkan selama saya pasti akan mereka terjemahkan dalam bentuk undi kepada BN," katanya.




Mayat tersangkut 12 jam di atas pokok

KANGAR (Perlis): Seorang pelajar tingkatan dua maut apabila motosikalnya terbabas dan terjunam hampir 10 meter ke dalam gaung di Sungai Batu Pahat di sini, Khamis lalu.

Dalam nahas sekitar 11.15 pagi itu, Mohd Ridzuwan Baharom, 14 tahun, dari Kampung Abi, dekat sini, yang menunggang motosikal seorang diri, terbabas ke dalam gaung sebelum merempuh sebatang pokok besar.

Mayatnya, yang masih berpakaian sekolah, ditemui 12 jam kemudian, tersangkut di sebatang pokok.

Motosikalnya yang rosak teruk dijumpai tidak jauh dari lokasi mayat.

Keluarganya membuat laporan polis selepas beberapa rakannya, yang bersamanya sebelum itu, gagal menemuinya setelah mencarinya selama enam jam.



PM Thai arah tentera guna kekerasan

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand telah mengarahkan panglima tentera Thailand, Jeneral Anupong Paojinda, agar menggunakan kekerasan bagi menyuraikan para penunjuk perasaan anti-kerajaan, kata seorang pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi menentang Diktator (UDD) atau Baju Merah, Encik Jatuporn Prompan, semalam.

'Encik Abhisit memberitahu Jeneral Anupong bahawa beliau tidak akan membubarkan parlimen atau berunding dengan pemimpin UDD,' kata Encik Jatuporn, lapor Bangkok Post semalam.

Beliau mendakwa maklumat itu diberi oleh seorang 'askar tembikai' (bermaksud askar yang bersimpati dengan Baju Merah) di Pusat bagi Menghurai Keadaan Darurat (Cres).

Menurut Encik Jatuporn, Jeneral Anupong memberitahu Encik Abhisit bahawa beliau akan menunggu masa yang tepat untuk melancarkan operasi terhadap 'Baju Merah'.

Para panglima tentera kini menunggu arahan daripada Jeneral Anupong, kata beliau.

'Cres sekarang cuba memisahkan pengganas daripada 'Baju Merah'. Kami tidak akan bertindak terhadap penunjuk perasaan. Tetapi ini tidak bermakna kami tidak akan menyuraikan tunjuk perasaan,' kata jurucakap Cres, Kolonel Sansern Kaewkamnerd.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas 'Baju Merah' berkata Jumaat lalu bahawa mereka akan menamatkan tunjuk perasaan di Bangkok jika kerajaan membubarkan parlimen dalam masa 30 hari.

Tetapi tawaran itu ditolak Encik Abhisit, yang berkata:

'Saya tidak akan terus (memegang jawatan) jika saya tak bertekad untuk menghurai masalah ini.'

Beliau dan pegawai kanan kerajaan mengadakan mesyuarat di sebuah pangkalan tentera kelmarin untuk menimbang tawaran terbaru Baju Merah.

Jurucakap kerajaan, Encik Panitan Watanayagorn, kemudian berkata Encik Abhisit berharap rundingan akan dapat menamatkan konflik.

Tetapi ia tidak seharusnya dibuat 'di bawah tekanan atau ancaman.'

'Kami sedia berunding. Tetapi rundingan tidak boleh diadakan dalam suasana ancaman dengan mereka yang melanggar undang-undang,' tegasnya kepada Reuters.

Jeneral Anupong Jumaat lalu berkata penggunaan kekerasan bukan huraian bagi krisis sekarang.

'Yang paling baik ialah mewujudkan persefahaman di kalangan rakyat.

'Tugas tentera ialah melindungi rakyat dan tidak membenarkan rakyat Thai menyerang satu sama lain,' tegas beliau. -- Agensi


12 peratus keluar undi satu jam pertama

HULU SELANGOR, 25 April — Kira-kira 12 peratus pemilih telah keluar mengundi dalam tempoh satu jam pertama dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ia bersamaan dengan 7,891 pengundi.

Bahagian Hulu Selangor mengandungi 64,500 pemilih layak mengundi.

“Proses pengundian berjalan lancar dengan kesemua 136 saluran dibuka serentak pukul 8 pagi tadi,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar



Hulu Selangor: Pengundi hantu dari IKBN

Beberapa bas telah membawa keluar penyokong Umno/BN dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pertak kira-kira jam 3.00 pagi tadi.

Bas yang sebahagiannya penuh dengan penumpang yang dipercayai ‘pengundi hantu’ itu berjaya disekat keluar dari IKBN oleh petugas Angkatan Muda Keadilan.

Keadaan menjadi kecoh dan hampir mencetuskan pergaduhan apabila penyokong Umno/BN tiba di kawasan itu, disusuli pasukan polis tidak lama kemudian.

Walaupun begitu, bas-bas berkenaan akhirnya bergerak keluar meninggalkan kawasan itu kira-kira jam 6.00 pagi dengan diiringi pihak polis ke destinasi yang tidak diketahui.

Harakahdaily difahamkan, selain bas, berbelas buah kereta juga digunakan untuk membawa ‘pengundi hantu’ dari IKBN.

Dipercayai, mereka dihantar ke beberapa daerah mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang sudah mulai dibuka sejak jam 8.00 pagi tadi.

Sementara itu, Suara Keadilan online melaporkan, Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa berkata, sebanyak lima buah bas kilang didapati diparkir di luar IKBN Pertak sejak pukul 3 pagi tadi.

"Apabila kami sampai sebanyak 15 buah kereta keluar dari IKBN dan kesemua kereta mempunyai antara lima hingga enam orang.

"Kita tidak tahu sejak pukul berapa mereka melakukan operasi membawa pengundi hantu tetapi kami percaya ramai yang telah dibawa keluar," kata Fariz.

Fariz berkata pihaknya telah memaklumkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan tetapi sehingga kini tidak ada respons.

Saturday, April 24, 2010

Hulu Selangor: Kempen terakhir

HULU SELANGOR, 24 April — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pusingan terakhir kempen di sini hari ini mendakwa beliau telah menawarkan calon “jenama terbaik” untuk pengundi membuat pemilihan esok.

“Kita mempunyai produk jenama yang baik iaitu P. Kamalanathan (calon BN).

“Saya sudah tengok latar belakang beliau dan saya lihat beliau seorang yang bersih dari segala masalah selain berdedikasi,” kata beliau di hadapan kira-kira 300 penduduk pada program Sarapan 1 Malaysia di Padang Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang dekat sini.

Najib memulakan kempen hari terakhir seawal 9 pagi. Begitu juga Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kalumpang terletak di utara bahagian Hulu Selangor, berhampiran sempadan Plaza Tol Tanjong Malim.

Daerah mengundi Kampung Gumut menyediakan kira-kira 760 undi manakala daerah mengundi Bandar Kalumpang pula 1,200 undi dan Kampung Bahru Kalumpang sekitar 1,470 undi.

Kecuali Kampung Bahru Kalumpang dua daerah mengundi itu dimenangi oleh BN pada 2008.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, pilihan raya kecil ini penting untuk menentukan parti mana yang boleh membawa perubahan.

“Perubahan itu hanya boleh dilakukan oleh BN, bukan pembangkang.

“Kita telah selesaikan banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

“Boleh dikatakan kita telah menyelesaikan keseluruhan masalah yang dialami rakyat Hulu Selangor.

“Kita bukan hanya bercakap ataupun membuat janji-janji kosong tetapi kita telah membuktikannya.

“Jadi saya harap pengundi dapat membuat keputusan tepat dengan memilih calon BN dan memberikan kemenangan kepada kita,” katanya lagi.

Presiden Umno itu mengingatkan pengundi di Parlimen Hulu Selangor supaya tidak terpengaruh dengan isu dan fitnah yang dibangkitkan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya.

“Saya mahu beritahu kepada pengundi supaya tidak terpesong dengan segala isu dan fitnah yang dilemparkan pembangkang terhadap Barisan Nasional.

“Mereka (pembangkang) akan mengambil kesempatan untuk melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah kepada kita yang tiada kena-mengena langsung dengan pengundi disini.

“Apa kena-mengena isu APCO Worldwide dengan pengundi di sini?

“Apa yang dituduh selama ini tiada ada asas langsung,” katanya.

Selain majlis sarapan pagi itu, Najib juga melawat Kampung Assam Kumbang, Kuala Kubu Baru; Bandar Utama di Batang Kali sebelum hadiri ceramah bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Apartmen Kenanga, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung malam ini.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan peneroka-peneroka Felda bahawa setiap undi diberikan kepada Pakatan Rakyat ibarat langkah sokongan untuk membawa perubahan dan janji berbanding hanya retorik kosong BN.

“Masa depan Selangor terletak di tangan anda. Anda putuskan apa yang terbaik.

“Apabila Allahyarham Tun Razak memulakan Felda, niat adalah untuk membantu orang Melayu yang miskin dan janjinya adalah peneroka boleh merasai manfaat dan bebas daripada kemiskinan,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ini.

“Kira-kira 30-40 tahun kemudian, plot tanah pula hilang, tujuan asal telah dilupakan oleh BN,” kata Anwar kepada kira-kira 100 orang yang hadir, kebanyakannya penyokong Pakatan Rakyat.

Anwar juga cuba untuk mengetepikan kebimbangan di kalangan sesetengah orang bahawa jika Pakatan Rakyat berkuasa, ia akan mengadakan program dan dasar bertentangan dengan kepentingan agenda Melayu kerana pemimpin DAP digambarkan sebagai rasis, sebagaimana didakwa oleh pemimpin-pemimpin Umno.

“Kesemua tanggapan bahawa Pakatan Rakyat buruk, DAP bahaya.... tak munasabah.

“Lihat di Pulau Pinang, selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengetuai kerajaan negeri, ada peningkatan dalam dana pengajian Islam daripada RM12 juta kepada RM24 juta.

“Ini semua adalah fakta, bukan sesuatu yang saya sengaja reka,” kata Anwar, bekas timbalan perdana menteri.

Dalam usaha mengatasi serangan peribadi ke atas calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim berhubung isu mengambil alkohol, Anwar menceritakan suasana di Parlimen yang berlaku kelmarin.

“Anda tahu Lim Kit Siang? Beliau bangun di Dewan Rakyat dan meminta Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan (Ahli Parlimen) Rembau bangun dan mengatakan bahawa mereka tidak pernah minum arak dalam hidup mereka.

“Menteri Dalam Negeri, saya tidak boleh tengok muka dia lepas itu, ketika Kit Siang bercakap, kepalanya selalu berada bawa meja (ingat dia bersembuny),” kata Anwar sambil menerima tepukan daripada mereka yang hadir.

Oleh itu katanya, pengundi mesti memberikan undi mereka kepada Zaid.

“Meskipun anda ada bendera BN di luar rumah anda, saya faham tapi jangan undi mereka (BN) tetapi undi kepada Zaid, undi untuk Pakatan,” katanya.

“Biarkan Zaid jadi orang tengah untuk membawa masalah anda kepada Menteri Besar Selangor,” kata Anwar yang berada di kawasan Hulu Bernam pagi ini.

Selepas ucapannya, Anwar juga bersarapan pagi — nasi lemak — dengan mereka yang hadir.

Sebelum itu beliau melawat sebuah pasar di Tanjung Malim, Perak di mana kebanyakan penduduk Hulu Bernam membeli barangan keperluan harian mereka.

Jadual kempen Anwar hari ini termasuklah melawat Kampung Assam Kumbang dan Taman Rasa di Kuala Kubu Baru dan lewat petang ini menuju Taman Koskan.

Pengundian diadakan esok dalam pilihan raya kecil ini, yang pertama di Selangor sejak Mac 2008.

Pilih pemimpin yang berprinsip

24 APRIL — Pada 25 April 2010 ini, rakyat di Hulu Selangor akan turun mengundi bagi menentukan wakil rakyat baru mereka.

Sudah menjadi lumrah pilihanraya, rakyat diasak dengan propaganda dan janji-janji manis Barisan Nasional demi memastikan calon pilihan mereka meraih kemenangan.

Hakikatnya, kerajaan Barisan Nasional kini sedang berada dalam keadaan yang amat terdesak gara-gara pelbagai kemelut yang sedang melanda kepimpinan dan pemerintahan mereka.

Antaranya, skandal APCO yang menelan wang rakyat sebanyak hampir RM78 juta, penyambungan kontrak 10 tahun kepada syarikat tajaan kerajaan yang bermasalah seperti Pharmaniaga dan tanah-tanah di bawah YBK (Yayasan Basmi Kemiskinan) yang digadaikan dan dikaveat serta cukai tanah yang tidak dibayar, yang membuktikan kepincangan kerajaan Selangor di bawah BN terdahulu.

BN acapkali menuduh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengabaikan nasib anak bangsa kerana menafikan permohonan YBK untuk membina sebuah institusi pengajian tinggi di Serendah dan kini isu ini dimanipulasikan dalam pilihanraya kecil ini.

Ingin saya tegaskan Kerajaan Selangor amat mengalu-alukan usaha untuk memperjuangkan nasib anak bangsa terutamanya dalam aspek pendidikan. Namun begitu, kerajaan Selangor tidak akan meluluskan permohonan sebuah Yayasan yang mendakwa bahawa ianya memperjuangkan nasib orang miskin, tetapi pada masa yang sama, beroperasi secara tidak telus dan membenarkan tanah yang dimiliki digadai dan digunakan untuk tujuan komersil yang tiada kaitan dengan membasmi kemiskinan tanpa audit dan tindakan susulan yang berpatutan.

Kerajaan Selangor berhak memastikan kegiatan dan operasi YBK memenuhi tuntutan rakyat serta selaras dengan dasar Kerajaan Pakatan Rakyat yang mementingkan belanjawan negeri yang telus dan berhemah.

Kerajaan negeri Selangor sendiri telah memberikan tanah seluas 1,977.428 ekar kepada YBK untuk digunakan sejak tahun 1994 lagi, maka tiada sebab untuk YBK mempersoalkan teguran dan gesaan Kerajaan Selangor selama ini untuk menyiasat penyelewengan yang dilakukan oleh Yayasan tersebut.

Saya turut sedari awal membantah janji yang dibuat oleh Datin Rosmah Mansor untuk mendirikan Pusat Permata di Hulu Selangor sekiranya BN menang kerana ini satu lagi bentuk ugutan bagi menjadikan rakyat Hulu Selangor tebusan demi mencapai kemenangan di Hulu Selangor.

Saya seru rakyat Hulu Selangor menolak terus janji-janji Barisan Nasional agar memastikan kerusi di Hulu Selangor itu tidak disandang oleh calon parti yang korup dan tidak bermoral. Pilihlah calon yang berani menentang penindasan dan menegakkan keadilan yang dibawakan oleh Pakatan Rakyat.

Kemenangan Pakatan Rakyat di Hulu Selangor adalah penting ke arah menguatkan suara Pembangkang di Parlimen. Dengan suara Pembangkang yang semakin kuat di Parlimen, kita berharap agar lebih banyak kepincangan dan penyelewengan yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional dapat didedahkan.

Untuk kita dan seluruh rakyat Malaysia mengorak langkah membawa perubahan di peringkat nasional, perubahan harus dimulakan di Hulu Selangor! — harakahdaily.net

* Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Friday, April 23, 2010

Orang Mohd Taib boikot ?

Walaupun pengundian hanya berbaki kurang dari tiga hari, bibit-bibit perpecahan Umno-BN di Hulu Selangor kekal wujud.

Terbaru, penyokong tegar Muhammad Taib, calon yang sebelum ini disokong oleh akar umbi untuk dicalonkan secara terbuka memboikot jentera dan bilik-bilik gerakan sempena Pilihan raya Kecil ini.

Pengikut setia itu yang juga kenalan rapat erapakatan.com mendedahkan bahawa dari awal lagi mereka enggan turun berkempen untuk calon MIC itu kerana ia jelas menolak kata-kata Najib Razak sendiri.

Menurutnya, Najib sebelum penamaan calon menegaskan akan memilih calon berdasarkan denyut nadi rakyat, tetapi hasilnya calon pertengahan, P. Kamalanathan dipilih untuk mewakili BN, walaupun jelas ia langsung tidak dikenali oleh pengundi di kawasan itu.

“Sebenarnya ada lima calon yang dikemukakan di Putrajaya untuk dipilih oleh pucuk pimpinan BN, di mana empat daripadanya adalah Melayu dan seorang lagi dari MIC.

Tetapi mereka tetap memilih MIC walaupun jelas majoriti ahli Umno mahu calon kami diletakkan.

Antaranya ialah Tan Sri Mohd Taib,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, mereka mengambil keputusan untuk memboikot PRK ini yang hampir keseluruhan bilik gerakan didominasi oleh orang kuat bekas Menteri Besar Umno itu.

Dengan baki kempen kurang dari 36 jam, jentera BN dalam PRK kali ini nampaknya kian tertekan dengan perkembangan itu termasuklah terpaksa menjemput kedatangan Tun Dr. Mahathir yang sebelum ini berjanji enggan turut berkempen yang dipercayai ada kaitan dengan kalungan selipar terhadapnya oleh perwakilan MIC tahun lalu.



Pengundi Melayu Penentu Masa Depan Hulu Selangor

TEMPOH 48 jam terakhir sebelum berakhirnya kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor dilihat sebagai tempoh kritikal bagi kedua-dua parti yang bertanding, sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing sedang menggunakan pelbagai strategi yang ada untuk menyakinkan pengundi di sini agar memilih mereka sebagai wakil rakyat.

Datuk Zaid Ibrahim daripada PKR dikatakan sebagai calon heavyweigt dan hanya menentang calon underdog daripada BN, P. Kamalanathan.

Namun itu bukan persoalannya sekarang, kerana imej Zaid yang juga bekas menteri tercalar dek tuduhan peribadi seperti menjadi ‘kaki botol tegar’ dan memiliki kuda untuk berjudi.

Biarpun beliau mengakui pernah mengambil minuman keras sebelum ini, namun pengakuan tersebut ibarat satu pendedahan berani mati yang bakal memakan dirinya sendiri. Ini kerana ia dijangka memberi kesan kepada pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka lusa.

Bukan mahu memandang rendah keupayaan bekas ahli Parlimen Kota Baru ini namun itulah hakikatnya apabila perkara tersebut diakui sendiri oleh seorang pengundi yang ditemui di Bukit Sentosa baru-baru ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu, mengakui dia bukan ahli mana-mana parti politik, namun pendedahan Zaid tersebut membuatkan beliau berfikir dua kali untuk memilih calon yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen Hulu Selangor.

“Bagi saya soal prinsip tiada kompromi, mungkin orang lain boleh menerima kesalahan dia (Zaid) tapi saya mungkin sukar sedikit. “Tapi ini tidak bermakna saya tidak akan pilih Zaid pada hari mengundi nanti. Apa pun kita perlu lihat kepada perkembangan dua hari ini, mana tahu ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh Zaid,” katanya yang enggan dikenali.

Namun harus diingat sejarah lalu, Zaid bertindak meletakkan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada September 2008 kerana tidak berpuas hati dengan dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wartawan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Di mata rakyat beliau dilihat sebagai hero yang meletakkan hak asasi di hadapan berbanding kepentingan peribadi.

Bukan itu sahaja, Zaid yang juga anak kelahiran Kota Baru, Kelantan ini dilihat sebagai hero apabila beliau sanggup dipecat dari Umno selepas menghadiri beberapa majlis parti pembangkang sebelum dipecat pada 2 Disember 2008.

Beliau kemudiannya membuat satu lagi keputusan mengejut apabila menyertai PKR pada Jun 2009.

Namun harus diingat bukan itu sahaja ‘wow factor’ PKR kerana masih ada lagi faktor-faktor lain yang bakal menggugat keselesaan beliau untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini.

Hulu Selangor terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Hulu Bernam (Umno),Batang Kali (Umno) dan Kuala Kubu Baru (MCA).

Ketiga-tiga kawasan ini merupakan kerusi yang dimenangi oleh BN pada pilihan raya umum, Mac 2008 lalu.

Mengikut sejarahnya Hulu Selangor merupakan kubu kuat BN. Bagaimanapun, ia tercalar pada pilihan raya lepas apabila Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel tewas kepada Allahyarham Dr Zainal Abidin Ahmad dengan majoriti tipis 198 undi.

Ramai yang mengatakan ketewasan Palanivel di Hulu Selangor adalah kerana sabotaj ahli-ahli parti komponen BN dan pengundi yang tidak gemar dengan keperibadian pemipin MIC yang didakwa sombong dan tidak turun ke kawasan apabila rakyat memerlukan bantuan.

Namun kali ini pertaruhan MIC dan BN, Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC dilihat membuka ruang untuk BN merampas kembali kerusi tersebut daripada PKR. Kamalanathan dilihat mempunyai peluang untuk menang kerana beliau dilihat sebagai calon yang memiliki rekod yang bersih dan tidak pernah dikaitkan dengan rasuah mahupun isu peribadi yang lain.

Malahan pemimpin pembangkang seperti Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri ceramahnya sepanjang tempoh berkempen di Hulu Selangor mengakui mereka tidak ada isu menyerang Kamalanathan. Katanya, PKR bukan berhadapan dengan MIC sebaliknya Umno dan Barisan Nasional. Bukan itu sahaja, Kamalanathan yang juga anak kelahiran Rawang ini memiliki kemahiran berkomunikasi yang sangat fasih berbahasa Melayu.

Ia seiring dengan kerjayanya sebagai Pengurus Perhubungan Awam di sebuah syarikat swasta di negara ini.

Keramahannya berjumpa dengan pengundi dilihat mampu menarik minat pengundi untuk mengangkat beliau sebagai wakil rakyat mereka di Parlimen.

Apa jua faktor keperibadian pengundi dilihat tidak cukup untuk memastikan siapa yang bakal memenangi saingan kali ini.

Menurut Pensyarah Sejarah, Politik dan Strategi, Prof Madya Dr Ahamd Nidzammuddin Sulaiman faktor penentu dalam pilihan raya kecil kali ini ialah undi Melayu di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

“Ini kerana majoriti penduduk di Hulu Selangor ialah orang Melayu. Mana-mana parti yang mampu untuk mendapatkan undi kukuh daripada orang Melayu di Hulu Selangor, parti itu akan menang.

“Jika dilihat kepada pecahan pengundi mengikut kaum, orang Melayu adalah majoriti dengan lebih 50 peratus diikuti dengan orang Cina 26 peratus dan India 19 peratus,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Menurut Nidzammuddin, BN perlu mendapatkan undi orang Melayu untuk menang dalam pilihan raya kali ini kerana undi Cina dan India masih memihak kepada Pakatan Rakyat. “Undi Melayu adalah penentu pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, orang Cina dan India masih menyokong pembangkang.

“Namun harus diingat dalam majoriti orang Melayu itu terdapat pengundi atas pagar, mereka ini boleh memberi kesan kepada keputusan pada hari pengundian,” katanya.

Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.Daripada jumlah itu, 34,020 orang atau 52.7 peratus adalah pengundi Melayu, manakala pengundi Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus pengundi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga penganalisis politik berkata, kedatangan pemimpin-pemimpin besar daripada kedua-dua parti mampu memberikan kelebihan kepada PKR dan BN.

“Saya lihat pilihan raya kecil kali ini ibarat pilihan raya umum. BN dan PKR bekerja keras untuk menang di Hulu Selangor. BN menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai ‘giant killer’ kepada PKR.

“Namun PKR juga tidak mudah melatah dengan hampir setiap malam Anwar, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turun berkempen dan menyampaikan ceramah masing-masing,” katanya.

Jelasnya, bukan itu sahaja malah beliau difahamkan malam ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan turun berkempen sebagai peluru terakhir untuk mematahkan serangan BN dan membantu PKR mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Beliau berkata, PKR menurunkan Nik Aziz sebagai senjata untuk menjawab pertuduhan dan serangan peribadi yang dilemparkan ke atas Zaid Ibrahim.

“Saya lihat Nik Aziz mampu untuk mengembalikan kenyakinan pengundi terhadap calon yang diletakkan oleh PKR.

“Beliau (Nik Aziz) punya ‘wow factor’ yang tersendiri. Namun apa pun strategi yang dipasang oleh BN mahupun PKR masing-masing perlu melihat kepada mood pengundi pada 25 April ini,” katanya.

Pilihan raya kali ini dianggap sengit kerana ia bakal menentukan survival MIC dan PKR oleh itu satu undi sekali pun dianggap amat penting.

Kedua-dua parti yang bertanding dilihat mempunyai ruang untuk menang namun kelebihan masih berpihak kepada pembangkang.

Oleh itu BN perlu bekerja lebih keras lagi dalam tempoh dua hari terakhir menjelang ini bagi memastikan mereka merampas kembali kerusi tersebut daripada PKR.

Jika calon MIC menang ia bakal memberi tamparan hebat kepada PKR kerana gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor. Kemenangan MIC sekaligus memberikan keyakinan bahawa tsunami politk sudah berakhir dan rakyat sudah kembali menyokong kerajaan BN.

Apa pun perkiraan yang telah dibuat oleh kedua-dua parti, seramai 64, 500 pengundi di Parlimen Hulu Selangor mempunyai hak untuk memilih siapa wakil rakyat yang paling layak untuk mewakili mereka di Parlimen dan ia bakal diterjemahkan pada lusa.


Thursday, April 22, 2010

Hulu Selangor; BN makin goyang

KUALA KUBU BARU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mengeluarkan arahan melarang semua pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di negara ini terlibat dengan sebarang kempen pada pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat KPT tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang terlibat dalam kegiatan berkempen mengikut Akta Universiti dan Kolej Universtiti (AUKU) 1971 dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.




Berita PKR

Menjelang tiga hari sebelum proses pembuangan undi di Hulu Selangor dijalankan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus tercalar moralnya apabila semakin ramai ahli dan pemimpin meninggalkan parti itu.

Hari ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Ahmad dan Setiausahanya, Ezri Zainal Abidin masing-masing mengisyhtiharkan keluar parti serta merta dan menjadi ahli Umno.




PAS himpunkan 10,000 petugas bantu Zaid

HULU SELANGOR, 22 April — PAS telah mula menggerakkan seratus peratus jentera pilihan raya dengan tidak kurang 10,000 petugas mula membanjiri Hulu Selangor secara berperingkat bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat (PR) Datuk Zaid Ibrahim.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, parti telah mengarahkan jentera pilihan raya pihaknya “dimaksimumkan” bagi memastikan seluruh maklumat dapat disalurkan dengan tepat kepada kumpulan sasaran.

“Dua hari lalu, kita telah mengadakan mesyuarat jentera pilihan raya dan mengarahkan seluruh jentera PAS dari seluruh negara digerakkan semaksimum yang mungkin di sini.

“Ini bagi memastikan kekuatan jentera PR ditingkatkan dan kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Apa yang penting sekarang, saya telah perhatikan seluruh jentera PAS telah hadir dan ditempatkan di kesemua Unit Peti Undi yang ditugaskan pada mereka.

“Kita sebagai jentera sokongan yang penting kerana mempunyai ramai petugas dari seluruh negara dan kita akan pastikan kekuatan di setiap UPU dapat dimaksimumkan.

“Penting untuk PR memenangi pilihan raya kecil ini kerana untuk membuktikan bahawa suara kita akan dapat didengar di Parlimen dan juga kemenangan ini akan melonjakkan lagi dokongan rakyat kepada PR,” katanya lagi.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa pemimpin PAS tidak menghadirkan diri dalam setiap ceramah semasa kempen pilihanraya dijalankan.

“Ini tidak betul kerana sejak dari awal kita telah menurunkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga pemimpin tertinggi yang lain.

“Mungkin kerana Hulu Selangor ini besar seluas Melaka jadi kita terpaksa bertebaran setiap malam untuk berkempen.

“Saya sendiri baru pergi ke beberapa buah daerah mengundi sahaja kerana jemputan yang begitu ketat selain masa yang tidak mencukupi.

“Jadi tidak betul sebenarnya mengatakan kita tidak hadir kerana sejak dari hari pertama kita telah ada,” katanya.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan menyampaikan ceramah perdana malam esok.

Antara lain semalam jentera pilihan raya PAS mengadakan secara berkelompok di kawasan Sungai Buaya yang turut disertai Ketua Dewan Muslimat dan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Sehubungan itu kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, PAS akan memberikan komitmen seratus peratus dan dalam masa tiga hari sebelum hari pengundian semua maklumat akan disalurkan dengan tepat kepada pengundi.

“Kita akan melakukan pecutan terakhir dalam tempoh tiga hari ini dengan memastikan segala maklumat dapat disalurkan dengan tepat.

“Selain itu, kita juga akan memastikan bilangan jentera (PAS) mencukupi untuk membantu jentera Parti Keadilan Rakyat.

“Jadi komitmen daripada jentera kita amat penting bagi memastikan kemenangan calon PKR dan juga PR,” katanya ketika ditemui selepas berucap di Karnival Rakyat di Padang Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Batang Kali dekat sini malam tadi.

Salahuddin menambah, kempen secara serangan peribadi yang dilakukan Barisan Nasional (BN) terhadap calon PKR serta pemimpin PR adalah strategi lapuk yang sudah tidak lagi berguna untuk mempengaruhi minda pengundi.

“Pengalaman saya selama 30 tahun dalam politik ini, isu-isu yang terlalu peribadi ini sudah lagi tidak mendapat perhatian rakyat.

“Dalam beberapa siri pilihan raya kecil seperti di Kuala Terengganu, Bagan Pinang, Permatang Pasir dan Bukit Selambau, saya lihat isu-isu yang terlalu peribadi sudah tidak lagi mengusik dan menyentuh pengundi.

“Kempen secara peribadi ini rakyat sudah boleh faham, apa yang penting untuk mereka lihat adalah janji ataupun manifesto dan juga mahu melihat apa yang mereka boleh dapat daripada kerajaan,” tambahnya.

Umno tuduh PAS mirip parti Israel

KUALA LUMPUR, 22 April — Ahli-ahli Parlimen Umno mencetuskan kekecohan apabila mereka menuduh PAS mirip sebuah parti politik Israel yang pernah menganggotai kerajaan pakatan 11 tahun yang lalu.

Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan mencetuskan suasana tidak senang di kalangan wakil rakyat PAS apabila beliau mengatakan bahawa One Israel adalah mirip Pakatan Rakyat ketika perbahasan usul untuk merujuk Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Katanya, One Israel adalah pakatan ketika pilihan raya Israel pada 1999.

“One Israel terdiri daripada parti Buruh, parti Meimad dan yang terakhir Gesher yang berjuang untuk agama sama seperti PAS,” kata beliau menyebabkan ahli-ahli Parlimen terlibat dalam pertikaman lidah.

Ahli-ahli Parlimen PAS mendesak agar Abdul Rahman menarik balik kenyataan itu tetapi enggan berbuat demikian kerana kedua-dua parti menggunakan agama sebagai platform mereka.

Bagaimanapun Abdul Rahman akhirnya menarik balik kenyataan itu apabila kekecohan bertambah buruk.

Abdul Rahman juga menuduh pemimpin pembangkang menggunakan media asing untuk memburukkan imej negara.

Jelas beliau, tindakan beliau itu menyebabkan kerajaan terpaksa menggunakan firma seperti APCO untuk memperbaiki hubungan Malaysia dengan masyarakat antarabangsa.

“Mengapa tidak rakan-rakan saya dalam pembangkang faham perkara ini? Saya tahu wang sebanyak RM77 juta adalah satu jumlah besar tetapi harga ini yang kita perlu bayar untuk memperbaiki imej negara,” katanya lagi.

Kata wakil rakyat itu, RM77 juta itu cuma 0.03 peratus daripada bajet tahunan negara.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempersoalkan mengapa APCO masih menjadi isu apabila firma berkenaan sudah membuat penjelasan bahawa khidmatnya hanya diperoleh pada Julai 2009 sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mula menggerakkan konsep 1Malaysia sejak 16 Sept 2008.

Anwar Tidak Gentar Jika Digantung Parlimen.

HULU SELANGOR: Ketua Pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak gusar berhadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pagi ini, yang memungkinkan beliau digantung daripada Dewan Rakyat berhubung dakwaanya yang mengaitkan "1 Malaysia One Israel".

Menurut beliau tindakan zalim ini, hanya desakan agar beliau menyerah kalah daripada membongkarkan segala hubung kait kerajaan dengan Yahudi-Zionis tersebut.

"Esok bawa usul ke atas saya untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Mungkin nak masuk gantung saya tidak heran…gantung sudah, tangkap sudah, telanjang pun sudah,"

"Mereka lakukan ini hanya nak aibkan dan malukan saya agar mengalah dengan mereka," katanya kepada kira-kira 1,000 hadirin yang hadir dalam ceramah di Batang Kali malam tadi.

Lapan orang ahli parlimen masing-masing empat dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat (PR) akan membahaskan usul tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz akan membentangkan usul dan disokong oleh ahli parlimen Rambau Khairy Jamaluddin.

Manakala wakil PR dijangka Azmin (PKR-Gombak), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-MArang) atau Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

BN akan membentangkan usul ekoran dakwaan Anwar yang mendakwa "1 Malaysia" yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ditiru daripada konsep "One Israel".

Malah Anwar turut mendakwa perkhidmatan perunding APCO Worldwide, yang digunakan Najib untuk "komunikasi strategik" disebalik konsep "1 Malaysia One Isreal".

Ia dibawa mengikut perintah tetap 36(12) kerana didakwa mengelirukan parlimen. Anwar boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen jika didapati bersalah.

Wednesday, April 21, 2010

Permohonan Zahid Hamidi batal saman usahawan ditolak

SHAH ALAM, 21 April — Mahkamah Tinggi di sini menolak dengan kos permohonan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membatalkan saman malu yang difailkan oleh seorang usahawan terhadap beliau, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu di dalam kamarnya hari ini.

Mahkamah juga memberi tempoh selama sebulan kepada Ahmad Zahid untuk memfailkan pernyataan pembelaannya berhubung saman itu.

Pada 4 Julai 2007, Amir Bazli Abdullah, 39, selaku plaintif memfailkan saman malu itu terhadap Ahmad Zahid selaku defendan. Dalam saman itu, Amir Bazli mendakwa Ahmad Zahid menumbuk muka beliau dalam satu kejadian pada 16 Jan 2006 dan menuntut sejumlah ganti rugi yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Pada 29 Ogos 2007, Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk membatalkan saman malu itu dengan alasan ianya mengaibkan dan remeh-temeh. Amir Bazli dalam pernyataan pembelaannya pula mendakwa permohonan Menteri itu untuk membatalkan saman malu tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan tidak berasas. Beliau diwakili peguam Karpal Singh dan Sangeet Kaur Deo sementara Ahmad Zahid diwakili peguam Shashi Menon dan Shamsul Bahrain Ibrahim. — Bernama



Pindah pengundi: PKR mahu panel SPR letak jawatan

KUALA LUMPUR, 20 April — Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh menggesa panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar meletakkan jawatan ekoran isu pemindahan lokasi mengundi membabitkan lebih 13,000 pengundi di Hulu Selangor.

PKR mendakwa SPR mengubah pusat pengundian yang dikhuatiri akan menjejaskan 13,488 pengundi di bahagian Hulu Selangor yang dimenangi calon PKR dengan majoriti tipis dua tahun lalu.

PKR percaya tindakan mengubah tempat mengundi bertujuan mencetuskan suasana kelam-kabut pada hari pengundian 25 April ini.

Ahli Parlimen Kuantan ini berkata tindakan SPR itu sebagai “tidak bijak dan tidak bertanggungjawab” kerana menyebabkan kekeliruan.

“Setakat ini SPR memberikan kenyataan mengelirukan. Pengerusi memberitahu bahawa ‘kami perlu mengubah demi keselesaan pengundi’ manakala timbalan pengerusi pula berkata dakwaan saya tidak masuk akal,” katanya.

“SPR perlu bertanggungjawab. Bagaimana SPR akan memaklumkan kepada pengundi? Sehingga kini, mereka hanya menyiarkan di laman web.

“Atau mereka menghantar surat kepada pengundi sebab SPR tidak melakukan apa-apa. Malah mereka menafikan perkara ini berlaku,” kata Fuziah kepada pemberita di lobi Parlimen.

Hari ini Fuziah membawa salinan daftar pemilih dari daftar pemilih 2008 dan 2010 dan menunjukkan bahawa pusat pengundian yang diubah ini melibatkan lebih 13,000 pengundi.

Sambil menyifatkan perubahan pusat mengundi melibatkan lebih 13,000 pengundi didakwa PKR sebagai tidak masuk akal, SPR menafikan pihaknya sengaja memindahkan lokasi pengundian pengundi-pengundi berkenaan.

“Tidak mungkin berlaku. Kalau berlaku pun angka 13,000 adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad mempertahankan bahawa jika pun perubahan itu berlaku ia semestinya melibatkan proses permohonan oleh pengundi-pengundi terbabit.

“SPR ataupun pegawai suruhanjaya dengan sengaja tidak boleh mengubah tempat mengundi seseorang pengundi. Ia mesti berdasarkan permohonan daripada pengundi sendiri, di mana pengundi sendiri kena muncul (hadir di kaunter) untuk membuat permohonan perubahan tempat mengundi,” kata beliau lagi.

“Seratus peratus SPR tidak terlibat, pegawai SPR pun tidak boleh sesuka hati memindahkan seseorang,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta PKR membuktikan dakwaan bahawa lebih 13,000 pengundi telah ditukarkan tempat mengundi sepanjang dua tahun lalu.

PKR mendakwa pemindahan melibatkan ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor.

Di DUN Hulu Bernam, ia melibatkan pengundi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Bernama ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Hulu Bernam (35 pengundi), dari Sungai Selisik ke SK Gesir Tengah (331), dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalumpang ke SRA Kalumpang (235) dan SRA Hulu Bernam ke SK Hulu Bernam (Ladang Ascot) melibatkan 1,085 pengundi.

Dalam DUN Kuala Kubu Baru pula, pemindahan melibatkan dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Kuala Kubu Baru ke SMK Dato’ Haji Kamaruddin (2,824) dan SRA Kuala Kubu Baru ke SMK Kuala Kubu Baru Jalan Kolam Air (1,801).

Di DUN Batang Kali pula, dari SK Serendah ke SRJK Cina Serendah (751), SRJK Cina Serendah ke SRA Serendah (1,898), SRJK Cina Serendah ke SK Serendah (906) dan SMK Syed Mashor ke SK Bandar Baru Batang Kali (2,270).

Selain itu, pusat mengundi baru di SRA Taman Bunga Rakyat melibatkan pemindahan dari daerah mengundi Bukit Beruntung ke SRA Taman Bunga Raya (5,501), Taman Bunga Raya ke SRA Taman Bunga Raya (302) dan kawasan sekitar melibatskan 498 pengundi.

Kawasan pilihan raya Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

PKR menggesa SPR memastikan proses pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Ahad ini berjalan lancar berikutan pemindahan pusat pengundian lebih 14,000 pemilih di kawasan itu oleh SPR.

Fuziah berkata tindakan SPR memindahkan pengundi terbabit ke pusat pengundian yang baru berbanding ketika pilihan raya umum 2008 tanpa memaklumkan kepada pengundi, boleh menimbulkan kekecohan pada hari pengundian.

“Kita mendapat tahu perkara ini (pertukaran pusat pengundian) selepas menerima senarai daftar pemilih pada 8 April lepas dan jumlah ini adalah besar.

“Jika tidak dimaklumkan kepada pengundi dalam tempoh terdekat kita yakin banyak masalah akan timbul (pada hari pengundian),” katanya.

Dr Halili Rahmat lompat kerana tidak dipilih sebagai calon

HULU SELANGOR, 21 April — Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mempertahankan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon kerusi Hulu Selangor ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) merasai kehilangan Dr Halili Rahmat, kelmarin.

Halili, bekas bendahari PKR Hulu Selangor dan nama yang termasuk senarai tiga terakhir untuk dipertimbang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Hulu Selangor sekarang ini, keluar PKR untuk menyertai Umno.

Pada malam hari keluar PKR, Halili berucap di majlis ceramah Umno di Sungai Buaya di sini.

“Saya diberitahu kami telah membuat pemilihan calon yang betul... kami pilih calon yang betul untuk bertanding,” kata Anwar ketika berucap di Bukit Sentosa di sini malam tadi.

“Jika kita memilih dia (Dr Halili), anda boleh bayangkan dia boleh isytiharkan yang dia sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan parti ketika sedang berkempen,” kata beliau di hadapan lebih 3,000 orang malam tadi.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berucap di pentas malam tadi.

Anwar yang juga penasihat PKR berkata demikian sehari selepas Halili keluar parti itu atas alasan ia sudah lari daripada perjuangan asal.

PKR memilih anggota Majlis Pimpinan Pusatnya, Datuk Zaid Ibrahim yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk membawa cabaran Pakatan Rakyat.

Beliau kini berhadapan dengan persaingan satu lawan satu membabitkan calon Barisan Nasional P. Kamalanathan.

Setakat ini, PKR sudah kehilangan empat Ahli Parlimen termasuk seorang yang dipecat. Sejak Februari lalu mereka yang keluar PKR ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Bagan Serai dan Nibong Tebal.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin pula telah dipecat bulan lalu, dan turut menjadi wakil rakyat Bebas.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu juga berkata, partinya tidak akan terjejas dengan keputusan dua pemimpin Wanita PKR Perak semalam.

Ketua pilihan raya PKR Perak Soraya Sulaiman dan timbalannya Roshanita Mohd Basir meninggalkan parti itu untuk menyertai Umno.

Suami Roshanita, Saghazali Abd Kadir juga mengumumkan dia akan meninggalkan PKR untuk menyertai Umno.

Dua hari lalu beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan, sayap pemuda PKR Shah Alam juga keluar parti.

“Ini bukan kali pertama. Saya sentiasa bertanya siapa mereka? Kadangkala anda mendengar pemimpin Pemuda keluar, beberapa pemimpin Wanita keluar.

“Kesemua mereka dilayan seperti pemimpin-pemimpin kebangsaan,” kata Anwar.

“Kita cuma ada 4,000 ahli di sini tetapi kita dengar 8,000 telah keluar,” katanya dalam nada menyindir kenyataan pihak lawan beliau.

Sehari sebelum hari penamaan calon, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang Tan Wei Shu telah berhenti dari PKR untuk bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Tan telah digugurkan sebagai Exco kerajaan negeri Kedah bulan lalu.

Sejak pilihan raya umum 2008, PKR telah kehilangan enam Adun.

Anwar juga berkata barisan kepimpinan PKR sememangnya sudah menyedari rancangan Halili untuk keluar parti.

Dalam pada itu Anwar ketika ditemui wartawan selepas itu berkata, beliau tidak tahu sama ada Halili dibayar untuk keluar parti.

“Dr. Halili, bukan kita menentang Dr. Halili tapi (kami) pilih calon yang tegas, calon yang berprinsip... itu yang ada pada Datuk Zaid Ibrahim,” katanya.

“Datuk Zaid seorang yang tegas dan tidak goyang,” katanya.

Berapa ramai dalam Umno bersih?

KOTA BARU, 20 April — Dalam kalut peribadi calon Pakatan Rakyat kerusi Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim diserang sebagai “kaki botol tegar”, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membidas pemimpin Umno-BN sebagai cetek dengan permasalahan hukum.

“Masih cetek, malah masih terlalu jauh untuk mereka bercakap tentang hukum,” kata beliau semasa dihubungi.

Mohd Amar merujuk dakwaan sesetengah pihak mengatakan tidak wajar diberi undi kepada seseorang kaki botol seperti Zaid dengan mempersoalkan “kalau tak boleh undi Zaid kerana itu, bagaimana pula hakikatnya memberi undi kepada bukan Islam?”

“Ini... maksud saya kalau hendak bercakap pasal hukum.

“Dari sudut yang lain pula, kita hendak tanya berapa ramai dalam Umno itu sendiri yang bersih?” soalnya.

Mohd Amar bertegas, persepsi negatif terhadap Zaid tidak wajar diungkit memandangkan ia cerita lama dengan berkata “kalau betullah Zaid seorang kaki minum, tetapi dia sudah bertaubat, sedar dan insaf, dan tidak terlibat lagi dengan maksiat itu.

“Dari segi hukumnya ia tidak boleh dibangkitkan,” katanya.

“Pada zaman sahabat sebelum Islam dulu... berapa ramai perangai mereka yang lebih dahsyat dari itu, tapi bila sedar dan insaf, mereka masuk Islam, pada masa itu mereka boleh menjadi seorang pejuang yang baik,” jelasnya.

Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri diserang pesaingnya dari BN dengan isu peribadi kononnya sebagai seorang kaki botol tegar sejurus diumum sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.



Obama: Ikatan hubungan Amerika-Israel tidak boleh putus

WASHINGTON: Presiden Barack Obama, pada hari ulang tahun ke-62 Israel, semalam berkata Amerika Syarikat berkongsi satu 'ikatan perhubungan yang tidak boleh putus' dengan negara Yahudi itu dan beliau yakin perhubungan tersebut 'akan semakin kukuh' pada masa depan.

Meskipun terdapat ketegangan antara pentadbiran beliau dengan pemerintah Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pemimpin Amerika itu menekankan bahawa beliau 'amat berharap dapat meneruskan usaha-usaha kami dengan Israel bagi mencapai kedamaian dan keselamatan menyeluruh di rantau itu, termasuk satu penghuraian (diwujudkan) dua negara'.

Pada hari ulang tahun itu, Encik Obama, dalam satu kenyataannya yang dikeluarkan Rumah Putih, berkata bahawa 'kami sekali lagi memberi penghormatan kepada pencapaian luar biasa rakyat Israel, dan persabahatan mereka yang mendalam dan setia kepada rakyat Amerika'.

Kelmarin, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, berkata Amerika 'tidak akan teragak-agak untuk melindungi keselamatan Israel dan memajukan masa depan Israel', sambil menekankan bahawa negara Yahudi itu kini sedang 'menghadapi beberapa cabaran terbesar dalam sejarahnya'.

Namun, kata beliau, negara tersebut masih mempunyai potensi besar untuk lebih maju.

Cik Clinton juga menekankan bahawa pada 1948, Presiden Harry Truman mengambil masa 11 minit untuk mengiktiraf sebuah negara Israel.

'Dan sejak itu Amerika telah berdiri bersama anda dalam perpaduan,' katanya.

Bagaimanapun, hubungan antara kedua-dua negara sekutu itu terjejas sedikit tahun ini.

Semasa satu lawatan Naib Presiden Amerika, Encik Joe Biden, ke negara Yahudi itu bulan lalu, para pegawai Israel mengumumkan rancangan untuk membina 1,600 rumah orang Yahudi di kawasan petempatannya di timur Baitul Makdis.

Cik Clinton kemudian menyifatkan langkah Israel itu sebagai 'menghina'.

Hanya beberapa hari lalu Cik Clinton menggesa Encik Netanyahu agar membuktikan komitmen beliau dalam mewujudkan sebuah negara Palestin, sambil memberi amaran bahawa konflik berpanjangan antara negara Yahudi itu dengan Palestin akan hanya mengukuhkan para pelampau. -- AFP.





Notis usul menghina mahkamah

Encik Teoh Meng Kee, abang mendiang Teoh Beng Hock memfailkan notis usul untuk memenjarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kerana kenyataannya yang mendakwa pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, 'pembohong'.

Sebelum ini, Dr Pornthip berkata bahawa beliau terpaksa menarik diri daripada menghadiri perbicaraan inkues kematian mendiang Teoh Beng Hock kerana mendakwa terdapat gangguan politik daripada kerajaan Malaysia.



Mengaku pimpin gereja 'berdosa'

BANDAR VATICAN: Pope Benedict XVI kelmarin mengaku kepada paderi sedunia bahawa beliau memimpin gereja yang telah 'terluka dan berdosa'.

Beliau berkata demikian kepada 50 paderi yang berhimpun di sini bagi meraikan ulang tahun kelimanya menerajui gereja Roman Katolik itu.

Ahad lalu, Pope Benedict bertemu dengan para mangsa penderaan seksual para paderi di Malta sambil meminta maaf atas skandal yang turut berlaku di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat. -- AFP.




Pelindung Noordin Top dijel

JAKARTA: Mahkamah semalam menjatuhi hukuman penjara lapan tahun ke atas seorang lelaki atas tuduhan memberi perlindungan kepada Noordin Mohammed Top, sebelum ketua pengganas itu dibunuh polis pada September lalu.

Syaifudin Zuhri, 39 tahun, memberikan perlindungan kepada Noordin yang terlibat dalam pengeboman kembar di hotel mewah di Jakarta pada Julai lalu, menyebabkan tujuh orang terbunuh.

Syaifudin ditangkap di Jawa Tengah sebulan sebelum pengeboman itu. -- AFP.




Perth dilanda gempa bumi

PERTH: Gempa bumi dengan kekuatan 5.0 pada skala Richter berlaku di wilayah lombong emas utama Australia di barat negara itu semalam. Ia menyebabkan bumbung beberapa bangunan ranap. Pemindahan penduduk di kawasan lombong, sekolah dan hospital dilakukan segera.

Namun, tiada laporan kecederaan diterima setakat ini.

Gempa bumi itu berlaku pada 8.17 pagi semalam (waktu tempatan) sekitar enam kilometer di barat daya bandar Kalgoorlie-Boulder. -- AP.




Tuesday, April 20, 2010

Dari Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor

Tarikh: 20 April 2010 (Selasa)

Masa: 2.00 Petang - 6.00 Petang
Tempat: Di Laman 9, PKNS Bernam Jaya, Hulu Selangor
KIT MEDIA
20 APRIL 2010


MAJLIS PELANCARAN LADANG PISANG DOLE SEBIRO
MAKLUMAN MEDIA




YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Penasihat Ekonomi Negeri Selangor akan membuat lawatan kerja ke Ladang Pisang Dole Sebiro bersama YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor; YB Azmin Ali, Pengerusi EXCO PKNS; YB Tuan Yaakob Sapari, EXCO Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan; YB Dr Xavier Jayakumar, EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor pada 20 April 2010, pukul 3.00 petang bertempat di Laman 9, PKNS Bernam Jaya, Hulu Selangor.

Majlis dianjurkan untuk melancarkan dan meraikan hasil tuaian pertama Ladang Pisang Dole Sebiro yang merupakan ladang pisang terbesar di Malaysia. Majlis akan menghimpunkan pekerja-pekerja Ladang Dole serta rakyat tempatan yang dijangkakan seramai 2,000 orang akan hadir.

Dole Inc merupakan syarikat pengeluar pisang dan buah-buahan terbesar di dunia yang menguasai saluran pasaran dan teknologi pertanian dunia. Dole Sebiro merupakan satu-satunya wakil pengeluar yang dilantik Dole Inc di Malaysia melalui hasil kerjasama dengan syarikat tempatan. Sehingga kini, syarikat memiliki ladang seluas 500 hektar di Hulu Selangor yang telah mengambil seramai 200 orang pekerja yang kebanyakkannya terdiri daripada kalangan rakyat tempatan.

Kerajaan Negeri sedang dalam proses rundingan dengan syarikat untuk meluaskan perusahaan ladang tersebut kepada 1,000 hektar yang seterusnya akan membuka peluang pekerjaan yang lebih luas.

Menjelang Jun 2010, dijangkakan Ladang Dole di Hulu Selangor mampu mengeluarkan hasil sebanyak 20,000 kotak pisang dalam tempoh seminggu. Hasil tersebut bukan sahaja akan dibekalkan ke pasaraya di sekitar Lembah Klang, malah produk tempatan ini akan dieksport secara meluas ke Indonesia, Singapura, Hong Kong dan negara-negara Asia Tengah. Ini sekaligus akan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar utama pisang dalam jangka masa panjang.

Usahasama Ladang Dole Sebiro dan PKNS adalah salah satu langkah proaktif oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan nilai pulangan dari tanah-tanah milik Kerajaan Negeri. Melalui usahasama ini, Dole Sebiro diberikan pajakan pendek bersyarat agar tanah dapat diusahakan dan membawa pulangan dengan membayar pajakan kepada PKNS. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri membantu mewujudkan kegiatan ekonomi di kawasan pendalaman dan peluang-peluang pekerjaan baru untuk masyarakat setempat yang kian terpinggir. Kerjasama dengan Dole Inc juga menandakan usaha serius Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan aplikasi pertanian moden untuk menembusi pasaran dunia.

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor turut mengambil inisiatif untuk duduk berbincang dengan Dole Inc bagi mengenal pasti kerjasama yang dapat diambil terutamanya melalui perkongsian bijak dengan Kerajaan Negeri. Aspek-aspek tumpuan yang akan ditekankan adalah teknologi pertanian moden, strategi pemasaran, latihan atau peningkatan keupayaan dan lain-lain aspek penting.




PEJABAT PENASIHAT EKONOMI NEGERI SELANGOR



SPRM Jamin Balasubramaniam Tidak Ditahan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan tidak akan menahan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam tetapi hanya mahu mengambil keterangan daripadanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull berkata Balasubramaniam hanya sebagai saksi dan keterangannya membolehkan siasatan terhadap kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, diselesaikan segera

Katanya pihaknya bersedia merakam percakapan Balasubramaniam bukan sahaja di pejabat kedutaan Malaysia di luar negara malah di mana-mana tempat yang dirasakan sesuai oleh penyiasat itu.

"Jika dia minta peguamnya menemaninya semasa sesi keterangan diambil, kita tetap akan membenarkannya," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Tahunan Kerjasama antara SPRM dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata semua kenyataan saksi lain telah diambil dan jika tempoh merekodkan keterangan Balasubramaniam terlalu lama maka pihaknya akan menyerahkan kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat keputusan.

Pada 3 Julai 2008, Balasubramaniam mengumumkan akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan Altantuya tetapi keesokannya menarik balik kenyataan akuan sumpah awalnya itu melalui akuan sumpah kedua sebelum bertindak menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarganya.

Sehingga kini, siasatan SPRM terhadap penyiasat persendirian itu menjadi sukar kerana lokasi di mana beliau berada masih tidak diketahui.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim bin Mohamed berkata kerjasama dua hala antara SPRM dan MBR telah menunjukkan impak positif dalam menangani gejala rasuah yang melibatkan dua negara itu.

Beliau berkata usaha kerjasama itu telah terbukti ekoran penahanan sindiket penyeludupan bahan api di Brunei, Mac tahun lepas.

"Hasil operasi bersama, kita telah menahan 33 orang yang terlibat dalam penyeludupan bahan api yang mana sindiket ini telah aktif sejak 10 tahun lalu," katanya.

Terdahulu itu, Abu Kassim mempengerusikan mesyuarat kali keenam itu yang antara lain membincangkan fungsi, mekanisme dan kerjasama dua hala bagi membanteras kegiatan rasuah di Malaysia dan Brunei.

Turut hadir ialah Timbalan BMR Abdul Raub Mohd Yassin. - BERNAMA


Monday, April 19, 2010

Keadaan semakin runcing di Bangkok

BANGKOK: Suasana di ibu kota Thailand ini semakin meruncing.

Semalam, kumpulan 'Baju Kuning' yang disokong golongan elit Thailand pula berikrar akan mengambil tindakan jika kerajaan gagal menangani bantahan 'Baju Merah' yang antikerajaan.

Awal dari itu, pihak tentera Thai memberi amaran akan bertindak bagi 'menghukum' pembantah antikerajaan itu jika mereka terus berarak ke kawasan perniagaan pusat Bangkok.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku pertempuran antara dua kumpulan pesaing dan tindakan keras oleh tentera.

Kumpulan 'Baju Merah', yang menyokong mantan perdana menteri Thaksin Shinawatra, telah menduduki kawasan komersial Bangkok lebih sebulan, sehingga menyebabkan pertempuran dengan tentera hujung minggu lalu, mengakibatkan 25 orang mati.

Kumpulan 'Baju Kuning' pula, yang berdiam diri sejak pembantah 'Baju Merah' memulakan perhimpunan besar-besaran pertengahan bulan lalu dan menuntut pilihan raya baru diadakan segera, mengadakan satu mesyuarat di kalangan 3,000 hingga 5,000 penyokongnya semalam untuk membincangkan tindak balas terhadap krisis tersebut.

'Dalam masa tujuh hari, kami berharap kerajaan dapat menangani pengganas daripada Thaksin dengan segera. Jika tidak, kami akan menunjukkan suara kami bagi melindungi negara ini dan keluarga diraja,' kata Encik Parnthep Pourpongpan, jurucakap kumpulan itu, yang rasmi dikenali sebagai Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD).

'PAD akan menjalankan tugas kami menurut perlembagaan bagi mengekalkan negara ini dan pemerintahan berajanya,' kata beliau selepas mesyuarat itu.

Kumpulan 'Baju Kuning' pernah menjalankan bantahan besar-besaran pada 2008 hingga melumpuhkan operasi di dua lapangan terbang utama Bangkok. Ia berakhir selepas satu keputusan kontroversi mahkamah bagi menggulingkan kerajaan pimpinan sekutu Encik Thaksin, iaitu daripada membenarkan pilihan raya parlimen diadakan hingga menghasilkan kerajaan Thai sekarang.

Sementara itu, tentera Thai berikrar akan bertindak ke atas pembantah antikerajaan jika mereka meneruskan rancangan memasuki kawasan perniagaan utama Bangkok.

'Kami tidak akan membiarkan mereka ke mana-mana lagi,' kata jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kaewkamnerd, tanpa menggunakan istilah 'tindakan keras'.

'Boleh dikatakan bahawa kita tidak mempunyai lagi sebarang pilihan kecuali melaksana undang-undang,' katanya kepada stesen televisyen TNN.

'Mereka yang membuat salah akan menerima hukumannya. Mengambil semula kawasan itu bersama langkah-langkah lain semuanya termasuk dalam melaksana undang-undang. Semua ini harus dilakukan,' ujarnya.

Beliau berkata angkatan keselamatan bersenjata akan dikerah untuk mengawal bangunan-bangunan tinggi di keliling kawasan bantahan bagi mencegah 'tangan ketiga', yang disifatkan kerajaan Thai sebagai pengganas, melancarkan serangan.

'Baju Merah' pula berkata mereka akan bertindak balas. -- AFP, Reuters.



Sekilas Dunia

Mula tahap akhir perjalanan epik

WELLINGTON: Pengembara Britain, Roz Savage, akan bertolak hari ini dari sebuah negara pulau terpencil, Kiribati, bagi tahap akhir perjalanan epik beliau untuk menjadi wanita pertama berupaya mengayuh menyeberangi Lautan Pasifik.

Savage, 42 tahun, menulis dalam laman blognya semalam bahawa hanya hujan lebat yang boleh menjejas jadualnya berlepas ke Cairns, di pantai timur Australia, itu. -- AFP.

Buka lawatan ke tapak purba Iraq

NASIRIYAH (Iraq): Para pelancong asing tidak lama lagi akan dapat berkunjung ke sekitaran Mesopotamia sekali lagi selepas satu syarikat Perancis semalam menawarkan lawatan ke tapak-tapak purba di selatan Iraq, yang dibinasakan oleh perang.

'Kami menganjurkan lawatan pada 6-14 Jun ini ke wilayah Nasiriyah dan kami akan melakukannya secara tetap, setiap tiga minggu mulai September ini,' kata Encik Hubert Debbash, pemilik Terre Entiere, sebuah firma pengendali lawatan budaya dan agama. -- AFP.

Kawalan lebih ketat bagi IPL

NEW DELHI: Pihak penganjur Liga Perdana India (IPL) berikrar mengetatkan kawalan keselamatannya bagi tempoh baki pertandingan selepas dua bom meletup di stadium kriket di Bangalore yang mencederakan 14 orang dan menimbulkan panik di kalangan penonton sebelum perlawanan bermula.

Bagaimanapun, dua lagi letupan berlaku dekat stadium itu semalam dan pihak IPL telah mengeluarkan kenyataan bahawa dua perlawanan separuh akhirnya yang dijadualkan di Bangalore lusa dan Khamis ini akan dipindahkan ke Mumbai, yang akan turut menjadi hos kepada perlawanan akhirnya Ahad ini. -- AP.



Saturday, April 17, 2010

AP rancang saman Mufti Perak

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Encik Khalid Abdul Samad, akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, kerana mendakwanya tidak beriman seperti yang disiarkan akhbar tabloid Selangor Kita bulan lalu.

Beliau berkata, berikutan laporan dan kenyataan Dr Harussani yang tidak berasas itu, ia telah memberi kesan dari segi persepsi masyarakat ke atas dirinya dan keluarga.

'Saya memberi tempoh seminggu kepada Harussani untuk menarik balik kenyataan yang dibuatnya dalam akhbar tabloid Selangor Kita, edisi Mac 2010.

'Jika beliau tidak menarik balik kenyataan yang mendakwa saya tidak beriman itu, saya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau,' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, kelmarin.

Menurut Encik Khalid, kenyataan itu tidak wajar dikeluarkan oleh seorang mufti kerana ia dibuat tanpa mendapatkan penjelasannya terlebih dahulu.

'Harussani tidak mendapatkan penjelasan daripada saya berhubung kenyataan saya sebelum ini mengenai isu enakmen undang-undang Islam Negeri Selangor.

'Beliau seolah-olah membuat fatwa berdasarkan laporan akhbar dan khabar angin. Apa yang saya katakan ialah kaedah yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor adalah satu peraturan, ia bukan ditetapkan Al-Quran, sebab itu saya cakap ia boleh ditegur dan dipinda,' katanya. -- Utusan Malaysia.