Pages

Wednesday, March 31, 2010

Sembilan militia Kristian di AS didakwa rancang pemberontakan

DETROIT: Sembilan anggota sebuah kumpulan militia Kristian didakwa dengan pertuduhan merancang komplot membunuh polis di Michigan dan memberontak terhadap pemerintah, kata pendakwa federal kelmarin.

Menurut pendakwaan yang di dedahkan di Mahkamah Daerah Michigan Timur, lapan lelaki dan seorang wanita, yang menjadi anggota kumpulan militia Hutaree, merancang membunuh seorang pegawai polis di Michigan, kemudian menyerang hendap pegawai penguatkuasa yang menghadiri upacara pengebumiannya dengan menggunakan bom buatan sendiri.

Menurut pendakwaan itu, kumpulan Hutaree yang bermaksud 'perwira Kristian' percaya serangan itu akan menjadi mangkin bagi satu pemberontakan besar-besaran terhadap pemerintah.

Ejen Biro Siasatan Federal (FBI) bertindak segera ke atas militia Hutaree pada hujung minggu lalu kerana mereka bercadang melancarkan satu serangan April ini, kata para pegawai pendakwa.

Pihak berkuasa merampas senjata api tetapi enggan menyatakan sama ada bahan letupan turut dijumpai.

Tujuh lelaki dan seorang wanita diberkas hujung minggu lalu di Michigan, Indiana dan Ohio, manakala suspek kesembilan ditahan di selatan Michigan Isnin lalu.

Anggota Hutaree itu menghadapi pertuduhan menghasut, percubaan menggunakan senjata pemusnah, mengajar cara menggunakan bahan letupan dan memiliki senjata api.

Mereka yang didakwa termasuk ketua militia, David Brian Stone, 45 tahun; yang dikenali sebagai 'Kapten Hutaree' dan 'Joe Stone'; isterinya, Tina Stone, 44 tahun; anak lelakinya, Joshua Matthew Stone, 21 tahun, dan David Brian Stone Jr, 19 tahun; Joshua Clough, 28 tahun; Michael Meeks, 40 tahun; Thomas Piatek, 46 tahun; Kristopher Sickles, 27 tahun; dan Jacob Ward, 33 tahun.

Mereka semua boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Satu sidang penahanan dan pendakwaan akan diadakan hari ini (Rabu).

Satu video yang disiarkan pada laman web kumpulan itu menunjukkan sekumpulan orang dengan kelengkapan tentera membakar bendera Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan menggantikannya dengan bendera Hutaree.

Kumpulan itu memberi amaran tentang kedatangan Anti-Christ (Dajjal) dan The Beast (Dabbah) dan menukil ayat dari Bible yang berkata 'Jesus mahu kami bersiap untuk mempertahankan diri.' - Agensi.





Pisau bedah tertinggal dalam tubuh

Sekilas Dunia

Mayat 15 bayi ditemui di sungai di Shandong

BEIJING: Mayat 15 bayi telah dijumpai di sebatang sungai di wilayah timur Shandong, lapor akhbar setempat.

Akhbar Beijing News melaporkan bayi-bayi itu dipercayai dibuang oleh sebuah hospital berdekatan. Bayi-bayi yang sangat kecil itu dipercayai meninggal dunia ekoran sakit ataupun janin yang digugurkan. -- AFP.

Sudah 75 tahun masih boleh dapat anak

LINCOLNSHIRE (Britain): Pada usia 75 tahun, Encik Gerry Burks amat berbangga apabila dianugerah anak kedua, kelmarin, hasil perkahwinannya dengan seorang wanita berusia 41 tahun.

Pasangan itu sebelum ini sudah mempunyai seorang anak yang berusia enam tahun. Menurut Encik Burks, amalannya gemar memakan pisang dipercayai menyumbang kepada tahap kesuburannya. -- Agensi.

Pisau bedah tertinggal dalam tubuh

HONGKONG: Sebuah hospital di Hongkong sedang menjalankan siasatan bagaimana sebilah pisau bedah boleh tertinggal dalam tubuh seorang pesakit selepas dibedah. Kejadian itu berlaku Jumaat lalu di Pusat Perubatan Caritas selepas seorang lelaki berusia 69 tahun, menjalani pembedahan pada dadanya.

Pesakit itu telah dikejarkan ke hospital lain untuk mengeluarkan alat itu. -- AFP.

Saturday, March 27, 2010

Buktikan Melayu ‘rampas’ hak bukan Melayu

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa satu kajian menyeluruh dijalankan bagi menjawab tuduhan bahawa orang Melayu telah merampas kekayaan negara dengan menafikan hak bukan Melayu.

Kajian itu boleh dijalankan oleh kerajaan ataupun mana-mana pihak bagi menyangkal tuduhan dan persepsi sedemikian.

“Saya minta kalau hendak buat tuduhan, biar buat tuduhan yang berasas, jangan berlaku tidak adil (kepada orang Melayu).

“Saya bukan rasis, saya sayangkan kepada negara, kita bukan rasis... kalau kita tidak berlaku adil kepada orang Melayu, kita tidak akan berlaku adil kepada kaum lain,” kata perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Dengan lebih 10 kali dengan nada kecewa meminta “buatlah kajian, buatlah bancian”, bekas presiden Umno itu berkata, “kalau saya salah buktikan kepada saya, buktikan kepada semua.”



Thursday, March 25, 2010

Gelek, oh gelek!

DENGAN menggendong bayi, ibu-ibu muda ini ligat berdansa dengan diiringi rentak samba di sebuah studio tarian di bandar Yokohama, semalam.

Di bawah satu program unik, golongan ibu diberi latihan menari irama samba, waltz dan blues bersama-sama bayi mereka yang berusia tiga bulan hingga dua tahun.



Harga COE melambung

Singapura - TARUHAN sengit bagi mendapatkan Sijil Hak Memilik Kereta (COE) sebelum kuotanya dipotong bulan depan menyebabkan harganya melonjak ke paras tertinggi sejak 1990-an.

Harga COE bagi kategori terbuka, yang boleh digunakan untuk semua jenis kenderaan, mencecah $42,001 apabila sesi taruhan kedua bulan ini ditutup 4 petang semalam. Ia melonjak 52 peratus, iaitu lebih $14,000, daripada harga $27,590 yang dicatat dalam sesi taruhan pertama bulan ini.

Harga COE bagi kereta 1,600cc ke atas, atau Kategori B, melambung kepada $36,089 - naik 36 peratus berbanding $26,389 dalam sesi taruhan pertama.

Harga bagi kategori lain turut naik.

Harga bagi Kategori A, iaitu kereta kurang 1,600cc, naik 36 peratus, iaitu sebanyak $7,500, daripada $20,802 kepada $28,389.

Bagi Kategori C (kenderaan komersial & bas) pula, har ganya naik 21 peratus, iaitu hampir $6,000 kepada $32,890.

Harga COE motosikal (Kategori D) mencatat kenaikan terendah - 3.5 peratus kepada $1,200, berbanding $1,159 sebelum ini.

COE Kategori A menerima bida paling banyak - 2,183 - tetapi hanya 1,137 sahaja berjaya, sementara sembilan tidak terpakai.

Para pengamat memang menjangkakan kenaikan mendadak harga COE ekoran pengumuman Menteri Pengangkutan, Encik Raymond Lim, di Parlimen sebelum ini bahawa jumlah COE akan dipotong sebanyak 28 peratus antara bulan depan dengan Julai berdasarkan formula pengiraan COE baru.

Namun, harga yang dicapai semalam di luar jangkaan ramai.

'Harga COE terbaru di luar jangkaan kerana sebelum ini saya jangkakan harga COE bagi Kategori Terbuka tidak akan melebihi $35,000 dan Kategori A, $23,000,' kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Car City Leasing Pte Ltd, Encik Liew Yoon Kwai.

Di bawah formula baru, jumlah COE baru akan didasarkan kepada jumlah sebenar kenderaan yang disekerap.

Pemotongan terbesar, hampir 40 peratus, ialah bagi Kategori A, jenis kereta paling popular di kalangan pembeli. COE bagi kereta besar akan dipotong sebanyak 20 peratus.

Harga COE pernah mencecah $100,000 sekitar lewat 1990-an. Para pengamat menjangkakan harga COE terus meningkat bulan depan dan sejajar itu, harga penjualan kereta akan terus naik.

Harga kereta sudah mula dinaikkan sekitar seminggu lalu, dengan kadar terbesar oleh ejen kereta jenama Hyundai, Komoco, yang menaikkan harga semua model sehingga $8,000. Ejen Kia, Kia Motors, pula menaikkan harga keretanya sebanyak $4,000.

CEO Mohamed Taifoor Motoring, Encik Mohamed Taifoor Mohamed, menjangkakan harga COE kategori terbuka mencapai $45,000 dalam beberapa bulan akan datang.

Namun, beliau yakin tidak semuanya suram.

'Bagi yang ada simpanan, mereka akan untung jika beli kereta baru kerana harga kertas kereta tinggi. Bagi pemilik tersepit, ini masanya untuk melepaskan beban mereka kerana mungkin jumlah yang perlu ditokok berkurang,' jelas Encik Mohamed Taifoor.



Nik Aziz kekal Mursyidul Am PAS?

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) dijangka akan dikekalkan sebagai Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun lagi walaupun adanya spekulasi sudah wujud ‘keretakan’ hubungan di kalangan pemimpin tertinggi parti itu.

Keputusan dijangka diputuskan oleh Majlis Syura Isnin ini.

Nik Aziz dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri dalam Majlis Syura, tetapi mereka masih kekal hubungan mesra dan ia tidak akan menjejaskan kedudukan Menteri Besar Kelantan itu.

Spekulasi itu dikaitkan isu idea kerajaan perpaduan antara PAS-Umno yang ditolak Nik Aziz dan gesaan Nik Aziz tahun lalu meminta agar diadakan muktamar agung tahunan khas untuk memilih barisan kepimpinan yang baru.

Majlis Syura telah mengadakan pertemuan pertama untuk sesi kepimpinan semasa di sini malam kelmarin.

“Pertemuan malam tadi (kelmarin) hanya memutuskan pelantikan anggota Majlis Syura dan dengan kuorum penuh (kehadiran semua anggota), kami akan putuskan Mursyidul Am dan timbalannya dalam pertemuan kuorum penuh Isnin ini,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketika ditanya kedudukan Mursyidul, Tuan Ibrahim yang juga salah seorang anggota Majlis Syura memberitahu, beliau yakin Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan akan dikekalkan.

“Saya rasa tiada (apa-apa) masalah, beliau akan dikekalkan,” katanya lagi.

“Malam tadi (kelmarin) kami telah melantik semula Datuk Nik Aziz dan Timbalan Mursyidul Am Datuk Haron Din sebagai anggota Majlis Syura,” katanya.

Kata beliau, kali ini majlis ini juga dianggotai oleh wakil Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Dalam pada itu seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, antara yang turut dilantik semula ke Majlis Syura dalam mesyuarat pertamanya malam kelmarin ialah Nik Aziz.

“Saya tidak tahu secara rasmi siapa dilantik semalam (kelmarin), cuma saya difahamkan Datuk Nik Aziz dan Datuk Haron antara dilantik semula duduk dalam Majlis Syura,” kata Mahfuz ketika dihubungi.

Majlis Syura PAS mengadakan mesyuarat pertamanya kelmarin di bawah sesi baru mandat kepimpinan dengan dipengerusikan oleh Hadi.

Selain wakil jawatankuasa pusat PAS turut menduduki Majlis Syura ialah wakil Dewan Ulama dan dua wakil bagi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Wakil jawatankuasa pusat ialah Hadi, timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, Tuan Ibrahim dan ahli jawatankuasa pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Wakil Dewan Ulamak adalah Ketuanya Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naibnya Datuk Dr Mahfudz Mohamad dan Nik Zawawi Salleh.

Wakil Dewan Pemuda pula Ketuanya Nashrudin Hassan Tantawi dan Zaharudin Muhamad manakal Dewan Muslimat belum memutuskan wakil mereka tetapi menghantar lima nama untuk dipilih.

Dalam pada itu dipetik Harakah Daily, Mahfuz berkata beliau difahamkan mesyuarat kelmarin berbincang untuk melantik lima orang ahli Majlis Syura di kalangan sesiapa sahaja ahli PAS, yang tidak semestinya dari jawatankuasa PAS pusat atau siapa-siapa yang difikirkan layak.

“Jadi semalam (kelmarin) mereka bermesyuarat, saya difahamkan mereka hanya melantik lima orang sahaja tetapi belum melantik siapa Mursyidul Am,” kata Mahfuz.

Kata Mahfuz, Majlis Syura akan bermesyuarat semula bersama lima wakil yang baru dilantik bagi melantik Mursyidul Am.

“Ini peruntukan perlembagaan sama ada melantik orang lama atau orang baru saya tidak tahu, boleh melantik orang baru sebagai Mursyidul Am tetapi itu belum diputuskan,” katanya.



Wednesday, March 24, 2010

Pesawat Tempur Israel Serang Jalur Gaza

GAZA CITY, KOMPAS — Pesawat-pesawat tempur Israel melancarkan serangan udara, Selasa (23/3/2010) malam, dekat kamp pengungsi Jabaliya, di utara Jalur Gaza, tetapi tidak menimbulkan korban, demikian kata para penjabat keamanan Palestina, Rabu (24/3/2010).

"Serangan udara tersebut ditujukan ke daerah yang sering digunakan kelompok garis keras Palestina untuk menembakkan roket-roket mereka ke wilayah Israel selatan, beberapa hari terakhir ini," kata para penjabat.

Wanita juru bicara militer Israel mengatakan, pesawat-pesawat itu melakukan serangan terhadap gudang persenjataan sebagai balasan atas penembakan roket ke Israel.

Sekitar 35 roket, menurut wanita juru bicara tersebut, telah ditembakkan ke Israel dan Jalur Gaza sejak awal tahun ini.

Lebih dari 330 roket telah ditembakkan sejak akhir serangan 22 hari Israel pada Januari 2009. Salah satu serangan roket tersebut telah menewaskan warga negara Thailand.

Google tutup portal di tanah besar China

BEIJING: Google Inc kelmarin menutup portal berbahasa Cina di tanah besar China dan mengalihkan pencarian ke laman web berpangkalan di Hongkong.

Google bertindak begitu kerana tidak mahu melakukan proses penapisan seperti yang dikehendaki oleh pemerintah China.

Ia mengalihkan pengguna laman pencarian Google.cn ke laman di Hongkong yang tidak tertakluk kepada undang-undang penapisan China.

Namun, pencarian dari tanah besar China ke atas kekata sensitif pada laman Google.com.hk masih disekat.

Ini bermakna Beijing menapis hasil carian menerusi 'Great Firewall', sekali gus tidak ada perubahan bagi pengguna.

'Sebenarnya tidak ada perbezaan besar dari segi pencarian maklumat,' kata Encik Shaun Rein, Pengarah Urusan Kumpulan China Market Research di Shanghai.

'Apabila (pengguna laman web China) mengklik pautan sensitif, ia tersekat oleh tembok penghalang (firewall).'

Keputusan Google itu dibuat menyusuli ketegangan antara Beijing dengan Washington berhubung pelbagai isu - daripada kebebasan Internet hingga kadar pertukaran mata wang yuan, sekatan ekonomi ke atas Iran dan penjualan senjata oleh Amerika Syarikat kepada Taiwan.

Tindakan Google itu mencetuskan kemarahan China dengan seorang pegawai Pejabat Majlis Penerangan Pemerintah berkata bahawa Google 'melanggar perjanjian bertulis' bahawa ia akan menyekat pencarian maklumat yang sensitif.

Bagaimanapun, Jurucakap Kementerian Luar China, Encik Qin Gang, berkata tindakan Google itu merupakan tindakan sebuah syarikat dan ia tidak akan menjejas hubungan China-Amerika. -- Agensi.



'suara dari langit'

SEREMBAN: Penganggur yang dituduh membunuh empat ahli keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Januari lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini kelmarin, dia melakukan pembunuhan itu atas arahan 'suara dari langit'.

Rasidi Ismail, 32 tahun (kanan), membuat pendedahan itu selepas ditanya Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, mengapa dia mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Terdahulu, Rasidi mengaku bersalah membunuh adiknya, Allahyarhamah Siti Khadijah, 22 tahun, di No 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh, antara 7 dengan 11 pagi pada 5 Januari lalu.

Dia turut mengaku bersalah membunuh bapanya, Allahyarham Ismail Awang, 76 tahun; nenek, Allahyarhamah Sufiah Katas, 80 tahun; dan datuknya, Allahyarham Atan Daud, 87 tahun, di rumah tidak bernombor di kampung sama juga antara 7 dengan 11 pagi pada hari yang sama.

Selepas Rasidi mengaku bersalah dan faham terhadap keempat-empat tuduhan itu, Datuk Ahmad Nasfy menjelaskan hukuman bagi pengakuan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah gantung sampai mati dan mahkamah sudah pun melantik peguam bela, Encik Hanif Hassan, bagi mewakili tertuduh.

'Sekarang mahkamah mahu mengetahui mengapa kamu mengaku bersalah?' tanya Datuk Ahmad Nasfy.

Rasidi menjawab:

'Saya menerima arahan untuk melakukannya. Saya diarahkan oleh suara dari langit.'

Datuk Ahmad Nasfy berkata mahkamah boleh menggunakan Seksyen 342 (1) Kanun Acara Jenayah yang membolehkan majistret, hakim dan pendakwa raya memohon siasatan bagi menentukan sama ada tertuduh cukup sihat untuk dibicarakan.

Beliau juga meminta mahkamah mengarahkan penilaian psikiatri terhadap tertuduh. -- BHM

Doktor gila tetak lapan murid

BEIJING: Seorang doktor yang mempunyai rekod sakit jiwa menetak hingga mati lapan murid sekolahrendah dengan menggunakan parang di bandar Nanping, dalam wilayah Fujian, tenggara China.

Polis menahan suspek, dikenali sebagai Zheng Minsheng, 42 tahun, selepas serangan sekitar 7.20 pagi, lapor agensi berita Xinhua.

Lima murid yang cedera kini dirawat di hospital, tetapi sekolah yang ditutup semalam akan dibuka semula hari ini. -- Agensi.

Letupan ganggu mesyuarat Kabinet



BANGKOK: Dua letupan kecil berlaku di bangunan Kementerian Kesihatan Thailand semalam sejurus selepas Perdana Menteri, Encik Abhisit Vejjajiva, dan para menteri mengadakan mesyuarat Kabinet dengan kawalan ketat.

Letupan bom tangan M79 itu mengakibatkan kerosakan pada tiga kereta, tetapi Encik Abhisit selamat.

Menteri Kesihatan, Encik Jurin Laksanawisit, berkata Encik Abhisit sudah meninggalkan kompleks di Nonthaburi, yang terletak di utara Bangkok itu, sebelum letupan tersebut berlaku. -- AFP.

Rancang tambah askar ke Papua

JAKARTA: Tentera Indonesia sedang menimbang hendak menghantar lebih banyak askar ke wilayah Papua bagi menumpaskan gerakan pemisah.

Rancangan itu dibuat menyusuli sejumlah serangan senjata api ke atas lombong emas milik firma Amerika Syarikat, Freeport McMorant Cooper and Gold Inc sejak Julai tahun lepas, yang membunuh tiga orang dan mencederakan 20 mangsa lain.

Jurucakap tentera, Encik Sargom Tambun, berkata pihak tentera bercadang menambah satu divisyen askar bagi menghadapi ancaman gerila Organisasi Papua Merdeka (OPM). -- Agensi.





Rumah CheguBad diserang bom petrol

Rumah ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBad, di Seremban menjadi sasaran serangan bom petrol awal pagi ini — dipercayai perbuatan bermotifkan politik.

Bagaimanapun kejadian itu tidak mengakibatkan kerosakan teruk kecuali kesan kebakaran di lantai dan dinding luar rumah teresnya yang terletak di Taman Chedang, Seremban.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Rembau berkata beliau sedar rumahnya dibaling dengan botol bom petrol kira-kira 1.30 pagi.



Tuesday, March 23, 2010

Surat untuk PM Lee didakwa mengandungi bahan kimia

SEPUCUK surat yang dialamatkan kepada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan didakwa mengandungi bahan kimia telah menimbulkan kegemparan di Istana, semalam.

Bagaimanapun, ujian yang dijalankan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tidak menjumpai sebarang kesan bahan yang membahayakan.

Menyusuli pertanyaan Berita Harian kepada pihak polis semalam, seorang jurucakap polis mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan mengenai surat yang ditujukan kepada Encik Lee, semalam.

'Sebagai respons kepada pertanyaan media, polis mengesahkan bahawa sepucuk surat yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Lee telah diterima di Istana, semalam.

'SCDF telah menjalankan ujian ke atas surat itu menggunakan alat pengesan dan tidak menemui sebarang kesan bahan merbahaya,' ujar jurucakap polis itu lagi.

Namun beliau tidak menjelaskan bila dan bagaimana surat itu dikirimkan.

Difahamkan beberapa pegawai SCDF telah dikejarkan ke Istana untuk menjalankan ujian ke atas surat tersebut.

Pihak SCDF bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kakitangan dan kenderaan yang dikerahkan ke Istana.

Jurucakap polis itu menambah bahawa surat berkenaan kini telah dihantar ke Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO) untuk ujian lanjut.

Saman larang guna nama Sisters In Islam

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Masjid Malaysia semalam memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap SIS Forum (Malaysia) bagi menuntut perisytiharan bahawa nama organisasi itu yang sah di sisi undang-undang bukanlah Sisters In Islam (SIS).

Pengarah Eksekutif dewan itu, Encik Mohd Taqiuddin Abdullah, memohon mahkamah supaya mengeluarkan perintah bahawa SIS Forum tidak dibenarkan atau dilarang daripada menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalannya.

Ia juga menghalang penggunaan nama Sisters In Islam daripada papan tanda laman web, bahan-bahan cetak dan penerbitan pihak responden. -- Agensi.




Iran latih ratusan kumpulan pemisah

LONDON: Ratusan anggota kumpulan pemisah telah dilatih di Iran untuk membunuh pasukan keselamatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Afghanistan, kata dua komander Taleban kepada sebuah akhbar mingguan Britain.

Para komander yang tidak didedahkan namanya itu memberitahu akhbar The Sunday Times bahawa para pegawai Iran membayar mereka untuk mengikuti kursus-kursus selama tiga bulan itu di kem-kem latihan di kawasan gurun dekat tenggara Iran. -- AFP.




Monday, March 22, 2010

Empat artis dalam senarai muflis

KUALA LUMPUR: Beberapa artis di Malaysia, termasuk seorang berpangkat Datuk, yang masih aktif dalam bidang hiburan telah disenaraikan muflis atau bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM).

Surat itu yang turut dihantar kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memaklumkan hasrat meminta kerjasama Karyawan dan Seniman menyalurkan maklumat terkini mengenai artis muflis terbabit.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, berkata perkara terbabit sesuatu yang serius ketika dunia hiburan mulai diberi sokongan penuh oleh kerajaan. Ia perlu ditangani bersama demi menjaga imej artis supaya tidak dipandang negatif oleh masyarakat.

'Setakat ini Karyawan dimaklumkan mengenai empat artis yang diisytihar bankrap, termasuk Datuk berkenaan. Semua adalah lelaki.

'Sebagai pemimpin persatuan artis, saya melihat langkah JIM menghubungi kami bukan untuk memalukan sesiapa tetapi mencari jalan menyelesaikan masalah supaya artis yang menghadapi masalah ini lebih bersikap bertanggungjawab dan tidak lari membayar hutang,' katanya.

Menurut Datuk Freddie, jumlah hutang empat artis itu pada pihak bank sehingga diiktiraf bankrap tidak diberitahu.

Namun, sebagai persatuan, Karyawan memberi 'lampu hijau' jika empat artis itu melantik pihaknya sebagai orang tengah.

'Saya sedar hal begini lebih bersifat peribadi, justeru jika artis menghadapi masalah bankrap tidak mahu kita campur tangan, Karyawan tidak boleh buat apa-apa.

'Cuma ingin saya jelaskan, masalah bankrap perlu diselesaikan bagi mengelak kemudahan yang ada digantung. Jika artis itu buat tidak faham, tidak mustahil pihak JIM akan berhubung dengan pihak produksi atau majikan artis itu.

'Katakan artis itu berlakon drama atau filem mahupun menyanyi, JIM boleh berurusan dengan majikan artis itu sama ada produser atau promoter untuk membuat potongan bayaran bagi membolehkan artis bankrap itu menjelaskan tunggakan pada bank,' katanya.

Presiden Seniman, Encik Harun Salim Bachik, pula berkata: 'Sebelum apa jua tindakan diambil, ia perlu diteliti. Apa saja aspek bantuan dikehendaki Jabatan Insolvensi, Seniman tiada masalah menghulurkan bantuan.

'Perkara ini membabitkan artis yang sering tampil di media dan lebih baik nama mereka tidak didedahkan untuk menjaga maruah. Andai nama tersebar menerusi media, periuk nasi mereka akan terjejas.' - Metro Ahad.





Lelaki 92 tahun bunuh lebih 50 ekor harimau Sumatera

JAKARTA: Pejabat Pemuliharaan Sumber Semula Jadi di Riau menahan seorang lelaki 92 tahun kerana membunuh lebih 50 ekor harimau Sumatera sepanjang hidupnya.

'Pada mulanya kami tidak percaya Wiryo seorang pemburu harimau. Namun selepas melakukan pemantauan, kami menahan suspek bersama tiga karung guni dipenuhi bukti,' kata Ketua Pemuliharaan Riau, Encik Edi Susanto, Jumaat lalu.

Bukti itu mengandungi kulit dan tulang seekor harimau yang dibunuh awal bulan ini di kawasan pemuliharaan haiwan liar Kerumutan di daerah Indragiri Hulu. -- Agensi.

Angin kencang landa Jepun

TOKYO: Angin kencang yang melanda Jepun pada hujung minggu telah menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan lagi 46 orang cedera.

Kederasan angin kencang itu dilaporkan mencapai sehingga 135 kilometer sejam dan melanda pulau barat sehingga ke timur Jepun. -- AFP.



Sunday, March 21, 2010

Tingkat khas bagi wanita di Masjidil Haram

JEDDAH: Seorang pakar perundangan Islam di Universiti Islam Imam Muhammad Saud mencadangkan kerajaan membina tingkat khas untuk wanita di Masjidil Haram bagi mengelak percampuran ketika tawaf dan solat.

Dr Yousuf Al-Ahmad berkata Islam mengharamkan percampuran lelaki dan wanita, sama ada di dalam atau di luar Masjidil Haram.

'Ada dua jenis percampuran jantina, iaitu keadaan sementara di jalan atau di jamrah di Mina, dan percampuran dalam tempoh lama dan sesak ketika tawaf,' katanya.

Justeru, untuk mengatasi masalah itu, pihak berkenaan wajar membina tingkat berbeza dikhususkan untuk wanita di masjid berkenaan.

Menurut beliau, binaan tambahan itu pernah wujud tetapi dimusnahkan pada era kerajaan Uthmaniyah dan ketika Arab Saudi diperintah Raja Saud.

'Pembinaan tingkat tambahan itu juga boleh memberi ruang lebih banyak kepada jemaah haji dan umrah,' katanya.

Dr Yousuf berkata semua pihak perlu menghormati hak wanita agar dapat beribadah dengan tenang di Masjidil Haram.

'Adakah mereka tidak berhak diberikan satu atau dua tingkat khas untuk bertawaf? Adakah mereka tidak berhak bertawaf tanpa perlu bersesak-sesak dengan lelaki?

'Apa salahnya membina kawasan khas itu di dalam masjid untuk memberi keselesaan kepada wanita?' katanya.

Turut perlu diberi perhatian adalah aspek kawalan di tingkat berkenaan.

'Di situ jemaah wanita terhindar daripada sorotan kamera dan imej mereka ditayangkan ke serata dunia melalui satelit,' kata Dr Yousuf. -- Agensi.






Jurutera akui tulis ancaman bunuh

TAIPEI: Seorang jurutera berusia 50 tahun mengaku menulis ancaman bunuh ke atas dua anak perempuan Presiden Taiwan, Encit Ma Ying-jeou, di laman sembang Internet.

Lelaki itu menggesa semua rakyat Taiwan yang menetap di Amerika Syarikat agar membunuh anak perempuan Encik Mah yang menetap di New York.

Dia dikatakan membuat ancaman itu kerana tidak berpuas hati dengan keadaan dalam negeri di Taiwan. -- AP.



Bertengkar selepas curi kereta, telefon

RIYADH: Dua lelaki ditahan kerana mencuri kereta, telefon dan pelbagai barang lain selepas polis melihat mereka bertengkar dalam sebuah kenderaan di bandar Al-Batha, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, ketika dihampiri, kedua-dua lelaki terbabit asyik bertengkar dan hampir-hampur bertindak ganas.

'Sebaik saja menyedari polis datang, mereka terkejut, panik dan keluar dari kereta itu sebelum lari lintang-pukang untuk cuba meloloskan diri,' kata jurucakap itu.

Apabila disiasat, polis mendapati kereta berkenaan adalah kereta curi dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu. -- Agensi.



Friday, March 19, 2010

Pilihan Raya PBT

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof 11 Mac lalu berhubung pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih ahli majlis kerajaan tempatan di negeri itu.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pejabat Datuk Menteri Besar hari ini Abdul Khalid meminta pandangan SPR berkenaan cadangan itu berlandaskan peruntukan Perlembagaan dankuasa kerajaan negeri sedia ada.

Berdasarkan kajian kerajaan Selangor, Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada SPR untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri terbabit.

Perkara 113 (4) itu menyatakan "Undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan apa-apa pilihan raya yang lain daripada pilihan raya yang dinyatakan dalam Fasal 1".

Undang-undang negeri pula memperuntukkan kuasa kepada kerajaan negeri melantik pihak berkuasa negeri mengikut Akta Pilihan Raya Tempatan 1960 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kerajaan Selangor berpendapat, pilihan raya kerajaan tempatan perlu diwujudkan semula bagi memastikan rakyat boleh memilih wakil mereka meningkatkan urus tadbir dan kecekapan di samping memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan memperkukuhkan lagi sistem demokrasi.

Berdasarkan akta sedia ada dan pendirian, kerajaan Selangor meminta Abdul Aziz dan SPR menjalankan kajian dan penyelidikan rapi supaya cadangan ini dapat dilaksanakan dengan segera.

Pada 10 Mac lalu kerajaan negeri Pulau Pinang menyatakan kesediaan menjelaskan kepada Perdana Menteri berhubung keperluan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memilih anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata jika Datuk Seri Najib Razak bersedia untuk mendengar penjelasan itu, beliau sendiri akan bertemu dengan Perdana Menteri.

Sejak diperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 40 tahun yang lalu, pilihan raya kerajaan tempatan tidak lagi diadakan di tanah air.

Ketiadaan pilihan raya PBT itu dikaitkan dengan pengisytiharan darurat pada 3 September 1976.

Pakatan Rakyat sebelum ini memasukkan isu pilihan raya kerajaan tempatan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Dalam pada itu, Kerajaan Selangor juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan perjumpaan dengan Abdul Aziz dan SPR bagi membincangkan perkara itu.

Darth Vader awasi Putrajaya

PUTRAJAYA: Usah terkejut lihat Darth Vader terapung di udara. Belon udara panas yang menyerupai karakter daripada filem Star Wars itu kelihatan garang terapung di ruang udara Putrajaya, semalam. Ia adalah antara belon yang terbang di angkasa sempena fiesta.

Sebanyak 20 belon udara panas pelbagai warna dan corak dari 10 negara menyertai fiesta yang diadakan setiap tahun ini. -- AP.



Hukuman jel 3 bulan gara-gara SMS

DUBAI: Rangkaian pesanan khidmat ringkas (SMS) mengghairahkan yang dihantar sepasang kekasih India telah menyebabkan mereka diheret ke penjara di Dubai.

Dalam laporan yang diterbitkan kelmarin, kandungan pesanan seksual SMS itu menggambarkan bahawa pasangan tersebut, yang namanya tidak didedahkan, sedang 'merancang untuk melakukan dosa'.

Namun tiada bukti yang mencukupi untuk mahkamah memutuskan bahawa pasangan berkenaan mempunyai hubungan sulit, yang boleh dikenakan hukuman lebih berat di bawah undang-undang Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Kedua-dua individu yang bertugas sebagai kru kabin syarikat penerbangan Emirates itu lantas dijatuhi hukuman penjara tiga bulan, kata pihak berkuasa.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa wanita itu berusia 42 tahun sementara teman lelakinya berusia 47 tahun.

SMS tersebut dikemukakan oleh suami wanita berkenaan dalam tuntutan mahkamah bagi kes perceraiannya.

Awal minggu ini, sepasang kekasih Britain menyatakan bahawa mereka akan membuat rayuan terhadap hukuman penjara satu bulan yang dikenakan ke atas mereka kerana melakukan ciuman mengghairahkan di sebuah restoran.

Pada 2008, dua warga Britain dijatuhi hukuman tiga bulan penjara kerana dipercayai melakukan hubungan seks di pantai.

Hukuman itu, bagaimanapun, telah digantung. -- AP.

Askar Upahan BN

Pakatan Rakyat bertegas tentang kenyataan palsu yang dikeluarkan oleh Zahrain semalam. Demikian kata Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan media di parlimen tengahari tadi.

Pakatan Rakyat tidak akan berdiam diri dan akan membuat serangan balas terhadap kenyataan tersebut dan menggangap isu itu cuba mengelirukan rakyat.

"Kita ada tiga saluran untuk memberi maklum balas terhadap ucapan tersebut sama ada melalui minta laluan, tunggu giliran kita pada minggu depan dan menyerang melalui media.

"Menilai ucapan dan persembahan Zahrain semalam prestasinya naik secara mendadak secara tiba. Sepanjang dia menjadi ahli parlimen, beliau tidak pernah mengambil bahagian berbahas didalam setiap perbahasan samada dalam perbentangan bajet dan juga dewan," ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa sepanjang dua tahun di dalam parlimen, Pakatan Rakyat boleh berdepan dan berbahas dengan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan buka semua ahli parlimen dari BN berani berdepan dengan Pakatan Rakyat.

"Bagi saya kelompok yang keluar parti ini digunakan oleh BN sebagai tentera upahan dalam membuat serangan terhadap Pakatan Rakyat. Ini dapat dilihat dengan kehadiran menteri yang ramai semalam, kita dapat lihat bagaimana persiapan ini dibuat sebelumnya

"Pakatan Rakyat tidak akan merubah daripada berdepan dengan BN sebagai musuh politik utama kita, kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita berdepan dengan perasuah dan perompak harta rakyat dan kita berdepan dengan kerajaan yang tidak menghormati undang-undang

"Kita akan hadapi tentera upahan ini yang menyekat laluan kita tetapi kita anggap ini sebagai halangan kecil dan fokus Pakatan Rakyat tidak akan berubah. Zahrain digunakan sebagai watak baru yang ditonjolkan oleh BN dalam membongkar segala rahsia dalam Pakatan Rakyat dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Saya nak semua tahu Zahrain terbabit membuat satu lantikan terhadap syarikat RM2 dalam projek pengurusan Bukit Jambul Glof Club dan ini bertentangan polisi competency, accountability and transparency (CAT). Kita nak Zahrain kemukakan dahulu kenapa mesti syarikat yang baru didaftar untuk bersaing dalam mendapat projek yang bernilai hampir RM40juta, kenapa Zahrain memberi sokongan kepada syarikat terbabit jika dia tiada kepentingan kenapa dia bersungguh untuk dapatkan projek tersebut.

"Pada Jun 2009 sewaktu menjadi pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), antara keputusannya semua wakil rakyat KEADILAN tidak akan menerima gelaran Datuk walau ditawarkan tetapi Zahrain menulis kepada Ketua Menteri agar diberikan gelaran Datuk Seri. Dalam hal ini kita dapat lihat sikap beliau yang tidak betul dan bertentangan dengan keputusan mesyuarat tersebut," jelasnya

Saifuddin menegaskan berkenaan 16 September dan tidak menafikan tentang usaha 16 September tetapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Zahrain adalah tidak benar.

"Zahrain menyatakan Anwar telah berpakat dengan Timbalan Speaker yang akan membuat undi tidak percaya, untuk makluman timbalan speaker hanya ada dua orang sahaja iaitu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee, jadi kita akan cabar Zahrain untuk menyatakan siapa timbalan speaker tersebut.

Beliau menegaskan untuk memanggil Yang Di-Pertuan Agong hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan tidak ada orang lain layak.

Ku Li: Wang ihsan punca rasuah, salah guna kuasa

KUALA TERENGGANU, 19 Mac — Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terus menegakkan pendiriannya dalam isu royalti minyak dengan malam tadi menegaskan, pemberian wang ihsan sebenarnya menjadi punca kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam penjelasan kepada rakyat Terengganu malam tadi — lokasi terbaru beliau selepas Kota Baru dua bulan lalu — bekas pengerusi dan pengasas Petronas ini tidak menafikan banyak salah guna kuasa wujud ekoran penyaluran wang ihsan.

“Saya dengar khabar kerajaan Terengganu sekarang (pimpinan Umno-BN) tidak mahu menerima (baki wang ihsan) sebab tidak mahu menerima akaun macam mana duit (penyaluran wang ihsan) telah dibelanjakan tempoh hari, sepanjang lima tahun lalu.

“Sebab itu (wujud) banyak salah guna kuasa... buat itu, buat ini. Semuanya runtuh, tak kekal pun,” kata beliau dengan merujuk kepada beberapa kejadian bangunan milik kerajaan negeri di sini runtuh termasuk stadium.

“Jadi kita kena ingat banyak duit, barangkali diguna sebagai upah, rasuah, banyak harga barang dinaikkan kerana dicuri duit, nak curi duit... itu yang dinamakan wang ihsan,” kata beliau pada Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini malam tadi.

Dialog ini dianjurkan bersama oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat).

Kira-kira 4,000 orang menghadiri dialog itu yang berlangsung di dewan utama TER yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 orang. Tetapi penganjur menganggarkan hampir 6,000 orang hadir dengan limpahan kehadiran disaksikan di luar dewan.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa yang juga pengerusi jawatankuasa khas isu royalti negeri itu.

Dalam sesi dialog itu, Tengku Razaleigh yang kali kedua berucap di dewan yang sama menyentuh isu yang sama menjelaskan, pemberian wang ihsan tidak semestinya mengikut undang-undang ataupun peraturan, yang mana turut mengakibatkan kebocoran sumber kewangan.

“Oleh kerana ada kebocoran maka berlaku rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Akhirnya rakyat tidak terima apa-apa,” kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini.

Kerajaan pusat mewujudkan jawatankuasa pengagihan wang ihsan sebanyak RM20 juta untuk Kelantan bermula bulan ini.

Langkah yang sama diamalkan di Terengganu sejak 2000 selepas kerajaan negeri diambil alih oleh PAS pada pilihan raya umum 1999.

Akhir Januari lalu, Tengku Razaleigh dalam ceramah perdananya di Kota Baru melahirkan pendirian bahawa Kelantan juga layak menerima wang royalti lima peratus, bukannya wang ihsan.

Kerajaan negeri Kelantan mengemukakan tuntutan mahu mendapatkan royalti RM2 bilion tetapi kerajaan pusat menegaskan ia tiada hak sama sekali sambil menggesa agar pergi ke mahkamah.

Pendirian Tengku Razaleigh itu menimbulkan rasa tidak hati di kalangan pemimpin Umno sehingga wujud suara agar tindakan disiplin dikenakan ke atas beliau.

Pada majlis dialog malam tadi, Tengku Razaleigh menegaskan, penjelasan mendalam harus diberikan kepada orang ramai tentang perbezaan antara wang ihsan dan wang royalti.

Kata beliau, rakyat sanggup mengambil walaupun hanya diberi RM200 atau RM300 sedangkan mereka sepatutnya menerima lebih daripada jumlah tersebut.

“Sememangnya wang ihsan dan wang royalti ini berbeza. Oleh kerana rakyat miskin dia terima duit walaupun sedikit, mereka bersyukur dengan apa yang diterimanya.

“Tetapi kita kena jelaskan mereka bahawa wang royalti ini lebih banyak daripada apa yang disebutkan sebagai wang ihsan,” kata beliau.

Ini kerana menurut Tengku Razaleigh, dalam tempoh lima tahun lalu hampir RM20 bilion telah dibelanjakan sebagai wang ihsan manakala bakinya dikatakan RM2.9 bilion.

Tetapi kerajaan pusat hanya meluluskan RM1.6 bilion daripada jumlah tersebut, katanya.

Selain itu, ada peserta yang mempersoalkan mengapa Tengku Razaleigh tidak bersuara apabila Terengganu pertama kali membangkitkan wang royalti pada 2000.

“Saya hendak memberitahu, pertamanya saya tidak menerima wahyu. Nombor dua, (dulu) saya tidak berperanan macam sekarang.

“Hari ini saya dijemput oleh Mampat supaya datang untuk memberikan penerangan... dalam tahun 2008, Mampat ada konvensyen, saya dijemput saya datang. Baru-baru ini saya dijemput oleh Gegar di Kota Baru saya pergi.

“Tapi pada 2000 tidak sesiapa yang menjemput, maka saya pun tidak pergi,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan Mustafa berkata, sebenarnya Tengku Razaleigh telah memainkan peranan sejak satu dekad yang lalu.

Kata beliau, apabila kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk membawa isu royalti ke mahkamah antara pihak yang sanggup menjadi saksi ialah Tengku Razaleigh sendiri.

Oleh itu kata Mustafa yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu ketika pimpinan negeri PAS memberitahu, adalah tidak benar Tengku Razaleigh tidak bersuara pada tahun 2000.

Menurut Mustafa, pada awalnya mahkamah mahukan kehadiran saksi dalam kes berkenaan tetapi diketepikan ekoran rayuan daripada kerajaan pusat dan Petronas.

“Jadi Tengku Razaleigh tidak menjadi saksi untuk kita. Sebenarnya beliau telah memainkan peranan sejak tahun 2000,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan dengan Ordinan Darurat dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang dikaitkan dengan isu pertikaian wang royalti Kelantan, Tengku Razaleigh berkata, sebenarnya beliau sendiri pun samar-samar dengan kandungan ordinan tersebut.

Pun begitu kata beliau, sesuatu akta mengatasi mana-mana ordinan apatah lagi jika ordinan itu dibuat sebelum akta berkenaan digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

“Yang saya difahamkan ordinan yang dimaksudkan ialah ordinan yang dibuat tahun 1966, tahun 1966 lebih awal daripada tahun 1974 iaitu Akta Pembangunan Petroleum, akta yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1974.

“Walaupun ordinan ini dibuat selepas tahun 1974, ia tidak boleh mengatasi akta yang dibuat tahun 1974,” katanya.

Berhubung iklan dalam akhbar-akhbar arus perdana awal bulan lalu, Tengku Razaleigh berkata, kerajaan pusat menggunakan cara tersebut untuk memalukan beliau kononnya tidak konsisten dalam isu pertikaian wang royalti minyak sejak tahun 2000.

“Kononnya dulu (saya) cakap lain sekarang cakap lain. Yang tidak konsisten dia orang, bukan saya. Saya masih bercakap apa yang saya cakap dulu.

“Undang-undang itu yang saya cuba pertahankan. Saya datang hari ini hendak menjelaskan soal undang-undang itu,” kata beliau yang memulakan ucapan ringkasnya dengan menegaskan, peruntukan perundangan jelas menunjukkan kerajaan-kerajaan negeri yang ada pengeluaran hasil minyak wajar diberi wang royalti atau “wang tunai.”

“Perkara itu tidak harus berbangkit sekarang, tetapi ia masih menjadi isu sekarang,” kata beliau yang kemudiannya berdialog dengan menerima 15 soalan kesemuanya.

Menjawab soalan sama ada Kelantan boleh membatalkan perjanjian minyak yang sedia ada dan mengusahakan sendiri urusan cari gali minyak, Tengku Razaleigh berkata, ia membabitkan soal politik yang beliau tidak boleh menjawab sebagai bekas pengerusi Petronas.

Bagaimanapun jelas beliau, Kelantan boleh melakukannya jika merasakan ia mampu untuk berbuat demikian.

“Kalaulah ada kemampuan, kalaulah ada semangat sedemikian rupa, sila timbang perkara itu,” kata anggota kerabat diraja ini.

Soalan yang dikemukakan ialah mengapa Petronas tidak diletakkan di bawah tanggungjawab Parlimen ketika ia ditubuhkan lebih tiga dekad yang lalu.

Tengku Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan memberitahu ketika itu Kabinet merasakan adalah memadai dan lebih baik Petronas diletakkan di bawah pengawasan langsung perdana menteri.

“Tetapi kalaulah kaedah ini tidak boleh diterima oleh rakyat (sekarang) mengapa tidak ditimbang untuk mengubah cara yang dipakai sekarang ini, tidak siapa yang boleh menghalang jika memang ada usaha untuk mengubah cara ini,” katanya.

Mengenai langkah selepas ini, Tengku Razaleigh berkata, beliau ada memaklumkan kepada Husam bahawa adalah sukar untuk dilaksanakan melainkan perdana menteri sendiri yang mengaku telah menerima nasihat yang salah.

Kata Tengku Razaleigh, sekiranya perdana menteri tidak sanggup mengubah pendiriannya, maka kerajaan negeri boleh mencari jalan tengah.

“Saya sendiri kata saya boleh jadi orang tengah untuk kerajaan negeri, mana-mana kerajaan negeri bukan kepada Kelantan sahaja, secara percuma... bagi kerajaan pusat menyelesiakan masalah ini.

“Kalau dia (kerajaan pusat) takut duit itu disalah guna untuk politik atau untuk apa sahaja, sanggup jadi orang tengah untuk manfaat kepada rakyat,” katanya.

“Itu satu cara. Cara yang lain ialah mengikut tafsiran undang-undang... macam di Perak, tengok apa yang berlaku, tafsir macam-macam.

“Terpulang kepada kerajaan negeri sama ada pilih jalan ini atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, jalan paling selamat ialah mengadakan orang tengah supaya dapat meyakinkan kedua-dua pihak dalam menerima peruntukan yang ada sekarang.

“Yang satu lagi ialah menggunakan timbang rata, yang dilantik oleh kerajaan negeri dan Petronas dan melantik hakim yang dipersetujui kedua-dua pihak,” kata beliau secara berseloroh menambah, “kalau tidak selesai juga, berperanglah.”

Tengku Razaleigh berpendapat tekanan seharusnya terus diberikan supaya kerajaan pusat akan sedar tentang hak sebenar kerajaan-kerajaan negeri.

“Yang kita buat ialah memberi tekanan supaya mereka sedar. Ada tekanan kepada kerajaan supaya mereka sedar bahawa rakyat prihatin dan mahu perkara ini diselesaikan mengikut peraturan undang-undang,” katanya.

Musa Hitam: Wang ihsan atau royalti biar kerajaan negeri uruskan

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas.

Justeru seolah-olah senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah, Musa memberitahu, berdasarkan pengalamannya itu beliau lebih “arif” dalam isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri Kelantan dan pusat sekarang.

Dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini, Musa (gambar) berkata pembayaran wang itu biar apapun istilahnya mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat.

“Sama ada wang ihsan ke royalti, itu tak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat.

“Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.

Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.

Perkara itu ditekankan beliau pada ceramah perdana di Kota Baru akhir Januari lalu.

Tengku Razaleigh akan muncul pada majlis dialog yang diadakan di negeri jiran Terengganu, yang juga hanya pernah dibayar wang ihsan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1999, malam ini.

Beliau dijadual untuk menyentuh isu itu sekali lagi yang sebelum ini mencetuskan polemik dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno-BN.

Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.

“Jelas kepada saudara, bila dengar saya cakap ni, saya punya pendapat ‘not mainstream’.

“Ada orang kata boleh jadi lagi dekat dengan Tengku Razaleigh. Jangan salah faham pulak... Musa dah balik dengan Tengku Razaleigh, tak ada, kita dah tua, ‘don’t worrylah’,” katanya.

Dalam komennya itu Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.

“Kalau betullah kata Tengku Razaleigh, saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.

Sebelum ini Tengku Razaleigh mempertahankan hak Kelantan menuntut royalti minyak.

Kerajaan Kelantan pula pada tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat.

Namun kerajaan pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya.

Sebaliknya kerajaan pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan.

Pembayaran itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini.

Untuk tujuan itu kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.

Mesyuarat pertama jawatankuasa Khamis lalu memutuskan bahawa kumpulan pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana akan turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada dana wang itu.



Tengku Razaleigh kecewa jasanya tidak dikenang

PASIR PUTEH, 18 Mac — Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan “dimarahi” disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan PAS Kelantan menuntut isu royalti minyak.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ihsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat seolah-olah mengambarkan sebagai “peminta sedekah”.

“Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang Kelantan patut mendapat royalti minyak,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan bekas Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.

Katanya Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai.

Menurutnya hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara. — Bernama

'Pasti ada hikmah di sebalik kejadian'

PERNAH satu ketika digelar 'Polis RM27 juta', Datuk Ramli Yusuff terpaksa sukar melelapkan mata pada malam hari dan sering dihantui igauan sejak tiga tahun lalu.

Sebagai seorang yang begitu komited dan menumpukan seluruh hidup beliau kepada usaha menjaga keamanan dan membasmi jenayah di seberang tambak, tempoh sepanjang tiga tahun lalu merupakan tempoh paling sukar baginya.

Ini kerana bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Bukit Aman itu terpaksa menghadapi kecurigaan, cemuhan dan penghinaan di khalayak awam.

Pada 2007, nama Datuk Ramli tertera pada tajuk-tajuk berita di seluruh Malaysia selepas beliau didakwa dan ditahan oleh para pegawai Biro Pencegah Rasuah (BPR) - kini ditukar menjadi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) - kerana tidak mengisytiharkan asetnya yang dianggarkan berjumlah RM27 juta ($11.4 juta).

Dakwaan itu kemudian ditukar menjadi kegagalan mengisytiharkan pemilikan 20,000 unit saham Telekom Malaysia Berhad, 154,000 unit saham Permaju Industries Berhad dan kepentingannya dalam dua lot pejabat bernilai RM1,032,840 ($435,652), yang dilakukan di pejabat Timbalan Pendakwa Raya BPR, di Putrajaya, pada 17 September 2007.

Bagaimanapun, Sabtu lalu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah membebaskan Datuk Ramli daripada semua tuduhan itu. Beliau kini seorang manusia bebas.

'Mujur, saya mempunyai seorang isteri yang senantiasa menyokong, yang membantu memberikan perspektif kepada semua ini.

'Ibu saya meninggal dunia dalam tempoh itu. Bapa saya jatuh sakit. Saya adalah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga saya dan berlakunya hal ini telah membawa malu kepada saudara-saudara perempuan saya yang menjaga orang tua saya di kampung saya di Bunut Susu, Kelantan,' kata Datuk Ramli, melalui peguamnya, Encik Rosli Dahlan, yang dikirmkan kepada akhbar Berita Harian melalui e-mel, lewat kelmarin.

Tidak pernah terlintas dalam benak Datuk Ramli bahawa peristiwa itu akan berlaku ke atasnya.

'Semangat keakraban dan kesekawanan sudah mati. Jika ini boleh berlaku ke atas saya maka ia juga boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam pasukan (polis) ini.

'Anda lakukan demikian, dan anda akan menghancurkan semangat sebuah pertubuhan berpakaian seragam dan itu sebabnya PDRM (Polis Diraja Malaysia) adalah apa yang ada sekarang,' tambah beliau.

Datuk Ramli yang telah menyerahkan diri beliau untuk menjalani proses undang-undang dan kini dibebaskan daripada semua tuduhan yang dihadapinya itu, berharap pihak awam boleh menerimanya sebagai satu pewajaran - bahawa semua pertuduhan terhadap beliau adalah palsu sejak daripada asalnya lagi.

Menurut Encik Rosli, Datuk Ramli telah membuat 35 perisytiharan aset kepada jabatannya sepanjang khidmat beliau dalam PDRM selama lebih 33 tahun.

Namun, apabila Tan Sri Musa Hassan menjadi Ketua Polis Negara pada 2006, Datuk Ramli diberitahu bahawa Pingat Setia Perkhidmatan Polisnya (PSPP) ditahan atas alasan adanya siasatan yang dijalankan terhadap beliau berkaitan aset-asetnya.

Pada 2007, apabila Datuk Ramli berjaya membongkar kes kontroversial berkaitan kegiatan sindiket pinjaman wang haram, atau 'along', yang membabitkan suspek, Goh Cheng Poh @Tengku Goh, tiba-tiba beliau menjadi tumpuan siasatan BPR.

'Sebagai seorang Islam, saya menerima suratan takdir. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Saya harap pengalaman ini akan membuat saya menjadi orang lebih baik,' kata Datuk Ramli, sambil membayangkan bahawa beliau bersedia berkhidmat dalam PDRM jika negara masih memerlukan khidmatnya.

'Jika Menteri Dalam Negeri mengarahkannya, saya bersedia berkhidmat kepada negara untuk memulihkan integriti dan semangat kesekawanan PDRM,' ujarnya.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, mengumumkan bahawa PDRM sedang menjalani peralihan kepimpinan dan turut membabitkan Tan Sri Musa, yang dijangka bersara September ini.


A Famosa Golf Resort

Digigit buaya: Kelab golf bayar ganti rugi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan A Famosa Golf Resort Berhad membayar ganti rugi RM43,000 ($18,160) kepada ahli perniagaan, Encik Hong Kee Siong, 48 tahun.

Beliau digigit seekor buaya ketika bermain golf di resort tersebut di Melaka, enam tahun lalu. -- Utusan Malaysia.



Serangan roket AS bunuh 9 militan

ISLAMABAD: Serangan peluru berpandu oleh dua pesawat tanpa pemandu Amerika mengorbankan sembilan militan di Waziristan Utara, kata para pegawai semalam.

Serangan pertama mengorbankan enam orang dekat Miran Shah.

Serangan kedua di Madakhel, 40 kilometer ke barat Miran Shah, menyebabkan tiga pengganas terkorban. -- AFP, Reuters.


Thursday, March 18, 2010

Perangai macam babi...!!

Masa dulu.... dialah yang menjilat apa yang ada. Bila menduda.... menyasar macam babi liar...

Jantan jalang menjaja cerita dalam kain bininya. Bertahun kahwin, sedut segala cerok. Menjilat apa yang dapat! Meraba apa yang ada! Tibai mana yang sempat! Sekarang bila menduda.... cerita lendir pun hendak dihebahkan..... dasar jantan tiada harga diri....!!! Jantan Bacul...!!!




Wednesday, March 17, 2010

Bangkok bermandi darah

BANGKOK: Para penyokong mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, yang menunjuk perasaan, semalam menyimbah darah di depan Bangunan Kerajaan di Bangkok sebagai pengorbanan simbolik untuk mendesak kerajaan membubar parlimen dan mengadakan pilihan raya baru.

Beberapa anggota 'Baju Merah' merempuh sekatan polis pencegah rusuhan sebelum seorang lelaki berkerusi roda menyimbah sebaldi pertama darah yang diderma oleh penunjuk perasaan, sekitar 4.55 petang semalam.

Perdana Menteri Thai, Encik Abhisit Vejjajiva, belum memasuki pejabat beliau di Bangunan Kerajaan sejak bantahan bermula Jumaat lalu.

'Darah rakyat jelata kini saling bercampur bagi memperjuangkan demokrasi,' kata Encik Nattawut Saikua, seorang pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi menentang Diktator (UDD), yang lebih dikenali sebagai Baju Merah.

'Apabila Abhisit bekerja di pejabatnya, beliau akan diperingatkan bahawa beliau duduk di atas darah rakyat,' kata beliau.

Awal dari itu ribuan anggota Baju Merah berbaris panjang untuk mendermakan darah, sehari selepas pemimpin UDD berikrar akan mengumpul 1,000 liter darah untuk disimbah di Bangunan Kerajaan.

Menjelang petang mereka berhasil mengumpulan 500 liter darah, kata seorang pemimpin bantahan, Encik Weng Tochirakarn.

Para penunjuk perasaan berkata mereka akan menyimbah darah di pejabat Parti Demokrat dan rumah Encik Abhisit jika tuntutan mereka masih tidak dipenuhi.

Ekoran itu kawalan keselamatan dipertingkat di kedua-dua lokasi.

Jurucakap kerajaan, Encik Panitan Watanayagorn, berkata pihak berkuasa akan membenarkan bantahan selagi ia dilakukan secara aman.

Tetapi menurutnya, pihak berkuasa kesihatan sedang meneliti adakah perbuatan 'menyimbah darah di jalan raya melanggar peraturan kesihatan'.

Tindakan Baju Merah itu turut dikecam Palang Merah, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai membazir dan berbahaya kerana penyakit seperti hepatitis dan Aids boleh menular jika jarum terpakai digunakan.

Pegawai Persatuan Palang Merah Thai, Dr Ubonwon Charoonruangrit, kesal dengan perbuatan penyimbahan darah yang begitu banyak kerana ia boleh 'menyelamatkan banyak nyawa'.

Pemimpin bantahan menegaskan mereka menggunakan jarum baru bagi setiap penderma darah.

Menurut Encik Panitan, meskipun penunjuk perasaan bertindak secara aman pihak berkuasa sudah mengenal pasti 3,000 orang 'dengan rekod keganasan' ikut serta dalam bantahan, dan kini memantau kegiatan mereka.

Encik Abhisit semalam bertegas tidak akan melayani tuntutan penunjuk perasaan itu.

'Keputusan tidak boleh dibuat antara penunjuk perasaan dan kerajaaan kerana ia berkaitan seluruh negara,' tegas beliau menerusi televisyen dari sebuah kem tentera.

Sidang kedua-dua dewan parlimen semalam terpaksa ditangguhkan kerana tidak cukup kuorum memandangkan sesetengah anggota parlimen bimbang keselamatan mereka, para pegawai.

Kelmarin dua askar Thai cedera apabila empat bom tangan meletup di sebuah kem tentera. Tetapi para pemimpin Baju Merah menafikan mereka terlibat dalam serangan itu. -- Agensi.

Ketua kumpulan penyokong PAS Perak ditembak mati

PILU DAN SEDIH: Cik Kala dan anak lelakinya berpelukan sedih selepas melihat suami beliau, Encik Panthiyan (gambar sisipan), ditembak di kepala dari jarak dekat di kedai cuci kereta miliknya. -- Foto HARIAN METRO

TELUK INTAN: Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong Parti Islam SeMalaysia (PAS) Perak, Encik P. Panthiyan @ Siva, mati ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kedai cuci kereta miliknya di Jalan Chui Chak, Langkap, dekat sini, kelmarin.

Encik Panthiyan, 34 tahun, yang sedang duduk di sofa di premis itu, ditembak di kepala - disaksikan isterinya, Cik K. Kala, 42 tahun, dan dua anak mereka. Serangan itu berlaku pada 3 petang, sejurus setelah keluarga itu tiba di premis tersebut dari bandar Teluk Intan.

Encik Panthiyan mati di tempat kejadian.

Cik Kala berkata tidak sampai beberapa minit mereka tiba di premis itu, beliau ternampak seorang pembonceng motosikal berpakaian gelap dan bertopi keledar penuh masuk dan terus menurut ke arah suaminya.

Rakan lelaki itu menunggu atas motosikal di luar premis.

'Pada mulanya saya tidak syak apa-apa kerana suami saya sering dikunjungi rakan-rakannya untuk pelbagai urusan, termasuk mengenai kebajikan masyarakat. Namun, dalam sekelip mata saya terdengar bunyi seperti mercun dan apabila menoleh, saya nampak suami saya sudah terbujur atas sofa berlumuran darah.

'Pada masa sama, lelaki itu berlari keluar dan membonceng motosikal yang sedia menunggu dan penunggangnya memecut ke arah Langkap,' kata Cik Kala ketika ditemui kelmarin.

Menurut Cik Kala lagi, beliau masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu kerana suaminya peramah dan suka membantu orang lain, serta tiada musuh perniagaan atau politik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Goh Kok Liang, mengesahkan bahawa Encik Panthiyan ditembak dari jarak dekat.

Menurut beliau, penyerang itu dan seorang rakannya menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam dan oren dengan nombor pendaftaran dipercayai palsu.

'Pembonceng motosikal melepaskan dua das tembakan. Satu tembakan tersasar, manakala satu lagi mengenai kepala mangsa, menyebabkan beliau mati di tempat kejadian,' kata ACP Goh.

Menurut beliau lagi, polis telah melancarkan gerakan memburu suspek tetapi sehingga lapan malam kelmarin tiada tangkapan dibuat. -- BHM.

Sekilas - Dunia

25 mati dalam kebakaran

BEIJING: Satu kebakaran di sebuah lombong arang batu di wilayah Henan, tengah China, mengorbankan 25 pelombong, Isnin lalu, lapor Xinhua.

Kebakaran itu berlaku disebabkan kerosakan kabel di lohong utama syarikat Dongxing Coal Mining Co. di Xinmi, dekat ibu kota wilayah, Zhengzhou. -- Reuters.

Mantan jeneral didakwa

COLOMBO: Mantan panglima tentera Sri Lanka, Jeneral Sarath Fonseka, semalam didakwa di mahkamah atas pertuduhan terlibat dalam politik semasa memegang jawatan.

Prosiding ditangguh ke 6 April selepas peguam bela mengemukakan bantahan bahawa panel tiga hakim berat sebelah.

Dua hakim adalah bekas pegawai yang dikenakan tindakan disiplin oleh Jeneral Fonseka. -- Agensi.

AS tak pasti bila hubungan pulih

WASHINGTON: Amerika Syarikat berkata ia tidak dapat meramal bila hubungan ketenteraan dengan Indonesia akan dipulihkan sepenuhnya.

Kongres Amerika menentang hubungan dengan unit komando Kopassus yang terlibat dalam pencabulan hak asasi termasuk di Timor Timur pada 1990-an.

Pegawai Kopassus ke Washington minggu lepas untuk memulihkan hubungan yang terputus sejak 1997. -- AFP.

Serangan AS bunuh 10 militan

MIRANSHAH: Serangan peluru berpandu oleh pesawat Predator Amerika di desa Datta Khel, 20 kilometer ke barat Miranshah, bandar utama di wilayah Waziristan Utara, membunuh 10 militan semalam, kata para pegawai.

Masih belum jelas sama ada sasaran itu termasuk pemimpin kanan kumpulan militan. -- Agensi.

BN Tak Layak Tadbir Negara

Umno-Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hilang kewibawaan untuk mentadbir negara ini kerana membebankan rakyat dengan pelbagai cukai baru dan kenaikan harga keperluan asas dalam tempoh masa yang begitu singkat.

Dalam usaha untuk meredakan kemarahan rakyat itu, Najib menunda beberapa keputusan termasuk yang bersabit dengan kenaikan tarif elektrik, harga minyak, kadar tol di lebuh raya dan yang terbaru, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Namun segala penangguhan itu hanya akan bertahan untuk tempoh pilihan raya dan kenaikan semua keperluan asas itu dan GST akan diperkenalkan selepas pilihan raya umum ke-13, dengan syarat Umno-BN di beri semula mandat untuk mengekalkan Putrajaya.

Beberapa pihak yang ditemui bersetuju bahawa dalam persiapan untuk menghadapi pilihan raya itu, Najib bersama Umno-BN akan menghidangkan pelbagai retorik mengenai dasar dan program yang merupakan lebih 'indah khabar dari rupa.'

Ini termasuklah Model Ekonomi Baru yang dicanang sebagai jawapan untuk segala permasalahan yang menghimpit negara selama ini.

Hakikatnya ialah Malaysia kini tercorot dalam menggamit Pelaburan Langsung Asing (FDI) berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara akibat kelemahan dalam urustadbirnya.

Penguncupan ekonomi sebanyak 1.7 peratus tahun lalu membuktikan ekonomi Malaysia, yang mengalami bajet defisit selama 13 tahun berturut-turut, belum dapat dipulihkan oleh kerajaan.

Manakala kos kenaikan sara hidup pula semakin tinggi dan membebankan rakyat.

Pada masa yang sama kerajaan mahu melaksanakan GST, penstrukturan semula subsidi minyak, meningkatkan kadar tol lebuhraya utama seluruh negara serta menaikkan tarif elektrik.

Dalam sektor pendidikan, dasar pengajian Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah menelan belanja RM5 bilion dan sepatutnya dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 ditangguhkan pemansuhannya sehingga 2014.

Manakala dari segi sosial, indeks rasuah dan jenayah mencatat kenaikan tinggi sedangkan perpaduan kaum dan agama pula dilihat semakin renggang.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata, banyak dalil menunjukkan BN tidak layak mentadbir negara yang boleh diukur melalui enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) yang dilaksanakan kerajaan.

"Pertama NKRA yang dikatakan bertujuan untuk meningkatkan tahap pendidikan. Tetapi kita melihat kos pendidikan semakin tinggi dan kos peruntukan untuk sekolah-sekolah dipotong. Negara tidak mampu lagi melahirkan graduan yang berkualiti tinggi, sedangkan 300,000 graduan yang mempunyai kepakaran dan tenaga mahir berhijrah ke luar negara kerana tawaran gaji yang lebih lumayan," katanya.

Tambah beliau, keputusan kerajaan yang berubah-ubah dalam menyelesaikan masalah ekonomi seperti dalam isu GST mewujudkan sentimen buruk kepada pelabur.

"Matlamat NKRA juga dikatakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat miskin tetapi relatif pendapatan rakyat tidak meningkat sedangkan ekonomi jatuh merudum. Kerajaan pula gagal mengurus sumber dengan baik seperti penggunaan sumber minyak dan balak.

"Isu keselamatan negara juga membimbangkan rakyat seperti dalam kes kehilangan enjin pesawat pejuang TUDM dan rahsia tentera yang bocor ke negara asing. Dari segi kadar jenayah, kes yang besar dan berprofil tinggi seperti kes pembunuhan dan penderaan bayi berlaku secara berleluasa dan menggambarkan kemusnahan institusi kekeluargaan yang teruk di negara ini," kata beliau.

Pembuat Fitnah Munafik, Penyebarnya Fasiq

Tiada apa yang baru dalam fatwa Sheikh Yusuf Al-Qaradawi berhubung isu konspirasi kedua terhadap kerjaya politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiap dimensi fatwa yang dikeluarkan di Doha, Qatar pada 14 Februari lalu ialah penegasan terhadap hukum hakam yang ditetapkan oleh Allah aza wa jalla. Sesungguhnya, fitnah, terutama dalam konteks pertuduhan seks ini bukan sesuatu yang baru.

Sejarah sarat dengan episod fitnah seks. Kini ia berulang di Malaysia.Kita akur memang naluri jahat manusia akan cuba menghina dan mematahkan lawan dengan pelbagai taktik serangan fitnah bersifat peribadi seperti menyatakan seteru mereka gila, haloba kuasa, ahli sihir dan bersifat antiagama serta musuh ketenteraman awam.

Hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana al-Quran telah mendedahkan sikap seumpama ini dengan begitu kerap dan jelas. Kisah Nabi Yusuf terperosok dalam penjara kerana fitnah seks; kerakusan umat Nabi Lut serta Nabi Muhammad sendiri dituduh gila hanya kerana menyeru umatnya supaya lebih telus dan lurus aqidah mereka dalam bab mengEsakan Allah, adalah inti pati reaksi manusia terhadap dakwah sejagat.

Memahami hakikat ini, apabila Sheikh Yusuf berulangkali memfatwakan betapa jahat dan bahayanya taktik menjatuhkan saingan politik melalui rencana fitnah seks ini, kita menjadi cukup kagum dengan ketegaran perencana politik anti Anwar Ibrahim yang dengan selamba dan angkuhnya mengulangi kejahatan silam semata-mata untuk terus berkuasa dan menguasai pemikiran rakyat.

Tanpa segan-silu dan rasa takut akan kebesaran Allah, mereka mengenepikan bukan sahaja peringatan Allah, malah melanggar hukum yang telah ditetapkan Allah.

Lihat sahaja apa yang berlaku pada pemikiran dan gelagat penguasa agama Islam di Malaysia hari ini.

Kita percaya di segi ilmu, pengetahuan agama mereka agak tinggi. Mungkin sistem dan struktur pengajaran agama Islam agak baik di Negara ini maka ramai yang me-nguasai pelbagai cabang ilmu agama dan diberi tanggungjawab mentadbir ehwal agama Islam.

Namun mereka mengulangi kejahatan ulama silam – mengetepikan ketetapan Allah demi mempertahankan status quo masing-masing dengan alasan demi bangsa, parti dan juga kedudukan sosial mereka dengan memutar belit hukum Islam.

Yang menyedihkan ialah mereka tergamak mengkesampingkan syariat Islam demi memuaskan tauke dan kepentingan politik mereka.

Lebih mengkagumkan ialah apabila penguasa agama di Malaysia sendiri menyatakan bahawa syariat Islam adalah lebih rendah martabatnya daripada perundangan sivil buatan manusia.

Malah mereka seolah-olah malu mahu mengakui bahawa syariat Islam ditentukan Allah. Mereka tahu bahawa akal manusia terbatas tetapi ketetapan Allah kekal hingga kiamat. Namun kepercayaan ini diterjemahkan secara songsang.

Berdolak-dalik di mahkamah syariah adalah satu dosa. Malah apabila pihak berkuasa memohon kepada mahkmah supaya menggugurkan pertuduhan qazaf Saiful Bukhari Azlan, ia sekali lagi mengulangi kebiadaban manusia terhadap Allah dan kali ini dilakukan oleh orang yang bertanggungjawab memperkembangkan dakwah Islamiah.

Mereka tahu apa yang dikatakan oleh Syeikh Yusuf, Pengerusi Gerakan Ulama Sedunia itu adalah benar. Ini kerana hujah beliau hanya didasarkan pada ayat-ayat al-Quran. Mereka tahu keengganan melaksanakan ketetapan Allah adalah satu dosa besar. Mereka tahu bahawa tiada alasan untuk tidak mahu melaksanakannya. Mereka tahu mereka bergelumang dosa.

Mereka juga sudah menyaksikan kemurkaan Allah terhadap golongan yang merencana konspirasi pertama dahulu.

Namun kerana ego dan mengejar pangkat, baik menteri, cendekiawan, ulama dan mufti, masing-masing membatukan diri seolah-olah kes konspirasi kedua ini tiada kena mengena dengan mereka; yang perlu dipertahankan ialah kedudukan sahaja.

Bagi kita golongan ini hanya menunggu kemurkaan Allah. Mereka tahu mengapa Allah menetapkan sesuatu hukum. Namun demi nama, pangkat dan ketakutan akan kehilangan kedudukan dalam masyarakat, mereka ketepikan semuanya dan memperhambakan diri kepada tauke politik yang memang sudah tertutup pintu hati mereka.

Bak kata Syeikh Yusuf, sesiapa yang melakar fitnah munafiq, penyebarnya fasik. Masih belum terlambat untuk menghindar Malaysia daripada kemurkaan Allah. Bercakap benar, bertindak benar.

Selamatkan Malaysia.

Tuesday, March 16, 2010

Terkini - Thailand bertambah tegang

BANGKOK: Letupan bom tangan yang mencederakan dua askar di pangkalan tentera Thailand meningkatkan lagi ketegangan di Bangkok semalam, sedang puluhan ribu pembantah antikerajaan Thailand berkumpul dekat berek-berek lain di pinggiran ibu kota negara itu.

Tidak jelas pihak mana yang bertanggungjawab atas serangan itu atau sama ada ia dikaitkan langsung dengan bantahan-bantahan oleh para penyokong bekas perdana menteri Thai, Encik Thaksin Shinawatra, yang lebih popular dipanggil 'Baju Merah'.

Namun, ia berlaku sejurus selepas Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, menolak permintaan para pembantah itu untuk membubarkan parlimen dan mengadakan satu pilihan raya baru menjelang tengah hari semalam.

Disokong tentera dan kumpulan elit berpengaruh di negara itu, Encik Abhisit, menerusi siaran televisyen kebangsaan dan diapit oleh anggota parti campuran beliau, berkata masa sekarang belum lagi sesuai bagi satu pilihan raya diadakan, yang mana sesetengah pengamat politik berkata para sekutu Encik Thaksin dijangka menang.

Jurucakap tentera Thai, Kolonel Nattawat Attanibutt, berkata satu siasatan awal menunjukkan bom-bom tangan itu dilancarkan ke arah pekarangan pangkalan tentera oleh pelancar bom tangan M-79, dari luar pangkalan berkenaan di Viphavadi-Rangsit Road, di sini.

Askar-askar itu dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil.

'Seorang cedera di bahagian perut dan seorang lagi cedera di bahagian lengan,' kata Kol Nattawat.

Bagaimanapun, polis akhirnya berjaya menangkap seorang lelaki yang disyaki melancarkann bom-bom tangan itu ke pekarangan pangkalan Batalion Infantri Pertama di Bangkok petang semalam, kata satu laporan media Thai.

Menurut laman web akhbar The Nation, suspek telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat dan ketua polis metropolitan, Mejar Jeneral Santhan Chayanon, dan beberapa pegawai polis telah bergegas ke balai polis itu untuk menyoal siasat lelaki berkenaan.

Polis berkata lelaki tersebut telah ditahan di pusat pemeriksaan ekoran maklumat daripada para saksi.

Empat letupan berlaku sekitar 1.30 petang semalam di pekarangan pangkalan tentera Thai itu.

Jurucakap tentera Thai, Kolonel Sansern Kaewkamnerd, berkata enam bom tangan M79 itu yang dilancarkan ke pekarangan pangkalan tentera berkenaan dipercayai dari sebuah pikap.

Dua daripada enam pelancaran bom tangan itu gagal meletup.

Pihak berkuasa telah menambahkan jumlah askar yang dikerahkan segera ke ibu kota Thai. -- Agensi.


Siklon sebabkan ribuan penduduk Fiji dipindahkan

SUVA (Fiji): Siklon dengan kelajuan angin sekitar 175 kilometer sejam (kmh) melanda Fiji semalam, menghancurkan rumah-rumah dan tanam-tanaman serta memaksa ribuan penduduknya dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Siklon Tomas dikategorikan sebagai siklon bertahap empat - kedua paling bahaya dalam skala bertahap lima mata, kata Perkhidmatan Meteorologi Fiji (FMS), dengan angin yang memusnahkan bahagian utara negara itu. -- AFP.


Anak lelaki Osama minta Teheran bebaskan saudara

WASHINGTON: Salah seorang anak lelaki Osama bin Laden telah meminta Teheran supaya membebaskan beberapa saudara-maranya yang dikatakan berada dalam tahanan rumah di Iran, menurut sepucuk surat yang dikeluarkan semalam.

Mesej dalam surat yang dialamatkan kepada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, oleh Global Islamic Media Front dan diterjemahkan oleh khidmat pemantauan Kumpulan Risikan Site itu dikatakan adalah daripada anak lelaki Osama yang bernama Khalid. -- AFP.


Pengebom nekad letupkan diri dalam kereta

BAGHDAD: Polis berkata seorang pengebom nekad telah meletupkan dirinya dalam sebuah kereta dan mencederakan 24 orang apabila kenderaannya itu meletup di sebatang jalan raya yang sibuk di barat Iraq, pagi semalam.

Seorang pegawai polis berkata kejadian di Fallujah itu berlaku sebelum 9 pagi (waktu tempatan), kira-kira 65 kilometer ke barat Baghdad, yang pernah menjadi nadi kumpulan pemisah Sunni. -- AP.


Di mata dunia

16 MAC — Apabila ditegur, reaksi biasa ego kita adalah untuk tersindir dan defensif. Kita terasa seperti maruah kita dipertikai dan mesti dipertahankan, mengakibatkan kita menyerang mereka yang menegur.

Berapa di antara kita cukup rendah hati untuk menerima kritikan dengan terbuka dan ikhlas?

Saya sendiri mengaku tidak senang, terutamanya jika teguran itu disampaikan dengan kasar.

Walaupun begitu, tidak mungkin kita dapat menambah baik diri kita tanpa mendengar dengar berbuka hati apa yang dikatakan tentang diri kita — barulah kita boleh menilai secara adil sama ada kritikan itu benar atau tidak.

Kebelakangan ini, nama Malaysia seringkali terdengar di media dunia — tetapi malangnya, dalam cahaya yang cukup negatif.

Subjek kritikan yang diterima Malaysia termasuk serangan ke atas tempat-tempat ibadat, hukuman sebat kepada Kartika dan tiga perempuan muda, serta perbicaraan Anwar Ibrahim.

Pihak-pihak kerajaan telah mempertahankan dengan agresif kewibawaan kerajaan serta sistem kehakiman di negara kita. Ada yang puas hati dengan pendirian kerajaan, manakala ada yang terasa kerajaan Malaysia bertindak seperti jaguh kampung di komuniti antarabangsa.

Untuk menilai kritikan-kritikan yang diterima Malaysia kebelakangan ini, kita terpaksa melepasi ego dan berfikir dengan tenang mengenai intisari hujah-hujah yang dibawa oleh para kritik.

Pada saya, mereka yang menuduh Malaysia sebagai tempat yang penuh dengan kebencian antara kaum dan agama berdasarkan serangan ke atas gereja-gereja dan surau-surau telah salah mentasfir kejadian-kejadian ini.

Tindakan individu-individu yang bertanggungjawab atas serangan bacul ini tidak mewakili perasaan dan pendirian jutaan warga Malaysia yang cintakan keamanan dan harmoni.

Walaubagaimanapun, saya bersetuju bahawa antara faktor-faktor serangan tersebut adalah kegagalan kerajaan untuk menangani dengan matang isu pengunaan istilah Allah serta dinamik kontroversi yang menyusul.

Kerjaan dilihat seakan-akan sengaja mengapikan sentimen dan menghebohkan isu ini untuk kepentingan politik. Latar kepada pemikiran ini adalah persaingan di antara Umno dan parti-parti Pakatan Rakyat untuk dilihat sebagai pejuang isu-isu Islam.

Konteks tersebut juga mempengaruhi kes Kartika dan tiga perempuan yang disebat.

Saya tidak akan cuba menilai di sini sama ada hukuman sebat ini adalah berpatutan, sah atau wajar di sisi Islam. Soalan saya adalah satu sahaja: apakah kerajaan akan konsisten dalam menjatuhkan hukuman ini kepada semua warga Islam yang ditangkap menjalin hubungan seks luar nikah?

Pertama sekali, bagaimana dengan lelaki-lelaki yang membuntingkan tiga perempuan muda tersebut? Mengapa satu pihak sahaja yang dijatuhkan hukuman?

Bagaimana pula dengan kes profil tinggi, seperti Abdul Razak Baginda yang mengaku hubungan beliau dengan Altantuya Shaariibuu di makhamah terbuka?

Ramai orang cukup syak bahawa lebih lagi pemimpin-pemimpin dan “orang besar” mungkin pernah terlibat dalam aktiviti berkenaan (nasib baik Chua Soi Lek tidak beragama Islam).

Bagaimana dengan ribuan yang lain yang mungkin turut bersalah? Jika ditangkap, adakah mereka akan dihukum seperti tiga perempuan muda itu?

Jika tidak, kita tidak patut hairan jika kewujudan keadilan di Malaysia terus dipertikai.

Begitu juga untuk kes-kes liwat, yang masih di luar hukum di Malaysia. Setahu saya, hanya dua kes liwat yang pernah dibawa ke makhamah — dan kedua-duanya melibatkan orang yang sama.

Apakah di seluruh negara dan sejarah Malaysia hanya terdapat seorang sahaja peliwat?

Dalam keadaan sebegitu, patutkah kita kecil hati apabila pemimpin dari negara lain menimbulkan kemungkinan konspirasi politik?

Saya menerima dengan berbuka hati konsep bahawa setiap orang berhak menuntut keadilan jika merasa dirinya bersalah, termasuk Saiful Bukhari.

Walaupun begitu, jika kes dilihat secara menyeluruh dan dalam konteks sejarah, kita tidak boleh menyalahkan pemantau asing mahupun warga Malaysia sendiri jika merasa amat syak wasangka dengan fakta-fakta yang berkaitan dengan tuduhan Saiful.

Saya harap kerajaan dan rakyat tidak terlalu cepat tersinggung atau menyerang balik dengan membuta tuli apabila dikritik oleh orang lain.

Tidak perlu kita menekankan imej sahaja atau pendapat orang lain terhadap kita; tetapi, kita tidak boleh lari dari fakta, dan harus mengambil kesempatan untuk menimbang kebenaran kritikan tersebut — bukan demi menjaga maruah di mata dunia, tetapi di mata diri kita sendiri.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Nathaniel Tan believes this world is full of people, he was born to love them all.

Monday, March 15, 2010

Usia Emas pujaan hati

Kenyataan oleh Pejabat Ketua Menteri pada 15.3.2010 di Komtar, George Town

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuat keputusan untuk mengirim RM100 di bawah Program Penghargaan Warga Emas ke alamat penerimanya. Ini adalah untuk memudahkan pengagihan wang tersebut agar warga emas tidak perlu bersusah-payah untuk berkunjung ke pusat khidmat ADUN untuk mendapat sumbangan wang sebanyak RM100. Sumbangan tersebut akan dikirimkan selepas pelancaran Program Penghargaan Warga Emas yang akan diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang pada 21.3.2010.

Bersama sumbangan tersebut, akan disertakan satu salinan surat daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan kandungannya seperti berikut:

Tuan/Puan,

Program Penghargaan Warga Emas Negeri Pulau Pinang Sebanyak RM100 Setahun


Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat sentiasa berusaha mendengar suara rakyat, bekerja untuk rakyat dan memberi harapan baru kepada semua. Kerajaan berjiwa rakyat boleh disempurnakan menerusi prinsip 3P-Perkasakan, Perkuasakan dan Perkayakan rakyat.

-Perkasakan rakyat dengan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pendidikan serta menyediakan peluang yang saksama kepada semua lapisan masyarakat demi mewujudkan kemakmuran rakyat.

-Perkasakan rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan dan kebertanggungjawaban supaya semua dapat peluang yang saksama dan berjaya atas usaha sendiri.

-Perkayakan rakyat dengan perkongsian kekayaan dan hasil ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi.

Julung kali dalam sejarah Pulau Pinang, warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang bermastautin di Pulau Pinang diberi penghargaan wang tunai sebanyak RM100 setahun. Ia adalah hadiah simbolik kerajaan negeri kepada semua warga emas atas sumbangan dan usaha mereka yang membolehkan Pulau Pinang mengecapi kejayaan hari ini, baik dari segi sosio-ekonomi mahupun dalam aspek perpaduan dan harmoni masyarakat majmuk.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mampu berbuat demikian hanya atas amalan belanjawan berhemah, jimat-cermat, urus tadbir baik berdasarkan CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) berdasarkan ‘amar maa’ruf nahi mungkar’. Urus tadbir CAT mendapat pengiktirafan oleh badan antarabangsa anti rasuah terunggul, Transparency International, yang buat kali pertamanya memuji sebuah kerajaan negeri di Malaysia. Laporan Ketua Audit Negara juga memuji kejayaan kerajaan negeri yang menukarkan anggaran defisit Belanjawan 2008 sebanyak RM35 juta kepada rekod lebihan RM88 juta dan anggaran defisit Belanjawan 2009 sebanyak RM40 juta kepada lebihan RM77 juta.

Kerajaan negeri berasa kesal pihak lawan politik kami telah cuba sabotaj program penghargaan wang tunai RM100 ini dengan tuduhan pemberian wang kepada warga emas adalah satu tindakan rasuah. Walaubagaimanapun, kami akan meneruskan program ini dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang siasatan atau tindakan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Penghargaan wang tunai RM100 kali ini merupakan kesinambungan kerajaan PR yang telah pun berjaya membasmi miskin tegar, memberikan rebet air RM100 kepada hampir 170,000 keluarga susah dan juga sumbangan beras percuma pada tahun 2008-2009. Jangan ingat anda dilupakan apabila anda sudah tua. Selagi kerajaan PR Pulau Pinang ada, kepentingan warga emas akan diambil berat dan anda akan sentiasa dalam memori.

Usia Emas pujaan hati,
Tak lekang dek panas mahupun hujan,
Jasa dan budi di serata bumi,
Sanjungan rakyat berzaman-zaman.


Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Lim Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang


Musa Hassan letak jawatan. China Press diarah beri penjelasan

KEMAMAN: Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kelmarin menegaskan beliau tidak pernah menerima surat peletakan jawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, seperti dilaporkan akhbar berbahasa Cina, China Press.

Beliau berkata laporan itu tidak benar. Oleh itu, pengurusan akhbar tersebut akan dipanggil untuk memberi penjelasan.

Malah China Press berkemungkinan dikenakan tindakan tegas jika penjelasan yang diberikan tidak memuaskan, katanya.

'Hubungan saya dengan Ketua Polis Negara dan timbalannya (Tan Sri Ismail Omar) serta pegawai tinggi lain amat rapat. Jadi saya patut tahu kerana tidak mungkin mereka ingin meletak jawatan tanpa pengetahuan saya,' katanya seperti ditukil akhbar Mingguan Malaysia semalam.

'Laporan itu satu pembohongan. Saya ingin memberi amaran keras agar jangan membuat laporan tidak benar,' kata Datuk Seri Hishammuddin kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Cukai kelmarin.

Menurut laporan China Press, Tan Sri Musa akan bersara sebelum Hari Polis pada 25 Mac ini dan tempatnya akan diambil alih oleh Tan Sri Ismail.

Datuk Seri Hishammuddin berkata sebarang perubahan jawatan dalam pasukan keselamatan itu akan ditentukan kerajaan dan bukan berdasarkan spekulasi akhbar.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan akan berlaku penstrukturan jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh terdekat.

'Kontrak Ketua Polis Negara akan tamat September ini selain empat pengarah PDRM juga akan bersara. Dalam tempoh enam bulan ini akan berlaku peralihan jawatan tertinggi dan ini akan dijalankan secara lancar,' tegasnya.

'Saya akan mengumumkan perancangan penstrukturan ini dalam tempoh terdekat, namun ia tidak hanya berkisar pada Ketua Polis Negara atau peletakan jawatan,' tambahnya.

Tan Sri Musa kelmarin turut menafikan laporan itu dan mempersoalkan sumber yang digunakan.

'Saya tidak pernah menghantar sebarang peletakan jawatan kepada sesiapa pun termasuk Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Berita itu tidak benar dan saya nafikan sekeras-kerasnya,' tegasnya seperti ditukil akhbar Berita Minggu Malaysia semalam.

'Saya terkejut bagaimana boleh tersiarnya berita seperti itu. Seolaholah ia dirancang satu-satu pihak yang mungkin mempunyai kepentingan,' katanya. -- Mingguan Malaysia, BMM.

Ribuan bantah lawatan Obama ke Indonesia

JAKARTA: Ribuan pengikut kumpulan tegar Hizbut Tahrir semalam mengadakan tunjuk perasaan secara aman di beberapa bandar di Indonesia sebagai membantah lawatan yang bakal dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, lewat bulan ini.

Mereka mengadakan bantahan di Surabaya, Makassar, Solo, Yogyakarta dan Pontianak.

Sekitar 2,000 penunjuk perasaan memekik slogan 'Islam yang bersatu tidak boleh dikalahkan. Tolak Obama' sambil mengoyakkan bendera Amerika semasa mereka berarak di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan.

'Kami tahu (Encik) Obama pernah tinggal di Indonesia semasa kecil, tetapi sebagai presiden, dasar beliau bertentangan dengan kepentingan rakyat Indonesia,' kata Encik Nasrudin, penganjur bantahan di Makassar.

'(Encik) Obama sama dengan (mantan presiden Amerika Encik) George Bush, yang menghancurkan umat Islam di Iraq dan Afghanistan. Oleh itu, kita mesti menolak lawatan Obama ke Indonesia,' tegas beliau.

Di Surabaya, polis memantau bantahan yang diadakan oleh 2,000 penunjuk perasaan di luar Pejabat Konsul Amerika di sana. Namun tiada sebarang kekacauan berlaku.

Bantahan turut diadakan di Solo, Yogyakarta, di Jawa Tengah, selain di Pontianak, Kalimantan Barat dan di Mataram.

Di bandar Solo, 500 anggota Hizbut Tahrir membawa poster berbunyi: 'Usir Obama, pemimpin penjajah' dan 'Amerika Sebenarnya Pengganas.'

Jurucakap kumpulan itu, Encik Nur Alam, berkata:

'Ada dua jenis pelawat, satu baik satu jahat. (Encik) Obama jahat. Beliau mungkin tidak sama kulit dengan (mantan presiden Amerika Encik) George Bush, tetapi beliau masih menindas umat Islam.'

'Beliau mungkin dibesarkan di Indonesia, tetapi itu bukan alasan untuk tidak menolak beliau. Beliau seorang tokoh jahat, tangan berlumuran darah dan beliau tidak ada simpati,' tambah Encik Nur Alam.

Encik Obama dijadual berlepas dari Amerika pada 21 Mac bagi lawatan tersebut, yang termasuk persinggahan di Guam dan Australia.

Dua pertubuhan Islam di Indonesia, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah, mengalu-alukan kedatangan beliau. -- AP, AFP.


Sekilas - Dunia

Wartawan maut dibelasah

GENERAL SANTOS: Seorang wartawan mati akibat dibelasah di sebuah stesen radio di bandar ini, di selatan Filipina, kata polis semalam.

Juruacara dan penulis pojok, Encik Chito Abuzo, dihentak dengan batu sehingga mati lewat kelmarin, di pekarangan stesen radio DXGS, kata ketua polis Superintenden kanan Marcelo Pintac.

Meskipun Encik Abuzo suka mengkritik tokoh politik setempat, polis berkata pembunuhan itu lebih merupakan tindakan balas dendam. -- AFP.

Militan Al-Qaeda mati ditembak


SANAA: Kumpulan militan Al-Qaeda di Semenanjung Arab (Aqap) berkata seorang pemimpin kanannya, ditembak mati pasukan keselamatan Yaman.

Sayap media Aqap, Al-Malahim Media Foundation, kelmarin mengenal pasti militan tersebut sebagai Ibrahim Saleh Mujahid al-Khalifa, nama samarannya Abi Jandal al-Qisaimy, seorang warga Arab Saudi.

'Al-Qisaimy yang mengumpul dana di Arab Saudi dan memindahnya kepada sayap Al-Qaeda di Yaman,' lapor Al-Malahim menerusi Internet. -- Agensi.

Suspek serangan nekad diberkas

MUMBAI: Skuad Anti- Pengganasan Mumbai (ATS) memberkas dua lelaki yang disyaki hendak meletupkan kemudahan penting di Mumbai, kata polis semalam.

Dua suspek, Abdul Latif Rashid, 29 tahun, dan Riyaz Ali, 23 tahun, diberkas pegawai agensi keselamatan dari Mumbai.

Tangkapan dibuat menyusuli amaran serangan pengganas di bandar Kochi di Kerala, selatan India. -- Agensi.

Zul terus serang Anwar, mahu bawa usul Parlimen

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 15 Mac — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin yang dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih seminggu lalu terus menjadikan bekas ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sasaran kritikan beliau menjelang sidang baru Parlimen hari ini.

Zulkifli yang dipecat berhubung kes disiplin menegaskan, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat seharusnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Mengambil kira kerusi dimiliki DAP lebih banyak berbanding PKR dan PAS, kata beliau, mengikut konvensyen berparlimen dan nilai demokrasi, seharusnya Anwar mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang dan menyerahkannya kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Sebenarnya itulah cara terbaik dan paling demokratik yang patut dilakukan oleh Anwar,” kata wakil rakyat kontroversi ini dalam tulisan blognya malam tadi.

“Kalau saya menjadi penasihat strategi dan politik Anwar, saya akan menasihatkan beliau supaya mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang.

“Saya cukup pasti kalau itu dilakukan, rakyat akan lebih menghormati Anwar kerana akan dilihat tidak mementingkan jawatan, dan bersikap menghormati nilai demokrasi yang dilaungkan oleh PKR,” katanya.

Zulkifli menambah beliau pasti PAS dan DAP akan membawa usul dalam Parlimen supaya Anwar yang juga Penasihat PKR dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang.

“Dan semasa usul serta bahas, saya akan nasihatkan Anwar supaya jangan berada dalam Dewan. Dan, saya cukup pasti BN tidak akan membantah usul itu kerana ia tiada kena-mengena dengan BN,” katanya.

Zulkifli meneruskan serangannya dengan berkata, berdasarkan kedudukan jumlah kerusi parti-parti bukan kerajaan, maka menurut Peraturan 2 Peraturan Mesyuarat Parlimen dan berdasarkan prinsip ‘amalan berparlimen sejagat serta nilai demokrasi yang diterima pakai, susunan kerusi sepatutnya kini berubah.

“Bermakna semua Ahli Parlimen DAP sepatutnya kini duduk di blok paling depan sebelah kiri Speaker iaitu Blok I.

“Kemudian diikuti oleh Ahli-ahli Parlimen PKR dan kemudiannya PAS dan PSM (Parti Sosialis Malaysia).

“Jadi saya nak tengok esok (hari ini) apakah susunan tersebut dilaksanakan oleh Tan Sri Speaker. Sekiranya tidak, kemungkinan akan ada usul Peraturan Mesyuarat dibawa untuk susunan kerusi dibuat mengikut apa yang saya sebut tadi,” katanya.

Tempat duduk ahli-ahli Dewan Rakyat terbahagi kepada sembilan blok iaitu Blok A hingga Blok I.

Zulkifli menambah sekiranya itu berlaku bermakna walaupun Anwar akan menduduki kerusi Ketua Pembangkang, namun beliau akan dikelilingi oleh Ahli-ahli Parlimen DAP.

“Ini mungkin satu keadaan yang tidak selesa bagi Anwar sebagai Ketua Umum PKR... sebab itulah konvensyen amalan berparlimen dan nilai demokrasi mengehendaki Ketua Pembangkang adalah daripada parti bukan kerajaan yang memiliki kerusi yang paling banyak,” katanya.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini.

Ia dijangka mengundang tumpuan khususnya perubahan tempat duduk anggota Dewan Rakyat jika jawatan ketua pembangkang yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar tangan.

Walaupun PKR tidak lagi mempunyai kelebihan kerusi berbanding pembangkang lain setelah empat wakil rakyatnya kini menjadi wakil Bebas, maka sekiranya Anwar masih menyandang jawatan ketua pembangkang, ini bermakna jawatan itu dipegang oleh pemimpin yang bukan daripada parti yang menguasai majoriti kerusi.

Seperti dijelaskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia baru-baru ini, Anwar boleh terus menjadi ketua pembangkang selagi beliau mendapat sokongan majoriti wakil pembangkang.

Lim dan dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang masing-masing telah menyatakan mereka tidak akan berebut jawatan itu.

Namun begitu, jawatan itu tetap bakal menjadi perhatian apabila dewan bersidang.

Pada persidangan kali ini, sejarah juga bakal dilakar kerana terdapat pertambahan kerusi anggota Parlimen Bebas.

Ini kerana empat anggota PKR kini menjadi wakil Bebas.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) keluar parti kerana tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan PKR manakala Zulkifli pula dipecat oleh parti itu.

Berdasarkan kedudukan terkini, PKR mempunyai 27 kerusi, DAP 28 dan PAS 23.

Barisan Nasional selaku parti memerintah menguasai 137 kerusi dan Bebas tujuh.

Maklumat terbaru di laman web Parlimen juga menunjukkan sudah susunan kerusi mengikut perkembangan baru setakat minggu lalu.

Pemerhati melihat pada persidangan kali ini, pendirian dan kecenderungan wakil-wakil Bebas akan menjadi perhatian, sama ada mereka lebih condong kepada pihak kerajaan atau pembangkang.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak menolak kemungkinan persidangan akan menjadi hangat berdasarkan perkembangan politik semasa tanah air.

Malah beliau menjangka kemelut dalaman PKR sekarang akan turut diheret ke dalam dewan.

Kali ini juga, anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo daripada DAP, yang digantung 12 bulan daripada menghadiri persidangan sejak 12 Mac tahun lepas akan kembali ke Dewan.