Pages

Sunday, February 28, 2010

Umno perlu hukum Ku Li

BATU PAHAT, 28 Feb – Dr Mohd Puad Zarkashi, salah seorang aggota Majlis Tertinggi Umno berkata parti itu perlu mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kerana bersekongkol dengan parti-parti pembangkang dalam isu royalti minyak Kelantan.

Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran dan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat berkata, walaupun Tengku Razaleigh merupakan bekas “orang besar” dalam Umno, tetapi ia tidak bermakna beliau perlu diberikan sebarang layanan istimewa.

“Umno perlu mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh. Beliau tidak sepatutnya diberikan sebarang layanan istimewa walaupun beliau pernah menjadi orang besar di dalam Umno suatu ketika dahulu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Puad berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang yang bekerjasama serta terlibat di dalam siri ceramah anjuran parti-parti pembangkang di dalam isu royalti minyak Kelantan.

Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya minggu ini menyerahkan kepada anggotanya untuk menentukan bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah itu.

Menurut Mohd Puad, Tengku Razaleigh sememangnya sengaja menggunakan platform parti pembangkang di dalam isu royalti minyak Kelantan kerana mahu memaksa Umno mengambil tindakan terhadapnya dan seterusnya menjadi hero di dalam isu itu.

“Tujuan beliau (terlibat di dalam siri ceramah pembangkang) itu adalah untuk mencabar parti (Umno) mengambil tindakan terhadap dan membolehkannya menjadi hero,” katanya.

Beliau berkata pandangan Tengku Razaleigh tentang isu royalti minyak Kelantan ketika ini juga adalah tidak konsisten dan berlainan sebagaimana ketika Ahli Parlimen Gua Musang itu memegang jawatan Menteri Kewangan suatu ketikadahulu.

Mengenai tindakan Tengku Razaleigh yang mahu mengadakan siri ceramah tentang isu itu, katanya Umno tidak perlu berasa bimbang kerana Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak mempunyai pengaruh yang besar, sebaliknya terpaksa bergantung kepada parti pembangkang.

MP Pakatan: Timbang rakyat pilih ketua, ahli majlis PBT

KUALA LUMPUR, 28 Feb - Selepas konvensyen sulung Pakatan Rakyat (PR) lebih dua bulan lalu yang diharap akan membincangkan keperluan pilihan raya kerajaan tempatan secara komprehensif, seorang ahli Parlimennya mengulangi keperluan ahli-ahli majlis dan ketua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipilih secara langsung oleh rakyat.

Dr Siti Mariah Mahmud, wakil rakyat Kota Raja menekankan bahawa kedua-dua ketua PBT dan ahli majlisnya wajar dipilih bagi memberikan khidmat yang berkesan kepada penduduk tempatan.

“Saya tahu perkara ini sedang dibincangkan... tapi pandangan peribadi saya, mereka perlu dipilih dan mereka juga perlu membentuk barisan Kabinet masing-masing supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang berkesan dan ada akauntabiliti,” katanya

Konvensyen sulung PR 19 Dis lalu tidak membincangkan keperluan pilihan raya PBT ketika meluluskan dasar bersama kerana wujud perbezaan pandangan di kalangan komponen pakatan itu.

Baru-baru ini ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini memuatkan tulisannya bertajuk “Siapa Bela Penjaja Tempatan?”

Sebahagian besar kandungan tulisan beliau itu menyentuh tentang pengurusan penjaja tempatan yang disifatkannya belum berkesan dan kelihatan tidak adil.

Menerusi tulisan itu, beliau meluahkan kekecewaan kerana seolah-olah berada dalam kedudukan sebagai “peminta sedekah” atas alasan wakil rakyat yang “tiada duit dan tiada kuasa”.

Ini kerana menurut beliau, ahli-ahli Majlis PBT mempunyai lebih kuasa daripada ahli-ahli Parlimen.

“Kadang-kadang terasa yang diri ini seperti peminta sedekah. YB yang tiada duit dan tiada kuasa!

“Ahli Majlis mempunyai lebih kuasa dari Ahli parlimen. Agaknya inilah di antara sebabnya kenapa Umno-BN melantik Adun dan ahli Parlimen menjadi Ahli Majlis (selain daripada untuk menguasai pengagihan projek),” kata Siti Mariah.

Siti Mariah juga berkata akan menulis secara mendalam mengenai keperluan ahli-ahli Majlis dipilih rakyat secara langsung.

Bagaimanapun beliau mengakui kekangan yang dialami untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Akhir tahun lalu, Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu dipetik sebagai berkata di bawah peruntukan Seksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan sebagai alasan bahawa kerajaan negeri tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan sendiri.

Kuasa mengadakan pilihan raya berada di tangan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Walaupun Ronnie Liu menambah, kerajaan Selangor berusaha ke arah pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan, tetapi tetap mencetuskan pertikaian yang mengundang kritikan apabila beliau mendakwa wujudnya “dua suara” dalam pasukan petugas khas yang mengkaji pilihan raya kerajaan tempatan.

Dua pandangan dalam pasukan petugas khas yang terdiri daripada ahli akademik, peguam dan NGO.

Ada yang bertanggapan kerajaan negeri tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan kerana memerlukan persetujuan kerajaan persekutuan; di samping ada pula yang menganggap Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan belum dimansuhkan, maka kerajaan negeri boleh menggunakan akta ini untuk memulihkan pilihan raya tempatan.

Dalam tulisannya beliau berharap semua PBT dapat melancarkan program pemutihan penjaja dan peniaga yang sudah lama berniaga manakala peniaga warga asing tidak perlu dilayan untuk menjalankan perniagaan.

“Saya percaya penguat kuasa sudah tahu siapa mereka dan tempat perniagaan mereka. Kalau tempat perniagaan mereka memang tidak sesuai sangat untuk perniagaan, carilah tempat lain.

“Sebaik-baiknya pusat-pusat penjaja perlu diwujudkan dan kebersihan dan keceriaan tempat-tempat ini perlu titik beratkan,” katanya.

Kata Siti Mariah, PR perlu membuat perubahan sistem yang ada.

“Apa gunanya jika semua syarat dan peraturan dahulu diterima pakai kalau ia menyusahkan rakyat.

“Pihak yang berkuasa patut memikirkan bagaimana membantu rakyat dan pada masa yang sama membangunkan bandar,” katanya.

Sambil mengatakan bahawa beliau tidaklah hendak mengajar pihak-pihak terlibat apa yang patut dibuat, Siti Mariah berkata, “masalah penjaja ini bukan baru sudah bertahun.”

“Mungkin YB Ronnie Liu kena anjur satu bengkel untuk memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi.

Bantahan Antarabangsa Terhadap Malaysia Kian Merebak

DAMANSARA 27 FEB: Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak lagi mampu menangani merebaknya bantahan antarabangsa yang mempertikai kewibawaan sistem kehakiman negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Demontrasi yang didalangi Umno BN di kedutaan Australia 17 Februari lalu tidak mungkin berulang kerana semakin banyak negara menyatakan bantahan termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Turki dan beberapa negara serantau.

Dengan nada tegas, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengingatkan semua pihak supaya mengambil kira bantahan antarabangsa terhadap amalan sistem perundangan di Malaysia.

Beliau berkata demikian depan lebih 10,000 pengunjung program Rumah Terbuka PKR di Bandar Utama, Damansara hari ini, yang turut dihadiri ramai duta negara termasuk India, Singapura dan Filipina.

"Sebab Australia cakap, mereka buat demonstrasi. Tapi Amerika juga buat kenyataan, jadi saya cadang buat tunjuk perasaan. Kemudian Turki berkawan dengan kita, kena buat demonstrasi lawan Turki pula.

"Semalam, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin tulis surat terbuka, maka kena tunjuk perasaan Kanada. Hari ini ramai wakil duta dari Filipina, Singapura datang sokong kita, jadi mereka kena buat demonstrasi.

"...jadi, kerja mereka hanya tunjuk perasaan kerana negara lain tetap mahu juga bercakap tentang kita," katanya.

Anwar menyatakan cara Umno-BN berpolitik sudah ketinggalan zaman hingga menyebabkan imej Malaysia di mata dunia semakin menjunam dan tidak lagi dihormati seperti dulu.

Katanya, pandangan masyarakat antarabangsa perlu dihormati dan dinilai sebagaimana kritikan Malaysia dalam isu tuntutan pembebasan Aung San Suu Kyi dan kecaman negara penganiayaan rakyat Palestin.

"Sebab apa kita minta Aung San Suu Kyi dibebas? Sebab kita hormati prinsip kebebasan, hak asasi tanpa kira kaum, agama. Sebab apa kita sedih bila lihat rakyat Palestin dibom? Sebab kita tahu tanggungjawab kita sebagai manusia."Jadi, kalau orang lain bagi pendapat, kita dengar, kena nilai. Adakah betul atau tidak," katanya.

Selain negara berkenaan, Anwar turut mendapat sokongan jitu daripada negara Islam termasuk tokoh ulama paling terkemuka termasuk Ketua Ulama Sedunia, Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Gempa Bumi Terkuat Landa Chile, 214 Terbunuh

Beberapa kenderaan musnah teruk apabila lebuh raya berhampiran Santiago runtuh akibat gempa bumi sekuat 8.8 skala ritcher yang melanda Chile semalam.- Foto AP

TALCA (Chile): Lebih 214 orang terbunuh dalam gempa bumi sekuat 8.8 pada skala Richter menggegarkan bahagian selatan Chile petang semalam (waktu Malaysia) - gegaran lebih kuat berbanding yang dialami Haiti bulan lalu.

Gempa bumi terkuat dirasai Chile ini telah mengorbankan 214 orang setakat ini (pagi waktu Malaysia), kata Menteri Dalam Negerinya Edmundo Perez.

Angka kematian dijangka terus meningkat.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa bumi tersebut berlaku pada pukul 3.34 pagi waktu tempatan (2.43 petang semalam waktu Malaysia), 90 kilometer dari timur laut bandar Conception pada kedalaman 35 kilometer.

Laporan radio dan televisyen menyebut beberapa bangunan runtuh di bandar raya Curico dan terdapat kerosakan pada bangunan bersejarah di tengah ibu negara Santiago, kira-kira 320 km dari utara pusat gempa.

Lapangan terbang antarabangsa di Santiago ditutup dan sebuah jambatan lebuh raya runtuh.

Apartmen-apartmen yang baru dibina juga ranap sama sekali.

Berjuta-juta orang membanjiri jalan raya dalam kegelapan ekoran gangguan bekalan elektrik.

Presiden Michelle Bachelet mengisytiharkan perintah bencana ketika pasukan mencari dan menyelamat meneruskan usaha mengesan mangsa-mangsa yang terselamat.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran bagi negara-negara di Amerika Latin dan juga kepada Jepun, Rusia, Filipina, Indonesia dan French Polynesia.

Tsunami di rantau Asia dan Asia Pasifik dijangka berlaku di antara 12 hingga 15 jam selepas gempa bumi.

Ombak besar melanda pulau Robinson Crusoe, wilayah terbesar di kepulauan Fernández dengan sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan terbunuh.

Penduduk dari Pulau Easter dipindahkan.

Bunyi siren amaran tsunami dikeluarkan di kawasan Hawaii sekitar pukul 6 pagi waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia).

Dalam pada itu Bernama melaporkan Wisma Putra masih cuba mewujudkan hubungan komunikasi dengan Kedutaan Malaysia di Santiago bagi mengetahui nasib rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Luar A.Kohilan Pillay memberitahu Bernama laporan awal media menyebut talian telephone dan bekalan elektrik terputus akibat kejadian itu .

Keadaan itu menjejaskan usaha menghubungi pegawai kedutaan bagi mendapatkan perkembangan terbaru mengenai keselamatan rakyat Malaysia serta keadaan menyeluruh di sana, katanya.

"Usaha berterusan sedang dilakukan bagi menghubungi pegawai kedutaan kita di negara itu," katanya.

Bagaimanapun, bilangan rakyat Malaysia di negara, yang penduduknya berjumlah 17 juta, belum dipastikan. -AP

UMNO Gagal Terap Ajaran Islam Kepada Rakyat

DAMANSARA 27 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim melabel kerajaan Umno-Barisan Nasional dalam tempoh lebih 50 tahunmemerintah, sama sekali gagal menerapkan ajaran Islam paling asas kepada rakyat beragama Islam di negara ini.

Ini menyebabkan pelbagai kekeliruan di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia apabila menyentuh isu agama dan semangat toleransi kian hilang hingga mendorong pertelagahan yang berpanjangan.

Sedangkan, Islam mengajar semua umatnya untuk menghormati bangsa dan agama lain, sebaliknya Umno BN gagal memupuk semangat itu walaupun menyedari Malaysia adalah sebuah negara majmuk, sebaliknya Pakatan Rakyat lebih menyerlah dalam soal itu.

"Saya seorang Islam. Saya mendidik anak-anak tidak minum (minuman keras) tapi ia bukan bermakna kita mesti menghalang orang agama lain dari berbuat demikian kerana ia dibenar agama mereka," katanya pada majlis rumah terbuka PKR hari ini.

Ketua Umum PKR itu menegaskan Umno gagal menunjukkan betapa Islam itu sesuai sepanjang zaman untuk semua bangsa, bahkan mereka memperalat agama untuk meraih sokongan kaum Melayu-Islam.

Anwar juga menyindir pelaksanaan undang-undang kerajaan Umno BN yang tidak konsisten khususnya isu kalimah Allah hingga menjadi bahan jenaka masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

"Saya di mana sekarang. Di Selangor atau KL? Ada negeri, orang bukan Islam boleh pakai kalimah Allah, ada negeri tidak boleh," katanya.

Saturday, February 27, 2010

15 maut dalam rempuhan semasa sambutan Maulud

Masjid Djinguereber

BAMAKO (Mali): Satu rempuhan di sebuah masjid utama di Timbuktu, sebuah bandar di barat laut Mali, mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang dihenyak hingga mati dan ramai lagi cedera, kata para pegawai dan saksi semalam.

'Orang ramai sedang mengelilingi masjid, satu upacara di setiap perayaan Maulidur Rasul, dan terdapat jumlah orang ramai yang semakin meningkat,' kata seorang saksi, Encik Mohamed Bandjougou, mengenai nahas yang berlaku lewat malam kelmarin itu.

'Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban. Mayat mereka telah dibawa ke bilik penyimpanan mayat,' katanya lagi melalui panggilan telefon kepada agensi berita AFP.

'Saya kehilangan adik perempuan. Dia berusia 16 tahun dan telah ke sana untuk bersolat,' kata seorang lagi penduduk, Encik Ali Kounta.

Ribuan jemaah datang ke Timbuktu bagi sambutan Maulud dan seorang pegawai berkata nahas itu nampaknya berpunca daripada kesesakan disebabkan adanya kerja-kerja baik pulih di masjid abad ke-14 itu.

Dua pegawai pemerintah Mali berkata khidmat menyelamat dengan segera telah membantu 'ramai yang tercedera'.

Masjid Djinguereber, tempat berlaku nahas itu, adalah masjid terbesar di Timbuktu dan amat terkenal di negara di benua Afrika itu. -- AFP.

Alat pengimbas tubuh bercanggah dengan Syariah

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menolak penggunaan alat pengimbas tubuh di lapangan terbang negara itu dan menegaskan ia bercanggah dengan Syariah dan hak asasi manusia.

'Jangan guna alat itu di Indonesia. Negara ini selamat dikunjungi dan tiada apa yang perlu ditakutkan. Kita lebih bimbang alat itu melanggar hak asasi dan disalahgunakan terhadap wanita,' kata pengerusi MUI, Encik Amidhan.

MUI juga menyatakan, pandangan sama disuarakan oleh pemimpin Vatican, Paus Benedict, yang membantah penggunaan pengimbas terhadap anggota tubuh.

'Jika hanya tulang yang kelihatan, ia boleh diterima tetapi jika membabitkan anggota tubuh, orang yang diperiksa seolah-olah seperti bahan 'permainan',' katanya.

Bagaimanapun, Encik Amidhan berkata MUI sedia mengecualikannya dalam keadaan tertentu.

'Ia boleh digunakan dalam kes kecemasan membabitkan keselamatan negara. Wanita mesti diperiksa oleh wanita manakala lelaki diperiksa lelaki,' katanya.

Encik Amidhan percaya Indonesia tidak terlalu terdesak ketika ini dan keselamatan di lapangan terbang masih boleh dikawal menggunakan mekanisme yang lain.

'Selagi masih ada peralatan lain, kita tidak terdesak,' katanya.

Pemerintah Indonesia dilapor merancang menggunakan pengimbas tubuh buatan Amerika Syarikat di lapangan terbang negara itu. -- Agensi.

Separuh aset Thaksin dirampas

Mahkamah putuskan mantan PM Thai salah guna kuasa

BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand semalam berkata ia akan merampas aset mantan perdana menteri, Encik Thaksin Shinawatra, berjumlah 46 bilion baht atau AS$1.4 bilion ($1.97 bilion), lebih separuh daripada seluruh harta beliau berjumlah AS$2.3 bilion.

'Majoriti hakim memutuskan bahawa (Encik) Thaksin menyalah guna kuasa bagi menguntungkan (syarikat keluarganya) Shin Corp,' kata mereka dalam keputusan yang disiarkan menerusi televisyen dan radio semalam.

'Dividen dan hasil jualan saham Shin Corp diperolehi melalui cara-cara tidak wajar,' kata mereka.

Satu pinjaman bank kerajaan sebanyak AS$121 juta kepada Myanmar yang dipersetujui oleh kerajaan mantan perdana menteri Encik Thaksin Shinawatra bagi perkhidmatan satelit, menguntungkan syarikat Thaicom dan Shin Corp yang dimiliki keluarga beliau, kata seorang hakim semalam.

Pegawai pendakwa berkata Encik Thaksin yang mendalangi keputusan meluluskan pinjaman daripada Export-Import Bank of Thailand kepada pemerintah Myanmar pada 2004 bagi mendapatkan perkhidmatan dan peralatan daripada Shin Satellite, yang kini dikenali sebagai Thaicom, anak syarikat Shin Corp.

Awal dari itu mahkamah berkata Encik Thaksin, 60 tahun, menyorok secara tidak sah pemilikan saham dalam syarikat telekom.

'Mahkamah sepakat memutuskan (Encik) Thaksindan bekas isterinya (Cik) Pojaman memegang saham Shin Corp sepanjang dua penggal jawatan beliau sebagai perdana menteri,' kata seorang hakim.

Menurut beliau, langkah Encik Thaksin menukar sebahagian bayaran konsesi menjadi cukai eksais menguntungkan Shin Corp, tetapi merugikan kerajaan.

Mahkamah awal dari itu berkata Encik Thaksin menyembunyikan saham dalam syarikat telekom milik keluarganya, Shin Corp, semasa memegang jwatan sebagai perdana menteri dan mengubah dasar telekom kerajaan bagi menguntungkan syarikat beliau.

Pihak pendakwa menggesa agar aset Encik Thaksin berjumlah AS$2.3 bilion ($3.23 bilion) dirampas atas alasan beliau menyalah guna kuasa semasa menjadi perdana menteri dari 2001 hingga 2006 untuk menjadi 'luar biasa kaya.'

Shin Corp dijual kepada Temasek Holdings pada Januari 2006, sekali gus mencetus tunjuk perasaan.

Namun pihak pembelaan berhujah bahawa saham Encik Thaksin telah dipindahkan kepada anak-anak beliau dan adik tiri isterinya.

Hakim sepakat menolak hujah peguam Encik Thaksin bahawa Peguam Negara Thai tidak berhak mengemukakan pendakwaan ke atas beliau dan mahkamah tidak layak mengadili kes tersebut.

Encik Thaksin, yang bercakap kepada anggota Parti Puea Thai menerusi hubungan video, berkata beliau 'sudah bersedia menerima apa juga keputusan mahkamah,' lapor Bangkok Post semalam.

'Saya ingin tegaskan bahawa saya dan keluarga saya memperoleh semua wang itu dengan kerja keras, dengan otak dan titik peluh kami sendiri. Kami tidak pernah melakukan rasuah seperti yang dituduh,' tegas beliau menerusi Twitter semalam.

Pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi Menentang Diktator (UDD) atau 'Baju Merah', Encik Jatuporn Prompan, semalam menggesa pengikutnya supaya bertindak rasional semasa menunggu keputusan mahkamah.

Beliau menggesa mereka supaya tidak menunjuk perasaan semalam.

Sekitar 450 polis pencegah rusuhan mengawal bangunan mahkamah tetapi hanya ada 100 penyokong Baju Merah di ibu kota Bangkok.

Kerajaan Thai berkata ia telah meletakkan 35,000 polis dan askar dalam keadaan berjaga-jaga di seluruh negara bagi menghadapi sebarang kekacauan. -- Agensi

Sekilas Dunia

Buli di Facebook: Pelajar dihukum

BRISBANE: Sejumlah 20 pelajar sekolah tinggi digantung sekolah kerana membuli seorang kakitangan sekolah di laman Facebook.

Education Queensland berkata ia tidak dapat membiarkan kegiatan membuli, gangguan berterusan, dan kelakuan mengancam, sambil menambah ia sedang bekerjasama dengan Facebook untuk menarik balik ruangan mengenai kakitangannya itu. -- AP.

Wanita lahirkan bayi di beca

QUETTA (Pakistan): Seorang wanita Pakistan terpaksa melahirkan bayinya di sebuah beca di jalan raya sesak apabila polis menutup beberapa jalan bagi membolehkan rombongan Presiden Asif Ali Zardari melalui kawasan itu.

Wanita itu sedang dibawa ke sebuah hospital di bandar Quetta malam kelmarin, apabila polis menutup jalan raya bagi Encik Zardari dan konvoinya untuk lalu di situ. -- Reuters.

Peminta suaka lari dari tahanan

JAKARTA: Lebih 40 peminta suaka Afghanistan dan Turkey melepaskan diri daripada tahanan polis di timur Indonesia dan melarikan diri ke Australia selepas seorang yang disyaki sebagai penyeludup manusia menyamar sebagai seorang pegawai pemerintah dan mengarahkan pembebasan mereka, kata ketua polis, semalam.

Seorang pemimpin masyarakat setempat di wilayah Timur Nusa Tenggara mencabar penjelasan polis itu, sambil berkata para peminta suaka itu telah memberi rasuah kepada polis untuk membebaskan mereka. -- AP.

Gempa Bumi Kuat - Amaran Tsunami Dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Laporan berita agensi dari seluruh dunia melaporkan gempa bumi dengan ukuran skala Richter yang sangat kuat telah menggoncang beberapa lokasi di Lautan Pasifik dari Jepun sehinggalah ke Barat Amerika Selatan.

Laporan paling awal menyebut Jepun telah dilanda dengan gegaran berskala 6.9 magnitud berdekatan dengan kepulauan Okinawa.

Bagaimanapun gegaran paling kuat telah dicatatkan di Concepcion, Chile pada magnitud 8.3 skala Richter - sehingga menyebabkan bekalan elektrik terpadam dan beberapa bangunan mengalami goncangan yang teruk.

Malah di Peru dan juga Equador, amaran awal tsunami telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.



Siapa Bakal Pengganti Taib Mahmud?

KUALA LUMPUR: Persidangan perwakilan tiga tahun sekali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bermula di Kuching, Isnin ini mungkin satu perkara membosankan berikutan tiada pertandingan bagi jawatan-jawatan utama kecuali bagi beberapa kerusi dalam majlis tertinggi parti.

Bagaimanapun, atas sebab-sebab politik, persidangan ini akan menarik perhatian penganalisis politik dan para anggota parti memandangkan presiden parti yang telah lama berkhidmat dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sekurang-kurangnya mungkin memilih majlis itu bagi membayangkan, paling sedikit, siapa bakal penggantinya.

Sesetengah anggota dalam parti membuat spekulasi bahawa Taib akan memberikan bayangan mengenai kemungkinan siapa selepas ini kerana ini boleh menjadi tempoh terakhir beliau menerajui PBB, parti politik paling kuat di Sarawak.

Tapi, biar betul? Ramai yang masih ragu-ragu bahawa beliau akan berbuat demikian demikian pada ketika ini.

"Beliau sepatutnya mempunyai strategi peralihan mulai sekarang tetapi tiada bukti mengenainya," kata Datuk Seri Daniel Tajem, yang pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri kepada Taib pada awal 1980-an.

Tajem, yang kini seorang penasihat kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, berkata Taib perlu menghadapinya dan bergelut tanpa menghindarinya dan mengumumkan bahawa beliau akan berhenti dan melepaskannya.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian percaya bahawa Taib akan melepaskan kedudukan tertinggi parti hanya selepas pilihan raya negeri kerana jika beliau meletakkan jawatan sekarang, ia mungkin mencetuskan pergelutan kuasa di dalam parti.

"Beliau perlu mempersiapkan seseorang untuk mengambil alih. Kita mungkin melihat beberapa petanda siapa orang itu selepas konvensyen PBB," katanya.

Dr Sivamurugan berkata daripada perspektif strategi politik, ia mungkin kurang bijak bagi beliau untuk melepaskan jawatan sebelum pilihan raya negeri memandangkan parti itu mungkin memberi perhatian yang lebih kepada siapa yang akan menjadi ketua menteri selepas itu daripada memenangi atau mengekalkan kuasa dalam pilihan raya negeri.

"Isu mana yang mahu diberi perhatian, kepimpinan negeri atau pilihan raya negeri? Taib tidak akan menjadi isu pilihan raya jika beliau terus kekal dan mengetuai kempen dalam pilihan raya negeri akan datang. Pendapat rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak semuanya berbeza. Sebab itu, adalah lebih baik bagi Taib melepaskan jawatan hanya selepas pilihan raya negeri," katanya.

Pengganti berpotensi mungkin datang dari mereka di dalam kedudukan timbalan presiden parti, mereka yang biasanya dipersiapkan untuk mengambil alih kepimpinan tertinggi.

Tapi politik di Sarawak berbeza, ia tidak bermakna bahawa perkara itu akan terjadi.

Taib, 74, dipercayai serius mencari pemimpin untuk mengetuai parti. Beliau menerajui PBB sejak 26 Mac, 1981, satu tempoh kira-kira 29 tahun.

Apa yang menarik mengenainya ialah sesiapa yang bakal menggantikan beliau sebagai Presiden PBB bakal menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Pada masa lepas, Taib telah memerhati sejumlah pemimpin PBB yang boleh mengambil alih kepimpinannya termasuk Tan Sri Dr Sulaiman Daud, Datuk Seri Effendi Norwawi, Datuk Bujang Haji Ulis, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha dan Datuk Seri Haji Adenan Satem.

Bagaimanapun, kesemua mereka sedikit sebanyak telah dilupakan, atas beberapa sebab. Sesetengah daripada mereka dikatakan tidak sabar, sesetengahnya enggan menunggu.

PBB ditubuhkan berikutan penggabungan antara Parti Bumiputra dan Parti Pesaka pada Januari 1973. Dalam sejarah parti itu, tiada siapa yang pernah mencabar presiden parti dan kebanyakan kedudukan tertinggi tidak ditandingi, kecuali dalam dua peristiwa, pada 1998 dan 2005, tetapi ia hanya membabitkan jawatan timbalan presiden.

Pada 1998, Adenan dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden, yang diperuntukkan bagi seksyen Melayu/Melanau dalam PBB. Abang Johari menenag selepas mendapat sokongan kuat daripada anggota-anggota keturunan Dayak walaupun kenyataannya Adenan disokong kuat oleh Taib pada masa itu.

Adenan, kemudian dilantik oleh Taib sebagai naib presiden kanan parti itu. Tujuh tahun kemudian, Adenan mencabar Abang Johari, tetapi perwakilan persidangan ditangguhkan apabila dilaporkan sesetengah para penyokong Adenan didakwa menggandakan cawangan-cawangan dalam 40 kawasan.

PBB kemudian dinasihatkan Pendaftar Pertubuhan untuk mengadakan pemilihan atau berdepan dibatalkan pendaftaran seperti Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah tidak wujud lagi.

Pada 2006 Taib telah membayangkan bahawa beliau akan menduduki kerusi ketua menteri sehingga pilihan raya negeri memandangkan tempoh pentadbiran negeri sekarang akan tamat pada Julai tahun depan.

Tetapi, seawal akhir tahun lepas, Taib menghantar satu isyarat bahawa beliau bersedia mengundur diri dan dilaporkan sedang mencari seseorang tanpa mengira kaum untuk dilatih bagi mengambil alih kepimpinan daripadanya.

Cakap-cakap bahawa Taib bersedia menyerahkan baton semakin bertambah April tahun lepas berikutan kematian isterinya, Puan Sri Laila Taib, yang disifatkan sebagai penyokong kuat kepada Taib dalam karier politiknya.

Oleh itu, tumpuan kepentingan kini ditumpukan kepada kelompok semasa para pemimpin kanan timbalan presiden (1) Tan Sri Alfred Jabu, timbalan presiden (II), Abang Johari dan naib presiden kanan Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan sebagai calon pengganti.

Alfred Jabu, seorang graduan pertanian dan ahli politik berpengalaman, telah dididik oleh dua ahli politik terkenal Sarawak Tun Abdul Rahman Yaakub, mantan ketua menteri dan Yang Dipertua Negeri, dan kemudian oleh Taib sendiri.

Sejak dipilih sebagai anggota dewan undangan negeri kawasan Layar pada 1974, beliau telah dilantik dalam pelbagai jawatan kementerian, termasuk timbalan ketua menteri di bawah Rahman, dan sejak Mac 1981 di bawah Taib.

Seorang lagi calon ketua menteri ialah Abang Johari, yang datang dari keluarga ternama di mana bapanya, Tun Abang Openg, merupakan gabenor pertama Sarawak.

Dengan memegang satu ijazah MBA dari sebuah universiti Britain, beliau dikatakan telah menunjukkan kebolehan sebagai menteri pembangunan industri sebelum bertukar ke Kementerian Pelancongan.

Dalam rombakan kabinet terbaru negeri, beliau dipertanggungjawabkan untuk menjaga Kementerian Pembangunan Bandar dan Perumahan negeri.

Anak Taib, Datuk Seri Sulaiman yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan baru-baru ini, juga telah disebut-sebut sebagai seorang lagi bakal calon kerana terdapat spekulasi bahawa bapanya mahu beliau kembali ke Sarawak dan "dilatih untuk mengambil alih".

Pemerhati politik yang memantau dengan teliti politik Sarawak berkata walaupun Sulaiman tidak menawarkan diri untuk bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan parti tidak lama lagi, ini tidak bermakna bahawa beliau tidak akan dipilih sebagai seorang calon dalam pilihan raya negeri nanti.

Seorang lagi yang bercita-cita sebagai ketua menteri ialah Awang Tengah, menteri kemudahan awam dan menteri kedua perancangan dan pengurusan sumber, yang disifatkan oleh sesetengah orang sebagai jawatan menteri yang cukup berpengaruh selepas Taib dalam kabinet negeri.

Terdapat cakap-cakap bahawa Taib telah mendapatkan pandangan rakyat yang rapat dengan beliau termasuk sesetengah menteri keturunan Dayak dan Cina berhubung bala penggantinya.

Jadi, siapa bakal pengganti Taib? Teka teki masih berterusan. - BERNAMA

Lekuk Tubuh Wanita bagai Candu bagi Lelaki

Pinggul wanita yang seksi membuat pria mabuk kepayang.

Menurut penelitian baru-baru ini, diketahui bahwa di otak pria bila melihat lekuk tubuh wanita yang ramping dan seksi ternyata terjadi semacam reaksi kimia yang efeknya serupa saat seseorang meminum minuman beralkohol atau obat-obatan. Penemuan ini bisa membantu menjelaskan apa yang terjadi di kepala pria dan hubungannya dengan pornografi.

Untuk sementara ini, diperkirakan bahwa pinggul berbentuk indah yang dimiliki wanita secara tidak sadar terasosiasi dengan kesuburan dan kesehatan secara keseluruhan. Karena hal itu, tak heran jika di seluruh dunia, secara umum, pria mengatakan bahwa figur tubuh wanita yang bersiluet jam pasir dianggap seksi.

Untuk mengeksplor lebih dalam mengenai hal ini, para peneliti mengundang 14 pria dengan usia rata-rata 25 tahun untuk melihat 7 pasang foto pinggul wanita. Ketujuh pasang foto itu merupakan gambar pinggul wanita yang sudah melewati proses operasi kosmetik untuk perampingan, bukan penyedotan lemak, tapi memindahkan lemak yang ada di pinggang ke bokong.

Melalui alat pemindaian diketahui bahwa ketika melihat para pria ini melihat foto pinggang wanita yang telah dioperasi, bagian otak yang teraktivasi adalah bagian yang juga merespons ketika seseorang meminum alkohol dan obat-obatan. Hal ini tidak terlalu mengejutkan betapa evolusi manusia kini sudah membuat bentuk tubuh menarik wanita menjadi hal yang mencandu.

Steven Platek, ilmuwan neuro yang meneliti evolusi kognitif di Georgia Gwinnett College, Lawrenceville, Georgia, mengatakan bahwa penelitian ini bisa membantu kita memahami kaitan candu pornografi dan kelainan yang serupa, misal, disfungsi ereksi ketika tidak dibantu pornografi. Penemuan ini juga bisa membantu mencari jawaban mengenai ketidaksetiaan seksual seseorang.

Para peneliti juga menemukan bahwa perubahan indeks massa tubuh (BMI) seorang wanita hanya memengaruhi bagian otak yang terhubung pada perbandingan ukuran dan bentuk visual yang sederhana. Ini membuktikan bahwa penilaian diri akan lemak tubuh tak lebih hanya karena norma sosial, bukan masalah kelainan pada otak.

Penelitian lebih lanjut diharapkan bisa menerangkan efek tubuh wanita yang seksi tersebut pada otak wanita. "Ditengarai, wanita juga menganggap bentuk tubuh ala jam pasir sama menariknya seperti cara pandang pria terhadap obyek tersebut. Namun, pada wanita, hal itu ditafsirkan berbeda," jelas Platek. Para wanita melihat bentuk wanita lain yang menarik sebagai usaha untuk mengukur keseksian tubuhnya sendiri. Ini merupakan semacam sistem dalam pikiran wanita agar prianya tetap tertarik padanya. Dengan kata lain, untuk menjaga agar pasangannya tidak melirik wanita lain yang cantik dan seksi.

Sumber: msnbc

Hanapiah antara empat kena gugur

KETUA jurulatih olahraga Hanapiah Nasir adalah antara empat nama yang bakal digugurkan selaku pengendali skuad kebangsaan selepas gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan badan induk Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), pada Sukan Sea XXV di Vientiane, Disember lalu.

Difahamkan, KOAM sudahpun menghantar surat bertarikh 21 Februari lalu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) memohon supaya kontrak empat jurulatih itu yang turut membabitkan jurulatih jalan kaki, lari jarak sederhana dan lompat tinggi, tidak dilanjutkan.

Diminta mengulas perkara itu, Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim mengesahkannya tetapi enggan mendedahkan nama jurulatih terbabit dengan meminta supaya perkara itu dirujuk kepada MSN.

"Setiap jurulatih sudahpun diberikan sasaran yang perlu dipenuhi pada Sukan Sea XXV di Laos," kata Karim, semalam.

"Perkara itu dimaklumkan sebaik selepas Temasya Korat pada 2007 dalam setiap mesyuarat kejurulatihan dan mereka (jurulatih) sudah maklum mengenainya.

"Sasaran pertama ialah atlit bimbingan mereka perlu memenangi emas di Vientiane dan, kedua seandainya gagal mendapatkan objektif pertama itu, atlit mereka perlu berjaya memperbaiki catatan peribadi terbaik masing-masing.

"Hanya dua perkara ini yang kita tuntut daripada kesemua jurulatih kebangsaan. Malangnya, ada atlit yang gagal mencapai salah satu daripada matlamat itu walaupun dibimbing jurulatih yang sama hampir tiga atau empat tahun.

"Justeru, KOAM terpaksa mengambil langkah menamatkan kontrak jurulatih yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan dan memberi peluang kepada jurulatih lain membuktikan kredibiliti mereka," katanya.

Nama Hanapiah berada dalam senarai yang bakal digugurkan apabila tugasnya sekarang sudah diambil alih ketua jurulatih skuad olahraga Sukan Sea XXV, Harun Rasheed.

Friday, February 26, 2010

Jurulatih dibunuh paus taman hiburan

MIAMI: Seekor paus di sebuah taman hiburan di tengah Florida, Amerika Syarikat, membunuh jurulatihnya semalam, kata polis.

'Beliau sedang mengusapusap kepala paus (jenis) killer whale itu, dan tiba-tiba ia menyambar dan menariknya ke dalam kolam air,' kata Encik Chuck Tompkins, kurator di taman hiburan SeaWorld Parks & Entertainment itu.

Cik Dawn Brancheau, 40 tahun, jurulatih berpengalaman 16 tahun di SeaWorld, ditemui mati apabila pegawai penyelamat tiba, kata jurucakap Syerif Orange County, Encik Jim Solomons.

Laporan-laporan media berkata paus itu, yang lebih lazim dikenali sebagai 'orca', menyambar jurulatih itu di pinggangnya, melambung-lambungkan beliau di permukaan air dan menarik beliau ke dalam air di Stadium Shamu, tempat pertunjukan paus di taman itu.

Presiden SeaWorld Orlando, Encik Dan Brown, berkata Cik Brancheau mati lemas.

Awal dari itu terdapat laporan-laporan bercanggah mengenai bagaimana kejadian itu berlaku.

Akhbar The Orlando Sentinel memetik seorang saksi sebagai berkata paus itu keluar dari air dan menyambar jurulatih itu di bahagian pinggang.

Pegawai syerif itu bagaimanapun berkata keterangan awal menunjukkan beliau tergelincir dan jatuh ke dalam air.

'Ia berlaku setelah satu sesi indah dengan Dawn... kelakuan dia baik... itu sebabnya beliau mengusap kepalanya,' kata Encik Tompkins.

'Kami belum ada sebarang butir lagi. Ia dahsyat, satu suasana dahsyat telah berlaku, ia satu tragedi, simpati kami yang tidak terhingga untuk keluarga beliau,' tambahnya.

Taman itu milik Blackstone Group, syarikat ekuiti swasta yang juga memiliki sebahagian taman tema Universal Orlando.

Seorang jurucakap SeaWorld di San Diego berkata pertunjukan paus digantung buat sementara waktu berikutan kejadian di Orlando itu. -- Reuters.

Sekilas Dunia

Mahu pesalah 'Facebook' dijel

JEMBER: Pendakwa Indonesia semalam menuntut hukuman penjara enam bulan ke atas seorang pelajar universiti yang didapati bersalah menghina pembimbing muziknya melalui Facebook.

Muhammad Wahyu Muharam Ogos lalu menyifatkan pembimbing itu sebagai 'bajingan' dan 'tamak'. - AFP.

Belum perlu ambil tindakan

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand, Encik Suthep Thaugsuban, berkata semalam belum perlu dikenakan sebarang undang-undang khusus menjelang rapat besar-besaran antikerajaan yang dirancang Barisan Bersatu Demokrasi menentang Diktator (UDD) pada 14 Mac.

Beliau berkata begitu selepas pemimpin UDD, atau 'Baju Merah', Encik Jatuporn Promphan, mengesahkan akan mengadakan rapat itu. -- Agensi.

15 lagi suspek pembunuhan

DUBAI: Polis Dubai berkata tiga rakyat Palestin disoal berhubung pembunuhan pemimpin Hamas, Encik Mahmud al-Mabhuh, di sebuah hotel di negara itu 20 Januari lalu, lapor akhbar Al-Ittihad semalam.

Kelmarin, polis Dubai mendedahkan 15 lagi pemegang pasport Barat sebagai suspek pembunuhan Encik Mabhuh, selain 11 yang sudah dinamakan.

Mereka termasuk lima wanita, tiga rakyat Ireland dan tiga pemegang pasport Australia. -- AFP.

Kabul dikejutkan dengan serangan pengebom nekad

KABUL: Sekurang-kurangnya sembilan terbunuh dalam serangan letupan dan senjata api di ibu kota Afghanistan, pada jam 6.30 pagi tadi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia).

Pihak berkuasa Afghanistan, berkata seorang pengebom nekad meledakkan bahan letupannya, manakala dua penyerang lain ditembak mati.

Jurucakap Taliban, berkata pemberontak Islam mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu, di mana berdekatan dengan pusat beli belah dan sebuah hotel.

Sementara itu, menurut laporan AP, Pihak Berkuasa Polis Kabul,Abdul Ghafor Sayedzada, berkata dua letupan kelihatan berdekatan kawasan pusat beli belah kabul sembilan tingkat, iaitu berhampiran Hotel Sari Landmark.

Beliau berkata, bangunan di hadapan hotel berkenaan kelihatan terbakar akibat daripada serangan itu.

Abdul Ghafor berkata, sekurang-kurangnya dua letupan kecil kedengaran selepas itu sambil disusuli bunyi tembakan senjata api.

Kejadian terbaru itu turut mengorbankan dua anggota polis dan terdapat laporan anggota lain turut tercedera.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum jelas sama ada warga asing antara mangsa yang terkorban. - bbc.co.uk

Australia hantar pulang 63 warga Malaysia

MELBOURNE: Sekumpulan 76 pekerja tanpa izin yang bekerja sebagai pemetik buah telah dihantar pulang ke Malaysia dan Indonesia selepas operasi mengesan secara besar-besaran oleh pihak imigresen.

Seramai 63 warga Malaysia dan 13 Indonesia diterbangkan pulang malam tadi, jumlah penghantaran pulang terbesar dari Australia dalam dekad ini, menurut satu kenyataan kerajaan.

Mereka diberkas dalam serbuan di sebuah kawasan letak karavan minggu lepas di Mooroopna, ke barat Shepparton, di mana mereka telah bekerja secara haram memetik tomato dan buah pear dan mereka adalah antara 85 orang yang ditahan.

Persiapan sedang dibuat bagi menghantar pulang sembilan orang selebihnya - lima rakyat Malaysia, tiga Korea Selatan dan seorang Nepal.

Menteri Imigresen, Senator Chris Evans, berkata 85 orang itu telah memasuki Australia dengan visa yang sah sebelum bekerja secara haram.

Sambil memuji kecekapan dan kepantasan jabatan imigresen bertindak, Senator Evans berkata, majikan menghadapi denda hingga A$13,200 dan penjara dua tahun kerana mengambil orang bekerja tanpa permit kerja, dan syarikat terlibat boleh dipotong pendapatan mereka sebanyak A$66,000 bagi setiap pekerja haram. - Bernama

5,000 Sertai Perarakan Maulidur Rasul Di Selangor

Seramai 5,000 umat Islam terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor hari ini.

Perarakan sejauh dua kilometer melibatkan 110 kontinjen bermula di Stadium Shah Alam dan berakhir di Stadium Malawati, Shah Alam. Ia disertai beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan-badan berkanun dan syarikat swasta.

Majlis berkenaan dirasmikan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah. Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan EXCO kerajaan Negeri.

Dalam ucapannya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud berkata, tema Maulidur Rasul pada tahun ini ialah 'Memantapkan Ukhuwah, Memperkasakan Ummah'.

Beliau menggesa umat Islam membetulkan tekad dengan menumpukan soal utama bagi memacu pembangunan ummah dan mengelak anasir yang boleh memecah belah perpaduan rakyat.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipilih pemenang perarakan bagi kategori Badan Kerajaan hasil gimik menarik.

"Mungkin sebab kita buat gimik dengan membawa kerusi roda, jadi nampaklah imej kebajikan. Yang penting komitmen semua, jalan ikut aturan walaupun kita praktis tak lama," kata jurucakap JKM.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula memenangi perarakan kategori badan berkanun walaupun penyertaan mereka semata-mata untuk untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah.

"Kemenangan ini adalah bonus kepada kita bukan kata kita sasarkan kepada kemenangan tetapi kepada program ini sendiri. Jadi bila menang itu satu bonus bagi MBPJ pagi ini," kata wakil MBPJ.

Majlis turut diserikan dengan persembahan dari Amy Search, kumpulan nasyid Rabbani dan Hijjaz.

Dalam pada itu, kerajaan Selangor turut menyediakan enam anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul berteraskan nama tokoh Islam iaitu Anugerah Saidina Ali, Anugerah Saidatina Khadijah, Anugerah Uthman Ibnu Affan, Anugerah Imam Al-Ghazali, Anugerah Khalid Al-Walid dan Anugerah Umar Abdul Aziz.

Muhammad Mu'az Mohd Abd Azis dipilih penerima Anugerah Saidina ali manakala Anugerah Umar Abdul Aziz (Datuk Mohd Talha Abd Rahman), Anugerah Saidatina Khadijah (Prof Dr Jawiah Dakir), Anugerah Imam Al Ghazali (Mohd Salleh Ashaari), Anugerah Khalid Al Walid (Datuk Khalid Abu Bakar) dan Anugerah Uthman Ibnu Affan (Mohd Ilham Ikhsan).

Bercakap kepada TV Selangor, Mohd Talha berterima kasih atas penghargaan kerajaan negeri walaupun tidak pernah mengharap balasan atas setiap jasanya.

GST: Setiap Rakyat Kena Bayar Tambahan RM550 Setahun


Setiap rakyat perlu membayar tambahan 550 ringgit setahun jika cukai perkhidmatan dan barangan atau GST dilaksanakan dan ini tidak termasuk beban cukai lain.

Mendedahkan hal itu pada Forum Awam, Implikasi GST kepada rakyat malam tadi, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendapati demikian selepas membuat perkiraan.

Selain Guan Eng, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad turut memberi pandangan.

"Sebenarnya, yang terpaksa dibayar oleh pembayar cukai iaitu terdiri daripada 12 juta pekerja di Malaysia ialah tambahan sebanyak RM6.7 billion.

"Inilah perlu ditanggung rakyat Malaysia. Dan jika jumlah ini diagihkan dengan 12 juta pekerja, ini bermakna setiap pembayar cukai perlu membayar RM550 setahun," katanya.

Guan Eng juga mempertikai hasrat kerajaan melaksanakan GST hanya selepas pilihan raya umum tetapi tidak berani mengutarakan cadangan itu sebelum proses pemilihan.

"Kita tahu itu semua muslihat BN. Mereka hanya akan kenakan GST ini selepas pilihan raya besar. Kalau dia kenakan sebelum pilihan raya besar. Tak payah bertanding pun tahu akan menang.

"Jadi, kita mesti menjelaskan implikasi GST kepada segenap lapisan rakyat. Kalau kita gagal berbuat demikian, Pakatan Rakyat akan kalah manakala rakyat akan derita," kata Setiausaha Agung DAP itu.


Muslihat Pendaftaran Anak Beng Hock

Kesungguhan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendaftar anak Teoh Beng Hock dalam tempoh singkat menjadi kayu ukur dalam permasalahan pendatang asing yang berleluasa di Malaysia.

Kebolehan JPN itu juga sewajarnya mampu mengelak Masalah sebahagian rakyat yang lahir dan membesar di negara ini tapi masih memegang kad pengenalan merah.

Bekas Menteri, Datuk Seri Chua Jui Meng menyifatkan keupayaan JPN dalam menangani kes anak Beng Hock sekaligus menimbulkan keraguan dalam isu pendatang asing yang tidak selesai-selesai.

Beliau kesal kerana sebahagian anak kelahiran Malaysia khususnya kaum Cina terpaksa melalui proses yang panjang dan rumit.

Katanya, ia berbeza pula dengan pendatang asing termasuk warga Indonesia mahupun Filipina yang mudah memperoleh kad pengenalan.

“Ini adalah hasil dpolitik perkauman yang dimainkan oleh UMNO selama ini. Kita tahu ada ramai yang lahir di Malaysia atau sudah datang sini berpuluh-puluh tahun tapi bila mohon kewarganegaraan Malaysia, sukar dapat,” katanya

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Teng Chang Khim menyambut baik pendaftaran anak Beng Hock tapi menyifatkannya ia sebagai layanan istimewa yang jarang berlaku.

“Saya rasa pertimbangan politik itu lebih diutamakan dalam memproseskan permohonan tersebut,” katanya secaras sinis.

“Kalau bukan kerana Beng Hock adalah ahli Pakatan Rakyat yang mati dalam kawalan SPRM, saya kira tidak mungkin layanan yang istimewa diberi kepada anak beliau,” katanya.

Gempa Bumi Lemah Landa Lahad Datu

Satu gempa bumi lemah berskala 3.1 pada skala Richter berlaku di Lahad Datu, Sabah awal pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Berikutan gempa bumi yang berpusat di latitud 5.3 Utara dan longitud 118.2 Timur, gegaran kecil berkemungkinan dirasai di sekitar Lahad Datu, menurut kenyataan jabatan itu.

Jabatan itu berkata pihaknya akan terus memantau keadaan tersebut.-Bernama



Tunku Idris dimasyhurkan Tunku Temenggong Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengisytiharkan anakanda ketiga baginda Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor.

Baginda membuat perisytiharan itu semasa bertitah pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Johor di Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Baru, pagi tadi.


Dari Pejabat Ketua Pembangkang

KENYATAN AKHBAR
Pejabat Ketua Pembangkang

EKONOMI MALAYSIA: RETAK MENANTI BELAH


Pengumuman terbaru oleh Perdana Menteri bahawa “senario ekonomi terburuk” negara telah berakhir kerana KDNK berkembang pada kadar 4.5% dalam suku terakhir 2009 bukan sahaja dikira terlalu awal tetapi juga tidak bertanggungjawab.

Apa yang jelas, pertumbuhan itu sebenarnya dipacu oleh perbelanjaan besar-besaran oleh kerajaan sejak setahun lepas. Suntikan pakej rangsangan, seperti yang diketahui oleh mana-mana ahli ekonomi, sebaiknya adalah langkah sementara dan tidak boleh dilakukan secara berterusan. Oleh sebab itulah, saya amat khuatir kerana kaedah pergantungan yang berterusan kepada perbelanjaan kerajaan secara besar-besaran seperti yang diamalkan Barisan Nasional, akan membawa kita ke kancah permasalahan ekonomi yang sangat serius. Saat apabila ekonomi negara yang kini retak akan terbelah dan berkecai sebenarnya sudah hampir tiba.

Sejak 1998, kerajaan Barisan Nasional hanya tahu satu dasar ekonomi sahaja, iaitu menaikkan perbelanjaan kerajaan (melalui projek-projek besar yang tidak diperlukan dan membazir kerana melibatkan kepentingan kroni) untuk menutup kegagalannya menarik pelaburan individu dan swasta yang telah jatuh merudum.

Data pelaburan individu dan swasta sejak 1991 menjadi peringatan bagaimana Barisan Nasional telah mengheret negara ke lembah kehancuran ekonomi. Kalau sebelumnya di antara tahun 1991 hingga 1997 pelaburan individu dan swasta meningkat setiap tahun pada kadar 16.2%, selepas 1998 hinggalah kini kadar ini hanya menokok 1% secara purata sejak 11 tahun lepas.

Mengambil kira kesan inflasi, maknanya di antara tahun 2005 sehingga 2008, pelaburan individu dan swasta kekal tidak berkembang pada tahap RM20.3 billion setiap tahun. Jumlah ini adalah lebih rendah dari jumlah pelaburan individu dan swasta semasa saya mula-mula menjadi Menteri Kewangan dalam tahun 1991, iaitu hampir 20 tahun lalu.

Pada ketika Barisan Nasional terus hilang punca untuk menghidupkan kembali ekonomi bagi jangka masa panjang, kadar pelaburan individu dan swasta menjunam berbanding dengan tahapnya sebelum tahun 1997. Pada ketika itu, pelaburan individu dan swasta menyumbang 40% kepada KDNK. Malangnya sejak sedekad yang lalu, sumbangan pelaburan individu dan swasta terus merosot secara puratanya kepada kadar 28% sahaja daripada KDNK.

Oleh sebab itu, Pakatan Rakyat tidak akan membuat pengisytiharan yang cuai seperti Perdana Menteri bahawa ekonomi kita sudah pulih, kerana masih terlalu banyak masalah pokok yang perlu diselesaikan dengan segera sekiranya kita tidak mahu Malaysia terus tertinggal di belakang.

Tindakan Perdana Menteri merwar-warkan anggaran pertumbuhan 5% bagi 2010 sebagai sangat baik sebenarnya kurang berhemah. Apa yang tidak diwar-warkan oleh Perdana Menteri disebalik anggaran pertumbuhan 5% itu adalah hakikat bahawa pada kadar tersebut, Malaysia ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand, Filipina malahan juga Vietnam dalam tahun 2010 kelak. Malaysia pada suatu ketika adalah setanding dengan Korea Selatan dan Singapura dan jauh lebih maju dari negara-negara yang lain.

Anggaran terbaru yang dikeluarkan oleh IMF pada Oktober 2009 menunjukkan bagi tahun 2010, Malaysia dijangkakan akan tumbuh pada kadar yang paling lembap berbanding kumpulan negara-negara tadi, walaupun ekonomi dunia dijangka akan mula pulih. Vietnam dijangka akan tumbuh pada kadar 2 kali ganda lebih baik dari Malaysia dan negara-negara lain akan berkembang pada kadar yang secara puratanya 50% lebih pesat dari Malaysia.

Kerajaan Barisan Nasional perlulah bertanggungjawab dan menerima hakikat bahawa ekonomi kita tersangkut di dalam perangkap seperti yang diumumkan Menteri Kewangan Kedua suatu masa dahulu; adalah disebabkan oleh salahguna kuasa dan rasuah oleh mereka yang berkuasa sejak sekian lama.

Kemakmuran negara pada masa hadapan hanya boleh dijamin oleh sebuah kerajaan yang memikul amanah yang diberikan oleh rakyat dengan rasa tanggungjawab yang tinggi. Maka, persoalan ketelusan dan amalan pentadbiran yang baik adalah prasyarat untuk memulihkan ekonomi negara.

Oleh sebab itu, Pakatan Rakyat akan terus bekerja keras untuk menawarkan kepada rakyat pentadbiran ekonomi yang telus, tulus dan berkembang secara sihat bagi jangkamasa yang panjang demi generasi akan datang.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
26 Februari 2010

Thursday, February 25, 2010

STPM: 92.55 peratus daripada 48,446 calon, lulus.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini mengumumkan sebanyak 92.55 peratus daripada 48,446 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) di seluruh negara pada tahun lalu, lulus.

Kenyataan itu dibuat MPM menerusi Bernama.



Mahkamah Tolak Semakan Keputusan Peroleh Bukti Utama

Seperti diduga, permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak keputusan mahkamah yang sebelum ini menolak permohonan memperoleh bukti utama perbicaraan kes konspirasi kedua, ditolak Mahkamah Persekutuan sebulat suara.

Antara bukti utama yang diperlu pasukan pembelaan bagi menjamin perbicaraan berjalan secara adil ialah rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan perubatan dan kenyataan saksi pendakwa.

Semakan itu didengar panel tiga hakim diketuai Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin dan dua hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Heliliah Mohd Yusof.

Mengulas keputusan itu, peguam utama Anwar, Karpal Singh meluahkan kekesalannya kerana semakan itu hanya didengar sekarang sedangkan perbicaraan terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah bermula.

Tanpa bukti utama itu, Karpal menyifatkan perbicaraan kes itu tidak wajar dan tentunya tidak mungkin dapat menjamin keadilan kepada Anwar.

Malah, beliau menganggap kehadiran tiga pakar forensik dan DNA dari luar negara terjejas berikutan mereka dapat meneliti bukti tersebut.

Pada perbicaraan semakan itu, Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menyatakan mahkamah tiada kuasa menyemak keputusan kerana penghakiman Mahkamah Persekutuan adalah muktamad.

Sedangkan, Karpal menegaskan mahkamah boleh menyemak keputusannya sendiri kerana dengan jelas telah berlaku ketidakadilan.

KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT NEGERI SELANGOR

“BERMUAFAKAT MENJUNJUNG AMANAH RAKYAT”

Pakatan Rakyat Selangor akan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor yang bertemakan “Bermuafakat Menjunjung Amanah Rakyat” pada 7 Mac 2010 (Ahad) di Dewan Jubli, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mulai jam 8 pagi hingga ke 6 petang.

Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor sempena Ulangtahun ke-2 Pakatan Rakyat mentadbir Selangor ini merupakan kesinambungan daripada Konvensyen Pakatan Rakyat peringkat nasional pada 19 Disember tahun lalu untuk merangka strategi mengukuhkan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor.

Majlis ini menjangkakan kehadiran 1,500 perwakilan daripada akar umbi ketiga-tiga Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia, dan Parti Tindakan Demokratik di seluruh Selangor.


SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT SELANGOR

###


BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT



Anwar terus gerak sokongan di kawasan majoriti Melayu di Selangor

KUALA SELANGOR, Feb 25 — Dengan simpati masyarakat antarabangsa di sebelahnya, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menggunakan platfromnya sebagai penasihat ekonomi Selangor untuk terus mendampingi rakyat negeri itu.

“Kami berada di sini kerana kami mempunyai akses yang terhad kepada berita (menerusi media perdana),” kata ketua pembangkang ini pada ceramah perdana di sini dihadiri kira-kira 2,000 penyokong kebanyakannya kalangan orang Melayu malam tadi.

Kuala Selangor merupakan antara bahagian Parlimen dikuasai PR menerusi wakil PAS.

Selangor kini diterajui PR.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Anwar kini berhadapan dengan tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Anwar menafikan tuduhan itu, yang kedua dalam 12 tahun dengan menyifatkannya sebagai konspirasi politik.

Anwar yang juga Penasihat PKR, salah satu komponen PR, berkata kunjungan beliau ke Kuala Selangor bukan sesuatu yang baru memandangkan ceramah terus diadakan bahagian pilihan raya di kawasan bandar dan pedalaman.

“Adalah penting untuk (terus) mendampingi (rakyat),” kata beliau sambil berkata majlis malam tadi berupaya diuruskan dengan baik walaupun dalam tiga hari.

Kata beliau, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang berhadapan dengan serangan politik bertubi-tubi oleh Umno, sebenarnya mahu menghadiri ceramah malam tadi tetapi terpaksa bergegas pulang ke George Town.

Anwar yang memperlihatkan keakraban dan kemesraan bersama hadirian diberikan tepukan gemuruh berdiri apabila membangkitkan pelbagai isu menyentuh negara sekarang, termasuk kehilangan dan kecurian dua enjin jet pejuang TUDM dan kapal selam.

Naskhah Mingguan Malaysia, edisi Ahad terbitan Kumpulan Utusan juga dibakar oleh penganjur yang menggesa agar media dimiliki Umno harus dipulau kerana liputan perbicaraan Anwar yang tidak adil.

Kemunculan Anwar malam tadi merupakan yang kedua berturut-turut di Selangor.

Kelmarin Anwar merasmikan program di bawah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor di Seksyen 19 Shah Alam yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Akhir minggu lalu Anwar melancarkan program pemulihan projek perumahan di kawasan Hulu Klang.

Kehilangan Enjin Jet TUDM, Mustahil Hanya Dua Individu Terlibat

OLEH : SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Jawatankuasa Kira-kira Awam hari ini melawat gudang TUDM di Sungai Besi Kuala Lumpur untuk mendapatkan gambaran bagaimana dua enjin itu diseludup ke luar Negara.

Seorang ahli jawatankuasa menolak pendirian kerajaan bahawa hanya dua orang terbabit dalam melenyapkan aset pertahanan Negara itu.

" Saya fikir mereka tahu siapa yang terlibat, mereka ialah satu kumpulan. Ada antara mereka menunggu d i luar kem. Mereka bergerak dalam bentuk kumpulan kerana tempat tersebut besar.. Ia sebuah kompleks," ujar Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw.

Menurut Seng Giaw, rumusan itu diputuskan oleh ahli jawatankuasa PAC pagi tadi setelah mengadakan lawatan kira-kira 4 jam ke MATRA 1.

Lawatan itu ujarnya adalah untuk mendapatkan gambaran bagaimana kehilangan enjin jet tersebut boleh berlaku.

" Mereka menunjukkan bagaimana proses membawa masuk enjin jet ke dalam lori yang mengambil masa hanya beberapa minit dari gudang kemudian bergerak ke pondok pengawal" katanya lagi.

Secara purata ujar Seng Giaw, proses untuk menyelinap keluar enjin tersebut hanya mengambil masa kira-kira 5 sehingga 10 minit.

Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana untuk memasuki kawasan tersebut kerana beberapa prosedur ketat perlu dipatuhi.

" Jika prosedur dipatuhi, ia tidak mungkin! Sesuatu telah berlaku! ia mungkin kerja dalam. Meskipun hanya membawa barang keluar, mereka memerlukan tiket, nota kiriman, pas masuk, semua itu diperlukan" ujar Seng Giaw lagi.

Malah, tambah Seng Giaw kejadian tersebut mungkin juga berpunca daripada peralihan sistem di gudang tersebut.

"Saya rasa apa yang berlaku ialah apabila prosedur terlalu ketat pada tahun 2007 sehingga 2008 dan apabila peralihan sistem dilakukan dengan menggunakan sistem komputer, ada pihak yang mengambil kesempatan".

Enjin jet F5E tersebut dikatakan hilang pada tahun 2007 dan hanya dilaporkan pada hujung tahun 2009.

Sehingga 6 Januari lalu, hanya seorang anggota berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat sahaja didakwa terlibat kehilangan enjin terbabit.

Lawatan ke MATRA 1 dilakukan oleh Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar dan juga Seng Giaw.

Wednesday, February 24, 2010

Selangor Tarik Pelaburan RM6 Bilion

Selangor berjaya menarik pelaburan RM6bilion setakat ini, sekali gus menidakkan ramalan Umno-Barisan Nasional, kononnya negeri iti tidak lagi akan menerima pelaburan asing kerana di tadbir oleh parti pembangkang.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Pakatan Rakyat berjaya menunjukkan kebolehannya menguruskan Selangor dan sekali gus memperhebatkan usaha membela golongan yang terpinggir selama ini.

"Kita telah dapat menunjukkan keupayaan dari segi pengurusan pertama pada ramai pemerhat-pemerhati yang mengatakan bahawa apabila pakatan rakyat memerintah selangor sudah tentulah dapat kekurangan pelaburan yang akan datang ke negeri selangor tetapi untuk pengethaun tuan puan semua negeri selangor walaupun dalam keadaan ekonomi yang meleset telah dapat menarik pelaburan lebih daripada RM6000juta,"katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian pada majlis Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di Shah Alam.

Majlis ini mengumpulkan kira-kira 300 rakyat pelbagai lapisan yang dibela oleh kerajaan menerusi program-program kebajikan dan sosial sejak dua tahun lalu.

Sehingga sekarang, kerajaan negeri Selangor membelanjakan hampir 50 juta ringgit untuk membantu lebih 15 ribu orang.

Melalui program merakyatkan ekonomi itu, pelbagai skim bantuan dan insentif bertujuan membela dan mensejahterakan rakyat Selangor dilaksanakan secara berperingkat.

"Jadi apabila ekonomi berkembang pelaburan bertambah sudah tentu pendapatan negeri akan bertambah dan dengan cara itu program merakyatkan ekonomi akan kita perhebatkan,"katanya.

Polis Guna Akta hasutan Untuk Kekang Kebenaran

Dua pemimpin kanan Pakatan Rakyat hari ini menjadi sasaran polis kerana memberi penjelasaan terhadap isu pertuduhan fitnah ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub di soal siasat polis di Parlimen berhubung kenyataan mereka pada ceramah di Seberang Jaya Pulau Pinang 7 Februari lalu.

Polis mengambil keterangan mereka di bawah Akta Hasutan berikutan aduan yang dibuat oleh seorang anggota Polis.

Salahuddin menyifatkan tindakan polis itu sebagai hasutan bagi menghalang rakyat daripada mengetahui fakta-fakta di sebalik pertuduhan fitnah liwat yang dikenakan ke atas Anwar.

" Satu skrip telah disediakan kepada kami pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat bahawa apa jua yang menyentuh tentang perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus dituduh di bawah Akta Hasutan seperti mana yang berlaku kepada YB Manoharan" kata Salahuddin kepada para pemberita kepada pemberita di parlimen hari ini.



Penulis blog cari dana untuk serang hotel Jakarta

JAKARTA: Seorang penulis blog di Indonesia, yang menggelar dirinya 'Putera Jihad', terbang ke Arab Saudi pada September 2008 untuk mendapatkan dana bagi serangan bom ke atas dua hotel mewah di Jakarta Julai tahun lalu, demikian pegawai pendakwa memberitahu Mahkamah Daerah Jakarta Selatan semalam.

Lelaki itu, Muhammad Jibriel Abdul Rahman, 25 tahun, sekutu rapat Noordin Mohammad Top, pengganas rakyat Malaysia yang mengetuai kumpulan serpihan Jemaah Islamiyah (JI), dikenali sebagai Al-Qaeda di Kepulauan Melayu.

Pendakwa berkata Noordin merancang serangan bom ke atas hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton, yang menyebabkan 11 orang terbunuh dan 53 cedera, pada Julai lalu. Dia ditembak mati polis Indonesia pada September lepas.

'Dari Ogos 2008 hingga Ogos 2009 defendan memberi bantuan kepada para pelaku serangan dengan merahsiakan maklumat mengenai jenayah mereka,' kata ketua pegawai pendakwa Encik Firmansyah

Pendakwa berkata Muhammad Jibriel menghantar e-mel kepada adiknya yang tinggal di Arab Saudi, memberitahu bahawa dia bertemu Noordin pada Ogos 2008, dan membincangkan perlunya mengumpul dana sebesar 100 juta rupiah ($15,150) bagi serangan itu.

'Kami berbual panjang dalam kereta. Saya terkejut. Dia macam biasa. Banyak tugas berat. Pendakwah N perlukan 100 juta. Semoga saya dapat simpati mereka,' tulis Muhammad Jibriel.

Dia kemudian pergi ke Arab Saudi dan menunaikan umrah.

'Kami akan buktikan dia pergi ke Arab Saudi bukan cuma untuk menunaikan umrah, tetapi untuk mendapatkan dana,' kata Encik Firmansyah kepada AFP.

Muhammad Jibriel boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan. -- Agensi.


Sekilas - Dunia

Loji nuklear: AS kecam Iran

TEHERAN: Kenyataan ketua agensi nuklear Iran, Encik Ali Akbar Salehi, Isnin lalu bahawa Iran mungkin membina dua lagi loji pengayaan uranium dalam pergunungan bagi mengelakkan serangan udara dikecam Washington.

Tetapi reaksi Kesatuan Eropah masih belum jelas. -- AFP.

1,000 askar AS maut di Afghan

KANDAHAR: Bilangan askar Amerika Syarikat yang maut di Afghanistan kini 1,000 orang, selepas 54 terkorban tahun ini.



Rakyat Palestin, askar Israel bertempur

HEBRON: Penduduk Palestin bertempur dengan askar Israel di bandar Hebron, Tebing Barat, kelmarin, bagi membantah rancangan Israel hendak memasukkan dua makam suci di Tebing Barat sebagai tapak warisan sejarahnya.

Berpuluh pemuda Palestin membakar tayar dan membaling batu ke atas pusat pemeriksaan tentera Israel di bandar Hebron, yang dikenali sebagai bandar Khalilur Rahman oleh penduduk Palestin.

Askar Israel melepaskan tembakan gas pemedih mata dan bom kejutan, kata seorang wartawan AFP.

Penduduk melancarkan mogok dengan menutup kedai dan sekolah.

Tentera Israel berkata seorang askarnya cedera ringan semasa pergelutan. Tiada laporan rakyat Palestin cedera.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mencetus kemarahan rakyat Palestian Ahad lalu apabila beliau mengumumkan akan memasukkan Makam Nabi Ibrahim as (Tomb of the Patriarchs) di Hebron, dan Qubbat Rakhil (Rachel's Tomb) di Baitulaham, yang dikenali sebagai Masjid Bilal bin Rabah oleh rakyat Palestin, dalam rancangan memulihkan 150 tapak warisan sejarah Yahudi, melibatkan biaya sebesar AS$100 juta ($140.5 juta).

'Kami mengutuk keras keputusan yang sekali lagi mengesahkan niat pemerintah Israel hendak menguasai wilayah kami,' kata ketua perunding Palestin, Encik Saeb Erakat, kepada AFP.

'Keputusan Israel ini satu provokasi bagi umat Islam di seluruh dunia, terutamanya rakyat Palestin,' tegasnya.

Rancangan itu dikecam kumpulan Hamas yang mentadbir Jaluran Gaza. Menteri pelancongannya, Encik Mohammed al-Agha, menggesa rakyat Palestin di Israel dan Tebing Barat pergi ke tapak tersebut untuk mempertahankannya.

Mesir dan Jordan turut mengutuk langkah Israel itu.

'Keputusan itu tidak sah. Pendirian terbaru Israel itu akan hanya mencetus tindakan pelampau, konfrontasi dan keganasan. Ia tidak membantu usaha Amerika Syarikat hendak menghidupkan semula proses damai,' kata jurucakap Kementerian Luar Mesir, Encik Hossam Zaki.

Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Robert Serry, memberi amaran tindakan Israel boleh meningkatkan ketegangan di rantau itu. -- AFP.



Anugerah Bakat Muda

Walaupun bergelar negeri maju, kerajaan Selangor tidak lupa mengiktiraf sumbangan seniman muda terhadap perkembangan kebudayaan melalui penganjuran majlis Anugerah Bakat Muda Selangor.

Anugerah pertama kali khusus kepada belia di negara ini anjuran Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan Negeri Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pembantu Exco Belia dan Sukan, Jenice Lee berkata, kategori seni visual terbahagi kepada arca dan grafik manakala kategori persembahan terbahagi kepada muzik dan tarian serta teater

Pembantu Exco Belia dan Sukan, Jenice Lee berkata, kategori seni visual terbahagi kepada arca dan grafik manakala kategori persembahan terbahagi kepada muzik dan tarian serta teater

Katanya, kategori seni muzik terbahagi kepada pemuzik berkumpulan dan solo manakala penulisan kreatif melibatkan sajak dan novel dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

"Semua kategori memperuntuk sijil penghargaan, medal dan wang tunai RM3,000 yang diadili juri profesional seramai 22 orang mengikut kepakaran masing-masing," katanya pada satu kenyataan media.

Majlis itu dijadual berlangsung pada 16 April 2010 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mulai jam 8 malam.

Jenice berkata, penganjuran itu selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadi negeri idaman dan kebajikan, sekali gus menjadikan Selangor sebagai Hub-Seni Kebudayaan serantau.

Katanya, kerajaan negeri peka dalam bidang kesenian dan kebudayaan dengan menitikberatkan tema kesejagatan iaitu kebebasan, keadilan dan nilai estetika yang tinggi.

Beliau berkata, lima finalis akan diumumkan seminggu sebelum malam anugerah dan ia terbuka kepada individu, badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan, institusi untuk mencalonkan seniman muda.

Tempoh akhir pencalonan ialah 11 Mac ini. Borang pencalonan boleh didapati dengan memuat turun laman web penganjur iaitu www.gen-s.com.my atau hubungi 03–55117005 untuk sebarang pertanyaan.


Tuesday, February 23, 2010

Tabung Warisan Anak Selangor

Tiga kumpulan meliputi 800 orang bakal menerima sumbangan kerajaan Selangor melalui program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas dan Hadiah Masuk Universiti, malam ini.

Seramai 300 kanak-kanak, warga emas (300) dan mahasiswa (200) menerima sumbangan yang bakal disampaikan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sumbangan itu akan disampaikan melalui Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mulai jam 8 malam hingga ke 11 malam di Dewan Bola Tampar MBSA, Shah Alam.

Program MES itu dilancarkan dua tahun lalu bagi memberi manfaat kepada golongan miskin di Selangor tanpa kira kaum dan agama.

Program ini dianjur menjelang ulang tahun ke-2 pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor yang bertujuan menerangkan kejayaan program MES bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di Selangor.

Antara program MES fasa pertama ialah bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama, Pusat Khidmat Krisis Sehenti, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, Program peningkatan hasil daripada bahan batuan dan mineral.

Program MES fasa kedua pula ialah cuti bersalin 90 hari, cuti untuk suami yang isterinya bersalin selama 14 hari dan cuti kematian suami selama 30 hari bagi kakitangan awam.

Retorik Politik

Pakar ekomoni, Charles Santiago mempersoal kesahihan kenyataan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kononnya Malaysia telah pulih dari kemelesetan ekonomi.

Kedua-kedua individu itu patut memberikan angka sebenar dan tidak berselindung di sebalik kekaburan fakta yang mengelirukan rakyat. Hakikatnya, Malaysia bukan lagi negara pilihan pelabur.

Semalam Najib dan Zeti dalam sidang media berasingan menyatakan, kononnya Malaysia telah pulih daripada kemelesetan global berikutan prestasi suku keempat 2009 lebih baik daripada jangkaan.

Mereka dilihat cuba memberi gambaran positif mengenai situasi ekonomi negara yang bertujuan meraih sokongan rakyat yang sekian lama terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barangan.

“Kedua-dua Tan Sri Zeti dan Perdana Menteri tidak memberikan apa-apa angka pemulihan ini telah berlaku. Apa yang kita baca dari akhbar-akhbar ekonomi bahawa pelabur-pelabur asing tidak begitu minat untuk melabur di Malaysia kerana daya saing telah jatuh dan sekarang bersaing berdasarkan kepada upah rendah dengan Vietnam dan Kemboja, malah Indonesia telah memintas Malaysia.

“Sebenarnya daripada tahun lalu, kita dapati pelabur asing dan dalam negara telah keluarkan pelaburan mereka ke luar negara ini menunjukkan ekonomi parah, sebab itu saya mengatakan bahwa penganalisa dan sebagainya akan tunggu angka yang akan dikeluarkan esok menunjukan benarkah ekonomi Malaysia telah pulih semula,”katanya.

Mengikut Charles, faktor yang mendorong keengganan pelabur asing ke negara ini termasuk masalah kestabilan politik dan guna tenaga kerja. Jadi, kurang bijak untuk mana-mana syarikat menjalankan perniagaan berskala besar.

Beliau yakin Najib menyedari faktor itu tetapi cuba memutar belit isu ekonomi untuk tujuan politik, selain kerap bertemu dan meminta ahli perniagaan Malaysia supaya tidak mengeluarkan pelaburan dari negara ini.

“Mereka tidak datang ke Malaysia kerana keadaan politik dan juga isu berkait agama dan juga kaum, mereka fikir Malaysia tidak stabil seperti dulu. Ketiga Malaysia tidak ada teras pengurusan untuk menjalankan perniagaan mereka.

“Ini menunjukkan kerajaan takut ada trend untuk keluarkan pelaburan peniaga dan pelabur-pelabur Malaysia. Jadi ini tidak menunjukkan sebenarnya ekonomi Malaysia telah pulih balik, bila angka keluar esok oleh Bank Negara dan Kementerian Kewangan kita akan dapati secara terperinci apa sebenarnya berlaku.

Charles menyifatkan Malaysia berdepan isu ketidakkeyakinan pelabur dalam mahupun luar negara. Masalah kepimpinan dan ketidakcekapan pengurusan kementerian bertanggungjawab, antara punca utama.

“Kalau orang luar tidak mahu melabur kita faham, tetapi kalau orang Malaysia sendiri tidak mahu melabur kerana tiada kepercayaan, ini menunjukkan mereka tidak yakin dengan kepimpinan yang ada sekarang dan Kementerian yang menguruskan ekonomi dalam Malaysia atau tidak percaya dengan dasar-dasar Malaysia.

Kes Liwat: Perbicaraan Rompong

Wartawan Kanan India Persoal Perbicaraan Anwar

Hadri Yaziz

Selepas Ahli Parlimen Australia dan Senat Amerika Syarikat, Editor The Sunday Guardian, MJ Akbar pula menyifatkan perbicaraan kes konspirasi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ada yang tidak kena.

Penulis buku 'Kashmir: Behind the Veil’, Riot after Riot’ dan ‘India: The Siege Within’ itu melabel demikian berdasarkan pengamatan, selain berkongsi maklumat dengan media dan peguam.

"Seperti yang kita perhatikan, perbicaraan ini tampak begitu rompong. Perbicaraan ini penuh dengan kesilapan. Pada pandangan saya, saya tidak menyangkal hanya perbicaraan yang adil dapat melengkapkan segalanya," katanya kepada TV Selangor.

Beliau memberi pandangan peribadi itu apabila diminta mengulas mengenai proses kehakiman yang hangat diperkatakan, ketika mengadakan lawatan ke Malaysia bertemu Anwar bagi memberi sokongan moral.

Akbar petang semalam mengadakan dialog bersama wakil media dan penulis blog bebas di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sesi dialog selama satu jam itu membincangkan keberkesanan komunikasi dalam media melalui mesej yang disampaikan selain bentuk pengolahan sempurna untuk tatapan umum.

Beliau berkongsi pengalaman tentang kuasa penulisan kreatif yang boleh mengubah persepsi dan pendirian pembaca, dengan menggunakan mesej ringkas mampu memberi impak lebih besar berbanding penulisan kompleks.

Akbar yang dijadual pulang ke New Delhi hari ini, turut mengulas peranan komunikasi media sebagai medium penting dalam menyampaikan mesej individu kepada umum.

Pakatan Rakyat Mantapkan Gagasan

Dalam satu lagi usaha untuk bergerak seiring, tiga parti komponen Pakatan Rakyat hari ini bersetuju menubuhkan jawatankuasa pusat displin bagi memperkukuhkan gagasan berkenaan.

Jawatankuasa tata tertib itu merentasi kepentingan parti dalam usaha memantapkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah badan yang dinamik dan mampu menyelesaikan masalah displin yang bertindih.

Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat petang tadi.

Keputusan ini dicapai atas hasrat rakyat mahukan Pakatan Rakyat mengukuhkan imejnya dalam berdepan dengan isu-isu dalaman yang cuba diputar belitkan oleh seteru politik.

Ini termasuk kritikan melulu dan perang mulut antara pemimpin tertentu dalam PAS, parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Jawatankuasa tata tertib peringkat pusat yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah akan menangani segala permasalahan sedemikian.

"Kita juga cadang untuk memperkemas jawantankuasa tatertib yang diputuskan dahulu dan meminta Sivarasa mempengerusikan jawawtankuasa ini yang diwakili oleh ketiga-tiga parti, dan melaporkan kepada kita dalam mesyuarat akan datang".

Datuk Seri Anwar berkata jawatankuasa displin pusat itu tidak menjadi penghalang kepada ahli parti komponen Pakatan Rakyat untuk memberikan kritikan membina.

“Pertamanya ada ruang dalam parti yang mereka boleh suarakan. Misalannya Ahli Parlimen parti Keadilan boleh suarakan bangkangan dan bantahan kepada mesyuarat mingguan PKR yang kita adakan setiap minggu. Kita tidak pernah menyebut tidak boleh, tetapi biar munasabah. Kalau kita panggil rakan kita komunis, itu luar dari batas tatasusila dan adab," tegas Anwar.

Anwar berkata forum untuk ahli parti memberi pandangan, malah kritikan di sediakan di pelbagai peringkat.

“Jadi kalau ada andaian seolah-olah ada di kalangan ahli parlimen atau kepimpinan parti tidak boleh menyuarakan pendapat, tidak benar. Mesyuarat kepimpinan DAP boleh bincang apa sahaja yang berbangkit, begitu juga dalam PAS atau Keadilan," kata Anwar.

"Kemudian ahli parlimen ada forum dan setiausaha pakatan rakyat ada lima enam jawatankuasa yang boleh suarakan pandangan," tambah beliau.

Monday, February 22, 2010

Top militant killed

Philippine marines killed a top Abu Sayyaf commander and five other members of the Islamist terrorist group in a military operation yesterday on the volatile southern island of Jolo. -- PHOTO: AFP

MANILA - PHILIPPINE marines killed a top Abu Sayyaf commander and five other members of the Islamist terrorist group in a military operation yesterday on the volatile southern island of Jolo.

Philippine Navy spokesman Edgard Arevalo said civilian sources had provided 'vital information' on the location of an Abu Sayyaf faction headed by Albader Parad, who led the kidnapping of three International Red Cross workers last year.

'We got them in a head-on clash and follow-up operations continued after the attack,' he told The Straits Times.

It took several hours before the military was able to establish that one of the dead gunmen was in fact Parad. Four civilians had independently identified him.

The firefight, which involved a force of 30 marines, was in mountainous terrain near Maimbung township. This densely jungled area is a known lair of the Abu Sayyaf, a notoriously violent group wanted for hundreds of kidnappings and attacks on civilian and military targets.

A marine was killed and three others were injured in the encounter.

Saturday, February 20, 2010

Gambar Cium Manohara


BEBERAPA keping gambar terbaru Manohara tersebar di Internet yang memperlihatkan aksi cium pipi antara Manohara dengan jejaka yang bukan suaminya.

Namun ketika dimintanya untuk mengulas aksi tersebut, Manohara dengan mudah menjawab itu adalah perkara biasa baginya.

"Memang Manohara biasa berkelakuan begitu. Terutamanya kepada orang-orang yang rapat dengannya," ujar pengurusnya, Glenn seperti dipetik Detikhot.com.

Pengurusnya turut memberitahu bahawa ketika gambar mesra Manohara bersama jejaka bernama Amil itu diambil, mereka tidak berduaan sahaja.

Amil juga dikatakan sebagai anak kepada seorang rakan ibunya, Daisy Fajarina. Keluarga mereka sudah sangat rapat dan mereka terlalu banyak gambar berdua. Namun Glenn turut menegaskan jejaka tersebut tidak mempunyai hubungan istimewa dengan bekas isteri Sultan Kelantan itu.

"Tidak, itu bukan kekasih Manohara," jelas Glenn.

RM5 Bilion Pulih 50,000 Rumah Terbengkalai

Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan suntikan dana berjumlah RM5 bilion bagi memulihkan 141 projek rumah terbengkalai di Selangor yang diwarisi dari kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sudah menyatakan persetujuan dan satu perbincangan mengenai bentuk pembiayaan akan dibuat supaya masalah projek terbengkalai itu diatasi segera.

"Sebelum saya datang sini, kita bincang. Saya kata kena ada juga sedikit suntikan untuk bantu lancarkan program ini. Maka Khalid setuju dan saya akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk kita minta peruntukan daripada Lembaga Perumahan," katanya.

Anwar berkata demikian selepas pada majlis penyerahan anak kunci kepada 300 pembeli unit pertama projek-projek yang berjaya dipulihkan di Ukay Bistari dan Saujana Puchong.

Ini adalah sebahagian usaha merakyatkan ekonomi dengan memastikan aktiviti ekonomi melibatkan golongan terbesar iaitu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Program pemulihan ini menjadi bukti kejayaan pendekatan kerjasama kerajaan swasta yang diambil oleh Kerajaan Negeri.

Ini sekali gus meringankan beban kewangan pembeli yang kebanyakannya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang sekian lama menanggung hutang pinjaman akibat projek terbengkalai.

Sejurus selepas mengambil alih Selangor, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengenal pasti 141 projek rumah terbengkalai membabitkan lebih 50,000 unit kediaman di seluruh negeri.

"Kita kena faham punca masalah. Sebanyak 144 projek di Selangor yang kita warisi dari kerajaan dahulu. Kerajaan BN buat pakatan bukan dengan rakyat tapi dengan syarikat (pemaju). Syarikat urus dengan rakyat.

"Kemudian entah apa dia punya urusan lain kita tidak tahu. Yang halal, yang haram, kita tidak tahu. Yang kita tahu rumah tidak siap. Bila Pakatan Rakyat menang, orang harapkan kerajaan baru. Kita tidak boleh lepas tanggungjawab itu," katanya.

Jangan Terkejut Jika Nasir Safar 'Bebas'

Pengumuman pihak berkuasa bahawa siasatan keatas kenyataan ekstrem bekas Pembantu Khas Perdana Menteri Datuk Nasir Safar telah selesai adalah sandiwara semata-mata.

Adun Batu Caves, Amirudin Shari berkata beliau tidak terkejut sekiranya siasatan ini tidak membawa kepada pendakwaan sepertimana skandal badan kehakiman dan peguam V.K Lingam dan skandal rasuah bekas Menteri Rafidah Aziz.

"Dalam kes Lingam sebagai contoh, siasatan telah selesai tapi tidak dibuat apa-apa sebab Peguam Negara mengambil keputusan untuk tidak mendakwa. Dan juga dalam banyak kes dari dulu sampai sekarang ni. Rafidah Aziz, Rahim Tambi Chik dan banyak sebagainya," jelas beliau.

Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof mengumumkan bahawa siasatan keatas kenyataan berbaur perkauman pembantu PM itu telah selesai dan telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Siasatan kes mengikut Akta Hasutan 1948 dan polis telah mengambil keterangan 49 saksi termasuk peserta kursus dan enam wartawan tempatan.

Sebanyak 58 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung ucapan Nasir pada Seminar 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Nasir mengundang kecaman pelbagai pihak selepas mengecam masyarakat Cina sebagai 'penjual tubuh' dan masyarakat India sebagai 'pengemis'.

Amir Shari berkata watak-watak seperti Nasir ini adalah manifestasi sebenar sifat Umno yang sentiasa curiga dan ekstrem, lantas membuktikan bahawa moto 1Malaysia tidak lebih dari omong kosong semata-mata.

"Rakyat sudah jelas dengan wajah sebenar Umno-BN. Di dalam 1Malaysia ada Nasir Safar, ada Ahmad Ismail, ada kepala lembu yang di arak," tegas beliau.

Sunday, February 7, 2010

Ekonomi di Perak Tidak Banyak Berubah di Bawah BN

Setahun selepas rampasan kuasa BN di Perak, suasana ekonomi di negeri itu tidak banyak berubah berbanding Selangor.

Adun Kinrara Teresa Kok Suh Sim berkata Menteri Besar lantikan BN Zambry Abdul Kadir lebih selesa untuk meneruskan dasar pentadbiran Nizar Jamaluddin, tanpa memperkenalkan dasar-dasar baru.

"Zambri bukan menteri besar yang sah di mata kaca rakyat, dalam satu laporan Malaysia Insider, 74% yang diwawancara oleh mereka, majoriti mengharapkan pilihan raya baru diadakan di Perak.

"Agak susah bagi Zambri melakukan dasar-dasar baru dan terpaksa mengikut di bawah dasar kerajaan Pakatan Rakyat. Jadi perbezaannya di Selangor, ia konsisten dari segi dasar pembangunan ekonomi."

Selangor satu tahun melalui Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor lebih kehadapan berbanding Perak dibawah BN.

Dalam masa singkat ini, Kerajaan Negeri Selangor berjaya mengubah kawasan terpinggir Sabak Bernam kepada daerah pengeluaran padi yang ketiga tertinggi di Malaysia.

Rancangan 20 meter padu percuma, skim mesra usia emas serta bantuan pertanian untuk anak muda dan ibu tunggal antara tujahan ekonomi yang diperkenalkan bagi membantu rakyat bawahan.

Teresa menambah pelabur terkesan dengan kecelaruan politik di Perak akibat rampasan kuasa Zambry.

"Di Perak mereka kurang pasti jadi akan menjejaskan ekonomi Perak. Kita lihat tahun ini, kita akan merancakkan hala tuju yang tetap, macam mereka tidak pasti, rakyat pun kurang pasti dan ini menjejaskan ekonomi Perak."

Setahun selepas rampasan kuasa BN di Perak, suasana ekonomi di negeri itu tidak banyak berubah berbanding Selangor.

Adun Kinrara Teresa Kok Suh Sim berkata Menteri Besar lantikan BN Zambry Abdul Kadir lebih selesa untuk meneruskan dasar pentadbiran Nizar Jamaluddin, tanpa memperkenalkan dasar-dasar baru.

Kalimah Allah

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, perintah membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah “Allah” merupakan satu hak yang diiktiraf di sisi Islam.

“Isu ini (kalimah Allah) bukan menentukan agama siapa benar dan agama siapa yang salah.

“Ini adalah hak yang diiktiraf oleh suatu agama pada suatu agama yang lain,” kata beliau pada Forum Kalimah Allah di sini, malam tadi.

“Ini bukan dialog teologi atau perbandingan agama... sejauh mana kadar untuk mereka (bukan Islam) dibenarkan menggunakan kalimah Allah,” kata beliau.

Beliau yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) turut mempersoal tindak-tanduk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana melarang masyarakat bukan Islam di Selangor dari menyebut nama “Allah”.

“Jais gantung kain-kain rentang nama Allah untuk orang Islam sahaja, tetapi lagu negeri Selangor pun disebut nama Allah, takkan Jais nak tangkap orang bukan Islam yang menyanyikan lagu negeri dengan menyebut nama ‘Allah’,” tambah beliau.

Malah menurut Asri, pada logo polis pun terdapat kalimah Allah sedangkan logo tersebut turut dipakai oleh anggota-anggota polis yang bukan beragama Islam.

“Sepatutnya polis bersama-sama Jais tak boleh tahan masyarakat bukan Islam yang menyebut (kalimah) Allah, mereka kena tahan mereka dulu yang masuk Selangor kerana Selangor melarang orang bukan Islam (dari) menyebut ‘Allah’,” kata beliau dipetik Harakah Daily hari ini.

Asri yang juga pakar hadis mendedahkan suatu hadis sahih daripada Imam Bukhari sendiri pun merakamkan bahawa Raja Rom bernama Hercules turut diriwayatkan menyebut kalimah ‘Allah’.

“Hercules bertanya dia (Abu Sufian) banyak soalan, antara yang diriwayatkan Imam Bukhari: Sebelum dia (Nabi Muhammad s.a.w) diutuskan menjadi seorang rasul, pernahkah kamu menuduh dia sebagai pembohong,” jelasnya.

Menurut beliau, Abu Sufian yang ketika masih tidak memeluk Islam berkata ‘tidak’, lalu Hercules berkata bahawa mustahil Muhammad itu berbohong menggunakan nama ‘Allah’.

“Lalu Hercules berkata: Kalau Muhammad ini kepada manusia pun tidak berbohong, maka fahamlah aku bahawa mustahil dia berbohong atas nama ‘Allah’.”

“Hercules sebut nama Allah (walaupun) dia Raja Rom, dia Kristian... terjemahan Abu Sufian adalah dia (Hercules) menyebut nama ‘Allah’ dan terjemahan itu ada di dalam Sahih Bukhari,” jelasnya.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng kemudiannya mendedahkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mula bergiat menghalang penerbitan akhbar mingguan Herald terbitan Katolik bukan disebabkan akhbar itu memohon menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mereka.

Sebaliknya, menurut dakwaan Chua, KDN berasa tidak selesa apabila mendapati kandungan Herald cenderung menyokong parti-parti pembangkang ketika menjelang pilihan raya umum ke-12.

“Sewaktu Bersih (Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil) mengadakan demontrasi besar-besaran di ibu negara, Herald menerbitkan di muka hadapan majalah itu gambar-gambar dan tulisan-tulisan menyokong Bersih,” jelasnya.

“Apabila KDN yang dimiliki oleh Umno menyedari tentang itu, Umno mendapati Kristian di negara ini banyak menyokong pembangkang khususnya PAS, di samping PKR dan DAP yang boleh menjejaskan Umno (dalam) PRU-12, mereka mula mengharamkan Herald,” katanya.

Chua memberitahu usaha mengharamkan penerbitan Herald bukan disebabkan faktor agama, tetapi demi menjaga kepentingan Umno.

Ekoran itu, menurut beliau, gereja Katolik terpaksa menggunakan ‘jalan Mahkamah’ dengan memohon menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan The Herald demi mencegah konspirasi Umno tersebut.

Sebelum itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi menjelaskan bahawa rasa bimbang yang bersarang di kalangan umat Islam disebabkan tidak rela kalimah ‘Allah’ digunakan secara yang salah.

Pun begitu, menurut beliau, umat Islam tidak berhak melarang masyarakat bukan Islam dari menggunakan kalimah ‘Allah’ itu.

“Kita tak ada hak melarang mereka (bukan Islam) nak guna kalimah Allah, tapi jika mereka guna secara salah dan inilah menjadi asas kebimbangan umat Islam dalam negara kita,” jelasnya.

Bercakap di depan lebih 500 hadirin dari pelbagai agama, beliau secara peribadi melahirkan rasa bimbang sekiranya kalimah ‘Allah’ itu diletakkan di restoran-restoran yang menjual produk atau makan tidak halal, yang akhirnya mengelirukan umat Islam.

Disebabkan kebimbangan tersebut, beliau menggesa pihak berwajib supaya menjelaskan ‘kadar’ menggunakan kalimah Allah di kalangan masyarakat Islam secara undang-undang yang praktikal.

Dalam forum tersebut, beliau turut mengulangi ketetapan PAS iaitu masyarakat bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah, tetapi tidak boleh digunakan pada tempat yang salah serta bertujuan menyampaikan dakyah ke atas umat Islam sendiri.

Forum itu dianjurkan oleh Lajnah Penerangan Pemuda PAS Pusat.

Diktator, cauvinis dan berfikiran komunis

Mungkin kerana warna kulitnya, agamanya, bahasa ibundanya dan ketegasannya untuk membasmi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, Lim Guan Eng menjadi mangsa kecaman dan ancaman hebat dari kumpulan-kumpulan yang mengaku wira Melayu. Lebih teruk lagi, Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menjadi sasaran segelintir pemimpin politik parti komponen Pakatan Rakyat.

Tuduhan yang paling berat terhadapnya ditujukan dari seorang “sahabat” Parti Keadilan Rakyat yang mendakwa dakwaan Guan Eng adalah “diktator, cauvinis dan berfikiran komunis”. Tetapi benarkah Guan Eng seorang pemimpin yang begitu kejam dan zalim sekali?

Dalam wawancara Guan Eng bersama Harakah baru-baru ini, beliau berkongsi pandangan tentang usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjadikan rakyat negeri berdaya saing, dengan mengemukakan contoh perubahan sikap masyarakat di negara komunis China:

“Dulu di negeri China pada tahun 60-an dan 70-an, ekonominya begitu mundur sekali. Rakyat hidup merana tanpa bantuan. Malah ekonomi China dianggap sebagai pesakit Asia. Kenapa? Kerana dasar kerajaan komunis tak boleh jalan. Dasar di mana semua akan makan satu mangkuk nasi. Tak kira kerja kuat atau tak kerja, semua akan dapat satu mangkuk nasi. Yang kerja lapan jam, dapat satu mangkuk. Yang kerja lapan minit pun satu mangkuk. Siapa nak bertungkus lumus? Siapa nak kerja rajin dan tekun? Sebab itu orang China waktu itu malas berkerja. Adakah malas kerana mereka sendiri malas? Bukan. Tapi kerana dasar subsidi membuatkan mereka malas. Tapi kita bukan buat dengan serentaklah. Tapi kita mesti ada dasar baik supaya mereka dapat berdaya saing. Bila mereka ikut dasar yang maju, menggalakkan mereka berdaya saing, saya rasa itu adalah sesuatu yang paling baik untuk orang Melayu dan juga negara Malaysia.

“Kita tengok China, selepas dasar diubah mereka terus menjadi maju. Daripada malas mereka manjadi rajin kerana dasar galakkan, kalau sesiapa tak kerja, dia akan lapar. Kalau kerja, baru boleh kenyang. Jadi semua akan kerja. Sama dengan di sini, kena kerja, bukan kita bagi wang sahaja. Kalau kita bagi wang kepada orang muda, mereka guna beli motosikal, jadi mat rempit. Tapi bila mereka kerja dan dapat duit, mereka akan menghargainya. Saya rasa itu yang lebih penting.”

Nampaknya seorang pemimpin yang dituduh “berfikiran komunis” telah menolak sistem komunis yang dilihatnya sebagai punca rakyat menjadi malas dan ekonomi negara hancur.

Sekarang, tuduhan yang mengatakan Guan Eng “diktator, cauvinis dan berfikiran komunis” yang dilemparkan oleh seorang pemimpin PKR itu kini menjadi slogan dan kain rentang kumpulan-kumpulan pro-Umno untuk mengecam dan memaki-hamun Setiausaha Agung DAP berkenaan.

Baru-baru ini, kumpulan-kumpulan berkenaan telah mengadakan tunjuk perasaan dengan membakar patung Guan Eng di khalayak ramai dan berarak merempuh masuk bangunan Komtar yang menempatkan pejabat Keua Menteri Pulau Pinang, tanpa diganggu atau disekat oleh pihak polis.

Kumpulan-kumpulan ini marah dengan Guan Eng kerana dikatakan menindas orang Melayu berikutan langkah pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap penjaja dan gerai yang tidak berlesen serta mengganggu kawasan awam. Walau pun kerajaan negeri telah menjelaskan bahawa tindakan dilakukan kerana pelanggaran undang-undang dan bukannya atas dasar warna kulit, kumpulan-kumpulan itu tetap memekik “Lim Guan Eng diktator rasis”.

Perangkaan yang didedahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang secara amnya menunjukkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengenakan tindakan terhadap 1,727 penjaja Cina, 815 penjaja Melayu dan 247 penjaja India kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen pada tahun lalu. Pada tahun 2008, 1,082 penjaja Cina, 785 penjaja Melayu dan 196 penjaja India dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama.

Yang dihebohkan sebagai kezaliman kerajaan negeri pula ialah isu perobohan gerai di dareah Timur Laut Pulau Pinang. Sembilan gerai peniaga Melayu diroboh manakala masing-masing lima dan tiga gerai milik peniaga Cina dan India (serta enam yang tidak diketahui kaum) menerima nasib yang sama sejak tahun 2008. Apa yang tidak diceritakan ialah hampir semua gerai yang dirobohkan itu sudah ditawarkan tapak alternatif yang berdekatan. Ada yang menerima tawaran, ada pula yang menolak tawaran.

Bagi daerah Barat Daya negeri pula, tidak ada satu pun tindakan dikenakan terhadap peniaga Melayu manakala lima bangsal milik peniaga Cina dan dua India dirobohkan, termasuk yang dirobohkan sendiri oleh pemilik setelah mendapat notis.

Bagi gerai-gerai lain pula, tindakan mengubah kerusi dan meja serta perkakas diambil kerana menghalang laluan dan lalu lintas di kawasan awam dan kaki lima. Sejak dua tahun lalu, 88 peniaga Melayu dikenakan tindakan itu. Sebelum tahun 2008, iaitu pada 2006 – 2007, 212 peniaga Melayu dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama oleh kerajaan negeri Barisan Nasional.

Berhubung kesalahan di bawah akta yang membabitkan jalan, parit dan bangunan, 56 peniaga dan penjaja Cina dikenakan tindakan berbanding 10 penjaja Melayu dan enam penjaja India.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri Chow Kon Yeow, tindakan penguatkuasaan diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi undang-undang dan bukannya atas pertimbangan kaum. “Tidak ada kaum yang menikmati imuniti daripada tindakan penguatkuasaan.”

Nampaknya Guan Eng yang dituduh “cauvinis” telah tidak mempedulikan kaum Cina dalam soal menguatkuasakan undang-undang kerana pihak kerajaan negeri telah mengambil tindakan terhadap peniaga Cina yang melanggar undang-undang bersama-sama dengan peniaga kaum lain.

Penulis veteran Mohd Sayuti Omar turut mengulas isu yang sama dalam blognya:

“Saya nak tanya sekalian orang yang mendesak Guan Eng dan mengkritik beliau. Apakah benar Guan Eng bersikap kurang ajar dan tidak membela nasib Melayu? Saya rasa bukan saja saya, tetapi orang lain juga mahu melihat bukti-bukti apa yang dikatakan itu. Elok senaraikan apakah bentuk pengabaian terhadap orang Melayu dan jangan hanya tahu menuduh dan melolong mengatakan DAP mengabaikan Melayu.

“Kita tahun DAP memerintah Pulau Pinang belum sampai tiga tahun. Sebelum ini negeri itu diperintah orang Cina menerusi parti Gerakan. Apakah selama 35 tahun lalu nasib Pulau Pinang terbela? Dan apakah pengabaian dan pilih kasih oleh Gerakan boleh dimaafi dan diamkan saja?

“Kalau boleh untuk bersikap adil, NGO yang membantah Guan Eng kemukakan statistik mengenai kedudukan orang Melayu Pulang Pinang baik dalam pemilikan hartanah, pendapatan, pengangguran dan sebagainya. Bandingkan juga kehidupan orang Melayu semasa 35 tahun Gerakan memerintah dengan DAP yang baru dua tiga tahun ini.”

Persoalan yang ditimbulkan oleh Mohd Sayuti memang tidak mendapat perhatian media arus perdana. Dengan itu, masih ada yang percaya bulat-bulat dengan isu yang dibesar-besarkan, malah ada yang bersifat fitnah semata-mata.

Apabila Guan Eng dituduh “diktator”, ia lebih mirip kepada soal persepsi dan pandangan peribadi. Hampir semua pemimpin politik ditohmah dengan gelaran itu; biasanya apabila seseorang pemimpin menolak pandangan yang dikemukakan.

Namun jika dikaitkan dengan isu-isu semasa, tuduhan “diktator” berkait rapat dengan isu segelintir ahli politik “sahabat” Pakatan Rakyat yang gagal mendapat “habuan”. Mungkin mereka ini masih gagal memahami dan menghayati urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) yang dibawakan oleh kerajaan negeri pimpinan Guan Eng. Mungkin mereka masih mahu mengamalkan sistem kabel politik dan kronisme yang diamalkan sebelum ini.

Pada masa yang sama, Guan Eng juga perlu lebih mendekati suara hati rakyat dengan mendengar pandangan dan pendapat rakyat prihatin yang benar-benar mahu membangunkan negeri serta membantu golongan daif. Bagi orang politik, memang mudah untuk bercakap tetapi agak sukar bagi mereka untuk meluangkan masa mendengar cadangan, pandangan dan rayuan.

Melaksanakan apa yang dikatakan itu perlukan dilakukan secara berhemah dan penuh kebijakan. sebagaimana yang Guan Eng sendiri ujarkan, “saya yakin kalau sesebuah kerajaan itu baik, itu adalah kerana kerajaan itu berani dan percaya dengan rakyat. Kalau kerajaan itu buruk, jangan persalahkan rakyat kerana rakyat tidak jahat”.

Dengan itu, ramai akan menerima bahawa tohmahan “diktator, cauvinis dan berfikiran komunis” itu hanya cacian murahan yang dilafazkan dari mereka yang takut untuk menerima amalan keadilan, peluang saksama dan keterbukaan. Yang penting, rakyat mahu melihat Guan Eng melaksanakan amalan 5K yang dicanangkannya - kebenaran, kebebasan, keadilan, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan.